DUNIA Islam dikejutkan dengan keputusan empat buah negara Teluk Arab iaitu Arab Saudi, United Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir untuk memutuskan hubungan dengan Qatar dengan alasan negara teluk kecil ini masuk campur dalam urusan dalaman dan menyokong gerakan keganasan. Ini diikuti pula oleh Libya Timur, Yaman dan Maldives yang mengambil keputusan sama.
 
Keputusan yang agak mengejutkan ini diambil selepas 17 hari lawatan Donald Trump ke Arab Saudi dan Israel. Lawatan yang membuka lembaran baru hubungan Israel dan negara-negara Arab. Dalam artikel sebelum ini yang bertajuk; Lawatan Trump: Yang Tersurat dan Tersirat saya ada mengulas matlamat utama lawatan ini tidak lain dan bukan melainkan untuk memastikan keselamatan Israel terjamin di rantau Asia Barat. Ia agak mengejutkan dengan perkembangan baru yang sedang berlaku seolah-olah ianya membenarkan teori untuk mewujudkan pakatan NATO negara-negara Arab dengan menyisihkan mana-mana negara yang mengancamnya.  
 
Khalil HadiStrategi pengukuhan Israel

Perkembangan baru yang sedang berlaku ini perlu dilihat dengan pandangan yang luas dan menyeluruh. Ia bukan sahaja melibatkan perbalahan antara negara-negara Teluk Arab bahkan lebih daripada itu grand design yang sedang berlaku bagi memetakan semula Dunia Islam untuk kepentingan Zionis-Freemason.
 
Perancangan untuk memecah belahkan Dunia Islam bukan satu rahsia lagi. Setelah kejayaan kuasa Barat yang berpaksikan Zionis-Freemason memecahbelahkan Dunia Islam era Perang Dunia Pertama dan Kedua melalui perjanjian-perjanjian jahat Sykes-Picot dan Balfour. Hasilnya Dunia Islam umumnya dan Asia Barat khususnya berpecah kepada berpuluh-puluh buah negara. Palestin diserahkan kepada British yang berakhir dengan penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948.
 
Fasa kedua pula ialah mengukuh kedudukan Israel dan mengekang negara-negara yang menyokong perjuangan umat Islam untuk membebaskan Palestin. Ini berlaku selepas termeterainya perjanjian Camp David, Madrid dan Oslo antara Israel dan pihak-pihak yang bertelagah dengannya.
 
Perjanjian Camp David pada tahun 1978 antara Mesir dan Israel menyaksikan keselamatan Israel terjamin setelah kekalahannya dalam perang dengan Mesir pada tahun 1973. Permusuhan antara kedua-dua negara ini berjaya dilunakkan. Perjanjian Madrid pada tahun 1991 pula meluaskan lagi keselamatan Israel dari sudut luaran. Jika perjanjian Camp David hanya melibatkan negara Mesir sahaja, adapun perjanjian Madrid melibatkan negara-negara Arab lain kecuali Syria dan Libya. Perjanjian ini kononnya untuk mewujudkan keamanan di rantau Asia Barat setelah kekalutan serangan Iraq pimpinan Saddam Hussein ke atas Kuwait dan seterusnya menyerang Israel dengan slogan Pembebasan Palestin. Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya bertindak cepat dengan menyekat Saddam Hussein dan menaja perjanjian Madrid yang bertujuan menjamin keselamatan Israel agar ancaman seperti Iraq tidak akan berulang pada masa akan datang daripada negara-negara arab lain. Perjanjian Oslo pada tahun 1993 pula menyaksikan Israel mengukuhkan cengkamannya dari sudut dalaman dengan menundukkan PLO pimpinan Yaseer Arafat. Ia secara tidak langsung satu pengiktirafan kepada negara haram Israel daripada pihak penentangnya dari kalangan nasionalis Arab.  
 
Gangguan Arab Spring

Dalam tempoh ini Israel berada dalam keadaan tenang kecuali ancaman gerakan militan Islam; HAMAS, Jihad Islami dan Hizbullah. Israel terus membina kekuatannya dengan bergaya. Tidak perlu takut lagi kepada negara-negara di kelilingnya, semuanya sudah berjaya dijinakkan melalui khadamnya Amerika Syarikat. Akan tetapi suasana tenang ini terganggu dengan berlakunya gelora Arab Spring yang menyaksikan kejatuhan regim Arab yang memerintah dengan kuku besi. Kejatuhan regim Hosni Mubarak di Mesir amat dirasai, apatah lagi yang menggantinya ialah Mohamed Morsi, pimpinan Ikhwan Muslimin yang menjadi pencetus kepada penubuhan HAMAS dan Jihad Islami.

Pasca Arab Spring memecahkan Dunia Arab kepada dua blok, pendukung dan penentang. Pendukung utama ialah Qatar yang menunjukkan secara terang-terangan sokongannya kepada Presiden Mesir, Mohamed Morsi. Adapun penentangnya ialah Arab Saudi dan UAE yang membelanjakan ratusan juta dollar bagi menjatuhkan Morsi dan mengekang Arab Spring supaya tidak berkembang ke negara-negara Teluk. Natijahnya Arab Spring tidak mengeluarkan bunga dan buah yang bermanfaat, akan tetapi menjadi sungai-sungai darah yang membasahi bumi Libya, Mesir, Yaman, Iraq dan Syria.
 
Topeng yang terdedah

Tindakan yang dikenakan ke atas Qatar disusuli dengan pendedahan yang mengaitkan hubungan UAE dengan gerakan Zionis-Freemason. Sekumpulan penggodam dari Rusia berjaya memintas e-mel dari Yousef Al-Otaiba, duta UAE ke AS yang mengandungi hubungan intim beliau dengan badan pemikir yang mendukung Zionis-Freemason, Foundation for Defense of Democracies (FDD). Pendedahan sebanyak 55 muka surat ini antara lain menyebut penglibatan UAE terhadap cubaan rampasan kuasa di Turki. Dalam e-mel yang diutuskan oleh penasihat FDD, John Hanna kepada Al-Otaiba pada 16 Ogos 2016, beliau menyebut: “Saya kepilkan di sini satu artikel daripada akhbar Turki yang menyatakan kami daripada (FDD) bersama-sama dengan UAE dan lain-lain lagi merancang bagi rampasan kuasa di Turki”.
 
Dalam e-mel lain pula mendedahkan desakan Al-Otaiba supaya AS menyekat saluran persenjataan kepada Mesir di era Mohamed Morsi menjadi presiden dengan alasan keselamatan. Ini diikuti pula dengan pendedahan hubungan intim antara Al-Otaiba dan bekas Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates. Beberapa hari sebelum pendedahan ini, Robert Gates dilaporkan mengeluarkan kenyataan dalam satu majlis anjuran FDD mengecam polisi luar Qatar. Seterusnya pendedahan pakatan antara AS dan UAE untuk menggagalkan muktamar HAMAS di Doha.
 
Pendedahan ini membuktikan pelakon-pelakon sebenar di sebalik wayang-wayang yang sedang dimainkan. Wayang rampasan kuasa di Mesir dan Turki. Wayang Al-Qaeda dan ISIS. Wayang serangan ke atas gerakan Islam sederhana dan wayang-wayang lain yang sedang dan akan dilakarkan. Bak kata pepatah; bangkai gajah manakan dapat disorokkan.
 
Qatar: Apakah seterusnya?

Qatar walaupun sebuah negara kecil tetapi perlu diakui peranannya dalam mengekang kekuasaan Zionis-Freemason di Asia Barat dengan kelicikannya berpolitik. Ini menyebabkannya menjadi duri dalam daging kepada negara-negara Arab lain. Qatar menyokong HAMAS dalam masa yang sama membenarkan AS membina pengkalan tentera di buminya untuk melancarkan serangan ke atas puak Al-Houthi dan Al-Qaeda di Yaman. Di samping kelunakannya dalam hubungan dengan Iran yang menjadi seteru utama kepada negara-negara Arab Teluk. Justeru tidak syak lagi ia menjadi sasaran utama dalam kemelut yang sedang berlaku ini.
 
Babak yang sedang berlaku ini memberikan Qatar dua pilihan; sama ada mengikut kehendak pendesaknya atau berdepan dengan ‘rampasan’ kuasa secara bersistematik. Sehingga ada penganalisis politik tidak menolak kemungkinan rampasan kuasa secara kekerasan dikenakan ke atas Qatar bagi mencabut duri dalam daging ini.  
 
Hari ini Emir Qatar, Syeikh Tamim bin Hamd Al-Thani mengadakan lawatan rasmi ke Kuwait yang dilihat oleh penganalisis sebagai usaha untuk memulihkan hubungan dengan Saudi Arabia dan UAE. Sebagai rujukan, sebelum ini Kuwait pernah menjadi orang tengah memulihkan hubungan antara Qatar dan negara-negara Teluk dalam krisis diplomasi pada tahun 2014.
 
Episod yang sedang berlaku ini natijah akhirnya ialah perpecahan sesama umat Islam dan mengukuhkan penguasaan Israel ke atas bumi Palestin. Alangkah baik jika kesatuan umat Islam dieratkan dan masing-masing meletakkan matlamat kepentinggan ummah di hadapan. Akan tetapi ia bukan satu perkara yang mudah, kehidupan ini adalah ujian, yang meletakkan umat Islam sama ada berada dalam kubu kebenaran atau kubu kebatilan.  
 
MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia 2017/2019
11 Ramadhan 1438/6 Jun 2017 - HARAKAHDAILY 6/6/2017

1. JULUNG kali PAS menganjurkan Munaqasyah Rakyat dengan melibatkan pelbagai pihak dari luar parti untuk menyorot dasar, hala tuju dan agenda perjuangan PAS menerusi ucapan dasar Presiden PAS yang telah disampaikan sewaktu merasmikan Muktamar Tahunan PAS kali ke 63 tempohari.

2. Bertemakan MEMBINA NEGARA SEJAHTERA BERSAMA ISLAM, PAS mengangkat agenda ini bersama rakyat dari pelbagai lapisan dan latar. Bertepatan pula dengan tema ucapan dasar Presiden PAS baru-baru ini ialah SEJAHTERA BERSAMA ISLAM.

3. Munaqasyah Rakyat menjadi medan terbaru untuk PAS mendengar pandangan sisi dari tokoh akademik, parti rakan, ngo dan tokoh masyarakat mengenai agenda besar untuk membina sebuah negara yang sejahtera bersama Islam.

