ALLAH سبحانه وتعالى berfirman,

‎إِنَّآ أَنزَلْنَـٰهُ فِى لَيْلَةِ ٱلْقَدْرِ ﴿١﴾ وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَا لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ ﴿٢﴾ لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ ﴿٣﴾ تَنَزَّلُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ ﴿٤﴾ سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ ٱلْفَجْرِ ﴿٥

“Sesungguhnya KAMI telah turunkan pada malam kemuliaan. Dan, tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan; Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar.” (Surah Al-Qadr: Ayat 1-5)

Seseorang yang melakukan ibadat pada malam Lailatul-Qadar seolah-olah dia sentiasa beribadat selama 83 tahun. Orang yang menghidupkan malam Lailatul-Qadar juga turut diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.

Daripada Aishah r.a telah berkata: “Bahawa Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh akhir Ramadhan, baginda menghidupkan malam (Qiam dan membantu ahli keluarga untuk merebut kebaikan), mengejutkan ahli keluarganya dan mengikat pakaiannya (bersungguh-sungguh dalam beribadat dan melakukan kebaikan).” (Muttafaqun alaih)

Martabat yang tertinggi dalam menghidupkan malam Lailatul-Qadar adalah dengan pelbagai ibadat sepanjang malam, seperti memohon ampun kepada ALLAH سبحانه وتعالى, melakukan solat-solat sunat, membaca Al-Quran dan berdoa.

Dengan tegas Rasulullah SAW bersabda:

‎عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ. (رواه البخاري

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi SAW sabdanya: “Sesiapa menghayati malam Lailatul Qadar dengan mengerjakan solat (dan pelbagai jenis ibadat yang lain), sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah سبحانه وتعالى , nescaya diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadith Riwayat Bukhari r.a.)

Sedar tak sedar kita telah masuk ke-10 malam akhir Ramadhan. Sungguh masa berlalu begitu pantas tanpa mengenal usia, pangkat, darjat dan sesiapa sahaja. Moga kita antara insan yang sentiasa memanfaatkan masa demi untuk redhaNya, kerja-kerja dakwah serta segala urusan yang menuju kebaikan insyaallah.

Usah dikenang Ramadhan yang telah berlalu pergi, teruslah melangkah melihat dan mengisi baki Ramadhan yang akan datang ini dengan segala kenikmatan, pahala yang berganda yang telah dijanjikan oleh Allah. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Ayuh, semua muslimin muslimat walau di mana anda berada, terus bermunajat memohon kemaafan dariNya, terus menyumbang sedekah amal jariah, terus menginfakkan tenaga masa dan wang ringgit dalam bulan yang penuh berkat ini. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas segala amalan yang diberikan.

Jangan lupa doakan juga buat seluruh umat Islam di seluruh dunia yang tertindas, ditindas, yang ditimpa ujian yang sungguh berat ke atas keluarga mereka. Sesungguhnya ujian dan dugaan itu buat insan-insan yang terpilih dan yang mampu mengharungi segala rintangan.

Selamat menuai pahala di bulan Ramadhan mubarak! Insyaallah Allah tunaikan di akhirat kelak!! Amin.

“Muslimat Memacu Kemenangan”

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
20 Ramadhan 1438 / 15 Jun 2017

KEHIDUPAN di dunia ini adalah satu perjalanan menuju ke alam akhirat. Umpama seorang musafir di tengah padang pasir gersang menuju ke destinasinya, tiba-tiba bertemu dengan satu kebun yang begitu subur. Penuh dengan mata air, buah-buahan, sayur-sayuran dan segala macam keperluan yang diperlukan oleh seorang musafir untuk meneruskan perjalanannya.

Kebun ini mempunyai dua pintu; satu di hadapan dan satu di belakang. Di depan pintu masuk, pemiliknya berdiri sambil mengalu-alukan si musafir: "Silalah masuk... ambillah apa yang kamu nak ambil untuk keperluan kamu. Ini pintu masuk dan di hujung sana pintu keluar ".

Begitulah perumpamaan bulan Ramadhan yang mulia ini. Ramadhan ialah kebun pahala kepada manusia yang sedang bermusafir ke alam akhirat yang kekal abadi. Pemilik Ramadhan ialah Allah yang mengalu-alukan hamba-hamba-Nya yang beriman untuk merebut kelebihan pahala di bulan yang mulia ini.

Kita sekarang berada 10 hari terakhir daripada bulan Ramadhan. Ianya adalah kemuncak kepada umat Islam untuk meningkatkan amal ibadah mereka kepada Allah. Terdapat padanya satu malam jika dilaksanakan ibadah, maka pahalanya sama dengan seribu bulan atau 83 tahun.

