1) SYARIKAT penerbangan AirAsia mengumumkan penggunaan hijab kepada semua juruterbang wanita mereka setelah melancarkan kerjasama khas dengan jenama hijab terkemuka, Naelofar Hijab. Kerjasama tersebut mengesahkan Naelofar Hijab akan menjadi tudung rasmi pilot semasa menjalankan tugas.

2) Kenyataan terbaru memutuskan bahawa juruterbang wanita muslim dari sektor AirAsia X akan memakai putih Naelofar Hijab yang khusus untuk memenuhi keperluan hari kerja mereka bermula bulan ini, Jun 2017.

nuridah3) Kami Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengikuti perkembangan ini dan mengucapkan jutaan tahniah kepada pihak penerbangan AirAsia atas usaha ini. Sesungguhnya ia merupakan satu kejayaan yang perlu dibanggakan dan dicontohi.

4) Allah S.W.T jelas memerintahkan hambaNya menutup aurat walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Hal ini jelas berdasarkan firmanNya dalam Surah An Nur ayat 31 yang bermaksud: "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."

5. Usaha murni ini juga disarankan kepada pemakaian baju seragam pramugari. Ukuran dan rekabentuk uniform perlu mengikut ciri yang mengikut syarak iaitu tidak terlalu ketat, tidak jarang serta kain tidak nipis dan sesuai perlu dititiberatkan agar pemakai akan kelihatan anggun dan bergaya menampilkan ciri ketimuran mengikut acuan Islam sekali gus membawa nama Islam ke persada dunia.

6. Justeru, kami mendoakan semoga usaha ini dipermudahkan dan mendapat sokongan dari semua. Marilah sama-sama kita mengamalkan syariat Islam sebenar sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. Semoga pekerjaan kita semua penuh keberkatan. Tahniah AirAsia!

“Sejahtera Bersama Islam”
“Muslimat Memacu Kemenangan”

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
17 Ramadan 1438 | 12 Jun 2017 - HARAKAHDAILY 12/6/2017

SEJARAH ringkas penemuan minyak di Borneo khususnya di Sarawak yang perlu diketahui sebelum ia digunakan secara komersial. Pada bulan Julai 1882, Residen British di daerah Baram telah mencatatkan penemuan minyak.
 
Beliau mencatatkan penduduk Melayu tempatan menggunakan minyak untuk tujuan perubatan dan untuk menghidupkan lampu minyak serta campuran damar untuk menampal bot atau sampan.
 
Pada tahun 1909, syarikat minyak, iaitu Anglo-Saxon syarikat asal kepada syarikat Sarawak Shell Berhad hari ini telah diberi hak untuk mengeksploitasi sumber petroleum di seluruh negeri ini.
 
Pada Ogos 1910, minyak ditemui di perkampungan Miri di atas bukit yang dikenali sebagai bukit Kanada hari ini. Pada mulanya, sebanyak 8 tong minyak sehari telah dihasilkan. Miri boleh dianggap sebagai permulaan industri petroleum komersial di Borneo sebelum merdeka.
 
Sebelum ianya dikomersialkan penduduk tempatan pada masa itu bebas menggunakannya sebagai bahan untuk kegunaan harian seperti untuk menyala api, perubatan dan menampal bot dan lain-lain.
 
Selepas berdekad-dekad ia telah dikomersilkan oleh syarikat-syarikat asing dan juga di bawah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) maka sudah tiba masanya untuk kerajaan negeri menubuhkan syarikat sendiri untuk meneroka hasil minyak dan gas untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
 
Kita menyokong penuh hasrat kerajaan Sarawak untuk menubuh syarikat minyak dan gas sendiri tapi pasti ianya bebas dari pengaruh mana-mana parti politik pemerintah dan ianya memberi manfaat kepada penduduk tempatan.
 
Pastikan bahawa ahli-ahli politik tidak mengganggu dan mencampuri urusan syarikat minyak dan gas kerana ia perlu diuruskan oleh golongan profesional dan pakar dalam bidang cari gali minyak dan gas. Ramai anak-anak tempatan yang boleh mengurus dan melaksanakan tugas yang berkaitan dalam bidang minyak dan gas ini tanpa terlalu bergantung dengan orang asing.
 
Kerajaan hanyalah memantau syarikat dan bukannya campur tangan dalam hal ehwal syarikat sehingga menjejaskan urusan syarikat. Apabila ada orang yang mempunyai kepentingan campur tangan dalam syarikat tidak syak lagi akan berlaku penyalahgunaan kuasa dan ketirisan yang akhirnya merugikan rakyat.
 
Sarawak mempunyai hak untuk mempunyai syarikat minyak dan gas sendiri untuk memberi faedah kepada orang-orang yang memerlukan pekerjaan dan ia juga boleh menyumbang kepada pembangunan Sarawak. Kami berharap apabila ia berjaya nanti, janganlah Ali Baba syarikat kerajaan kepada orang asing untuk mengawalnya. Beri keutamaan kepada rakyat tempatan menguasainya dan bebas dari campur tangan asing.
 
Jofri Jaraiee
Pesuruhjaya PAS Sarawak

BULAN Ramadhan kini memasuki fasa separuh terakhir. Umat Islam yang sedang menikmati kemanisan ibadah berpuasa mula bersiap sedia untuk memulakan perlumbaan mengejar (taharri) malam Lailatul Qadr yang penuh keberkatan dan ketinggian. Kehangatan ibadah kian memuncak.

Tetapi tidak semua akan menikmati malam-malam terakhir bulan Ramadhan. Sebahagian kita umat Islam memilih untuk menyibukkan diri dengan persediaan menyambut hari raya yang berlebihan sehingga mengganggu konsentrasi beribadah pada hujung bulan Ramadhan ini.

Ia mengecewakan. Tetapi demikianlah Allah memilih daripada kalangan para hamba-Nya orang-orang terpilih yang dikehendaki-Nya menuju gerbang Lailatul Qadr yang gilang gemilang janji-janji-Nya. Justeru adalah sayugia untuk kita terus memperelokkan amalan ibadah kita dari sekarang agar dapatlah menarik kasih sayang Allah untuk merahmati dan memilih kita juga.

