BILA bercakap tentang zaman pertembungan keras PAS-Umno, majoriti akan menuding jari dan menyalahkan PAS atas apa yang telah berlaku. Mereka terlupa bahawa di zaman itu pimpinan, ahli dan penyokong PAS adalah mangsa keadaan serta menjadi sasaran tekanan dan tindakan keras lagi zalim Umno yang merasakan diri mereka berkuasa.

Petugas pilihan raya PAS diserang, dipukul dan dicederakan sehingga mengakibatkan seorang terkorban semasa Pilihan raya Kecil Lubuk Merbau. As Syahid Ustaz Ibrahim Libya bersama murid-muridnya diserang oleh pasukan keselamatan bagaikan mereka adalah segerombolan pengganas dalam peristiwa Memali sehingga 14 orang terkorban. Ramai pemimpin PAS yang meringkuk dalam tahanan ISA.

Dr Azman1Diskriminasi kerana perbezaan politik berleluasa dan mereka yang berkuasa menindas yang lemah. Orang kampung yang menyokong PAS dinafikan pelbagai bantuan yang mereka berhak. Baja subsidi padi pun orang PAS tak dapat. Saya tahu sebab ayah saya seorang pesawah. Agihan bantuan seperti zakat dan JKM tak sampai kepada orang PAS sebab JKKK enggan tandatangan borang permohonan. Malah nak sign borang persekolahan anak-anak dengan JKKK juga menjadi satu masalah bagi ibu bapa yang menyokong PAS. Guru-guru yang dicop sebagai penyokong PAS ditukar ke sana ke mari bagaikan bola. Orang PAS di jabatan kerajaan dinafikan naik pangkat walau prestasi mereka jauh lebih baik dari orang Umno.

Media perdana milik Umno/BN menjadi juara politik fitnah dan kebencian yang penuh dengan putar belit. PAS pula tidak diberikan sebarang ruang untuk memberikan penjelasan balas. Ceramah PAS diganggu oleh pemuda tahan lasak Umno. Penceramah dibaling telur busuk, enjin motosikal dibunyikan dengan kuat, jalan untuk ke lokasi ceramah dihalang dan disekat. Pokok kayu diterbalikkan atas jalan menuju ke tempat ceramah. Jambatan dirosakkan serta penceramah diugut dengan kekerasan fizikal. Tak cukup dengan itu, gas pemedih mata dari FRU juga biasa menjadi habuan pengunjung ceramah PAS. Orang-orang lama di Besut masih ingat peristiwa gas pemedih mata ketika ceramah di Kampung Keluang, Besut.

Tindakan tak bertamadun pemuda tahan lasak Umno seperti merosakkan bendera dan poster pilihan raya PAS adalah perkara yang sedia dimaklumi semua.

Imam dan Ustaz-Ustaz PAS yang mengajar di surau-surau ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengajar tanpa tauliah. Sedangkan ketika itu adalah suatu yang mustahil bagi Imam atau Ustaz PAS nak dapat tauliah.

Memang lumrah alam, setiap tindakan keras juga akan mengundang reaksi keras walaupun ahli dan penyokong PAS berada di pihak yang lemah lalu menjadi mangsa. Inilah yang dilupakan oleh majoriti yang ghairah menuding jari menyalahkan PAS atas pertembungan keras yang telah berlaku.

Bila PAS yang selama ini menjadi mangsa penindasan dan kezaliman bersedia untuk melakukan anjakan dari politik penuh kebencian kepada politik matang dan sejahtera, ia menggambarkan jiwa besar yang dimiliki oleh pimpinan, ahli serta penyokong PAS. Kita dizalimi dan kita berlapang dada untuk memaafkan dan mengajak orang yang pernah menzalimi kita untuk bersama mencari kesejahteraan bersama Islam. Inilah kehebatan PAS!

Dr Azman Ibrahim
AJK PAS Pusat
31 Julai 2017 - HARAKAHDAILY 31/7/2017

DEWAN Ulamak PAS Negeri Selangor (DUPNS) mendoakan agar semua jemaah haji pada tahun ini beroleh haji yang mabrur. Dalam pada itu, DUPNS ada beberapa pesanan.