4. Munaqasyah Rakyat akan berlangsung seperti maklumat berikut :

Program : Munaqasyah Rakyat
Tarikh : 10 June 2017
Hari : Sabtu
Masa : 8.00 am - 1.30 pm
Tempat : Dewan Bankuet MBSA Shah Alam.

Anjuran: Lajnah Penerangan PAS Pusat.

5. Pidato khas Munaqasyah yang akan menjelaskan Gagasan dan Agenda Perjuangan PAS akan disampaikan oleh YB Ust Idris Ahmad selaku Naib Presiden PAS.

6. Panelis Munaqasyah Rakyat dengan tema  Membina Negara Sejahtera bersama Islam akan membariskan :

Dr Zuhdi Marzuki (Pengarah Penyelidikan PAS Pusat,
Dr. Samarudin bin Rejab (Timbalan Presiden IKATAN),
Prof Dr Badlisham Mohd Nasir (Mantan Presiden ILMUAN) dan
En Azmi bin Abdul Hamid
(Pengerusi Kongres Rakyat)

7. Tirai Munaqasyah Rakyat akan dilabuhkan dengan ucapan dan penegasan agenda bersama Membina Negara Sejahtera Bersama Islam oleh Ybhg Tuan Guru Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presiden PAS).

8. Semua rakan-rakan NGO, tokoh masyarakat, aktivis sosial dan parti politik dijemput hadhir untuk sama-sama bermunaqasyah, memberi pandangan dan mengangkat bersama agenda Membina Negera Sejahtera Bersama Islam.

9. Kita perlu bersatu dan mencari titik temu bersama, terutama disaat negara kita berdepan pelbagai ancaman yang makin berani dan nekad oleh pihak pelampau seperti Evangelis Kristian, Islam Liberal, Islam Radikal dan lain-lain yang memberi persepsi yang salah terhadap erti KESEJAHTERAAN ISLAM yang sebenar.

10. Yuran hanya serendah RM10 sahaja bagi menampung kos penganjuran.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

muna1

Peranan PAS melalui dakwah dan politik

TANGGAPAN yang selalu tersilap ialah menganggap PAS hanyalah sebuah parti politik.

PAS sebenarnya lebih dari itu. PAS pada asasnya ialah satu gerakan dakwah dan tarbiyah ummah yang bertujuan mengajak kembali kepada ketauhidan dan menjauhi syirik.

Selain itu, PAS juga mengajak ummah untuk menentang perhambaan kepada harta, pangkat kebesaran dan menentang perhambaan kepada manusia dan sistem ciptaan manusia.

Politik membentuk sebahagian dari asas perjuangan PAS.

Penyertaan PAS dalam pilihan raya tidak sama matlamatnya dengan parti politik lain.

Dalam apa juga keadaan, PAS berusaha menzahirkan Islam di dalam semua aspek kehidupan, termasuklah politik.

PAS terus bekerja menyampaikan risalah dakwah kepada seluruh sendi masyarakat. Dakwah bukan hanya mengajak kepada Islam sebagai aqidah tetapi seluruh sendinya.

Jika kita menggunakan kebersihan awam dan tandas awam di negara Malaysia yang majoriti rakyatnya beragama Islam sebagai piawai, begitulah jauhnya lagi amalan Islam dipraktikkan di Malaysia.

Ini menjadikan persoalan-persoalan seperti kebajikan, kebersihan, keselamatan pekerja, pembelaan golongan tertindas, tadbir urus kerajaan, sistem kenegaraan sebagai medan dakwah yang sangat luas.

Bukankah semua ini adalah manhaj Islam sebagai penyelamat ummah?

Pembinaan tarbiyah ummah bermula seawal kelahiran. Semua medan besar dakwah ini tidak terikat dengan pilihan raya.

Kerana itu, ahli dan pimpinan PAS yang memahami perjuangan besar PAS sebagai satu gerakan dakwah, tidak akan terbelenggu dengan dogma bahawa kalau tewas maka habislah perjuangan.

Selain dakwah, PAS juga berusaha untuk memperbaiki diri.

PAS juga berusaha untuk menentang kemungkaran, menukar parti yang korup, rasuah dan pelbagai kelemahan yang ada dengan Islam sebagai pemandu.

PAS bekerja keras bagi mencapai kemenangan setiap kerusi yang dipertandingkan. Kerana itu, PAS berdaftar sebagai sebuah parti politik. Bukan semacam jamaah dakwah lain.

Kerana mendapatkan kekuasaan adalah sebahagian dari kesempurnaan penghayatan Islam. Kuasa ialah alat bukannya matlamat akhir perjuangan PAS.

Inilah yang membezakan kita dengan parti politik lain.

Mereka yang hanya berfikir mengenai kerusi pilihan raya akan meroyan apabila hanya memikirkan soal menang kalah perjuangan berdasarkan pilihan raya sahaja.

Aspek kemenangan pilihan raya hanyalah sebahagian daripada wasilah perjuangan PAS yang luas.

Penetapan tiga tonggak utama perjuangan iaitu dakwah, tarbiyah dan siasah membuktikan jauhnya pandangan politik PAS.

Di saat kita memburu kemenangan pilihan raya, kita wajib memperkasakan kesemua dimensi perjuangan iaitu dakwah dan tarbiyyah.

Ketiga-tiga tonggak ini mestilah seimbang, bagi mempastikan perubahan secara seimbang dan bersepadu.

Fokus yang besar kepada gerak kerja politik sahaja, dengan mengabaikan tarbiyyah akan hanya melahirkan golongan yang kecewa dan putus asa apabila tewas dalam pilihan raya hatta pemilihan parti di muktamar.

Ia akan mula menyalahkan pelbagai pihak atas kekalahannya, lantas ia menjadi golongan yang mudah futur dalam perjuangan. Di saat inilah syaitan akan menghasutnya dan menjauhkan ia dari  perjuangan dan jihad.

Andainya ukuran kejayaan hanya kepada kalah atau menang pilihan raya sahaja, maka  sangat murahlah perjuangan ini. Hampir tiada beza dengan parti lain yang dasarnya tidak berpijak kepada aqidah dan syariat Allah.

Memantapkan tonggak dakwah

Apabila lujnah dakwah dipisahkan dari lujnah penerangan, maka ia telah menghantar isyarat jelas perlunya diperkasakan peranan dakwah dalam PAS.

Lujnah kanan dalam parti ini mempunyai fungsinya tersendiri. Ia berkait rapat dengan hala tuju parti dan pemerkasaan organisasi parti.

Lujnah ini menjadi pilihan kepada ahli yang berminat dalam medan dakwah melebihi medan politik pilihan raya. Ia mesti menyediakan ruang dan peluang yang terbuka kepada petugasnya.

Medan dakwah yang sangat luas ini memerlukan kesungguhan kerja dan mujahadah yang sangat tinggi.

Medan ini memerlukan dana yang besar bagi menggerakkan aktiviti sama ada di kalangan umat Islam atau mereka yang belum menerima Islam sebagai aqidah mereka.

Kita mesti bekerja sebagai sebuah kerajaan menanti yang tersusun teguh sama ada fizikal jamaah (organisasi) atau rohiyyah jamaah yang dibuktikan melalui kepatuhan, ketaatan, dan keikhlasan dalam perjuangan.

Bahtera besar ini mesti terus belayar, di saat gelombang besar, mungkin perjalanannya perlahan dan lebih berhati-hati, manakala di saat lautan tenang ia boleh meluncur laju ke destinasi.

Nakhoda kapal akan memastikan laluan kapal akan belayar dengan betul walau sesekali membelok ke kiri atau kanan bagi mengelak batu karang atau gelombang besar. Ia tahu apa yang perlu dilakukan.

Anak-anak kapal tidak perlu mengambil alih tugas nakhoda. Kerana nakhoda jamaah ini mempunyai pasukan bagi membincang, merangka dan membuat keputusan bagi membantu tepatnya keputusan dan benarnya tindakan.

Tarbiyyah adalah tonggak utama dalam parti. Ia bukan hanya berlegar di sekitar kepimpinan melalui medan sedia ada, seperti usrah, tamrin, rehlah, muqayyam dan liqa fikri.

Tarbiyyah meliputi pendidikan politik Islam kepada rakyat. Mendidik agar berfikir secara Islam agar boleh bertindak secara Islam.

Apabila PAS memperkenalkan BPMS (Budaya Politik Matang dan Sejahtera), ia bukan sekadar anjakan pendekatan politik, tetapi ia adalah perubahan cara berfikir di kalangan masyarakat.

Ia dijadikan dorongan untuk mendidik rakyat agar berfikir secara Islam, berdasarkan wahyu Ilahi. Penilaiannya bukan hanya hitam dan putih. Tetapi yang hak sebagai hak, yang batil sebagai batil.

Anjakan ini bersifat mendidik rakyat agar berani menyokong kebenaran seandainya ia sesuatu yang benar, walaupun ia dilakukan oleh pihak yang tidak disukai mereka.

Gambaran bahawa pembangkang perlu membangkang kerajaan secara totok, dan kerajaan perlu mempertikaikan segala cadangan pembangkang adalah cara lapuk dan ketinggalan.

BPMS membuat anjakan besar bahawa kita perlu menyokong apa jua tindakan yang betul dan tepat walaupun ia daripada pihak yang tidak disukai seperti kerajaan memerintah, selagi tidak bercanggah dengan syarak.

Namun kita perlu bangkit menentang sesuatu yang bercanggah dengan syarak, walau dilakukan oleh pihak yang disukai, seperti parti sendiri.

Penentangan terhadap kemungkaran tidak semestinya dalam bentuk menyerang peribadi atau memaki hamun dan mencerca. Lagi tidak munasabah jika kemungkaran dijawab menggunakan fitnah atau fitnah diguna untuk menjawab satu fitnah yang lain.

Ia boleh dilakukan dengan menegur, menasihati, memberi cadangan, menyerah memo, demonstrasi, atau menggerakkan rakyat agar mengundi dengan betul di dalam pilihan raya.

Pendekatan yang lebih matang ini inshaAllah menjadikan perubahan yang dicari tidak mendatangkan kemudharatan yang lebih besar kepada rakyat dan negara. Tragedi perubahan yang malang yang telah banyak berlaku di pelbagai negara perlu dijadikan panduan.