Kadang-kadang kita umat hari ini merasa irihati dengan umat-umat zaman dahulu kerana mereka dikurniakan oleh Allah dengan umur yang panjang. Bagi kita umat ini, umurnya sekitar 60 tahun sahaja, bahkan di zaman ini berapa ramai yang mati seawal usia remaja dan muda kerana penyakit, kemalangan dan bencana alam.

Umat zaman dahulu umur mereka panjang, contohnya umat Nabi Nuh a.s yang dikurniakan umur ratusan bahkan ribuan tahun. Kita berfikir alangkah beruntungnya mereka kerana mempunyai masa yang panjang untuk melakukan ibadah kepada Allah.

Akan tetapi Allah itu Maha Adil khususnya kepada umat Nabi Muhammad SAW yang menjadi semulia-mulia umat yang dikeluarkan kepada manusia. Allah mengurniakan kepada umat ini masa-masa, hari-hari, bulan-bulan dan malam yang dilipat kali gandakan pahalanya di sisi Allah. Sudah tentulah kemuncaknya ialah Malam Qadar yang disebut kelebihannya oleh Allah khusus di dalam surah al-Qadr.

Pada 10 malam yang terakhir ini Rasulullah SAW adalah contoh dan teladan yang terbaik. Baginda adalah manusia yang paling banyak mendekatkan diri kepada Allah pada malam-malam ini walaupun Baginda adalah Nabi yang maksum dari segala dosa.

Bermujahadah mencari Malam Qadar bukan bersungguh-sungguh mencari tanda-tanda pelik yang berlaku pada malamnya seperti pokok kelapa tunduk ke bumi sebagaimana difahami oleh segelintir masyarakat. Hanya mencari tanda-tandanya, tetapi tidak menghidupkannya dengan amal ibadah, maka tidak ada guna. Maksud mencarinya ialah dengan dihidupkan amal-ibadah kepada Allah, barulah memperoleh fadhilatnya.

Saya tertarik dengan pesanan Imam Masjid Al-Haram, Syeikh Mahir al-Mu'aiqili kepada umat Islam. Kata beliau, umat Islam paling kurang mestilah melakukan tiga perkara pada setiap malam 10 yang terakhir ini.

Pertama; solat sunat dua rakaat, kerana jika bertepatan dengan Malam Qadar, maka pahalanya sama seperti solat 83 tahun.

Kedua; menderma satu riyal/ringgit, kerana jika bertepatan dengan Malam Qadar, maka pahalanya sama seperti menderma 83 tahun.

Dan yang ketiganya ialah membaca surah al-Ikhlas sebanyak tiga kali, pahala membacanya sekali sama seperti membaca satu pertiga Al-Quran, kalau dibaca tiga kali, maka pahalanya sama seperti membaca seluruh Al-Quran.

Ayuh anak muda sekalian kita sama-sama bermujahadah mencari malam yang mulia untuk memperolehi fadhilatnya yang sangat besar ini.

'Pintu' keluar Ramadhan sudah hampir dengan kita. Rebutlah peluang beribadah untuk mengumpulkan pahala sebanyak mungkin. Jadikanlah bulan Ramadhan pada kali ini Ramadhan terakhir yang akan meninggalkan kita selama-lamanya, kerana kita tidak mengetahui adakah kita sempat dengan Ramadhan pada tahun akan datang ataupun tidak.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
20 Ramadhan 1438 / 15 Jun 2017

 1. KEBANGKITAN ummat Islam untuk melihat tegaknya keadilan, keamanan dan kesejahteraan bersama Islam terus marak di bumi bertuah ini. Meskipun di satu sudut, kedengaran suara nakal yang mengganggu perjuangan ini, namun tidaklah mampu menghalang kemaraannya.

2. PAS yang menjadi tonggak kebangkitan ummah, terus meredah cabaran angkara petualang dan menongkah arus liberalisasi. Negara pernah menyaksikan gelombang hijau semarak FASTAQIM di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu Kelantan pada 17 Oktober 2015, ketika bangkit dari kejutan pasca pengkhianatan G18.  

3. Kini gelombang dijangka lebih besar bakal melanda negara. Membentuk Tsunami Hijau mengangkat kemuliaan ummah dan mempersada kesejahteraan bersama Islam.