1. Jangan lupa untuk melapangkan masa membaca al-Quran. Kalau dapat, biar lebih 3 kali khatam al-Quran sepanjang musim haji. Lapangkan masa, bukan mencari masa lapang.

2. Ambil peluang menghafal surah tertentu seperti Surah Yasin, Surah Sajdah dan Surah Al-Kahfi.
Berada di Mekah/ Madinah selama lebih 40 hari merupakan peluang yang terbaik untuk menghafaz ayat-ayat al-Quran.

3. Peruntukkan masa bagi mengulang kaji terjemahan al-Quran dan memohon hidayah dari Allah.  Kalau ada para asatizah, ajak mereka sama-sama mengepalai tadabbur ayat al-Quran.

4. Apabila berpeluang menziarahi tempat-tempat bersejarah seperti Medan Uhud, tapak perang Ahzab, Gua Hira' dan lain-lain, jadikan ziarah itu sebagai medan bagi menghayati kesusahan dan kesungguhan para sahabat dalam memperjuangkan Islam dan menaruh keazaman untuk bersama dalam perjuangan Islam sekembali ke Malaysia.

5. Apabila selesai tahallul umrah dan haji; dan setelah selesai melontar jamrah; berdoa agar selamat dari tipu daya syaitan dan  berazam menjauhi semua amalan jahiliyyah.

Semoga Allah menerima segala amalan kebajikan kita. Mudah-mudahan beroleh haji yang mabrur.

Ustaz Rizuan Rahmat
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor

PADA kesempatan ini, saya mewakili seluruh saf kepimpinan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengucapkan selamat menunaikan ibadat haji kepada semua umat Islam yang dipilih menjadi tetamu Allah.

haji


لَبَّيْكَ اللَّـهُمَّ لَبَّيْكَ , لَبَّيْكَ لاَشَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ , إنَّ الحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالمُلْكَ لاَشَرِيْكَ لَك

Allah Ta’ala memerintahkan dalam Al-Quran:

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ

“Mengerjakan haji adalah kewajiban manusia terhadap Allah, yaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah; Barangsiapa mengingkari (kewajiban haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam”. (Al Imran: 9)

Alhamdulillah, puji dan syukur ke hadrat Ilahi dengan limpahan nikmat, taufik dan hidayah.

Pada kesempatan ini, saya mewakili seluruh saf kepimpinan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengucapkan selamat menunaikan ibadat haji kepada semua umat Islam yang dipilih menjadi tetamu Allah.

Kami mendoakan agar segala perjalanan ke tanah suci Makkah dipermudahkan, dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang menunaikan amal ibadat serta ambillah peluang dan ruang sepanjang berada di sana untuk bermunajat, memperbanyakkan amalan solat sunat dan melihat kebesaran Maha Pencipta yang terbentang luas. Kutiplah ibrah serta pengalaman bermusafir di sana untuk menjadikan kita sebagai hambaNya yang sentiasa mensyukuri nikmat dan rahmat kasih sayang dariNya serta bersedia untuk berkorban apa saja untuk Allah dan agamaNya.

Peringatan juga kepada seluruh jemaah haji, agar menjaga kesihatan, pemakanan serta ikut arahan dan prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak Lembaga Tabung Haji Malaysia. “Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat."

Akhir kata, saya mengucapkan selamat menunaikan Ibadah Haji kepada semua jemaah haji Malaysia khususnya dan seluruh umat Islam yang terpilih menjadi tetamu Allah tahun ini. Semoga mendapat haji yang mabrur, selamat berangkat dan selamat kembali ke tanah air.

“Muslimat Memacu Kemenangan”

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia

ALHAMDULILLAH berlabuh sudah dengan penuh gemilang Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah (IAPU) di bumi serambi Makkah, Kelantan Darul Naim yang telah berlangsung pada 20 hingga 22 Julai 2017.

Kami daripada Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) merakamkan jutaan terima kasih kepada seluruh yang terlibat khususnya seluruh saf kepimpinan PAS Pusat, kerajaan negeri Kelantan, Jawatankuasa Induk Kelantan, tenaga Jabatan Amal Malaysia, Briged Muslimat Malaysia serta seluruh ummat Islam dari pelosok negara dan dunia yang hadir sama ada sebagai tetamu, petugas, peserta dan mewakili netizen yang cintakan ilmu dan majlis-majlis ilmu.

"Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya." (Surah al Maidah ayat 2)

Syabas dan tahniah kepada seluruh tenaga pelaksana di atas penganjuran program-program yang berlangsung di beberapa buah tempat di Kelantan berlangsung dengan penuh jayanya. Kehadiran yang memberangsangkan serta suasana meriah di setiap program mencerminkan setiap intipati program penuh sarat dengan ilmu, penampilan tokoh-tokoh ulamak dunia, para cendiakawan, asatizah serta pimpinan dari segenap dimensi ilmu memberikan lagi impak yang mendorong orang ramai ke Ijtimak di Kelantan baru-baru ini.

“Barangsiapa yang berusaha melapangkan suatu kesusahan kepada seorang mukmin dari kesusahan-kesusahan dunia, maka Allah akan melapangkannya dari suatu kesusahan di hari kiamat dan barang siapa yang berusaha memberi kemudahan bagi orang yang kesusahan, maka Allah akan memberi kemudahan baginya di dunia dan akhirat. Barang siapa yang berusaha menutupi kejelekan orang Islam, Allah akan menutupi kejelekannya di dunia dan akhirat. Allah selalu membantu hamba-Nya selama hamba itu menolong sesama saudaranya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Semoga segala pengorbanan, penat lelah dan segala dugaan yang menimpa sepanjang sebelum atau semasa program dinilai dan diberi ganjaran pahala oleh Allah s.w.t. Akhir kalam, setinggi ucapan terima kasih sekali lagi kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam Ijtimak 2017. Teruskan perjuangan, teruskan melangkah memartabatkan ilmu dan menjulang Islam di persada dunia!

Pertahankan Kerajaan Islam Kelantan!
“Muslimat Memacu Kemenangan”

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
30 Syawal 1438 / 24 Julai 2017 - HARAKAHDAILY 24/7/2017

SEMPENA penganjuran Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah (Rantau Asia), saya menyeru kepada umat Islam untuk membaca Qunut Nazilah selama seminggu dalam solat mereka bagi mendoakan kebinasaan ke atas Zionis-Negara Haram Yahudi dan sekutunya; serta bagi mendoakan keamanan dan keselamatan bagi Masjid Al-Aqsa dan rakyat Palestin.

Penutupan dan sekatan ke atas Masjid Al-Aqsa oleh Israel sejak minggu lalu yang berlanjutan sehingga sekarang adalah suatu tindakan yang jelas melanggari undang-undang antarabangsa, bertentangan dengan nilai kemanusiaan sejagat dan mencabuli hak kebebasan yang sepatutnya dinikmati oleh setiap orang.

Adalah menjadi hak umat Islam untuk memakmurkan Masjid Al-Aqsa sebagaimana penganut Yahudi membuat upacara keagamaan di dalam synagogue dan penganut Kristian beribadat di dalam gereja dengan aman. Tambah-tambah lagi, Masjid Al-Aqsa dan sekitarnya adalah tapak suci milik umat Islam. Zionis-Negara Haram Yahudi sebenarnya adalah penjajah tanah Palestin yang patut berambus darinya.

”Sejahtera Bersama Islam"

DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Timbalan Pengerusi II
Lajnah Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar PAS Pusat
22 Julai 2017 | 28 Syawal 1438 - HARAKAHDAILY 22/7/2017

NADWAH Ulama yang berlangsung sempena Ijtima Antarabangsa bersambung pada hari kedua dengan pembentangan pertama daripada wakil Jamiat Islami Pakistan, Hafiz Muhammad Idrees. Gerakan Islam yang ditubuhkan oleh Maulana Maududi ini pada tahun 1941 telah mengalami pasang surut perjuangan dengan pelbagai hamparan mehnah dan tribulasi.