Jika kita meneliti petunjuk nas dan amalan Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam sepanjang bulan Ramadhan, kita pasti menemukan beberapa amalan mesti yang berjaya membina bulan Ramadhan kita dengan sempurna. Akan lahir daripada satu amalan tertentu amalan-amalan lain yang lebih bertenanga dan menyemarakkan lagi suasana beramal pada bulan mulia ini. Malah kegagalan melaksanakan ibadah dengan berpetunjuk akan menyebabkan lemahnya kesan Ramadhan dalam kehidupan seseorang itu.

Ada 3 amalan ibadah utama yang kemudiannya menghasilkan 3 amalan ibadah utama yang lain. Dengan gandingan 6 amalan utama ini, hampir-hampir bulan Ramadhan telah memberikan dan mencurahkan segala kelebihannya untuk kita.

Amalan pertama ialah membaiki dan memperelokkan ibadah solat lima waktu. Inilah yang paling utama. Ibadah puasa dan selainnya yang tidak diperkukuhkan dengan solat lima waktu adalah sia-sia. Ia langsung gagal mencetuskan ketaqwaan. Bahkan sebahagian ulamak berpendapat bahawa tiada puasa (batal) bagi orang yang meninggalkan solat lima waktu.

Solat lima waktu adalah pintu utama menuju Allah. Ia adalah pembuka hijab yang memisahkan alam syahadah atau nyata daripada alam ghaib yang jauh lebih agung. Dengan solat lima waktu umat Islam tidak lalai daripada mengingati Allah, seterusnya mencetus rasa takut dan syukur kepada-Nya.

Oleh kerana ibadah solat lima waktu menuntut kekhusyukan dan hati yang tidak lalai, ia kadang-kadang gagal memberi kesan maksimum kepada pendirinya. Ramai yang mendirikannya sambil lewa dan dengan rasa malas. Justeru solat lima waktu tersebut gagal membangunkan kehidupan nurani seseorang muslim akibat binaannya yang rapuh dan rosak.

Bulan Ramadhan hadir ibarat bengkel 'workshop' bagi memulih dan membina kembali solat lima waktu. Suasana cinta Allah yang dicetuskan oleh bulan Ramadhan mestilah digunakan sepenuhnya oleh setiap kita untuk memperelokkan kembali nilai dan mutu solat lima waktu kita.

Disyariatkan solat tarawih dan qiamul-lail adalah bagi menambahkan lagi keseronokan beribadah melalui solat. Apabila kecintaan kepada solat terbina, maka kesungguhan untuk mendirikan dan menjaga solat lima waktu akan lebih diutamakan kerana ibadah yang fardhu adalah lebih disukai Allah daripada solat-solat sunat walaupun banyak.

Amalan kedua adalah menunaikan ibadah puasa dengan sempurna. Ia bukan puasa awam yang sekadar menahan diri daripada makan minum dan hubungan seks suami isteri yang membatalkan puasa. Bahkan ibadah puasa yang disyarakkan adalah menahan seluruh anggota tubuh daripada perkara-perkara yang terlarang selain melakukan ketaatan kepada Allah.

Ia adalah puasa perut bersama puasa mata, telinga, lidah, tangan dan seluruh anggota tubuh. Malah ia memuncak dengan puasa hati daripada mengingati selain Allah. Ertinya, ia adalah mujahadah yang besar dan berterusan. Memasuki tangga-tangga mujahadah ini adalah petunjuk nabi dan perlaksanaan beramai-ramai oleh para sahabat dan para ulamak yang datang selepas mereka.

Adalah sayugia diingatkan dengan adab-adab berpuasa seperti bersahur sebelum subuh, bersegera dengan iftor sebaik azan maghrib, solat berjamaah di masjid dan lidah yang basah dengan zikrullah.

Amalan ketiga adalah membaca atau tadarus al Quran pada siang dan malamnya. Adalah bagus sekali jika dapat khatam al Quran di sepanjang bulan Ramadhan samada sekali atau berkali-kali.

Bulan Ramadhan adalah bulan al Quran. Al Quran telah diturunkan pada bulan Ramadhan. Lailatul Qadr yang menjadi sasaran utama pemburuan pada bulan penuh berkat ini adalah sempena penurunan al Quran kepada nabi Muhammad dan umatnya.

Justeru al Quran mestilah diraikan dengan sebaik-baik cara iaitu dengan berpuasa, membaca al Quran, tadarus, memahami dan mengamalkannya. Jibril turun khusus di bulan yang mulia ini bukan semata-mata untuk membawa wahyu baru, bahkan untuk bersama nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam bertadarus al Quran.

Inilah tiga amalan ibadah besar yang menjadi perlumbaan generasi awal Islam.

Dengan tiga ini, hati mukmin menjadi bersih dan bercahaya dengan taqwa dan syukur. Hati yang bersih inilah yang akhirnya melonjakkan setiap mukmin yang berpuasa untuk terus melakukan ibadah-ibadah yang lain dengan penuh kesedaran dan keinsafan.

Ada tiga amalan ibadah besar yang terhasil dari jiwa yang bersih kesan daripada tiga amalan besar di atas;

Pertama adalah zikrullah atau mengingati Allah. Zikrullah adalah hasil langsung daripada ibadah solat, puasa dan membaca al Quran. Ia inti kepada ketiga-tiga ibadah tadi. Dengan zikrillah, manusia akan takut kepada Allah dan mensyukuriNaya. Di situlah terciptanya ketenangan hidup.

Pada sepanjang bulan Ramadhan, hati dan lidah orang mukmin akan sentiasa basah dengan zikrillah. Ia memuhasabah dan memuraqabah dirinya agar insaf dan bersegera dengan istighfar dan taubat.

Kedua adalah amalan bersedekah. Ibadah puasa memberi kesedaran yang tinggi kepada setiap mukmin terhadap nikmat dan rezeki kurniaan Allah ke atasnya. Dia melihat kelebihan nikmat Allah ke atasnya berbanding manusia lain yang dirundung kesempitan. Kesedaran itu mencetuskan kekuatan untuknya memecahkan rantai kedekut dan sombong yang menyekat dirinya daripada menyumbang dan berbakti.