Betapa banyak rakyat yang lebih menderita selepas perubahan yang dicari. Mereka ditekan dengan kezaliman pemimpin, rasuah dan salahguna kuasa, penyelewengan harta negara sehingga sangat membebankan rakyat lalu mereka bangkit.

Sayangnya selepas berjaya dilakukan pertukaran kerajaan yang zalim dan menindas itu, mereka baru sedar penggantinya sebenarnya jauh lebih teruk menjadikan mereka lebih menderita dari sebelumnya. Inilah yang berlaku di Iraq, Libya dan Mesir.

Ini semua memberi petunjuk bahawa mengurus perubahan lebih penting dari perubahan itu.

Anjakan pendekatan BPMS, malangnya telah menyebabkan PAS dilihat mesra Umno-BN.  Lalu pelbagai serangan dihalakan kepada parti dan kepimpinannya untuk terus menanam persepsi tersebut.

Pimpinan PAS menyedari dan sudah menjangkakan hal ini, kerana rata-rata pembangkang masih berfikiran lama, dan hanya selesa dengan politik warisan penjajah yang berpaksi kepada politik sekular yang tidak ada kawalan akhlak dan adab Islam.

Ceramah yang tradisinya mesti ada maki hamun, cerca dedah keaiban peribadi, dan sengaja mewujudkan persepsi negatif walaupun berdasarkan fakta yang tidak betul sekalipun.

Permohonan maaf atau menarik balik tuduhan menjadi perkara murah yang boleh dijualbeli dalam politik. Satu-satu fitnah hari ini sanggup dipertahankan sehingga ia dibicarakan di mahkamah bertahun kemudian sebelum meminta maaf. Bagi golongan ini, yang penting ialah membina persepsi semasa bagi meraih sokongan pada waktu itu sahaja.

Beginilah budaya politik negara bertahun lamanya yang semakin menjadi-jadi saban hari kerana adanya media sosial sehingga memualkan. Tidak hairan bila munculnya gambaran bahawa politik itu kotor. Politik yang tiada kena-mengena dengan agama. Politik suku agama suku dan sebagainya.

Negara dikatakan sedang menuju kepada negara maju. Kemajuan bukan hanya dalam aspek pembangunan, ia juga mesti meliputi politik kepartian.

Kalau di negara maju menjadi kebiasaan Perdana Menteri boleh menjemput ketua pembangkang hadir mendengar taklimat sesuatu projek besar negara. Peruntukan yang sama akan diberi kepada parti kerajaan atau pembangkang yang memenangi pilihan raya.

Pembangkang juga akan dilantik dalam sesuatu jawatankuasa bagi memantau perjalanan kerajaan.

Tanpa budaya BPMS, ini mustahil diamalkan di negara ini. Jika ada ahli parlimen setempat daripada pembangkang yang hadir dalam program kerajaan seperi majlis bantuan kepada nelayan di bawah parlimennya, mereka terus dicop kononnya hendak bersama kerajaan. Ini yang terjadi pada PAS.

Apabila pimpinan PAS menghadiri majlis menentang kezaliman umat Islam Rohingya, pelancaran kapal Flotilla maka terus diserang sebagai 'PAS dan Umno sekapal'. Beginilah cara berpolitik hari ini sehingga melahirkan kenaifan fikiran sebahagian masyarakat kita.

Namun begitu, PAS akan terus membudayakan BPMS.

PAS berbangga bahawa kita telah berjaya membuat anjakan cara berfikir dan berpolitik di negara ini.

Apa-apa yang baru yang melanggar amalan hari ini akan pasti mendatangkan pelbagai reaksi. Insya Allah, kita pasti akan berjaya dengan izin Allah.

PAS percaya bahawa budaya BPMS ini sangat diperlukan sebelum negara boleh bergerak ke depan, dan supaya perubahan yang dicari tidak akan bersifat separa dan tergantung.

Hampir semua rakyat bersetuju, negara memerlukan pemandu baru.

Pemandu yang lama ini sengaja mengekalkan rakyat dalam keadaan sakit, pada masa yang sama berlakon menjadi doktor tunggal yang dapat memberikan panadol menyebabkan rakyat terpaksa bergantung padanya. Itulah kaitan sebenar antara GST dan BR1M.

Kita mengakui bahawa kepimpinan negara yang diterajui oleh Umno-BN adalah punca kepada masalah negara. Namun, perkara yang lebih penting pada waktu ini ialah membantu rakyat bagi memahami situasi yang berlaku dalam negara kini.

Rakyat memerlukan pemandu baru yang bukan sahaja tahu jalan yang ingin dilalui, tetapi turut memahami jalan mana yang selamat bagi rakyatnya di dunia dan akhirat.

Pemandu ini tidak hanya sibuk membina dunia, tapi juga sibuk membina akhirat bagi negara dan rakyatnya.

Oleh itu, pemandu yang baru mesti juga bertindak mengikut panduan Al-Quran dan Hadis.

PAS telah mengutarakan kerajaan teknorat sebagai penyelesaian.

Kerajaan teknokrat adalah satu langkah ke hadapan bagi memberi peluang kepada tokoh dan cendekiawan negara menerajui hala tuju baru dan pentadbiran negara manakala parti dan ahli politik menjadi wadah perubahan tersebut.

Maksud kerajaan teknorat ialah sebuah sistem pemerintahan yakni kuasa parti politik terhadap negara hanya terhad untuk melantik kalangan profesional sebagai eksekutif pentadbir negara bermula daripada Perdana Menteri hingga ke peringkat terbawah.

Sebelum ini, pemimpin parti politik yang biasa menjawat jawatan PM dan menteri. Tetapi idea kerajaan teknokrat ini meletakkan penjawat tersebut berdasarkan kelulusan akademik tertentu yang tidak terlibat dengan pilihan raya.

Kuasa politik yang didapati melalui pilihan raya hanyalah sekadar kuasa untuk melantik siapa yang sesuai di kalangan professional untuk mentadbir negara.

Berdasarkan sejarah politik negara, kita harus menerima hakikat bahawa bukan semua teknokrat tahu berpolitik dan bukan semua ahli politik itu berminda teknokratik.

Seperti BPMS, PAS akan berusaha melanjutkan idea kerajaan teknorat ini sebagai satu model pentadbiran untuk negara. Insha Allah.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
4 Jun 2017 - HARAKAHDAILY 4/6/2017

Penyelesaian politik mengikut Islam

Islam datang dalam bentuk pakej, dan sewajibnya diterima secara pakej. Prinsip 'kalau tak boleh laksana semua, jangan tinggal semua' seharusnya dipraktikkan.

Islam mempunyai asas yang mesti difahami, kerana asas ini akan menjadi tapak kepada apa jua permasalahan yang  akan dibicarakan.

1. Islam adalah Rabbani bukan rahbani. Rabbani bermaksud seluruh dasar ajaran Islam bersumber dari Allah, bukan dari para ulamak, atau rahib sebagaimanaa agama lain.

Lantaran sifat Rabbani inilah menjadikan asas dan dasar Islam.

Islam bukan teokrasi, sebagaimanaa tanggapan sesetengah pihak. Rabbani dengan erti kata dasar yang telah ditetap oleh Allah dan Rasul tidak boleh dipinda, diubah dan ditokok tambah. Ia melibatkan perkara asas dalam aqidah, ibadah dan syariat.

Struktur asas ini yang membentuk Islam. Mengubah struktur asas akan merosakkan seluruh bangunan Islam itu sendiri.

Dasar aqidah bermaksud seseorang Muslim tidak boleh sesekali syirik kepada Allah, ibadahnya hanya khusus kepada Allah dan juga syariatnya yang tidak melanggari perkara yang tidak diizin oleh Allah.

2. Syumul bermakna sebagai deen yang datang dari Allah, ia mesti sempurna, lengkap dan menyeluruh. Sesuai dengan sifatnya sebagai panduan kehidupan dunia dan akhirat, Islam mesti meliputi segala persoalan hidup samada batin, akal, nafsu, diri, keluarga, masyarakat, negara, negara dan ummah.
 
Ia lengkap kerana semua urusan kehidupan berpaksi kepada hukum lima, samada wajib, sunat , harus, makruh atau haram. Semua perbuatan manusia tidak akan terlepas dari hukum tersebut.

Nilai baik dan buruk, halal dan haram bukan ditentu oleh akal. Ia ketentuan Allah. Dalam perkara baru yang tiada hukum secara jelas dalam Al-Quran, ia akan dijelaskan dalam hadis atau ijtihad hukumnya oleh para ulamak.

Kerana itu, umat Islam akan jadikan panduan hukum dalam melakukan sesuatu perkara. Kalau ia wajib mereka akan usahakan semampu mungkin untuk melaksanakannya. Kerana membiarkan kewajipan tidak dilaksana dalam keadaan seseorang itu boleh dan ada upaya melaksanakannya adalah satu kesalahan dan dosa.

Kewajipan ini bukan hanya sekadar perkara kewajipan individu seperti sembahyang, puasa, zakat atau haji, menyuruh yang makruf atau mencegah yang mungkar sahaja, ia turut meliputi kewajipan kepada jiran tetangga, masyarakat Islam dan bukan Islam, hak ke atas negara, hak pemimpin ke atas rakyat, hak pemimpin melaksanakan perintah Allah dalam bernegara.

Syumul juga bermakna sistem Islam turut membicarakan soal alam sekitar, muka bumi, air dan tanah, pengurusan sisa buangan, pengurusan hutan dan sungai, khazanah di atas bumi dan yang berada dalam bumi.

Ribuan kitab-kitab fekah yang membicarakan semua aspek ini agar manusia tidak mengabaikannya.

Dengan kata lain, apa sahaja aspek kehidupan manusia, jin, haiwan, alam zahir dan ghaib juga terkandung dalam konsep kesyumulan dalam Islam, kerana Allah sebagai pemilik alam ini sudah menjadikannya sebagai satu sistem yang lengkap.

3. Kamil mutakamil.

Suatu ciri utama dalam Islam ialah ia bersikap kamil, yakni lengkap. Ia lengkap pada setiap juzuknya.

Ia boleh tegak berdiri sendiri di atas asasnya.

Seperti persoalan aqidah ia lengkap berbicara asasnya. Seperti beriman kepada Allah, ia lengkap pada tauhidnya, nama dan sifat yang layak baginya. Ia lengkap tidak boleh dipisah-pisahkan sebagaimana sifat makhluk.