Jamiat Islami kini berkembang di lima buah negara Sub Continent, Pakistan mempunyai jumlah keanggotaan paling ramai dan paling tersusun organisasinya berbanding Jamiat Islami Bangladesh, Afghanistan dan lain-lain. Jamiat Islami mempunyai Ittehad ulama yang memayungi ulama daripada pelbagai aliran pemikiran, ini untuk mengelakkan pertembungan yang merugikan ummah dan menjadi bidak papan catur musuh.

Jamiat Islami sangat bergaya dalam menyusun kaderisasi dakwah di kalangan mahasiswa dan kaum pelajar. Cabang mereka ialah Jamiat Islami Thulaba yang mempunyai ratusan ribu kader yang bakal menjadi pimpinan masa hadapan gerakan. Jamiat bergerak dengan cemerlang di lapangan pendidikan dengan mempunyai sekolah beraliran diniah seperti ribuan madrasah yang mereka miliki dan sistem formal/konvensional. Penulis lebih tiga kali ke Pakistan dan menelusuri denyut nadi kesungguhan aktivis Jamiat Islami dalam bidang pendidikan dan tarbiah nizomi. Contohnya di negeri Punjab sahaja mereka mempunyai 500 sekolah milik jamaah.

Dalam bidang pengupayaan dan sosialisasi gerakan, Jamiat Islami mempunyai al-Khidmat Foundation yang bergerak di medan operasi dalam dan luar negara. Menurut Hafiz Muhammad, al Khidmat juga membantu peta luka umat Islam di Syria, Rohingya dan lain-lain negara. Misi membantu umat Islam yang diterjang tsunami, ribut taufan, gempa bumi, banjir dan pelbagai kesukaran hidup. Al khidmat dibantu oleh Pasban, iaitu payung yang menggerakkan anak-anak muda Jamiat Islami. Aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan Jamiat Islami menjadi wahana mendekatkan gerakan ini dengan seluruh strata masyarakat.

Jamiat Islami dalam pendekatan politik juga mempunyai rangkaian pemuafakatan politik yang dikenali sebagai MMA (Muttahida majlis el amal), mereka bergabung dengan beberapa buah parti berorientasikan Islam. Gerakan Islam yang sangat mesra PAS ini mempunyai tokoh-tokoh leluhur kompeten seperti Maulana Maududi, Qazi Husein. Walaupun tekanan rejim, kadang menghantar mereka ke jeriji penjara namun gerakan ini tetap mendapat dukungan massa. Seingat penulis, amat sukar Jamiat Islami gagal  menghadirkan diri ke program besar yang dianjurkan oleh PAS, hubungan yang terbina puluhan tahun ini terus subur dan mekar.

Penulis ialah anggota misi bantuan kemanusian tanpa sempadan.

MENARA Masjid Rusila melantunkan laungan suara yang menggema sehingga beberapa kilometer, berdesakan manusia bertali arus mengunjungi perkampungan ijtimak di Rusila, Terengganu. Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kali pertama pada tahun 1988 menjadi kenangan manis semua pendukung gerakan Islam terutama anak-anak muda yang sedang disemangati dengan kebangkitan Islam. Rusila dengan hamparan pantai yang bersih menjadi lokasi perkhemahan yang sangat meriah. Solat berjemaah dilaksanakan dengan saf yang panjang, bermula di mihrab masjid sehinggalah menganjur ke pantai.

Tokoh-tokoh gerakan Islam antarabangsa menjadi tetamu PAS yang saat itu datang dari pelbagai negara, antaranya pimpinan Ikhwanul Muslimin seperti Saiful Islam Hasan al Banna, Sheikh Mehdi Akif, Sheikh Rashid Turabi (Kashmir) dan lain-lain tokoh gerakan Islam dari sub continent, Nusantara, Asia Tengah. Menarik juga apabila dua tokoh gerakan Islam dari China dan juga Indonesia apabila pulang ke negara masing-masing telah dipenjarakan.

Tahun 1988 adalah tahun yang sangat dramatik apabila Dewan Pemuda PAS Pusat mengadakan pertemuan makan malam perpaduan ummah dengan serpihan Umno yang akhirnya dikenali sebagai Semangat 46. Pertemuan itu merintis jalan ke arah tahaluf siyasi PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah. Pada tahun yang sama satu operasi tangkapan ISA telah berlaku yang dikenali sebagai Operasi Kenari, lebih 30 orang aktivis Pemuda PAS daripada Perak dan Kedah telah ditahan tanpa bicara termasuk Ustaz Sidek Noor.