4. FASTAQIM 2.0, Insyaallah akan menjulang panji kebangkitan dan menobatkan maruah ummah bersama perjuangan Islam. Memintas segala percubaan untuk menghina, memperkecil, menentang dan menolak perjuangan Islam, justeru HIMPUNAN FASTAQIM 2.0 diumumkan tarikh dan tempatnya iaitu:

Program: FASTAQIM 2.0
Tarikh: 30 September 2017
Hari: Sabtu
Masa: 8.00 am - 11.55 pm
Tempat: Terengganu Darul Iman
(spesifik area akan dimaklumkan kemudian)

fastaqim25. Tanda dalam diari masing-masing dengan Artline Permanent Marker Pen bahawa 30 September 2017 adalah hari gelombang hijau FASTAQIM 2.0.

Nasrudin Hassan
Pengerusi Fastaqim 2.0

1. SUATU hal yang mesti juga diinsafi daripada kemelut ketengangan antara Arab Saudi, UAE dan Bahrain dengan Qatar ialah takrif keganasan itu sendiri.

2. Negara-negara Teluk terbabit dilihat bermudah-mudahan dalam menghukum Qatar dan Al-Qardhawi sebagai menyokong dan melakukan perbuatan keganasan.

3. Secara jelas juga, negara-negara tersebut tunduk kepada kemahuan Amerika Syarikat dalam memelihara pengaruh kuasanya dan kepentingan Israel daripada sebarang ancaman sehingga sanggup menggadaikan hak dan tanggungjawab terhadap sesama negara umat Islam.

4. Malaysia seharusnya mengambil pengajaran daripada insiden tidak bermaruah yang dilakukan oleh negara-negara Arab ini dengan memberikan suatu takrif yang tepat menurut perspektif Islam dan nilai-nilai segajat mengenai kegaganasan.

5. Ketepatan takrif ini adalah mustahak bagi memastikan Malaysia dapat menetapkan pendirian dan sikap berkaitan urusan dalam negeri dan dasar luar secara lebih berkesan bagi menangani isu ini.

6. Malaysia tidak boleh terpengaruh dengan intipati keganasan dalam faham Barat iaitu ancaman ‘daripada’ agama; dengan seringkali menjadikan agama Islam sebagai mangsa. Sedangkan, mereka pula bebas memberikan ancaman ‘kepada’ agama Islam tanpa melihatnya sebagai satu bentuk ‘keganasan’.

7. Saya tidak menafikan bahawa sudah terdapat huraian mengenai perbuatan keganasan dalam Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Keganasan. Namun, saya berpandangan bahawa takrif keganasan itu sendiri masih tidak jelas dan terdedah kepada manipulasi.

8. Saya menggesa Kerajaan terutamanya Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar Negeri agar membuat semakan semula terhadap takrif keganasan ini dan mencadangkan agar Majlis Fatwa Kebangsaan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) segera bermuzakarah dan membuat ketetapan terhadap takrif keganasan ini.

”Sejahtera Bersama Islam”

YB. DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
14 Jun 2017 | 19 Ramadan 1438 - HARAKAHDAILY 14/6/2017

ISLAM adalah satu-satunya agama yang mempertegaskan hubungan langsung di antara Allah dan makhluk-Nya. Tiada perantaraan, bahkan perantaraan adalah syirik sepenuhnya. Syirik pula adalah kekufuran yang nyata.

Agama-agama lain gagal mempertegaskan ini. Di antara Allah yang esa dengan makhluk-Nya (manusia) adalah orang-orang tengah atau perantaraan; tokong, berhala, api, matahari, anak tuhan dan sebagainya. Agama-agama lain mempromosikan kesyirikan yang nyata yang pastinya menjemput kemurkaan Allah yang besar.

Mengapa berlaku demikian?

Pertama, kerana mereka menolak para nabi alaihimussalam atau enggan menerima ajaran mereka dengan sempurna, malah mempermainkan dan meminda ajaran nabi-nabi mereka dengan sengaja dan tanpa rasa takut. Allah lalu menggelapkan hati mereka dan menghukum mereka dengan azab dunia yang dahsyat iaitu laknat daripada-Nya. Laknat ialah dijauhkan daripada rahmat-Nya. Rahmat yang paling utama ialah merasa dekat dan langsung dengan Allah.

Penganut agama selain Islam dihukum dengan perasaan jauhnya mereka daripada Allah. Justeru mereka menyembah tuhan-tuhan selain-Nya sebagai penyambung dan perantaraan antara mereka dan Allah yang esa. Kerana rasa jauh, mereka tidak takut untuk terus melakukan dosa dan maksiat. Malah mereka dihukum dengan cinta palsu terhadap tuhan-tuhan ciptaan sendiri.