Demikian juga persoalan ibadah ia lengkap pada setiap juzuknya. Seperti  sembahyang, ia lengkap dengan syarat dan rukunnya, sah dan batalnya, sunat dan makruhnya berserta perbuatan dan bacaannya.

Begitulah yang lain di dalam syariat mahupun akhlak.

Terdapat keadaan di mana ia sempurna lalu ia menyempurnakan yang lainnya. Ini dikenali sebagai mutakamil.

Contoh yang paling mudah ialah wuduk. Ia sempurna pada rukun dan syaratnya. Wuduk akan menyempurnakan sembahyang. Kerana tanpa wuduk maka sembahyang tidak sah. Ini bermakna wuduk itu sempurna dan ia menyempurnakan yang lainnya (sembahyang).

Prinsip kamil dan mutakamil ini juga meliputi aspek politik, ekonomi, perundangan dan lainnya. Ia saling kait-mengait antara satu sama lain. Hukuman tidak boleh dilaksana kalau syarat tidak sempurna. Keadilan tidak dapat ditegakkan kalau pemimpin tidak adil, walau mempunyai undang-undang yang adil. Begitu juga pemimpin yang adil tidak akan tertegak kalau undang-undang itu dicipta di atas ketidakadilan.

Contohnya akta OSA. Undang-undang yang bertujuan menjaga kerahsian kerajaan dan strategi akhirnya digunakan bagi menutup penyelewengan dan salah guna kuasa.

Begitu juga SOSMA dan ISA dan pelbagai akta-akta lain ciptaan manusia yang tertegak di atas prinsip ketidakadilan dan menindas.
 
Jangan salahkan para hakim bila mereka tidak boleh menjatuhkan hukuman yang dikehendaki oleh Allah. Jangan salahkan para peguam yang membela tertuduh dan jangan salahkan para pendakwa yang mendakwa pesalah. Kerana mereka semua berjalan di atas sistem yang tidak menepati kehendak Allah.

Mereka ibarat keretapi yang terjalan di atas jalan raya, dan seperti kapal yang terlayar di atas daratan.

4. Waqi'yyah, bermaksud realisme. Islam menepati realiti atau kehendak situasi dan kondisi. Ia bukan ajaran ideal yang tidak mampu untuk dilaksanakan. Ia sesuai dengan tempat di mana ia berada.

Hukumnya terus berkembang dengan berkembangnya permasalahan manusia. Ia boleh diamalkan dalam apa jua situasi dan keadaan . Ia mempunyai jalan keluar kepada permasalahan berlaku. Bukan bebanan yang menyusahkan atau memaksa penganut dalam keadaan mereka tidak mampu.

Di dalam Islam, terdapat prinsip azimah (tetap dan tidak berganjak) dan (rukhsah), keringanan syarak yang bersifat anjal.

Contohnya, seseorang boleh berbuka puasa apabila sakit atau bermusafir. Seseorang boleh bertayammum bila tiada air untuk berwuduk. Seseorang itu boleh memakan makanan haram apabila nyawa terancam, tapi semuanya terikat dengan syarat dan rukun agar tidak bermudah-mudah dalam tindakan dan tidak terlalu rigid sehingga menyusahkan.

Inilah waqi'yyah yang menjadi sebahagian ciri kesempurnaan Islam.

Selain aspek-aspek di atas, terdapat beberapa ciri lain yang juga penting untuk difahami seperti tawazun iaitu seimbang antara keperluan masyarakat dan lainnya. Hal ini boleh dirujuk kepada pelbagai kitab yang muktabar.

Penyelesaian Politik Menurut Islam

Politik adalah belahan syariat. Bermakna sebahagian syariat tidak dapat dilaksana tanpa kuasa politik.

Politik Islam dibina di atas asas amanah. Bukan ghanimah yang perlu direbut apa lagi untuk dibangga. Ia mesti diisi oleh mereka yang bertaqwa.

Peringatan Rasulullah kepada Abu Dzar al-Ghifari:

“Wahai Abu Dzar, engkau seorang yang lemah sementara kepemimpinan itu adalah amanat. Dan nanti pada hari kiamat, ia akan menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali orang yang mengambil dengan haknya dan menunaikan apa yang seharusnya ia tunaikan dalam kepemimpinan tersebut.” (Sahih, HR. Muslim no. 1825)

Jawatan bagi memimpin ummah mesti diisi. Membiarnya kosong adalah kelemahan, walaupun jawatan bukanlah bahan rebutan. Namun, mengisinya dengan orang yang tidak layak adalah satu jenayah.

Kelayakan pada pandangan  Islam bukan hanya dilihat kepada kemampuan menjalankan tugas sahaja, sebaliknya turut dinilai ialah akhlaknya, kehidupan sehariannya, amalan agamanya dan ketaqwaannya.

Walaupun ukuran ketaqwaan adalah relatif, namun asasnya mesti dipelihara.

Pemimpin adalah khadam rakyat. Dia dipikul jawatan sebagai penjaga harta rakyat, memelihara keselamatan negara dan kedaulatannya. Jawatan ini akan dipertanggungjawab nanti di akhirat.

Pemimpin adalah model ikutan rakyat. Baik pemimpin, maka akan baiklah kehidupan rakyat.

Pelbagai kebobrokan yang berlaku kerana jawatan dijadikan sandaran bagi membolot kekayaan, menggunakan pengaruh untuk kepentingan puak dan kroni.

Disebabkan itu, pemimpin gagal menjadi khadam rakyat, sebaliknya menjadi khadam wang dan kuasa. Mereka terlupa tugas mereka sebagai pelindung rakyat.

Sebaliknya mereka menekan kehidupan rakyat, menyusahkan mereka dan memaksa rakyat tunduk kepada peraturan yang bercanggah dengan syariat.

Kata Saidina Umar al-Khattab, Pemerintah itu terbahagi kepada empat golongan:

1. Pemerintah yang kuat, ia dapat mengawal dirinya dan pegawainya. Mereka seperti seorang mujahid yang sedang berjihad di jalan Allah SWT. Sedang pertolongan Allah terbentang luas dengan penuh rahmat kepadanya.

2. Pemimpin yang lemah dan gagal mengawal dirinya, sedangkan pegawainya bermewah-mewahan dan bertindak sewenang-wenangnya disebabkan kelemahannya. Maka ia berada di jurang kebinasaan melainkan Allah SWT merahmatinya.

3. Pemerintah yang dapat menguasai pegawainya, namun dirinya bermewah-mewahan. Itulah al-khutomah.

Sebagaimana Sabda Rasulullah:
 
شر الرعاة الحطمة، فهو الهالك وحده.

Seburuk-buruk Pemimpin ialah al khutomah. Kerana ia membinasakan dirinya sendiri.
(Hadis Riwayat al Baihaqi (7419) dalam Syaabul Iman ) dan Imam Muslim (3411) dengan sedikit perbezaan)

4. Pemerintah dan pegawainya yang bertindak sewenang-wenangnya, maka ia akan binasa.

Petikan dari buku 'Pemimpin yang adil', oleh Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri

Penyelesaian masalah politik negara bukan hanya terhenti kepada seorang pemimpin tetapi ia melibatkan seluruh sistem yang menjadi asas perjalanan negara.

Pimpinan negara hari ini yang diberi amanah oleh rakyat jarang tergolong di kalangan kumpulan pertama. Ramainya tergolong di kumpulan 2, 3 dan 4.

Itu semestinya sudah dapat menjawab mengapa rasuah menjadi berleluasa, salahguna kuasa menjadi kebiasaan, keborosan menjadi budaya dan penipuan menjadi amalan.

Bagi mereka, rakyat dijadikan sumber pendapatan, dan tidak lagi untuk dilindungi. Disebabkan itu mereka baru tergamak memperkenalkan GST yang mengutip cukai daripada sesiapa sahaja tanpa mengira umur dan juga kemampuan rakyat untuk menghadapinya.

Selain itu, penipuan dijadikan jalan keluar apabila ada mana-mana skandal yang terdedah. Apabila penipuan tidak berkesan, kuasa pula disalahgunakan. Contohnya laporan audit 1MDB sehingga hari ini masih di bawah OSA walaupun Perdana Menteri mengumumkan bahawa masalah 1MDB sudah selesai.

Pemimpin hari ini juga berpandangan pendek dan tidak mementingkan negara dan rakyat. Contohnya dalam isu penjualan Proton kepada Geely, tiada menteri yang berbicara kesannya kepada Dasar Automotif Negara.

Ke mana Dasar Automotif Negara hari ini?

Antara objektif Dasar Automatif Negara ialah menggalakkan industri automotif tempatan yang kompetitif dan berdaya tahan terutamanya pengeluar kereta nasional, menggalakkan penyertaan Bumiputera yang kompetitif dan menyeluruh di dalam sektor automotif tempatan serta menjaga kepentingan pengguna dengan menawarkan produk yang selamat dan berkualiti pada harga yang berpatutan.

Apakah Geely akan memajukan Proton dan menyokong objektif Dasar Automotif Negara? Atau ia sekadar berminat untuk menguasai kilang pengeluaran Proton di Tanjung Malim dan Shah Alam untuk menghasilkan kenderaan Volvo? Tiada pimpinan negara yang mengambil berat mengenai persoalan-persoalan ini.

Bagi mereka, mendapatkan pembeli 49.9% Proton sudah dikira sebagai satu kejayaan. Apa yang terjadi selepas itu mereka langsung tidak memikirnya.

Perkara ini sama seperti keputusan memajakkan tanah Felda untuk penyenaraian FGV tanpa mengambil kira bantahan dan pandangan orang lain. Yang dikejar hanyalah duit dan glamor, dan sekarang negara dan rakyat menanggung bebannya.

Pendek kata, Malaysia memerlukan perubahan dan menukar pimpinan yang ada kepada pimpinan yang berjihad untuk Allah dan bekerja untuk rakyat sebelum terlambat.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
2 Jun 2017 - HARAKAHDAILY 2/6/2017

1. POLITIK Demokrasi yang matang memberi pengiktirafan kepada Wakil Rakyat pembangkang untuk bersama dalam pelbagai program rasmi kerajaan yang melibatkan kepentingan rakyat. Di negara barat seperti Australia dan United Kingdom wakil rakyat pembangkang menganggotai pelbagai jawatankuasa pentadbiran di pelbagai peringkat sama ada kerajaan tempatan atau negeri atau federal.