Bulan puasa adalah bulan sedekah. Orang mukmin berlumba-lumba dengan sifat budiman dan pemurah untuk menderma dan memberi makanan kepada orang-orang miskin dan yang memerlukan. Amalan sedekah menarik kasih sayang dan bantu membantu sesama masyarakat. Maka bulan Ramadhan adalah juga bulan kesatuan umat.

Ketiga adalah dakwah dan jihad fi sabiliLlah. Ia adalah kemuncak kesedaran kesan daripada ibadah solat, puasa dan tadarus. Cahaya hidayat yang memasuki jiwa seseorang muslim dan kemanisan bersama kebenaran hakiki yang dirasainya sepanjang madrasah Ramadhan telah menggoncang jiwanya untuk bangkit menyeru saudaranya yang lain agar kembali kepada Allah.

Dia enggan lagi membiarkan ahli keluarga dan masyarakatnya terus hanyut dengan keseronokan dunia yang sementara dan penuh tipu daya. Dia terus bangkit dengan dakwah dan jihad. Bulan Ramadhan adalah bulan dakwah dan jihad fi sabilillah.

Begitulah bulan Ramadhan yang mulia berjaya membangunkan umat Islam dengan nilai-nilai murni dalam diri dan amalan-amalan besar yang membangunkan kehidupan manusia menuju kesejahteraan hidup dengan redha Allah.

KETIKA ummat Islam sedang berhadapan dengan pelbagai ancaman untuk melemahkan ummah, jauhilah kita dari perkara dalaman yang merenggangkan ukhuwwah serta merosakkan kesatuan sesama saudara seaqidah.

Di Malaysia, ancaman kristianisasi tengah melata mencari mangsa dan di pentas dunia, zionis bersama kuasa barat sedang mencatur dengan penuh bernafsu untuk meratah ummat Islam seumpama mengadap hidangan yang lazat.

Usah dijadikan soal khilafiah sebagai alasan untuk label melabel dan saling menuduh. Berbalah dalam soal khilafiah tak akan selesai sampai kiamat. Kenapa akhlak ulama-ulama silam yang saling meraikan perbezaan pendapat dan pandangan dalam perkara furu' sudah semakin pupus.

Dari sikap berlapang dada ulama terdahulu, sekarang muncul pula ulama segera yang suka mendabik dada bahawa pendapat akulah yang terbaik. Berbeza pendapat dengan aku, kamu mesti dilabel!

Saya respect dengan semangat untuk berhujah dan menegakkan pendapat masing-masing. Sayangnya semangat ini disalurkan pada tempat yang salah. Dalam masa yang sama, kemungkaran serta penyelewengan yang jelas di depan mata serta tidak ada khilaf padanya, boleh pula didiamkan malah bersekongkol mempertahankan tuan besar mereka yang korup.

Atas alasan kononnya nak jaga kemurnian aqidah, kamu terjebak pula dalam dosa memecahbelahkan serta mewujudkan perbalahan dalam masyarakat seaqidah. Beginikah yang kita mahu?

Di Iraq saya pernah tengok saf sembahyang yang putus di tengah kerana perbalahan wahabi dan sufi. Ketika nak sembah Allah, masih sempat lagi berbalah! Bila saya pergi memenuhi ruang saf yang kosong, kita pula yang dimarahi.

Sentimen perbezaan mazhab dalam perkara khilaf telah dimanipulasikan oleh musuh untuk memecahkan kesatuan lalu merenggangkan antara hati-hati kita. Kenapa kita terlalu naif untuk masuk perangkap musuh?

Dr Azman Ibrahim
10 Jun 2017 - HARAKAHDAILY 10/6/2017

Dia bertanya, "Bagaimana PAS boleh mensasarkan kemenangan 40 kerusi parlimen pada PRU14 nanti? Ia hampir mustahil dicapai akibat perpecahan barisan pembangkang. Tidakkah ini akan memalukan PAS nanti jika kalah kerana terlalu berangan-angan?

Saya menjawab, "Malu? Bagaimana pula jika PAS menang 50 kerusi nanti?"

Saya tambah, "PAS jika kalah PRU14 akan terus mensasarkan untuk PRU15 nanti sehingga 60 kerusi parlimen. Saya jangka begitu."

Dia bertanya dan dahinya berkerut, "Mengapa begitu pula?"

Saya syarahkan, "PAS berjuang bukan berpenamat pada PRU14 atau mana-mana PRU akan datang. Hujung perjuangan Allah-lah pemegangnya. PAS bergerak menuju hujung itu. Kemenangan PAS adalah apabila ia terus bergerak dan istiqamah.

Motivasi PAS adalah dakwah dan janji kemenangan daripada-Nya. Setiap kali kita mencapai maksud dakwah, setiap kali itulah pintu kemenangan semakin terbuka di hadapan. Ia terbuka di mana-mana dan bukan PAS yang membukanya. Allah membukanya dengan kehendak dan kemahuan-Nya.

Lihat sahaja Islam hari ini di Malaysia. Islam yang syumul dan sempurna semakin diterima oleh masyarakat. PAS semakin diterima sebagai abang besar dunia dakwah. Sebabnya PAS semakin membina dirinya sendiri agar lebih diterima oleh semua.

Yang menolak PAS ialah yang menerima musuh PAS. Musuh PAS ialah musuh Islam. Itu bukan pelik. Pelik adalah sebaliknya.

Pilihan raya adalah penyukat semasa pasang surut ombak dakwah. Ombak akan terus berombak tanpa malu menghempas pantai. Sampai masanya ia pasti mengubah pantai itu.

Justeru setiap hari adalah kemenangan yang sedang terbuka buat Islam. Tiada lagi sasaran bawah 40 kerusi insya Allah."

Dia mengangguk. Faham.

SADDAM  bukan seorang pemimpin Islamik. Tapi dia sangat mengambil berat tentang Palestin. Ketika Perang Teluk 1990, peluru berpandu Iraq, Abbas dan Hussein telah sampai ke jantung Tel Aviv.

Selepas Perang Teluk, orang Palestin yang menjadi pelarian di Kuwait telah dihalau keluar dari Kuwait. Saddam menerima mereka untuk tinggal di Iraq. Ada di kalangan orang Palestin yang dihalau dari Kuwait dan menetap di Iraq menjadi teman sekelas saya di University Baghdad.