Kedua, kerana ia anugerah istimewa Allah kepada hamba-hamba-Nya yang beriman kepada ajaran para nabi dan rasul. Hanya agama Islam dan hanya orang yang beriman sahaja yang dianugerahi rasa dekat dan langsung dengan Allah yang menciptakan mereka.

Hubungan langsung tanpa perantaraan itu menjadikan orang-orang yang beriman begitu khusyuk dengan rasa cinta, takut dan bersyukur dengan nikmat Allah yang nyata ke atas mereka. Dengan akidah tauhid, hati mereka menjadi bersih. Dengan hati yang bersih, rasa dekat dengan Allah semakin menjadi-menjadi dan penuh kerinduan dan kesyahduan.

Ibadah puasa menjanjikan hati yang semakin bersih dan bersinar dengan iman dan tauhid. Hasilnya adalah menakjubkan. Jiwa meronta-ronta ingin mendekati Allah.

Lihat, ketika kita membaca ayat-ayat berkaitan kefardhuan ibadah puasa (al Baqarah: 183-187), Allah mencelah dengan firman-Nya:
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepada-mu (wahai Muhammad), maka (jawablah) sesungguhnya Aku amat dekat (kepada mereka), Aku menjawab seruan orang yang menyeru saat dia menyeru-Ku.." al Baqarah:186

Beruntunglah mereka yang dibersihkan hati mereka dengan kesempurnaan ibadah puasa dan solat dengan anugerah cinta dan dekat dengan Allah.

1) SYARIKAT penerbangan AirAsia mengumumkan penggunaan hijab kepada semua juruterbang wanita mereka setelah melancarkan kerjasama khas dengan jenama hijab terkemuka, Naelofar Hijab. Kerjasama tersebut mengesahkan Naelofar Hijab akan menjadi tudung rasmi pilot semasa menjalankan tugas.

2) Kenyataan terbaru memutuskan bahawa juruterbang wanita muslim dari sektor AirAsia X akan memakai putih Naelofar Hijab yang khusus untuk memenuhi keperluan hari kerja mereka bermula bulan ini, Jun 2017.

nuridah3) Kami Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengikuti perkembangan ini dan mengucapkan jutaan tahniah kepada pihak penerbangan AirAsia atas usaha ini. Sesungguhnya ia merupakan satu kejayaan yang perlu dibanggakan dan dicontohi.

4) Allah S.W.T jelas memerintahkan hambaNya menutup aurat walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Hal ini jelas berdasarkan firmanNya dalam Surah An Nur ayat 31 yang bermaksud: "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."

5. Usaha murni ini juga disarankan kepada pemakaian baju seragam pramugari. Ukuran dan rekabentuk uniform perlu mengikut ciri yang mengikut syarak iaitu tidak terlalu ketat, tidak jarang serta kain tidak nipis dan sesuai perlu dititiberatkan agar pemakai akan kelihatan anggun dan bergaya menampilkan ciri ketimuran mengikut acuan Islam sekali gus membawa nama Islam ke persada dunia.

6. Justeru, kami mendoakan semoga usaha ini dipermudahkan dan mendapat sokongan dari semua. Marilah sama-sama kita mengamalkan syariat Islam sebenar sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. Semoga pekerjaan kita semua penuh keberkatan. Tahniah AirAsia!

“Sejahtera Bersama Islam”
“Muslimat Memacu Kemenangan”

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
17 Ramadan 1438 | 12 Jun 2017 - HARAKAHDAILY 12/6/2017

SEJARAH ringkas penemuan minyak di Borneo khususnya di Sarawak yang perlu diketahui sebelum ia digunakan secara komersial. Pada bulan Julai 1882, Residen British di daerah Baram telah mencatatkan penemuan minyak.
 
Beliau mencatatkan penduduk Melayu tempatan menggunakan minyak untuk tujuan perubatan dan untuk menghidupkan lampu minyak serta campuran damar untuk menampal bot atau sampan.
 
Pada tahun 1909, syarikat minyak, iaitu Anglo-Saxon syarikat asal kepada syarikat Sarawak Shell Berhad hari ini telah diberi hak untuk mengeksploitasi sumber petroleum di seluruh negeri ini.
 
Pada Ogos 1910, minyak ditemui di perkampungan Miri di atas bukit yang dikenali sebagai bukit Kanada hari ini. Pada mulanya, sebanyak 8 tong minyak sehari telah dihasilkan. Miri boleh dianggap sebagai permulaan industri petroleum komersial di Borneo sebelum merdeka.
 
Sebelum ianya dikomersialkan penduduk tempatan pada masa itu bebas menggunakannya sebagai bahan untuk kegunaan harian seperti untuk menyala api, perubatan dan menampal bot dan lain-lain.
 