2. Perkara ini ditekankan oleh PAS menerusi pendekatan baru politik yang diberi nama Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS). Wakil rakyat dan pimpinan PAS sebagai pemimpin masyarakat di peringkat pembangkang sewajarnya dilibatkan dalam pelbagai program kerajaan melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

3. Pada 28hb Mei 2017 sempena 1 Ramadhan,  saya dan pimpinan PAS Terengganu dijemput hadir oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk Majlis Berbuka Puasa bersama YAB Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri (KDN). Ia sempena program penerapan nilai murni di bulan Ramadhan di kalangan warga KDN bersama rakyat setempat di Tok Jembal dalam kawasan parlimen saya Kuala Nerus.  Turut hadir YAB Menteri Besar Terengganu. Saya hadir bersama Dato' Husin Awang,  Pesuruhjaya PAS Terengganu dan YB Dr Alias Razak, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu.

4. Pada 29hb Mei 2017 pula saya juga turut hadir Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Jambatan Pulau Sekati oleh YAB Menteri Besar. Pulau Sekati berada dalam kawasan Parlimen Kuala Nerus. Saya turut dijemput bersama menaiki kereta YAB MB untuk meninjau jambatan tersebut diiringi para pegawai kerajaan dan wartawan.

5. Sebelum ini saya juga turut hadir pelbagai majlis rasmi kerajaan seperti Solat Tarawih bersama YAB PM di Masjid Bukit Tok Beng, Parlimen Kuala Nerus pada 6hb Julai 2014, Majlis Penutup Ijtimak Pondok oleh YAB PM di Universiti Malaysia Terengganu, di Parlimen Kuala Nerus pada 23hb Mei 2016, berbuka puasa bersama YAB PM di Gemuruh, Parlimen Kuala Nerus pada 29hb Jun 2016, Majlis Taklimat Banjir kepada YAB PM di Banggol Peradong, Parlimen Kuala Nerus pada 7hb Januari 2017.

6. Pada 31hb Julai 2014 YAB MB Terenggganu turut hadir Majlis Raya Rakyat di kediaman saya di Parlimen Kuala Nerus. Saya juga turut menyampaikan kuliah sempena Korban pada 20hb Ogos 2016 dengan kehadiran YAB MB di surau berhadapan rumah MB sempena Program YB Cakna Rakyat anjuran PAS Kg Baru,  Seberang Takir, di Parlimen Kuala Nerus.

7. Semua bentuk program tersebut adalah dalam kerangka membentuk satu budaya politik yang matang dan berhemah yang menguntungkan rakyat. Budaya lama berpolitik sehingga berpatah arang berkerat rotan sudah berlalu.  Generasi baru Malaysia menuntut satu perubahan dalam gaya berpolitik.

8. Namun, segelintir ahli politik pembangkang yang tidak matang menjadikan gambar-gambar saya bersama dalam majlis-majlis tersebut sebagai isu dan modal politik murahan untuk kepentingan politik sempit mereka bagi mengheret rakyat terus menaja agenda politik kebencian tidak berasas.

9. Politik kebencian tidak berasas mungkin memberi keuntungan jangka masa pendek bagi setengah ahli politik namun ia merosakkan pembinaan tamadun bangsa dan negara untuk jangka masa panjang.

10. Politik kepartian sepatutnya dibina atas asas menghormati perbezaan pandangan politik dalam pelbagai isu mendasar dan isu semasa tanpa merosakkan hubungan peribadi kemasyarakatan. Budaya politik ilmu, politik idea dan politik damai sejahtera perlu diwariskan kepada generasi mendatang.

11. Sebagai pembangkang PAS terus memberikan pelbagai pandangan kepada kerajaan serta mengkritik pelbagai dasar parti politik pemerintah yang tidak memberikan keuntungan kepada negara dan rakyat sebagai satu proses semak dan imbang.

12. PAS terus konsistan mengkritik dasar GST yang tidak patuh Syariah, tegas menentang TPPA, menolak penglibatan kerajaan dalam penubuhan bank riba AIIB, mengkritik dasar penubuhan 1MDB dan GLC seumpamanya, mengkritik dasar bajet defisit, perbelanjaan boros dan longgokan hutang kerajaan persekutuan, menolak derma peribadi kepada Perdana Menteri dan penjawat awam kerana ianya rasuah dalam Islam, menegaskan sistem ekonomi kapitalis yang diimani oleh kerajaan BN adalah punca kejatuhan mata wang dan inflasi, mengkritik Akta SOSMA, POTA dan MKN yang terdedah kepada manipulasi dan pelbagai lagi isu negara.

14. Dan lebih penting PAS menegaskan bahawa hanya Islam penyelesaian bagi pelbagai permasalahan negara bukannya sistem ekonomi kapitalis atau sistem pemerintahan sosialis atau komunis.

15. Namun, segala kritikan dan perbezaan pandangan politik perlu dilaksanakan dalam ruang lingkup budaya matang, sejahtera dan berakhlak berasaskan konsep nasihat dan amar makruf nahi mungkar sebagaimana pedoman al-Quran dan al-Sunnah.

16. PAS menawarkan kepada umat penyelesaian ekonomi negara menerusi Dokumen Hijau yang telah dirasmikan penyebaran sebahagian isi kandungannya dan juga Wawasan Induk Negara yang bakal dilancarkan sebelum PRU ke 14.

17. Kita boleh berbeza pandangan dan berbalas hujah di Parlimen dan DUN tapi tidak untuk menjadi seperti kera dan monyet yang menjerit dan berteriak di dalam hutan. Demokrasi perlu dihormati. Sidang Parlimen dan DUN adalah medan berwacana bukan bertegang leher menunjuk "hero".

18. Ramadhan mendidik umat untuk lebih berakhlak.  Moga Ramadhan menjadi penyubur budaya politik matang sejahtera. Ia tidak mudah namun juga tidak sukar.

"Sejahtera Bersama Islam"

Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Khamis 1hb Jun 2017/ 6 Ramadhan 1438 - HARAKAHDAILY 1/6/2017

1. MALAYSIA perlu tegas dan berani untuk menyanggah tindakan menuding jari yang mengaitkan Islam dengan ekstremisme dan tidak menikus atau terikut rentak Barat dalam memburuk-burukkan Islam dan umatnya. Malah, Malaysia perlu memimpin usaha membetulkan kekeliruan pemimpin dunia Islam terhadap 'gejala' ini.

Hishamuddin2. Realitinya, setiap kali berlaku tragedi radikalisme, terlalu cepat Islam diperukkan ke kandang pesalah walaupun tanpa pembuktian. Tidakkah mustahil kita melihat ia sebagai suatu perancangan teratur hingga dapat melakukannya di banyak bahagian dunia dan melolosi kawalan ketat pasukan akti keganasan?

3. Ketika sama kita menyaksikan insiden tembakan bersenjata yang membunuh masyarakat awam sebagaimana banyak kes di Amerika Syarikat. Ia dilakukan oleh individu bukan Islam dan tidak juga mewakili mana-mana organisasi, lantaran pelbagai tekanan dan ketidaksaksamaan hidup.

4. Begitu juga kekejaman di Palestin, Iraq, Afghanistan, Syria, Myanmar dan lain-lain yang memangsakan kaum wanita, warga tua dan kanak-kanak. Apakah pejuang Hak Asasi Manusia buta dan tuli melihat situasi ini yang tidak pernah ditangani sewajarnya dan berlaku selama berpuluh tahun? Mengapa ini tidak dilabel ekstremis?

5. Ketidakadilan seperti inilah menjadi punca berkembang dan merebaknya sikap pelampau yang bukan hanya dari kalangan orang Islam, tetapi juga dari individu dan kumpulan yang tidak wajar dinisbah atau dikaitkan kepada mana-mana agama, bangsa atau kaum sekalipun.

6. Islam adalah agama keamanan, pelindung dan rahmat untuk semua. Hakikatnya permainan pihak berkepentingan menjadikan Islam dan umatnya sebagai kambing hitam dari propaganda tipikal yang diulang-ulang. Masyarakat dunia mesti bersama menghentikan penyakit mental dan jiwa ini.

7. Tuduhan dan fitnah ke atas Islam ini mesti dipulih dan dirawat serta perlu dikategorikan sebagai disorientasi psikiatri dalam realiti hari ini. Kerana ia masalah kejiwaan dan pemikiran di mana gagal melihat hakikat sebenar terhadap isu keganasan yang berlaku atas muka bumi.

8. Semua pihak termasuk agensi media juga perlu berperanan membantu usaha menanganinya dan tidak menjadi batu api yang mengadu domba untuk melakar kehodohan ke wajah Islam. Media perlu membantu membetul salah faham dan mendidik masyarakat dengan maklumat yang benar serta adil.

9. Kami menggesa Kerajaan Malaysia berwaspada dengan semua agenda tersembunyi ini agar tidak menjadi mangsa atau biduk catur pihak tertentu. Berdiri dan promosikanlah Islam sebagai teraju sebenar untuk mencapai hakikat keamanan bagi masyarakat majmuk di bumi ini sebagaimana pernah ditunjukkan Rasulullah S.A.W.

"Sejahtera Bersama Islam"
"Mara Menuju Cita"

YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia
31 Mei 2017 | 5 Ramadhan 1438 - HARAKAHDAILY 31/5/2017

1. KEHARMONIAN negara sekali lagi terganggu dengan kegagalan akhbar The Star memelihara sensitiviti agama dan kaum dalam negara ini. Memaparkan gambar ummat Islam sedang menunaikan ibadah solat berjamaah dengan tajuk "Malaysian terrorist leader" adalah satu perbuatan yang sangat keterlaluan dan biadab.

2. Tidak memadai dengan hanya memohon maaf setelah menyiarkan gambar sedemikian rupa yang cuba mengaitkan ummat Islam dengan keganasan. Ini bukan kali pertama perlecehan agama dan sentimen kaum dilakukan secara terbuka dan berani.

3. Sebelum ini Nanyang Siang Pau telah mempersenda Presiden PAS dengan menggunakan karikatur seekor monyet berserban. Telah mencetus kemarahan rakyat Malaysia yang sepatutnya hidup makmur dalam masyarakat berbilang kaum tanpa penghinaan sedemikian rupa.

4. The Star gagal mempelajarinya. Masih mengulangi kesilapan serupa. Nampaknya makin berani dan nekad. Permohonan maaf setelah berkali-kali insiden serupa berlaku merupakan satu lagi siri penghinaan.