Isu Palestin sentiasa meniti di bibir Saddam dalam ucapan-ucapan beliau. Sekarang Saddam telah tiada...

Muamar Gaddafi juga antara pemimpin yang mengambil berat tentang ummat Islam yang ditindas termasuk Palestin. Saya pergi ke Selatan Fiilipina. Nama Gaddafi disebut di sana sebagai pemimpin yang banyak membantu ummat Islam yang tertindas di Selatan Philipina. Sekarang Gaddafi telah tiada...

Dr Mohamad Morsi telah membuka seluas-luasnya sempadan Mesir-Gaza untuk membolehkan bantuan dihantar ke Gaza ketika era pemerintahan singkat beliau. Malah Morsi pernah menyebut dalam ucapannya bahawa kita akan membebaskan Palestin dan solat di Masjidil Aqsa. Sekarang Morsi sedang dipenjara.

Qatar adalah negara penyumbang terbesar dana pembangunan semula Palestin yang dimusnahkan Israel. Sekarang Qatar sedang cuba dipencilkan...

Cubalah kita lihat dan fahami dengan mata hati krisis yang berlaku ini.

Penuis ialah AJK Kerja PAS Pusat.

SERANGAN di Kota London baru-baru ini yang telah mengorbankan 7 orang awam serta mencederakan puluhan yang lain adalah dikutuk. Serangan itu merupakan serangan kedua dalam tempoh kurang dari sebulan.

Serangan pertama adalah pada 22 Mei lepas di Manchester yang mengorbankan 22 orang.

Islam adalah agama keamanan yang menentang segala bentuk keganasan dan melarang pembunuhan orang awam.

Maka, serangan di Kota London itu jelas menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar.

Malah di dalam peperangan, wanita, kanak-kanak dan paderi tidak boleh dibunuh atau dicederakan. Rumah-rumah ibadat seperti gereja dan kuil juga tidak boleh dirobohkan. Tumbuh-tumbuhan tidak boleh dimusnahkan.

Dengan itu, masyarakat dunia diseru agar tidak terpengaruh untuk mengaitkan Islam dengan serangan-serangan seperti yang telah berlaku di London dan Manchester kerana ia tidak melambangkan Islam yang sebenar.

Islam adalah agama yang cintakan keamanan, keharmonian dan perpaduan.

Di Malaysia, PAS memilih wadah 'Muwajahah Silmiyyah' iaitu pendekatan keamanan melalui pilihan raya. PAS menolak sama sekali sebarang unsur-unsur kekerasan, ekstremis dan perkauman.

YB Dato' Iskandar Abdul Samad
Naib Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
11 Ramadan 1438H | 6 Jun 2017 - HARAKAHDAILY 6/6/2017

DUNIA Islam dikejutkan dengan keputusan empat buah negara Teluk Arab iaitu Arab Saudi, United Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir untuk memutuskan hubungan dengan Qatar dengan alasan negara teluk kecil ini masuk campur dalam urusan dalaman dan menyokong gerakan keganasan. Ini diikuti pula oleh Libya Timur, Yaman dan Maldives yang mengambil keputusan sama.
 
Keputusan yang agak mengejutkan ini diambil selepas 17 hari lawatan Donald Trump ke Arab Saudi dan Israel. Lawatan yang membuka lembaran baru hubungan Israel dan negara-negara Arab. Dalam artikel sebelum ini yang bertajuk; Lawatan Trump: Yang Tersurat dan Tersirat saya ada mengulas matlamat utama lawatan ini tidak lain dan bukan melainkan untuk memastikan keselamatan Israel terjamin di rantau Asia Barat. Ia agak mengejutkan dengan perkembangan baru yang sedang berlaku seolah-olah ianya membenarkan teori untuk mewujudkan pakatan NATO negara-negara Arab dengan menyisihkan mana-mana negara yang mengancamnya.  
 
Khalil HadiStrategi pengukuhan Israel

Perkembangan baru yang sedang berlaku ini perlu dilihat dengan pandangan yang luas dan menyeluruh. Ia bukan sahaja melibatkan perbalahan antara negara-negara Teluk Arab bahkan lebih daripada itu grand design yang sedang berlaku bagi memetakan semula Dunia Islam untuk kepentingan Zionis-Freemason.
 
Perancangan untuk memecah belahkan Dunia Islam bukan satu rahsia lagi. Setelah kejayaan kuasa Barat yang berpaksikan Zionis-Freemason memecahbelahkan Dunia Islam era Perang Dunia Pertama dan Kedua melalui perjanjian-perjanjian jahat Sykes-Picot dan Balfour. Hasilnya Dunia Islam umumnya dan Asia Barat khususnya berpecah kepada berpuluh-puluh buah negara. Palestin diserahkan kepada British yang berakhir dengan penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948.
 
Fasa kedua pula ialah mengukuh kedudukan Israel dan mengekang negara-negara yang menyokong perjuangan umat Islam untuk membebaskan Palestin. Ini berlaku selepas termeterainya perjanjian Camp David, Madrid dan Oslo antara Israel dan pihak-pihak yang bertelagah dengannya.
 
Perjanjian Camp David pada tahun 1978 antara Mesir dan Israel menyaksikan keselamatan Israel terjamin setelah kekalahannya dalam perang dengan Mesir pada tahun 1973. Permusuhan antara kedua-dua negara ini berjaya dilunakkan. Perjanjian Madrid pada tahun 1991 pula meluaskan lagi keselamatan Israel dari sudut luaran. Jika perjanjian Camp David hanya melibatkan negara Mesir sahaja, adapun perjanjian Madrid melibatkan negara-negara Arab lain kecuali Syria dan Libya. Perjanjian ini kononnya untuk mewujudkan keamanan di rantau Asia Barat setelah kekalutan serangan Iraq pimpinan Saddam Hussein ke atas Kuwait dan seterusnya menyerang Israel dengan slogan Pembebasan Palestin. Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya bertindak cepat dengan menyekat Saddam Hussein dan menaja perjanjian Madrid yang bertujuan menjamin keselamatan Israel agar ancaman seperti Iraq tidak akan berulang pada masa akan datang daripada negara-negara arab lain. Perjanjian Oslo pada tahun 1993 pula menyaksikan Israel mengukuhkan cengkamannya dari sudut dalaman dengan menundukkan PLO pimpinan Yaseer Arafat. Ia secara tidak langsung satu pengiktirafan kepada negara haram Israel daripada pihak penentangnya dari kalangan nasionalis Arab.  
 