Selepas berdekad-dekad ia telah dikomersilkan oleh syarikat-syarikat asing dan juga di bawah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) maka sudah tiba masanya untuk kerajaan negeri menubuhkan syarikat sendiri untuk meneroka hasil minyak dan gas untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
 
Kita menyokong penuh hasrat kerajaan Sarawak untuk menubuh syarikat minyak dan gas sendiri tapi pasti ianya bebas dari pengaruh mana-mana parti politik pemerintah dan ianya memberi manfaat kepada penduduk tempatan.
 
Pastikan bahawa ahli-ahli politik tidak mengganggu dan mencampuri urusan syarikat minyak dan gas kerana ia perlu diuruskan oleh golongan profesional dan pakar dalam bidang cari gali minyak dan gas. Ramai anak-anak tempatan yang boleh mengurus dan melaksanakan tugas yang berkaitan dalam bidang minyak dan gas ini tanpa terlalu bergantung dengan orang asing.
 
Kerajaan hanyalah memantau syarikat dan bukannya campur tangan dalam hal ehwal syarikat sehingga menjejaskan urusan syarikat. Apabila ada orang yang mempunyai kepentingan campur tangan dalam syarikat tidak syak lagi akan berlaku penyalahgunaan kuasa dan ketirisan yang akhirnya merugikan rakyat.
 
Sarawak mempunyai hak untuk mempunyai syarikat minyak dan gas sendiri untuk memberi faedah kepada orang-orang yang memerlukan pekerjaan dan ia juga boleh menyumbang kepada pembangunan Sarawak. Kami berharap apabila ia berjaya nanti, janganlah Ali Baba syarikat kerajaan kepada orang asing untuk mengawalnya. Beri keutamaan kepada rakyat tempatan menguasainya dan bebas dari campur tangan asing.
 
Jofri Jaraiee
Pesuruhjaya PAS Sarawak

BULAN Ramadhan kini memasuki fasa separuh terakhir. Umat Islam yang sedang menikmati kemanisan ibadah berpuasa mula bersiap sedia untuk memulakan perlumbaan mengejar (taharri) malam Lailatul Qadr yang penuh keberkatan dan ketinggian. Kehangatan ibadah kian memuncak.

Tetapi tidak semua akan menikmati malam-malam terakhir bulan Ramadhan. Sebahagian kita umat Islam memilih untuk menyibukkan diri dengan persediaan menyambut hari raya yang berlebihan sehingga mengganggu konsentrasi beribadah pada hujung bulan Ramadhan ini.

Ia mengecewakan. Tetapi demikianlah Allah memilih daripada kalangan para hamba-Nya orang-orang terpilih yang dikehendaki-Nya menuju gerbang Lailatul Qadr yang gilang gemilang janji-janji-Nya. Justeru adalah sayugia untuk kita terus memperelokkan amalan ibadah kita dari sekarang agar dapatlah menarik kasih sayang Allah untuk merahmati dan memilih kita juga.

Jika kita meneliti petunjuk nas dan amalan Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam sepanjang bulan Ramadhan, kita pasti menemukan beberapa amalan mesti yang berjaya membina bulan Ramadhan kita dengan sempurna. Akan lahir daripada satu amalan tertentu amalan-amalan lain yang lebih bertenanga dan menyemarakkan lagi suasana beramal pada bulan mulia ini. Malah kegagalan melaksanakan ibadah dengan berpetunjuk akan menyebabkan lemahnya kesan Ramadhan dalam kehidupan seseorang itu.

Ada 3 amalan ibadah utama yang kemudiannya menghasilkan 3 amalan ibadah utama yang lain. Dengan gandingan 6 amalan utama ini, hampir-hampir bulan Ramadhan telah memberikan dan mencurahkan segala kelebihannya untuk kita.

Amalan pertama ialah membaiki dan memperelokkan ibadah solat lima waktu. Inilah yang paling utama. Ibadah puasa dan selainnya yang tidak diperkukuhkan dengan solat lima waktu adalah sia-sia. Ia langsung gagal mencetuskan ketaqwaan. Bahkan sebahagian ulamak berpendapat bahawa tiada puasa (batal) bagi orang yang meninggalkan solat lima waktu.

Solat lima waktu adalah pintu utama menuju Allah. Ia adalah pembuka hijab yang memisahkan alam syahadah atau nyata daripada alam ghaib yang jauh lebih agung. Dengan solat lima waktu umat Islam tidak lalai daripada mengingati Allah, seterusnya mencetus rasa takut dan syukur kepada-Nya.