5. Sampai bila kesabaran ummat Islam mahu diuji sedemikian rupa? Kesabaran ummat Islam dicabar terus menerus. Mereka cetus provokasi supaya keamanan dan kemakmuran negara tergugat? Kemudian mereka akan jadikan ummat Islam sekali lagi sebagai kambing hitam?

6. Kerajaan mesti serius dalam isu sebegini. Jangan bertindak secara lebih kurang. Jangan beri muka berulang kali kepada penghinaan Islam dan provokasi terhadap ummatnya.

7. Persoalannya kenapa mereka makin berani? Sama ada mereka semakin angkuh dengan sokongan ekonomi dan politik yang mereka perolehi atau ummat Islam semakin lemah kerana berpecah sesama sendiri.

8. Namun kami yakin dan percaya, sikap berani mereka yang melebihi had dalam mempersenda ummat Islam ini akan memerangkap diri mereka sendiri.

9. Sementara itu, semua pihak diseru supaya berhenti dari melakukan sebarang percubaan untuk menguji kesabaran ummat Islam. Jangan terus mencetus provokasi. Kerana provokasi itu tidak selamanya memberi keuntungan kepada mereka.

10. Kembalikan keamanan dan keharmonian negara dengan semua pihak khasnya media saling hormat menghormati dan memelihara sensitiviti keagamaan serta perkauman. Kami tidak mahu The Star mengambil sikap sama seperti DAP yang anti Islam mengekspkoitasi isu, kerana kami yakin di luar sana ramai non muslim yang tidak bersetuju dengan sikap seperti ini.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

TINDAKAN akhbar The Star pada 27hb Mei 2017 meletakkan gambar umat Islam Solat Tarawih di bawah tajuk berita muka depan "Malaysian Terrorist Leader" benar-benar menguris perasaan umat Islam yang mengerjakan Solat Tarawih sepanjang Ramadhan ini. Ia seolah menggambarkan Solat Tarawih yang menjadi amalan tahunan umat Islam seluruh dunia adalah punca kepada keganasan.

The Star perlu segera memohon maaf kepada umat Islam atas sikap yang tidak cermat dalam menjaga sensitiviti umat Islam. Tindakan disiplin perlu diambil terhadap Ketua Pengarang yang gagal mengambil kira sensitiviti gambar seumpama ini.

Pihak berkuasa menerusi Kementerian Dalam Negeri juga perlu mengambil tindakan tegas sebagai pengajaran bagi media yang akhiran ini dilihat tidak sensitif dengan isu-isu agama.

Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
28hb Mei 2017

Ramadhan Memiliki Ramuan Kemenangan Islam

1. Ramadhan pada tahun ini adalah Ramadhan terakhir sebelum PRU ke-14 yang dijangkakan akan berlangsung selewat-lewatnya Jun 2018. Kita maklumi bahawa Ramadhan adalah bulan dijadikan oleh Allah sebagai bulan dipenuhi dengan siri tarbiyyah yang sangat signifikan dalam pembentukan sifat dan ciri-ciri pejuang Islam yang dikehendaki oleh Allah.

2. Matlamat menjadikan Ketaqwaan sebagai natijah ibadah puasa dan segala aspek amalan kerohanian dalam bulan Ramadhan mampu memperkukuhkan dan memperkuatkan diri dan syakhsiah seorang pejuang Islam ketika berada di medan perjuangan.

3. PRU14 dianggap satu medan perjuangan siyasah yang memerlukan setiap pejuang Islam wajib berusaha untuk memenuhi kriteria "Ruhbanun fil lail wa fursanun fin nahar" iaitu bersifat kerahiban pada malam hari dan seumpama kuda perang pada waktu siangnya. Sifat beginilah yang ada pada pejuang Islam dalam lipatan sejarah dari zaman Nabi saw dan salafussoleh.

4. Sekiranya ahli PAS seramai hampir 900,000 anggota berjaya memiliki 12,000 sahaja yang cukup syarat dan kriteria pejuang Islam tulen, Insya Allah tiada yang mustahil kemenangan akan berpihak kepada PAS pada PRU14 nanti. Sabda Nabi saw sebagaimana diriwayatkan secara mursal oleh Abu Hurairah ra., Maksudnya, "sebaik-baik sahabat, empat orang. Sebaik-baik pasukan 400 orang, sebaik-baik tentera 4000 orang. Dan tidak dikalahkan sejumlah 12 ribu orang yang paling minimum".

Puasa Membina Kekuatan Rohani Ahli PAS

5. Kefarduan Ibadah puasa Ramadhan menjadikan satu bentuk acuan tarbiyyah yang rohani yang hebat kepada mereka yang berpuasa. Puasa adalah ibadah bukan hanya menahan lapar dan dahaga, tetapi sebagai ibadah yang tersembunyi antara hamba dengan Tuhannya yang memerlukan keyakinan bagi melaksanakan perintah Allah tanpa ragu dan mengharapkan balasanNya sahaja.

6. Bulan Ramadhan menjadikan hamba Allah disibukkan dengan amalan-amalan ibadah yang merupakan makanan rohani seperti membaca Al Quran, berzikir, qiyamullail dan seumpamanya sekali gus menjadikan pejuang Islam cukup berzat dari sudut kerohaniannya.

7. Membina jatidiri keimanan yang teguh dan mantap adalah pra syarat ahli PAS yang mengabdikan diri serta mematuhi apa sahaja yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya saw. Ahli PAS yang mempunyai kemantapan iman akan yakin bahawa kekuatan yang sebenar adalah pada sisi Allah swt. Mereka meletakkan sepenuh harapan kepada bantuan dan pertolongan Allah dan menyerahkan jiwa raga dan segala urusan mereka kepadaNya sahaja.

8. Hasilnya ahli PAS yang istiqamah imannya dan yakin kepada Allah bahawa kemenangan dalam medan siyasah ini merupakan kehendak dan ketentuan Allah. Mereka gigih berjuang dan berusaha sedaya upaya mengorbankan seluruh jiwa dan raga, harta untuk memenangkan Islam. Pepatah hukama' ada menyatakan, maksudnya, "kewajiban kamu adalah berusaha, bukannya kewajiban kamu menentukan kejayaan.."

9. Ahli PAS yang cukup syarat sebagai pejuang Islam tidak sibuk memikirkan kekalahan apalagi meragui kemenangan yang dijanjikan Allah selama mereka membulat keimanan dan keyakinan yang dibina melalui ibadah puasa dan amal ibadah.

10. Ahli PAS tidak hanya mengharapkan kemenangan di dunia semata-mata, malah yang terutama adalah kemenangan abadi iaitu keredhoanNya dan syurga yang dijanjikan. Sama ada PAS bertahaluf atau tidak, 3 penjuru atau lebih dan segala persepsi yang mengelirukan, semuanya itu tidak meragukan pejuang yang mengharapkan habuan dari sisi Allah. Yang penting ialah apakah sumbangan jihad dan gerak kerja yang telah dia laksanakan untuk PAS dan Islam.

11. Kemantapan rohani amat penting buat ahli PAS agar dapat selamat daripada penyakit "futur" seperti angan-angan dunia, mudah mengalah, kecewa, tidak ikhlas, kurang yakin, tidak sabar dan gopoh serta lain-lain sifat yang semuanya perlu dikikis dalam melayari bahtera Islam ini yang penuh liku-liku kepayahan dan onak duri ini. Ambillah pengajaran bahawa penyakit pernah terkena pada sebahagian daripada ahli PAS sehingga ada yang mengkhianati perjuangan ini satu ketika dulu.

Taubat Pejuang Daripada Dosa

12. Saidina Umar Al Khattab ra ketika mengutuskan Sa'ad bin Abi Waqqas dan tentera Islam dengan berkata: "wahai Sa'ad, Aku berpesan kepada kamu agar bertaqwa kepada Allah. Sesungguhnya kamu diberi kemenangan oleh Allah kerana maksiat yang dilakukan oleh musuh. Sekiranya kamu melakukan maksiat seperti musuh, sedangkan bilangan kamu tidak seperti mereka, kamu akan dikalahkan oleh musuh. Ketika itu kekuatan zahiriah yang menentukan kemenangan."

13. Kata Saidina Umar ra ini mengesahkan bahawa ciri-ciri pejuang Islam wajib dipenuhi oleh ahli PAS sebagai pra syarat kemenangan adalah menjadikan bulan Ramadhan ini bulan taubat.

14. Memperbanyakkan taubat dan istighfar atas dosa-dosa kita yang menghalang pertolongan dan bantuan daripada Allah serta tidak dikabulkan doa. Jadikan amalan ini sebagai wirid amalan sepanjang Ramadhan ini agar kita keluar daripada bulan ini bersih daripada dosa kecil.

Renungilah firmanNya dalam surah Hud ayat 52 (maksudnya): "Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!"

15. Setiap perjuangan Islam pasti akan berdepan dengan musuh yang serba canggih dan keupayaan yang melebihi daripada kekuatan Islam. Mereka memiliki wang yang banyak, peralatan yang cukup, bilangan personel yang ramai serta keperluan material yang lengkap.

16. Walaupun perjuangan Islam juga menuntut persiapan, namun tetap tidak setanding dan mampu disediakan sama dengan apa yang dimiliki oleh musuh. Sudah tentu pada zahirnya kelihatan semua kelengkapan material ini memberi kelebihan kepada musuh.

17. Hanya kekurangan yang ada pada musuh apabila mereka banyak melakukan maksiat dosa kepada Allah, hidup berpoya-poya, cintakan dunia dan tidak mengharapkan pertolongan Allah. Sekiranya ahli PAS mempunyai sifat yang sama seperti musuh, sudah pasti kemenangan tidak diberikan kepada Islam dek terhijap dengan dosa daripada rahmatNya.

18. Oleh itu, ahli PAS adalah secara wajib haraki membersihkan diri dan sanubari dengan banyakkan taubat dan istighfar di bulan Ramadhan ini. Tangiskan air mata ketakutan kepada Allah membimbangi kemurkaanNya dengan sebab dosa-dosa.

Ramadhan Menumpaskan Nafsu Syahwat

19. Ya, musuh Islam dimana-mana. Namun tidakkah kita sedari bahawa ada musuh yang dekat dengan kita sepanjang masa dan tidak pernah berpihak untuk tunduk kepada Allah adalah dalam diri kita sendiri.

20. Nafsu syahwat kita pada hakikatnya sentiasa mendorong kita supaya menjauhi daripada rahmat Allah swt. Firman Allah swt dalam surah al Kahfi ayat 28 (maksudnya): "dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran."