Gangguan Arab Spring

Dalam tempoh ini Israel berada dalam keadaan tenang kecuali ancaman gerakan militan Islam; HAMAS, Jihad Islami dan Hizbullah. Israel terus membina kekuatannya dengan bergaya. Tidak perlu takut lagi kepada negara-negara di kelilingnya, semuanya sudah berjaya dijinakkan melalui khadamnya Amerika Syarikat. Akan tetapi suasana tenang ini terganggu dengan berlakunya gelora Arab Spring yang menyaksikan kejatuhan regim Arab yang memerintah dengan kuku besi. Kejatuhan regim Hosni Mubarak di Mesir amat dirasai, apatah lagi yang menggantinya ialah Mohamed Morsi, pimpinan Ikhwan Muslimin yang menjadi pencetus kepada penubuhan HAMAS dan Jihad Islami.

Pasca Arab Spring memecahkan Dunia Arab kepada dua blok, pendukung dan penentang. Pendukung utama ialah Qatar yang menunjukkan secara terang-terangan sokongannya kepada Presiden Mesir, Mohamed Morsi. Adapun penentangnya ialah Arab Saudi dan UAE yang membelanjakan ratusan juta dollar bagi menjatuhkan Morsi dan mengekang Arab Spring supaya tidak berkembang ke negara-negara Teluk. Natijahnya Arab Spring tidak mengeluarkan bunga dan buah yang bermanfaat, akan tetapi menjadi sungai-sungai darah yang membasahi bumi Libya, Mesir, Yaman, Iraq dan Syria.
 
Topeng yang terdedah

Tindakan yang dikenakan ke atas Qatar disusuli dengan pendedahan yang mengaitkan hubungan UAE dengan gerakan Zionis-Freemason. Sekumpulan penggodam dari Rusia berjaya memintas e-mel dari Yousef Al-Otaiba, duta UAE ke AS yang mengandungi hubungan intim beliau dengan badan pemikir yang mendukung Zionis-Freemason, Foundation for Defense of Democracies (FDD). Pendedahan sebanyak 55 muka surat ini antara lain menyebut penglibatan UAE terhadap cubaan rampasan kuasa di Turki. Dalam e-mel yang diutuskan oleh penasihat FDD, John Hanna kepada Al-Otaiba pada 16 Ogos 2016, beliau menyebut: “Saya kepilkan di sini satu artikel daripada akhbar Turki yang menyatakan kami daripada (FDD) bersama-sama dengan UAE dan lain-lain lagi merancang bagi rampasan kuasa di Turki”.
 
Dalam e-mel lain pula mendedahkan desakan Al-Otaiba supaya AS menyekat saluran persenjataan kepada Mesir di era Mohamed Morsi menjadi presiden dengan alasan keselamatan. Ini diikuti pula dengan pendedahan hubungan intim antara Al-Otaiba dan bekas Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates. Beberapa hari sebelum pendedahan ini, Robert Gates dilaporkan mengeluarkan kenyataan dalam satu majlis anjuran FDD mengecam polisi luar Qatar. Seterusnya pendedahan pakatan antara AS dan UAE untuk menggagalkan muktamar HAMAS di Doha.
 
Pendedahan ini membuktikan pelakon-pelakon sebenar di sebalik wayang-wayang yang sedang dimainkan. Wayang rampasan kuasa di Mesir dan Turki. Wayang Al-Qaeda dan ISIS. Wayang serangan ke atas gerakan Islam sederhana dan wayang-wayang lain yang sedang dan akan dilakarkan. Bak kata pepatah; bangkai gajah manakan dapat disorokkan.
 
Qatar: Apakah seterusnya?

Qatar walaupun sebuah negara kecil tetapi perlu diakui peranannya dalam mengekang kekuasaan Zionis-Freemason di Asia Barat dengan kelicikannya berpolitik. Ini menyebabkannya menjadi duri dalam daging kepada negara-negara Arab lain. Qatar menyokong HAMAS dalam masa yang sama membenarkan AS membina pengkalan tentera di buminya untuk melancarkan serangan ke atas puak Al-Houthi dan Al-Qaeda di Yaman. Di samping kelunakannya dalam hubungan dengan Iran yang menjadi seteru utama kepada negara-negara Arab Teluk. Justeru tidak syak lagi ia menjadi sasaran utama dalam kemelut yang sedang berlaku ini.
 
Babak yang sedang berlaku ini memberikan Qatar dua pilihan; sama ada mengikut kehendak pendesaknya atau berdepan dengan ‘rampasan’ kuasa secara bersistematik. Sehingga ada penganalisis politik tidak menolak kemungkinan rampasan kuasa secara kekerasan dikenakan ke atas Qatar bagi mencabut duri dalam daging ini.  
 
Hari ini Emir Qatar, Syeikh Tamim bin Hamd Al-Thani mengadakan lawatan rasmi ke Kuwait yang dilihat oleh penganalisis sebagai usaha untuk memulihkan hubungan dengan Saudi Arabia dan UAE. Sebagai rujukan, sebelum ini Kuwait pernah menjadi orang tengah memulihkan hubungan antara Qatar dan negara-negara Teluk dalam krisis diplomasi pada tahun 2014.
 
Episod yang sedang berlaku ini natijah akhirnya ialah perpecahan sesama umat Islam dan mengukuhkan penguasaan Israel ke atas bumi Palestin. Alangkah baik jika kesatuan umat Islam dieratkan dan masing-masing meletakkan matlamat kepentinggan ummah di hadapan. Akan tetapi ia bukan satu perkara yang mudah, kehidupan ini adalah ujian, yang meletakkan umat Islam sama ada berada dalam kubu kebenaran atau kubu kebatilan.  
 
MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia 2017/2019
11 Ramadhan 1438/6 Jun 2017 - HARAKAHDAILY 6/6/2017

1. JULUNG kali PAS menganjurkan Munaqasyah Rakyat dengan melibatkan pelbagai pihak dari luar parti untuk menyorot dasar, hala tuju dan agenda perjuangan PAS menerusi ucapan dasar Presiden PAS yang telah disampaikan sewaktu merasmikan Muktamar Tahunan PAS kali ke 63 tempohari.

2. Bertemakan MEMBINA NEGARA SEJAHTERA BERSAMA ISLAM, PAS mengangkat agenda ini bersama rakyat dari pelbagai lapisan dan latar. Bertepatan pula dengan tema ucapan dasar Presiden PAS baru-baru ini ialah SEJAHTERA BERSAMA ISLAM.

3. Munaqasyah Rakyat menjadi medan terbaru untuk PAS mendengar pandangan sisi dari tokoh akademik, parti rakan, ngo dan tokoh masyarakat mengenai agenda besar untuk membina sebuah negara yang sejahtera bersama Islam.

4. Munaqasyah Rakyat akan berlangsung seperti maklumat berikut :

Program : Munaqasyah Rakyat
Tarikh : 10 June 2017
Hari : Sabtu
Masa : 8.00 am - 1.30 pm
Tempat : Dewan Bankuet MBSA Shah Alam.

Anjuran: Lajnah Penerangan PAS Pusat.

5. Pidato khas Munaqasyah yang akan menjelaskan Gagasan dan Agenda Perjuangan PAS akan disampaikan oleh YB Ust Idris Ahmad selaku Naib Presiden PAS.

6. Panelis Munaqasyah Rakyat dengan tema  Membina Negara Sejahtera bersama Islam akan membariskan :

Dr Zuhdi Marzuki (Pengarah Penyelidikan PAS Pusat,
Dr. Samarudin bin Rejab (Timbalan Presiden IKATAN),
Prof Dr Badlisham Mohd Nasir (Mantan Presiden ILMUAN) dan
En Azmi bin Abdul Hamid
(Pengerusi Kongres Rakyat)

7. Tirai Munaqasyah Rakyat akan dilabuhkan dengan ucapan dan penegasan agenda bersama Membina Negara Sejahtera Bersama Islam oleh Ybhg Tuan Guru Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presiden PAS).

8. Semua rakan-rakan NGO, tokoh masyarakat, aktivis sosial dan parti politik dijemput hadhir untuk sama-sama bermunaqasyah, memberi pandangan dan mengangkat bersama agenda Membina Negera Sejahtera Bersama Islam.

9. Kita perlu bersatu dan mencari titik temu bersama, terutama disaat negara kita berdepan pelbagai ancaman yang makin berani dan nekad oleh pihak pelampau seperti Evangelis Kristian, Islam Liberal, Islam Radikal dan lain-lain yang memberi persepsi yang salah terhadap erti KESEJAHTERAAN ISLAM yang sebenar.

10. Yuran hanya serendah RM10 sahaja bagi menampung kos penganjuran.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

muna1

Peranan PAS melalui dakwah dan politik

TANGGAPAN yang selalu tersilap ialah menganggap PAS hanyalah sebuah parti politik.

PAS sebenarnya lebih dari itu. PAS pada asasnya ialah satu gerakan dakwah dan tarbiyah ummah yang bertujuan mengajak kembali kepada ketauhidan dan menjauhi syirik.

Selain itu, PAS juga mengajak ummah untuk menentang perhambaan kepada harta, pangkat kebesaran dan menentang perhambaan kepada manusia dan sistem ciptaan manusia.

Politik membentuk sebahagian dari asas perjuangan PAS.

Penyertaan PAS dalam pilihan raya tidak sama matlamatnya dengan parti politik lain.

Dalam apa juga keadaan, PAS berusaha menzahirkan Islam di dalam semua aspek kehidupan, termasuklah politik.

PAS terus bekerja menyampaikan risalah dakwah kepada seluruh sendi masyarakat. Dakwah bukan hanya mengajak kepada Islam sebagai aqidah tetapi seluruh sendinya.

Jika kita menggunakan kebersihan awam dan tandas awam di negara Malaysia yang majoriti rakyatnya beragama Islam sebagai piawai, begitulah jauhnya lagi amalan Islam dipraktikkan di Malaysia.

Ini menjadikan persoalan-persoalan seperti kebajikan, kebersihan, keselamatan pekerja, pembelaan golongan tertindas, tadbir urus kerajaan, sistem kenegaraan sebagai medan dakwah yang sangat luas.

Bukankah semua ini adalah manhaj Islam sebagai penyelamat ummah?

Pembinaan tarbiyah ummah bermula seawal kelahiran. Semua medan besar dakwah ini tidak terikat dengan pilihan raya.

Kerana itu, ahli dan pimpinan PAS yang memahami perjuangan besar PAS sebagai satu gerakan dakwah, tidak akan terbelenggu dengan dogma bahawa kalau tewas maka habislah perjuangan.

Selain dakwah, PAS juga berusaha untuk memperbaiki diri.

PAS juga berusaha untuk menentang kemungkaran, menukar parti yang korup, rasuah dan pelbagai kelemahan yang ada dengan Islam sebagai pemandu.

PAS bekerja keras bagi mencapai kemenangan setiap kerusi yang dipertandingkan. Kerana itu, PAS berdaftar sebagai sebuah parti politik. Bukan semacam jamaah dakwah lain.

Kerana mendapatkan kekuasaan adalah sebahagian dari kesempurnaan penghayatan Islam. Kuasa ialah alat bukannya matlamat akhir perjuangan PAS.

Inilah yang membezakan kita dengan parti politik lain.

Mereka yang hanya berfikir mengenai kerusi pilihan raya akan meroyan apabila hanya memikirkan soal menang kalah perjuangan berdasarkan pilihan raya sahaja.

Aspek kemenangan pilihan raya hanyalah sebahagian daripada wasilah perjuangan PAS yang luas.

Penetapan tiga tonggak utama perjuangan iaitu dakwah, tarbiyah dan siasah membuktikan jauhnya pandangan politik PAS.