Ijtimak Alami berlangsung dalam keadaan rejim umat Islam di seluruh dunia sedang menindas gerakan Islam dan tokoh-tokoh mereka. HAMAS ditekan hebat pada tahun tersebut, apabila gerakan perlawanan itu baru sahaja setahun ditubuhkan oleh Sheikh Ahmad Yasin, Muhamad an Najjar, Sheikh Solah Syahadah dan lain-lain para pejuang. Di Tunisia, parti Islam an Nahdah yang dipimpin oleh Rashid Ghanousi diharamkan oleh rejim Habib Bourgiba sehingga tiga ribu anggota terasnya mendekam dalam penjara, manakala Ghanousi mendapat suaka politik di Eropah.

Di Algeria pula, anak-anak muda yang mendapat tarbiah Islam telah menubuhkan Barisan Penyelamat Islam (FIS) pada tahun 1988, antara tokoh-tokoh utama gerakan Islam negara yang digelar tanah sejuta syuhada ini ialah Dr Abasi Madani, Ir Abdul Kader Hachani, Sheikh Ali Benhaj. FIS dengan pantas menjadi fenomena dengan dukungan kelompok kelas menengah yang mendapat kesedaran Islam dan anak muda, dua tahun selepas ditubuhkan mereka memenangi 90 peratus kerusi majlis perbandaran di seluruh Algeria.

Ikhwanul Muslimin dalam dekad 80-an terus menjadi “beg pukul” rejim Mesir yang diketuai oleh Presiden keempat negara itu, Hosni Mubarak. Tangkapan massa pasca pembunuhan Anwar Sadat pada Oktober 1981 masih berbekas pada tahun 1988. Namun ramai tokoh Ikhwan yang mendapat suaka politik, juga berkhidmat sebagai akademisi di luar Mesir, antaranya Sheikh Said Ramadhan.

Menjadi satu dosa kepada rakyat negara Asia Barat untuk mengganggotai gerakan Islam Ikhwanul Muslimin, bahkan akan dihukum bunuh seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara Syria. Bahkan negara berkiblatkan sosialisme Arabisme itu telah menumpahkan darah seramai 42,000 orang di Hamah pada tahun 1982. Libya juga di bawah Muammar Ghadafi mengenakan sekatan kepada perkembangan Ikhwan, pemenjaraan adalah lumrah, bahkan di Iraq yang juga bernuansa Baath, pembunuhan dan penyiksaan seperti mesin darah yang sentiasa mengintai para amilin. Sheikh Abdul Aziz al Badri, ilmuan Ikhwan di Iraq antaranya telah dipotong lidah dalam penjara.

Tahun 1988 juga ialah tahun yang sengit di medan peperangan Afghanistan yang dijajah oleh rejim komunis Russia semenjak tahun 1979. Pelbagai kelompok mujahidin berjuang di tanah gersang itu termasuk Hizbul Islami, Ittehad Islami, Hizbul Mujahidin dan lain-lain lagi. Isu Afghanistan sangat menggugah nurani umat Islam dalam dekad 80-an, bahkan gerakan perlawanan di sana mendapat sokongan yang kuat daripada Jamiat Islami Pakistan. Dalam ijtimak yang pertama pada tahun 1988, kehadiran delegasi dari Afghanistan begitu menguja akal para khalayak dan isu kebangkitan Islam menjadi tema besar umat Islam. Antara tokoh-tokoh besar yang hadir daripada Afghanistan ialah Gulbudin Hekmatiyar, Prof Burhanuddin Rabbani dan pengiring mereka.