21. Ramadhan adalah bulan menjinakkan hawa nafsu yang bersifat sentiasa mendorong diri kepada habuan segera, nikmat seketika, dunia yang penuh tipu daya, malas berjihad dan mengingkari perintah Allah.

22. Ahli PAS perlu menongkah syahwat duniawi yang menghambat pejuang Islam daripada landasan perjuangan suci ini sehingga ada yang buta mata hatinya melihat janji Allah swt di kemudian nanti.

23. Sememangnya matlamat perjuangan PAS jelas, iaitu menegakkan Islam dan memartabatkan hukumNya di tanah air tercinta ini. Kejayaan melawan nafsu ini memberikan kekuatan tatkala ahli PAS diuji dengan nikmat kemenangan dalam perjuangan agar tidak mudah goyah dan lupa daratan dan asal usul prinsip perjuangan PAS.

24. Ahli PAS hendaklah menjadikan ibadah puasa membuatkan seluruh anggota badan seperti mata, telinga, lidah, tangan, kaki dan kemaluan patuh hanya kepada perintah Allah azzawajalla sebagai pentarbiyyahan diri pejuang untuk menjadikan hamba kepada Allah sahaja dan bukan lelainnya.

25. Walaupun perbuatan yang bakal dilakukan itu tidak berdosa pada bulan lain atau waktu lain, atau halal pada memakannya atau menanfaatnya, namun kerana perintah Allah seorang yang berpuasa mengenepikan semua kehendak nafsu semata-mata patuh kepada arahan Allah dan kehendakNya sahaja.

26. Al-Quran dalam mengisahkan tentera Thalut yang diuji oleh Allah dengan menahan diri daripada meminum air sungai ketika perjalanan menuju jihad menentang Jalut. Mereka yang berjaya menangkis nafsu mereka untuk melaksanakan perintahNya adalah golongan yang diberikan kemenangan oleh Allah sekalipun jumlah mereka sedikit dan pada lojik akal bahawa dengan jumlah bilangan seperti mereka akan mengalami kekalahan.

Lihatlah Surah al Baqarah ayat 249 (maksudnya): "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya". (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): "Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya". Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar".

Wahai ahli PAS, marilah kita jadikan Ramadhan ini sebagai Mukhayyam Tarbawi dan Tamrin langsung daripada Allah swt kepada kita agar prasyarat kemenangan dapat dipenuhi sekali gus Allah mengurniakan kejayaan di dunia di samping habuan di akhirat nanti.

Mudah-mudahan Allah menerima segala amalan kita.

Sejahtera Bersama Islam

Ustaz Muhammad Najhan Halim
Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat
27 Mei 2017 | 1 Ramadhan 1438H

Muqaddimah

Bulan yang dinantikan oleh seluruh umat Islam kembali tiba. Penghulu segala bulan dan sebaik-baik bulan di sisi Allah. Tetamu yang dinanti-nantikan ini disambut dengan penuh kegembiraan oleh umat Islam, menunjukkan iman yang ada dalam hati mereka tidak boleh dipadamkan oleh musuh-musuh Islam.

Anak Muda dan Ramadhan

Anak-anak muda di seluruh pelosok dunia Islam bergembira dengan ketibaannya walaupun pelbagai ragam pada diri mereka yang diboleh dilihat pada 'style' cara pemakaian dan penampilan diri. Sebagai contoh pada bulan Ramadhan, masjid-masjid di Turki dipenuhi oleh anak-anak muda, mereka itu memakai gelang, rantai dan 'tatoo' pada badan, walaupun dengan kejahilan tetapi mereka sayangkan Islam. Jangan hukum mereka mengikut zahir, santunilah mereka dengan penuh berhikmah. Kecintaan pada bulan Ramadhan dicampak oleh Allah ke dalam hati setiap Muslim. Inilah mukjizat Ramadhan!

Ramadhan Bulan Tarbiyah

Bulan Ramadhan sinonim dengan bulan tarbiyah; ia adalah bulan tarbiyah jasadiyyah dengan ibadah puasa yang diwajibkan untuk mendidik jasad kita supaya menghargai nikmat makan minum yang dikurniakan Allah. Ia adalah bulan tarbiyah ruhiyyah dengan segala macam hidangan ibadah-ibadah yang menyucikan rohani daripada sifat-sifat yang keji seperti sombong, angkuh, marah, membazir dan lain-lain lagi. Ia adalah bulan tarbiyah jihadiyyah kerana seseorang itu berjaya melawan nafsunya untuk melaksanakan perintah Allah dan juga bulan kemenangan kepada umat Islam dalam menghadapi musuh-musuhnya seperti kemenangan dalam Perang Badar, Pembukaan Makkah dan lain-lain lagi. Bulan Ramadhan juga ialah bulan tarbiyah siyasiyyah (tarbiyah politik) kerana Rasulullah SAW telah mengendali urusan-urusan penting dalam politik Islam pada bulan ini, antaranya ialah:

Tarbiyah Siyasiyyah Dalam Perang Badar

Perang Badar perlu dilihat dari sudut politik Islam yang lebih luas sama ada sebelum dan selepasnya, bukan sahaja dari sudut peperangan bersenjata semata-mata. Perang pertama dalam sejarah Islam ini berlaku selepas negara Islam dibentuk di Madinah yang dipimpin sendiri oleh Rasulullah SAW. Fatrah (zaman) Madaniyyah ini dilengkapkan penurunan ayat-ayat yang berkait hubungan manusia dengan manusia, khususnya ayat-ayat yang berkait dengan politik pemerintahan; hak-hak bukan Islam dalam negara Islam, hukum-hakam jenayah dan termasuk juga hubungan negara Islam dengan negara bukan Islam sama ada ketika perang atau damai. Dalam tempoh ini Allah menurunkan ayat-ayat yang mengizinkan kepada Nabi SAW untuk berperang, seperti firman Allah SWT yang bermaksud: "Perangilah orang-orang musyrikin keseluruhannya.” (Surah al-Taubah: 36)

Menurut Dr Yusuf al-Qardhawi di dalam bukunya; Fiqh al-Jihad dan juga Dr Haykal di dalam tesis PhDnya; al-Jihad wa al-Qitaal fi al-Siyasah al-Syari’yyah (Jihad dan Perang Dalam Politik Islam) antara lain menyebut bahawa; dari segi politik Islam, pengisytiharan perang ke atas negara bukan Islam hanya boleh dilakukan oleh negara Islam. Adapun individu Muslim atau organisasi tidak boleh mengisytiharkan perang ke atas negara bukan Islam kerana ia salah dari sudut fiqh al-Jihad. Kecuali jika sekiranya negara kafir menyerang dan menakluk negara Islam, maka setiap orang Islam wajib bangkit untuk mempertahankan diri sebagaimana yang berlaku di Palestin. Inilah apa yang berlaku dalam sirah nabawiyyah, di mana Nabi SAW tidak mengisytihar perang ke atas Musyrikin Makkah semasa baginda berada di Makkah. Akan tetapi ianya berlaku selepas negara Islam dibentuk di Madinah. Ini adalah satu bentuk tarbiyah siyasiyyah yang ditunjukkan oleh Nabi SAW kepada umatnya yang pilih oleh Allah SWT berlaku pada bulan Ramadhan yang mulia ini.

Antara tarbiyah siyasiyyah yang berlaku pada peperangan ini juga ialah konsep musyawarah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW ketika baginda mahu memutuskan tempat berkubu bagi tentera Islam. Rasulullah SAW menerima pandangan salah seorang sahabatnya kerana melihat ia adalah strategi yang terbaik. Peristiwa ini menunjukkan bahawa Islam mendahului demokrasi Barat yang memberikan hak kepada rakyat untuk menegur dan memberi pandangan kepada Ketua Negara.   

Tarbiyah Siyasiyyah Dalam Pembukaan Makkah

Peristiwa Pembukaan Makkah yang berlaku pada bulan Ramadhan tahun ke-8 hijrah juga adalah satu contoh tarbiyah siyasiyyah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Jika sekiranya Perang Badar dilihat sebagai politik perang antara negara Islam dan bukan Islam. Adapun peristiwa Pembukaan Makkah adalah politik damai yang ditunjukkan oleh baginda. Ketika tamadun-tamadun manusia lain menunjukkan politik dendam ke atas musuh setelah satu-satu tempat itu ditakluk, hingga berlakunya pertumpahan darah, perampasan hak dan seumpamanya sebagaimana ditunjukkan dalam tamadun Rom dan Parsi. Termasuk juga kuasa-kuasa selepas daripada zaman Islam seperti penaklukan tentera Salib ke atas Baitulmaqdis yang membunuh dan menyembelih penganut-penganut Islam dan Yahudi sebagaimana disaksikan sendiri oleh ahli-ahli sejarah Barat. Begitu juga apa yang dilakukan oleh Kerajaan-kerajaan Kristian ketika merampas Sepanyol dari tangan umat Islam, bukan sahaja mereka dibunuh bahkan kubur-kubur mereka dicungkil untuk memadamkan tanda-tanda kewujudan Islam.

Dalam peristiwa Pembukaan Makkah, Rasulullah SAW telah menunjukkan budaya politik matang dan berakhlak terhadap negara Makkah yang dibuka oleh baginda. Tidak berlaku pertumpahan darah dan perampasan hak, walaupun permusuhan yang begitu dalam antara mereka. Bahkan Rasulullah SAW mengisytiharkan Deklarasi Makkah dengan memberikan pengampunan kepada sebahagian besar penduduk Makkah yang pernah menzaliminya dan orang-orang beriman yang bersama dengan baginda. Ini adalah kebijaksanaan berpolitik yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW bagi memastikan kestabilan politik berlaku di dalamnya dan pandangan jauh Nabi SAW dari sudut politik dakwah untuk menarik orang-orang Makkah kepada Islam.