Di saat kita memburu kemenangan pilihan raya, kita wajib memperkasakan kesemua dimensi perjuangan iaitu dakwah dan tarbiyyah.

Ketiga-tiga tonggak ini mestilah seimbang, bagi mempastikan perubahan secara seimbang dan bersepadu.

Fokus yang besar kepada gerak kerja politik sahaja, dengan mengabaikan tarbiyyah akan hanya melahirkan golongan yang kecewa dan putus asa apabila tewas dalam pilihan raya hatta pemilihan parti di muktamar.

Ia akan mula menyalahkan pelbagai pihak atas kekalahannya, lantas ia menjadi golongan yang mudah futur dalam perjuangan. Di saat inilah syaitan akan menghasutnya dan menjauhkan ia dari  perjuangan dan jihad.

Andainya ukuran kejayaan hanya kepada kalah atau menang pilihan raya sahaja, maka  sangat murahlah perjuangan ini. Hampir tiada beza dengan parti lain yang dasarnya tidak berpijak kepada aqidah dan syariat Allah.

Memantapkan tonggak dakwah

Apabila lujnah dakwah dipisahkan dari lujnah penerangan, maka ia telah menghantar isyarat jelas perlunya diperkasakan peranan dakwah dalam PAS.

Lujnah kanan dalam parti ini mempunyai fungsinya tersendiri. Ia berkait rapat dengan hala tuju parti dan pemerkasaan organisasi parti.

Lujnah ini menjadi pilihan kepada ahli yang berminat dalam medan dakwah melebihi medan politik pilihan raya. Ia mesti menyediakan ruang dan peluang yang terbuka kepada petugasnya.

Medan dakwah yang sangat luas ini memerlukan kesungguhan kerja dan mujahadah yang sangat tinggi.

Medan ini memerlukan dana yang besar bagi menggerakkan aktiviti sama ada di kalangan umat Islam atau mereka yang belum menerima Islam sebagai aqidah mereka.

Kita mesti bekerja sebagai sebuah kerajaan menanti yang tersusun teguh sama ada fizikal jamaah (organisasi) atau rohiyyah jamaah yang dibuktikan melalui kepatuhan, ketaatan, dan keikhlasan dalam perjuangan.

Bahtera besar ini mesti terus belayar, di saat gelombang besar, mungkin perjalanannya perlahan dan lebih berhati-hati, manakala di saat lautan tenang ia boleh meluncur laju ke destinasi.

Nakhoda kapal akan memastikan laluan kapal akan belayar dengan betul walau sesekali membelok ke kiri atau kanan bagi mengelak batu karang atau gelombang besar. Ia tahu apa yang perlu dilakukan.

Anak-anak kapal tidak perlu mengambil alih tugas nakhoda. Kerana nakhoda jamaah ini mempunyai pasukan bagi membincang, merangka dan membuat keputusan bagi membantu tepatnya keputusan dan benarnya tindakan.

Tarbiyyah adalah tonggak utama dalam parti. Ia bukan hanya berlegar di sekitar kepimpinan melalui medan sedia ada, seperti usrah, tamrin, rehlah, muqayyam dan liqa fikri.

Tarbiyyah meliputi pendidikan politik Islam kepada rakyat. Mendidik agar berfikir secara Islam agar boleh bertindak secara Islam.

Apabila PAS memperkenalkan BPMS (Budaya Politik Matang dan Sejahtera), ia bukan sekadar anjakan pendekatan politik, tetapi ia adalah perubahan cara berfikir di kalangan masyarakat.

Ia dijadikan dorongan untuk mendidik rakyat agar berfikir secara Islam, berdasarkan wahyu Ilahi. Penilaiannya bukan hanya hitam dan putih. Tetapi yang hak sebagai hak, yang batil sebagai batil.

Anjakan ini bersifat mendidik rakyat agar berani menyokong kebenaran seandainya ia sesuatu yang benar, walaupun ia dilakukan oleh pihak yang tidak disukai mereka.

Gambaran bahawa pembangkang perlu membangkang kerajaan secara totok, dan kerajaan perlu mempertikaikan segala cadangan pembangkang adalah cara lapuk dan ketinggalan.

BPMS membuat anjakan besar bahawa kita perlu menyokong apa jua tindakan yang betul dan tepat walaupun ia daripada pihak yang tidak disukai seperti kerajaan memerintah, selagi tidak bercanggah dengan syarak.

Namun kita perlu bangkit menentang sesuatu yang bercanggah dengan syarak, walau dilakukan oleh pihak yang disukai, seperti parti sendiri.

Penentangan terhadap kemungkaran tidak semestinya dalam bentuk menyerang peribadi atau memaki hamun dan mencerca. Lagi tidak munasabah jika kemungkaran dijawab menggunakan fitnah atau fitnah diguna untuk menjawab satu fitnah yang lain.

Ia boleh dilakukan dengan menegur, menasihati, memberi cadangan, menyerah memo, demonstrasi, atau menggerakkan rakyat agar mengundi dengan betul di dalam pilihan raya.

Pendekatan yang lebih matang ini inshaAllah menjadikan perubahan yang dicari tidak mendatangkan kemudharatan yang lebih besar kepada rakyat dan negara. Tragedi perubahan yang malang yang telah banyak berlaku di pelbagai negara perlu dijadikan panduan.

Betapa banyak rakyat yang lebih menderita selepas perubahan yang dicari. Mereka ditekan dengan kezaliman pemimpin, rasuah dan salahguna kuasa, penyelewengan harta negara sehingga sangat membebankan rakyat lalu mereka bangkit.

Sayangnya selepas berjaya dilakukan pertukaran kerajaan yang zalim dan menindas itu, mereka baru sedar penggantinya sebenarnya jauh lebih teruk menjadikan mereka lebih menderita dari sebelumnya. Inilah yang berlaku di Iraq, Libya dan Mesir.

Ini semua memberi petunjuk bahawa mengurus perubahan lebih penting dari perubahan itu.

Anjakan pendekatan BPMS, malangnya telah menyebabkan PAS dilihat mesra Umno-BN.  Lalu pelbagai serangan dihalakan kepada parti dan kepimpinannya untuk terus menanam persepsi tersebut.