Terlalu banyak isu dan tema umat Islam yang dibincangkan dalam Ijtimak Alami kali pertama, pemidato dan ilmuan Islam yang memukau pesona. Berselingan dengan laungan takbir yang penuh semangat daripada ratusan ribu peserta, program mega ini menyimpulkan ukhuwwah dan menghantar isyarat jelas ke dalam nurani yang paling tersembunyi iaitu “kita semua bersaudara”, wajib bahu membahu membentengi Deenullah ini. Jom kita abnaul harakah beramai-ramai ke Ijtimak Antarabangsa kali ini di Kota Bharu yang sarat dengan pelbagai program, tokoh-tokoh tersohor, memintal tali ukhuwwah serta menjana kesedaran rakyat Kelantan untuk mempertahankan pemerintahan kerajaan Islam ini.

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi Lujnah Kesenian dan Kebudayaan PAS Pusat.

ISU global terbaru melibatkan penindasan ke atas umat Islam apabila rejim zionis menutup Masjid Al-Aqsa menimbulkan kemarahan orang ramai. Kezaliman tersebut kini memasuki hari keempat setelah halangan mendirikan solat Jumaat dan beberapa insiden tembakan ke atas penduduk Palestin turut berlaku.

NURIDAH1Kami Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengikuti perkembangan semasa ini dan mengutuk sekeras-kerasnya kerakusan rejim zionis yang sedang berlaku. Penahanan Mufti Baitul Maqdis juga merupakan satu tindakan tidak berperikemanusian zionis.

Kami di sini menegaskan bahawa Masjid Al-Aqsa merupakan tempat ibadah umat Islam, tempat suci hambaNya beribadat. Persepsi buruk zionis ke atas Masjid Al-Aqsa dan umat Islam kini kian melampau dan keterlaluan.

Seruan kami tujukan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, (PBB) dan juga Organization of Islamic Conference (OIC) supaya tindakan tegas menamatkan pergolakan tersebut perlu dirangka secara serius. Sikap berpeluk tubuh dan berlengah-lengah pihak berkuasa akan mengeruhkan lagi keadaan.

Di samping itu, kami DMPM turut menyeru semua umat Islam di seluruh negara khasnya Malaysia untuk sama-sama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan umat Islam di sana. Sebarkan kepada dunia bahawa saudara kita di sana sedang dizalimi.

Ingatlah firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud: "Sekali-kali tidak akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggalah kamu mengikut jalan-jalan hidup mereka." (Al Baqarah: 120)

Sesungguhnya rejim zionis tidak akan pernah berhenti memusuhi umat Islam. Oleh itu, kita sebagai umat Islam wajib bangkit memerangi mereka walaupun dengan sekecil-kecil usaha.

Justeru, kami DMPM menegaskan sekali lagi bahawa kami mengutuk kezaliman ini dan berdoa agar umat Islam di sana terus tabah menempuh ujian ini. Ayuh umat Islam sekalian, kita panjatkan doa dan perbanyakkan doa qunut nazilah memohon pertolongan dari Allah S.W.T yang Maha Kuasa.

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
24 Syawal 1438H / 18 Julai 2017 - HARAKAHDAILY 18/7/2017

SAYA bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dengan berbesar hati mengucapkan tahniah di atas penganjuran Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah (IAPU) 2017 di Kota Bharu pada 20-22 Julai 2017. Ijtimak ini adalah anjuran bersama Kerajaan Negeri Kelantan, Kesatuan Ulamak Islam Sedunia dan PAS.

Pada masa ini, Islam dengan mengalami proses kebangkitan semula setelah hampir 100 tahun kejatuhan khalifah pada 1924. Umat Islam sendiri dibelit oleh isu-isu perpecahan, penularan ideologi moden, serangan pemikiran oleh musuh-musuh pasca penjajahan dan juga usaha-usaha untuk menindas negara umat Islam. Dalaman umat sendiri terpaksa berhadapan dengan masalah kejahilan umat, kepemimpinan yang tidak berpegang dengan al-Quran dan Sunnah, kemiskinan dan penindasan serta perbalahan mazhab dan aliran. Semua ini adalah bertolak daripada hilangnya ukhuwah dan persaudaraan aqidah orang-orang Islam.

Perpaduan adalah jawapan terbaik dalam merungkai semua masalah ini, sekali gus membangunkan semula umat bagi memacu kegemilangan Islam. Atas dasar inilah, PAS menjadi tuan rumah bersama Kerajaan Negeri Kelantan dan Kesatuan Ulamak Islam Sedunia bagi menganjurkan IAPU kali keempat.