Ramadhan dan Tarbiyah Siyasiyyah

Ramadhan adalah bulan yang mendidik umat Islam untuk berpolitik dengan politik Islam. Politik di dalam Islam adalah sebahagian daripada ajaran yang tidak boleh dipisahkan kerana ianya adalah asas dan rukun yang penting di dalam Islam. Al-Imam al-Qurtubi menegaskan di dalam tafsirnya ketika menafsirkan firman Allah:

"Dan ingatlah ketika Tuhan kamu berfirman kepada malaikat, "Sesungguhnya aku ingin jadikan di atas dunia ini seorang khalifah." Malaikat berkata, "Adakah kamu mahu jadikan di atasnya mereka yang melakukan kerosakan dan pertumpahan darah?" Allah berfirman, "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak mengetahui"."(Surah al-Baqarah: 30)

Ayat ini menjadi hujah bahawa politik dan urusan pemerintahan adalah merupakan salah satu rukun-rukun Islam yang penting. (lihat Tafsir Al-Qurthubi)

Dalam al-Qur'an juga menerangkan peranan yang dimainkan oleh Anbiya' sebagai ahli politik yang mentadbir urusan dunia dengan petunjuk wahyu daripada Allah atau menegur dan menasihati pemerintah yang zalim supaya mengikut petunjuk Allah. Nabi Daud dan Nabi Sulaiman diceritakan di dalam al-Qur'an sebagai raja yang adil dan bijaksana yang mentadbir kerajaan dengan panduan wahyu dari Allah. Firman Allah yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman, dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: "Segala puji bagi Allah yang dengan limpah kurnianya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambanya yang beriman." Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud; dan setelah itu Nabi Sulaiman berkata: "Wahai sekelian rakyat! Kami telah diajar mengerti bahasa pertuturan burung dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) sesungguhnya yang demikian itu adalah limpah kurnia (dari Allah) yang jelas nyata”." (Surah al-Naml: 15-16)

Begitu juga Nabi Yusuf, firman Allah Ta'ala yang bermaksud: “Dan demikianlah caranya kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi (Mesir), ia bebas tinggal di bumi itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat kami kepada sesiapa sahaja yang kami kehendaki dan kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Surah Yusuf: 56)

Nabi Musa diceritakan sebagai seorang ahli politik pembangkang yang menegur dan menasihati Firaun supaya telus dan adil di dalam pemerintahannya. Firman Allah Ta'ala: "Pergilah kamu berdua kepadanya (Firaun) dan katakanlah sesungguhnya kami adalah Rasul Tuhan kamu, maka lepaskanlah Bani Israel supaya mereka bersama kami dan kamu seksakan mereka. Sesungguhnya kami telah datang dengan ayat (keterangan) Tuhan kamu dan salam sejahtara kepada sesiapa yang mengikut petunjuk." (Surah Taha: 47)

Petunjuk Nabawiyyah di atas menunjukkan bahawa keprihatinan Nabi SAW untuk mendidik umat baginda mengenai politik Islam di sepanjang masa termasuklah di bulan Ramadhan. Ia mengajar kita bahawa Islam adalah ugama yang mengikat seseorang dengan Tuhannya, bukan sahaja pada ibadah-ibadah khususiyyah seperti ibadah puasa pada bulan Ramadhan, bahkan juga dalam urusan-urusan kehidupan manusia lain khususnya politik. Jangan kita putuskan hubungan dengan urusan politik setelah masuknya bulan Ramadhan dengan alasan ia adalah bulan tarbiyah rohani untuk menyucikan diri semata-mata.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

2 Ramadhan 1438 | 28 Mei 2017 – HARAKAHDAILY 28/5/2017

SAYA bagi pihak seluruh Badan Perhubungan PAS negeri Terengganu kepada seluruh ahli-ahli PAS dan seluruh kaum muslimin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak.

Bulan yang penuh dengan keberkatan, bulan yang penuh dengan rahmat, yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW, ataupun yang disabdakan oleh Rasulullah SAW, iaitu bulan yang di awal-awalnya adalah rahmat oleh Allah, dan pertengahannya adalah keampunan, dan terakhir akan terbebas daripada api neraka.

Saya berdoa dan mengharapkan, gantungkan harapan kepada Allah SWT, semoga kita umat Islam dapat mengambil peluang daripada keberkataan, rahmat yang disediakan oleh Allah dalam bulan Ramadhan ini.

Kita akan dapat mengambilnya sebanyak mungkin menerusi pendekatan diri kita kepada Allah, melalui jalan-jalan yang disediakan oleh Allah sama ada menerusi membaca al-Quran, memperbanyakkan zikir, bersedekah dengan sebanyak-banyaknya, kerana inilah bulan yang paling diberkati, yang paling dimustajabkan oleh Allah SWT.

Marilah sama-sama kita mengambil peluang daripada Ramadhan ini untuk mencapai matlamat pada mana yang diletakkan oleh Allah SWT, bahawa matlamat kita, matlamat difardukan Ramadhan untuk membina taqwa ataupun untuk menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah.

Orang yang bertaqwa kepada Allah adalah orang yang mengikut apa jua perintah Allah menghindar diri dari apa jua yang dilarang oleh Allah, atau dengan lain perkataan sebagaimana telah disifatkan oleh Syaidina Ali Karamallahu Wajhah, orang yang bertaqwa adalah takut kepada Allah SWT, apa jua yang kita lakukan mesti diukur.

Sama ada Allah Taala reda ataupun Allah benci, Allah marah atau Allah murka, itulah ukuran yang mesti dilakukan oleh kita dalam apa jua tindakan, dalam apa jua tingkah laku, yang akan kita laksanakan.

Dan yang kedua, mesti beramal mengikut wahyu yang diturunkan oleh Allah, iaitu kita mesti bertindak mengikut wahyu, mengikut ayat-ayat ataupun syariat yang diturunkan oleh Allah sama ada perkara yang berkaitan dengan peribadi, ataupun yang berkaitan dengan keluarga, ataupun apa jua yang berkaitan dengan masyarakat dan juga yang berkaitan dengan negara.

Mestilah selaras dan selari dengan wahyu yang diturunkan oleh Allah untuk kita mencapai darjat ketaqwaan kepada Allah.

Dan yang ketiga ialah mesti bersedia menyediakan kelengkapan dan bekalan untuk kita berhadapan dengan hari yang kita akan tempuhi iaitu hari selepas daripada kematian yang mana pada waktu itu Allah Taala sebut iaitu hari yang kita tak guna harta dan anak-pinak, melainkan orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera.

Selamat berpuasa dan selamat menunaikan ibadah kepada Allah!

Dato’ Ustaz Haji Husain Awang,
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
29 Sya’ban 1438H/ 26 Mei 2017 - HARAKAHDAILY 26/5/2017

(يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ)

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana yang telah diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu. Moga-moga kamu menjadi orang yang bertaqwa.” [Surah Al-Baqarah: 183]

Alhamdulillah. Syukur kita ke hadrat Allah swt kerana atas limpah kurniaNya, kita dianugerahkan lagi Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan ini. Hadiah yang paling berharga bagi orang yang beriman, mengandungi pelbagai perkara, keindahan, ketenangan, kemanusiaan, keinsafan, keampunan dan yang paling bernilai ialah ketaqwaan. Maka, bermulalah perlumbaan bagi kita semua mencari janji-janji Allah yang telah dipaterikan di dalam al-Quran dan juga hadis Rasulullah saw berkenaan fadhilat-fadhilat dalam bulan yang mulia ini. Tetapkan keihklasan niat kita, lakukan ibadat mengikut petunjuk rasulullah, insyaAllah hadiah itu, milik kita.

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ  

“Bulan Ramadhan yang diturunkan didalamnya al-Quran, menjadi petunjuk kepada manusia, dan keterangan-keterangan daripada petunjuk itu dan menjadi pembeda (antara haq dan bathil).” [Surah Al-Baqarah: 185]

Dalam kesibukan kita mencari kelebihan pahala yang dijanjikan Allah, suka saya mengingatkan semua, bahawa bulan Ramadhan ini jugalah bulan yang diturunkan al-Quran. Kitab yang tiada sebarang keraguan di dalamnnya. Melalui kitab al-Quran inilah, kita ditunjuki jalan yang benar, dikurniakan cahaya petunjuk dan yang juga pencerahan berkenaan perbezaan di antara jalan yang benar dan salah. Al-Furqan iaitu yang membezakan kita dengan yang kafir, dengan munafik, dengan yang bathil, dengan perkara kejahatan, dengan yang zalim dan dengan segala yang dibenci Allah. Kesemuanya akan kita ketahui perbezaannya sekiranya kita mengambil peduli kandungan al-Quran itu bagi menjadikannya benar-benar sebagai kompas kehidupan kita.

Maka di atas semangat Ramadhan yang diturunkan al-Furqan ini, saya menyeru agar kita semua memperbanyakkan interaksi dengan al-Quran sama ada dengan bertadabbur ataupun memperbanyakkan membaca al-Quran supaya kita kembali mengambil al-Quran in sebagai panduan hidup. Sesungguhnya kita sudah tersasar jauh daripada kehidupan yang diredhai Allah kerana al-Quran hanya digunakan kita sebagai perhiasan dan bukannya diambil iktibar maksudnya sebagai panduan bagi keseluruhan sistem hidup kita, baik untuk pedoman dalaman diri kita khususnya, mahupun kepada seluruh masyarakat dan juga pemerintahan negara amnya.

Suka juga saya berpesan agar kita menjauhi sikap membazir dengan berlebih-lebihan apabila membeli makanan untuk kita sendiri. Tetapi alangkah mulianya jika kita menukarkan pembaziran ini dengan membeli banyak makanan dan kemudian disedekahkan kepada jiran-jiran terutama yang miskin dan lemah. Bukan sikap membazir ini sahaja yang perlu kita jauhi, malah banyak lagi perkara-perkara dosa yang tidak kita sedari, akan mengurangkan atau menghapuskan pahala puasa kita. Semoga kita mengambil peringatan dalam usaha kita merangkul gelaran orang-orang yang bertaqwa.

Berazamlah Ramadhan ini menjadi permulaannya perubahan minda dan tindakan kita selari menurut Islam supaya lebih bermakna bagi kita semua. Kita berharap agar Allah mengekalkan kebaikan yang kita lakukan bukan sahaja di bulan Ramadhan, tetapi untuk selama-lamanya. Moga Ramadhan ini, kita dikurniakan kerahmatan, keampunan sebanyak-banyaknya ke atas kita dan keluarga, mengeluarkan kita semua daripada kegelapan hidup di dunia dan akhirat. Memandu kita untuk memilih jalan yang sebenarnya, dikurniakan hidayah bagi menerima Islam sebagai satu-satunya cara hidup oleh semua lapisan manusia insya Allah kerana kita akan “Sejahtera Bersama Islam” Wallahua’lam.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
29 Syaaban 1438/26 Mei 2017 - HARAKAHDAILY 26/5/2017