Oleh kerana ibadah solat lima waktu menuntut kekhusyukan dan hati yang tidak lalai, ia kadang-kadang gagal memberi kesan maksimum kepada pendirinya. Ramai yang mendirikannya sambil lewa dan dengan rasa malas. Justeru solat lima waktu tersebut gagal membangunkan kehidupan nurani seseorang muslim akibat binaannya yang rapuh dan rosak.

Bulan Ramadhan hadir ibarat bengkel 'workshop' bagi memulih dan membina kembali solat lima waktu. Suasana cinta Allah yang dicetuskan oleh bulan Ramadhan mestilah digunakan sepenuhnya oleh setiap kita untuk memperelokkan kembali nilai dan mutu solat lima waktu kita.

Disyariatkan solat tarawih dan qiamul-lail adalah bagi menambahkan lagi keseronokan beribadah melalui solat. Apabila kecintaan kepada solat terbina, maka kesungguhan untuk mendirikan dan menjaga solat lima waktu akan lebih diutamakan kerana ibadah yang fardhu adalah lebih disukai Allah daripada solat-solat sunat walaupun banyak.

Amalan kedua adalah menunaikan ibadah puasa dengan sempurna. Ia bukan puasa awam yang sekadar menahan diri daripada makan minum dan hubungan seks suami isteri yang membatalkan puasa. Bahkan ibadah puasa yang disyarakkan adalah menahan seluruh anggota tubuh daripada perkara-perkara yang terlarang selain melakukan ketaatan kepada Allah.

Ia adalah puasa perut bersama puasa mata, telinga, lidah, tangan dan seluruh anggota tubuh. Malah ia memuncak dengan puasa hati daripada mengingati selain Allah. Ertinya, ia adalah mujahadah yang besar dan berterusan. Memasuki tangga-tangga mujahadah ini adalah petunjuk nabi dan perlaksanaan beramai-ramai oleh para sahabat dan para ulamak yang datang selepas mereka.

Adalah sayugia diingatkan dengan adab-adab berpuasa seperti bersahur sebelum subuh, bersegera dengan iftor sebaik azan maghrib, solat berjamaah di masjid dan lidah yang basah dengan zikrullah.

Amalan ketiga adalah membaca atau tadarus al Quran pada siang dan malamnya. Adalah bagus sekali jika dapat khatam al Quran di sepanjang bulan Ramadhan samada sekali atau berkali-kali.

Bulan Ramadhan adalah bulan al Quran. Al Quran telah diturunkan pada bulan Ramadhan. Lailatul Qadr yang menjadi sasaran utama pemburuan pada bulan penuh berkat ini adalah sempena penurunan al Quran kepada nabi Muhammad dan umatnya.

Justeru al Quran mestilah diraikan dengan sebaik-baik cara iaitu dengan berpuasa, membaca al Quran, tadarus, memahami dan mengamalkannya. Jibril turun khusus di bulan yang mulia ini bukan semata-mata untuk membawa wahyu baru, bahkan untuk bersama nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam bertadarus al Quran.

Inilah tiga amalan ibadah besar yang menjadi perlumbaan generasi awal Islam.

Dengan tiga ini, hati mukmin menjadi bersih dan bercahaya dengan taqwa dan syukur. Hati yang bersih inilah yang akhirnya melonjakkan setiap mukmin yang berpuasa untuk terus melakukan ibadah-ibadah yang lain dengan penuh kesedaran dan keinsafan.

Ada tiga amalan ibadah besar yang terhasil dari jiwa yang bersih kesan daripada tiga amalan besar di atas;

Pertama adalah zikrullah atau mengingati Allah. Zikrullah adalah hasil langsung daripada ibadah solat, puasa dan membaca al Quran. Ia inti kepada ketiga-tiga ibadah tadi. Dengan zikrillah, manusia akan takut kepada Allah dan mensyukuriNaya. Di situlah terciptanya ketenangan hidup.

Pada sepanjang bulan Ramadhan, hati dan lidah orang mukmin akan sentiasa basah dengan zikrillah. Ia memuhasabah dan memuraqabah dirinya agar insaf dan bersegera dengan istighfar dan taubat.

Kedua adalah amalan bersedekah. Ibadah puasa memberi kesedaran yang tinggi kepada setiap mukmin terhadap nikmat dan rezeki kurniaan Allah ke atasnya. Dia melihat kelebihan nikmat Allah ke atasnya berbanding manusia lain yang dirundung kesempitan. Kesedaran itu mencetuskan kekuatan untuknya memecahkan rantai kedekut dan sombong yang menyekat dirinya daripada menyumbang dan berbakti.