Bagi pihak PAS, saya menyeru seluruh umat Islam, khususnya ahli PAS supaya menghadiri ijtimak ini sebagai dukungan ke arah menyatupadukan umat Islam dalam era kebangkitan ini. Jangan ada di kalangan kita yang terlepas daripada menghadiri ijtimak antarabangsa yang julung-julung kalinya kita adakan di Kelantan ini.

Inilah Penyelesaian Kita

HAJI HASHIM JASIN
Mursyidul Am PAS
23 Syawal 1438 / 17 Julai 2017 - HARAKAHDAILY 17/7/2017    

SEBAGAIMANA negara yang zalim akan berakhir dengan keruntuhan, begitulah juga ia boleh berlaku ke atas negara yang adil. Tetapi ia berlaku dengan faktor yang berbeza.

Jika negara yang zalim, keruntuhannya adalah disebabkan oleh kezaliman demi kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah di dalam negara mereka, bagi negara yang adil pula, keruntuhannya boleh berlaku jika rakyat tidak lagi mensyukuri nikmat Allah tersebut.

Negara yang adil adalah nikmat kehidupan. Kesejahteraan hidup rakyat adalah melalui pakatan bersama antara pemerintah dan rakyat. Penguasa akan sentiasa bertanggungjawab terhadap Allah dan amanah yang ditaklifkan, menjaga kepentingan dan maslahat rakyat, lalu rakyat memperteguhkannya melalui sokongan mereka.

Tetapi ada kalanya rakyat mula membelakangi pemerintah dan mula mendengar hasutan daripada kalangan mereka sendiri yang menyebarkan pembohongan dan fitnah ke atas pemerintah. Mereka berjaya menyebarkan ketidakpuasan melalui fitnah dan pembohongan sehingga tidak lagi mensyukuri nikmat keharmonian hidup sedia ada.

Maka terjadilah pemberontakan terhadap pemerintah. Negara yang baik akhirnya runtuh dan berganti dengan negara baru yang terbina di atas kezaliman yang dicipta. Negara ini akan sentiasa di ambang bahaya akibat asas binaannya yang rapuh. Pemerintahnya akan terus menjadikan fitnah sebagai senjatanya mempertahankan kesalahan mereka. Akhirnya ketidakamanan menggantikan keamanan sedia ada.

Rakyat yang membuka telinga terhadap fitnah dan memakan rezeki yang haram (سماعون للكذب اكالون للسحت) adalah satu kemalangan untuk negara. Ia lambang nikmat Allah yang tidak disyukuri. Ia berulang-ulang di dalam sejarah manusia sebagaimana kisah al-Quran mengenai Bani Israel yang tidak mensyukuri nikmat Allah ke atas mereka.

Justeru rakyat sayugialah sentiasa menjunjung kebenaran dan mempertahankannya, sensitif terhadap api fitnah dan bersegera memadamkannya, sentiasa mendengar peringatan daripada al-Quran dan para ulamak serta menasihati dan mendukung pemerintah yang adil.

Kenalilah pemerintah dengan mengenali dan membezakan kebenaran daripada kebatilan. Tiada mungkin kebenaran yang dicampur baur dengan fitnah akan mencetuskan kesejahteraan dan keadilan dalam kehidupan.

"Dan janganlah kamu campur-baurkan kebenaran dengan kebatilan dan kamu menyembunyikan kebenaran sedangkan kamu mengetahuinya." - al ayat

MUTAKHIR ini, Pusat Penyelidikan PAS (PPP) melihat Ahli Parlimen PAS Pokok Sena, Dato Mahfuz Omar, semakin galak menjadi jurucakap PAN dan DAP dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mempertikaikan keputusan pucuk pimpinan PAS. Beliau mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berselindung di bawah nada 'masih sayang kepada PAS' sedangkan tindakannya jelas untuk menyerang PAS. Dengan serangan-serangan tersebut, beliau sebagai MP PAS diyakini tidak lagi akan membawa mesej parti.