Bulan puasa adalah bulan sedekah. Orang mukmin berlumba-lumba dengan sifat budiman dan pemurah untuk menderma dan memberi makanan kepada orang-orang miskin dan yang memerlukan. Amalan sedekah menarik kasih sayang dan bantu membantu sesama masyarakat. Maka bulan Ramadhan adalah juga bulan kesatuan umat.

Ketiga adalah dakwah dan jihad fi sabiliLlah. Ia adalah kemuncak kesedaran kesan daripada ibadah solat, puasa dan tadarus. Cahaya hidayat yang memasuki jiwa seseorang muslim dan kemanisan bersama kebenaran hakiki yang dirasainya sepanjang madrasah Ramadhan telah menggoncang jiwanya untuk bangkit menyeru saudaranya yang lain agar kembali kepada Allah.

Dia enggan lagi membiarkan ahli keluarga dan masyarakatnya terus hanyut dengan keseronokan dunia yang sementara dan penuh tipu daya. Dia terus bangkit dengan dakwah dan jihad. Bulan Ramadhan adalah bulan dakwah dan jihad fi sabilillah.

Begitulah bulan Ramadhan yang mulia berjaya membangunkan umat Islam dengan nilai-nilai murni dalam diri dan amalan-amalan besar yang membangunkan kehidupan manusia menuju kesejahteraan hidup dengan redha Allah.

KETIKA ummat Islam sedang berhadapan dengan pelbagai ancaman untuk melemahkan ummah, jauhilah kita dari perkara dalaman yang merenggangkan ukhuwwah serta merosakkan kesatuan sesama saudara seaqidah.

Di Malaysia, ancaman kristianisasi tengah melata mencari mangsa dan di pentas dunia, zionis bersama kuasa barat sedang mencatur dengan penuh bernafsu untuk meratah ummat Islam seumpama mengadap hidangan yang lazat.

Usah dijadikan soal khilafiah sebagai alasan untuk label melabel dan saling menuduh. Berbalah dalam soal khilafiah tak akan selesai sampai kiamat. Kenapa akhlak ulama-ulama silam yang saling meraikan perbezaan pendapat dan pandangan dalam perkara furu' sudah semakin pupus.

Dari sikap berlapang dada ulama terdahulu, sekarang muncul pula ulama segera yang suka mendabik dada bahawa pendapat akulah yang terbaik. Berbeza pendapat dengan aku, kamu mesti dilabel!

Saya respect dengan semangat untuk berhujah dan menegakkan pendapat masing-masing. Sayangnya semangat ini disalurkan pada tempat yang salah. Dalam masa yang sama, kemungkaran serta penyelewengan yang jelas di depan mata serta tidak ada khilaf padanya, boleh pula didiamkan malah bersekongkol mempertahankan tuan besar mereka yang korup.

Atas alasan kononnya nak jaga kemurnian aqidah, kamu terjebak pula dalam dosa memecahbelahkan serta mewujudkan perbalahan dalam masyarakat seaqidah. Beginikah yang kita mahu?

Di Iraq saya pernah tengok saf sembahyang yang putus di tengah kerana perbalahan wahabi dan sufi. Ketika nak sembah Allah, masih sempat lagi berbalah! Bila saya pergi memenuhi ruang saf yang kosong, kita pula yang dimarahi.

Sentimen perbezaan mazhab dalam perkara khilaf telah dimanipulasikan oleh musuh untuk memecahkan kesatuan lalu merenggangkan antara hati-hati kita. Kenapa kita terlalu naif untuk masuk perangkap musuh?

Dr Azman Ibrahim
10 Jun 2017 - HARAKAHDAILY 10/6/2017

Dia bertanya, "Bagaimana PAS boleh mensasarkan kemenangan 40 kerusi parlimen pada PRU14 nanti? Ia hampir mustahil dicapai akibat perpecahan barisan pembangkang. Tidakkah ini akan memalukan PAS nanti jika kalah kerana terlalu berangan-angan?

Saya menjawab, "Malu? Bagaimana pula jika PAS menang 50 kerusi nanti?"

Saya tambah, "PAS jika kalah PRU14 akan terus mensasarkan untuk PRU15 nanti sehingga 60 kerusi parlimen. Saya jangka begitu."

Dia bertanya dan dahinya berkerut, "Mengapa begitu pula?"

Saya syarahkan, "PAS berjuang bukan berpenamat pada PRU14 atau mana-mana PRU akan datang. Hujung perjuangan Allah-lah pemegangnya. PAS bergerak menuju hujung itu. Kemenangan PAS adalah apabila ia terus bergerak dan istiqamah.