PPP juga mendapat maklumat beliau tidak lagi menghadiri program-program penerangan dan penjelasan tentang halatuju dan pendirian parti, sebaliknya terus menerus mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan. Isu-isu yang dibangkitkan olehnya sebenarnya telahpun dijawab di dalam program-program yang dianjurkan oleh parti. Sikap yang ditunjukkan oleh MP Pokok Sena kelihatan sengaja dilakukan untuk menunjukkan hanya pandangan beliau yang tepat berhubung dengan senario terkini politik.

Sehubungan dengan itu, saya selaku Pengarah PPP mencabar beliau berdebat tentang isu-isu yang berkaitan halatuju dan pendirian PAS hari ini, untuk memberi ruang kepada beliau berhujah bahawa keputusan pucuk pimpinan PAS adalah tersasar seperti yang beliau sering nyatakan. Disebabkan isu-isu berkaitan halatuju dan pendirian parti ini banyak berkaitan dengan hal ehwal dalaman parti, debat yang dianjurkan hanya terbuka kepada pimpinan dan ahli PAS. PPP sendiri bersedia menjadi penganjurnya.

Selain daripada PPP, saya juga mengalu-alukan sekiranya agensi parti yang lain khususnya yang berada di bawah Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah menganjurkan debat tersebut, sekiranya Dato Mahfuz lebih selesa dengannya. Debat tersebut diharapkan dapat menjernihkan kecelaruan Dato Mahfuz, jika benar beliau bertindak sebelum ini kerana sayangkan parti. PPP bersedia menjawab dakwaan-dakwaan beliau dalam debat tersebut, dan Dato Mahfuz sewajarnya tidak lagi celupar jika kesemua dakwaan beliau sudah terjawab.

Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah PPP
12 Julai 2017 / 18 Syawal 1438 - HARAKAHDAILY 12/7/2017

1. SABAN hari rakyat semakin terbeban dengan peningkatan kos sara hidup. Pertambahan pendapatan yang sangat perlahan adalah tidak sepadan dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang terlalu ketara.

nasrudin2.    Kerajaan pula dilihat sudah selesa dengan pengiktirafan oleh Economist Intellegence Unit yang menyenaraikan Malaysia sebagai negara dengan kos sara hidup terendah dalam kalangan negara-negara Asean. Sedangkan, kaji selidik itu hanya membandingkan harga barangan dan perkhidmatan di 133 bandar raya di seluruh dunia.

3.    Dua (2) jawatankuasa:

(i) Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Kos Sara Hidup dan

(ii) Jawatankuasa Tertinggi Menangani Kos Sara Hidup

yang ditubuhkan oleh Kerajaan sebelum ini dalam tempoh 2014 hingga 2016 juga dilihat tidak mempunyai peranan yang jelas, perancangan yang strategik dan tindakan yang berkesan sehingga mengakibatkan isu kos sara hidup ini terus membelenggu rakyat di negara ini.

4.    Kerajaan menerusi jawatankuasa yang ditubuhkan ini sepatutnya memberikan penumpuan bagi menangani punca-punca ini. Antaranya ialah dengan :

(a)    Memansuhkan GST dan menggantikannya dengan cukai alternatif lain (seperti Cukai Simpanan Korporat dan Cukai Keuntungan Saham yang dicadangakan oleh PAS) jika negara masih memerlukan cukai.

(b)    Menilai tahap pematuhan syarikat dan perniagaan terhadap peraturan dan undang-undang sedia ada serta mengenakan tindakan kepada pihak yang melanggarinya.

(c)    Menangguhkan semua pelaksanaan rasionalisasi subsidi ke atas barangan utama (seperti bahan api, sumber tenaga dan makanan) sehingga keadaan ekonomi domestik kembali stabil dan rancak.

(d)    Menyelesaikan isu pengangguran dengan menyediakan peluang pekerjaan yang sesuai dengan bidang pengajian graduan negara ini dan mengurangkan pengambilan pekerja asing.

(e)    Menyediakan pelan alternatif bagi menggantikan struktur ekonomi yang terlalu bergantung kepada sektor gas dan petroleum; dan juga cukai serta saman.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
11 Julai 2017 / 17 Syawal 1438 - HARAKAHDAILY 11/7/2017