Motivasi PAS adalah dakwah dan janji kemenangan daripada-Nya. Setiap kali kita mencapai maksud dakwah, setiap kali itulah pintu kemenangan semakin terbuka di hadapan. Ia terbuka di mana-mana dan bukan PAS yang membukanya. Allah membukanya dengan kehendak dan kemahuan-Nya.

Lihat sahaja Islam hari ini di Malaysia. Islam yang syumul dan sempurna semakin diterima oleh masyarakat. PAS semakin diterima sebagai abang besar dunia dakwah. Sebabnya PAS semakin membina dirinya sendiri agar lebih diterima oleh semua.

Yang menolak PAS ialah yang menerima musuh PAS. Musuh PAS ialah musuh Islam. Itu bukan pelik. Pelik adalah sebaliknya.

Pilihan raya adalah penyukat semasa pasang surut ombak dakwah. Ombak akan terus berombak tanpa malu menghempas pantai. Sampai masanya ia pasti mengubah pantai itu.

Justeru setiap hari adalah kemenangan yang sedang terbuka buat Islam. Tiada lagi sasaran bawah 40 kerusi insya Allah."

Dia mengangguk. Faham.

SADDAM  bukan seorang pemimpin Islamik. Tapi dia sangat mengambil berat tentang Palestin. Ketika Perang Teluk 1990, peluru berpandu Iraq, Abbas dan Hussein telah sampai ke jantung Tel Aviv.

Selepas Perang Teluk, orang Palestin yang menjadi pelarian di Kuwait telah dihalau keluar dari Kuwait. Saddam menerima mereka untuk tinggal di Iraq. Ada di kalangan orang Palestin yang dihalau dari Kuwait dan menetap di Iraq menjadi teman sekelas saya di University Baghdad.

Isu Palestin sentiasa meniti di bibir Saddam dalam ucapan-ucapan beliau. Sekarang Saddam telah tiada...

Muamar Gaddafi juga antara pemimpin yang mengambil berat tentang ummat Islam yang ditindas termasuk Palestin. Saya pergi ke Selatan Fiilipina. Nama Gaddafi disebut di sana sebagai pemimpin yang banyak membantu ummat Islam yang tertindas di Selatan Philipina. Sekarang Gaddafi telah tiada...

Dr Mohamad Morsi telah membuka seluas-luasnya sempadan Mesir-Gaza untuk membolehkan bantuan dihantar ke Gaza ketika era pemerintahan singkat beliau. Malah Morsi pernah menyebut dalam ucapannya bahawa kita akan membebaskan Palestin dan solat di Masjidil Aqsa. Sekarang Morsi sedang dipenjara.

Qatar adalah negara penyumbang terbesar dana pembangunan semula Palestin yang dimusnahkan Israel. Sekarang Qatar sedang cuba dipencilkan...

Cubalah kita lihat dan fahami dengan mata hati krisis yang berlaku ini.

Penuis ialah AJK Kerja PAS Pusat.

SERANGAN di Kota London baru-baru ini yang telah mengorbankan 7 orang awam serta mencederakan puluhan yang lain adalah dikutuk. Serangan itu merupakan serangan kedua dalam tempoh kurang dari sebulan.

Serangan pertama adalah pada 22 Mei lepas di Manchester yang mengorbankan 22 orang.

Islam adalah agama keamanan yang menentang segala bentuk keganasan dan melarang pembunuhan orang awam.

Maka, serangan di Kota London itu jelas menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar.

Malah di dalam peperangan, wanita, kanak-kanak dan paderi tidak boleh dibunuh atau dicederakan. Rumah-rumah ibadat seperti gereja dan kuil juga tidak boleh dirobohkan. Tumbuh-tumbuhan tidak boleh dimusnahkan.

Dengan itu, masyarakat dunia diseru agar tidak terpengaruh untuk mengaitkan Islam dengan serangan-serangan seperti yang telah berlaku di London dan Manchester kerana ia tidak melambangkan Islam yang sebenar.

Islam adalah agama yang cintakan keamanan, keharmonian dan perpaduan.

Di Malaysia, PAS memilih wadah 'Muwajahah Silmiyyah' iaitu pendekatan keamanan melalui pilihan raya. PAS menolak sama sekali sebarang unsur-unsur kekerasan, ekstremis dan perkauman.

YB Dato' Iskandar Abdul Samad
Naib Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
11 Ramadan 1438H | 6 Jun 2017 - HARAKAHDAILY 6/6/2017