Pimpinan PAS menyedari dan sudah menjangkakan hal ini, kerana rata-rata pembangkang masih berfikiran lama, dan hanya selesa dengan politik warisan penjajah yang berpaksi kepada politik sekular yang tidak ada kawalan akhlak dan adab Islam.

Ceramah yang tradisinya mesti ada maki hamun, cerca dedah keaiban peribadi, dan sengaja mewujudkan persepsi negatif walaupun berdasarkan fakta yang tidak betul sekalipun.

Permohonan maaf atau menarik balik tuduhan menjadi perkara murah yang boleh dijualbeli dalam politik. Satu-satu fitnah hari ini sanggup dipertahankan sehingga ia dibicarakan di mahkamah bertahun kemudian sebelum meminta maaf. Bagi golongan ini, yang penting ialah membina persepsi semasa bagi meraih sokongan pada waktu itu sahaja.

Beginilah budaya politik negara bertahun lamanya yang semakin menjadi-jadi saban hari kerana adanya media sosial sehingga memualkan. Tidak hairan bila munculnya gambaran bahawa politik itu kotor. Politik yang tiada kena-mengena dengan agama. Politik suku agama suku dan sebagainya.

Negara dikatakan sedang menuju kepada negara maju. Kemajuan bukan hanya dalam aspek pembangunan, ia juga mesti meliputi politik kepartian.

Kalau di negara maju menjadi kebiasaan Perdana Menteri boleh menjemput ketua pembangkang hadir mendengar taklimat sesuatu projek besar negara. Peruntukan yang sama akan diberi kepada parti kerajaan atau pembangkang yang memenangi pilihan raya.

Pembangkang juga akan dilantik dalam sesuatu jawatankuasa bagi memantau perjalanan kerajaan.

Tanpa budaya BPMS, ini mustahil diamalkan di negara ini. Jika ada ahli parlimen setempat daripada pembangkang yang hadir dalam program kerajaan seperi majlis bantuan kepada nelayan di bawah parlimennya, mereka terus dicop kononnya hendak bersama kerajaan. Ini yang terjadi pada PAS.

Apabila pimpinan PAS menghadiri majlis menentang kezaliman umat Islam Rohingya, pelancaran kapal Flotilla maka terus diserang sebagai 'PAS dan Umno sekapal'. Beginilah cara berpolitik hari ini sehingga melahirkan kenaifan fikiran sebahagian masyarakat kita.

Namun begitu, PAS akan terus membudayakan BPMS.

PAS berbangga bahawa kita telah berjaya membuat anjakan cara berfikir dan berpolitik di negara ini.

Apa-apa yang baru yang melanggar amalan hari ini akan pasti mendatangkan pelbagai reaksi. Insya Allah, kita pasti akan berjaya dengan izin Allah.

PAS percaya bahawa budaya BPMS ini sangat diperlukan sebelum negara boleh bergerak ke depan, dan supaya perubahan yang dicari tidak akan bersifat separa dan tergantung.

Hampir semua rakyat bersetuju, negara memerlukan pemandu baru.

Pemandu yang lama ini sengaja mengekalkan rakyat dalam keadaan sakit, pada masa yang sama berlakon menjadi doktor tunggal yang dapat memberikan panadol menyebabkan rakyat terpaksa bergantung padanya. Itulah kaitan sebenar antara GST dan BR1M.

Kita mengakui bahawa kepimpinan negara yang diterajui oleh Umno-BN adalah punca kepada masalah negara. Namun, perkara yang lebih penting pada waktu ini ialah membantu rakyat bagi memahami situasi yang berlaku dalam negara kini.

Rakyat memerlukan pemandu baru yang bukan sahaja tahu jalan yang ingin dilalui, tetapi turut memahami jalan mana yang selamat bagi rakyatnya di dunia dan akhirat.

Pemandu ini tidak hanya sibuk membina dunia, tapi juga sibuk membina akhirat bagi negara dan rakyatnya.

Oleh itu, pemandu yang baru mesti juga bertindak mengikut panduan Al-Quran dan Hadis.

PAS telah mengutarakan kerajaan teknorat sebagai penyelesaian.

Kerajaan teknokrat adalah satu langkah ke hadapan bagi memberi peluang kepada tokoh dan cendekiawan negara menerajui hala tuju baru dan pentadbiran negara manakala parti dan ahli politik menjadi wadah perubahan tersebut.

Maksud kerajaan teknorat ialah sebuah sistem pemerintahan yakni kuasa parti politik terhadap negara hanya terhad untuk melantik kalangan profesional sebagai eksekutif pentadbir negara bermula daripada Perdana Menteri hingga ke peringkat terbawah.

Sebelum ini, pemimpin parti politik yang biasa menjawat jawatan PM dan menteri. Tetapi idea kerajaan teknokrat ini meletakkan penjawat tersebut berdasarkan kelulusan akademik tertentu yang tidak terlibat dengan pilihan raya.

Kuasa politik yang didapati melalui pilihan raya hanyalah sekadar kuasa untuk melantik siapa yang sesuai di kalangan professional untuk mentadbir negara.

Berdasarkan sejarah politik negara, kita harus menerima hakikat bahawa bukan semua teknokrat tahu berpolitik dan bukan semua ahli politik itu berminda teknokratik.

Seperti BPMS, PAS akan berusaha melanjutkan idea kerajaan teknorat ini sebagai satu model pentadbiran untuk negara. Insha Allah.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
4 Jun 2017 - HARAKAHDAILY 4/6/2017

Penyelesaian politik mengikut Islam

Islam datang dalam bentuk pakej, dan sewajibnya diterima secara pakej. Prinsip 'kalau tak boleh laksana semua, jangan tinggal semua' seharusnya dipraktikkan.

Islam mempunyai asas yang mesti difahami, kerana asas ini akan menjadi tapak kepada apa jua permasalahan yang  akan dibicarakan.

1. Islam adalah Rabbani bukan rahbani. Rabbani bermaksud seluruh dasar ajaran Islam bersumber dari Allah, bukan dari para ulamak, atau rahib sebagaimanaa agama lain.

Lantaran sifat Rabbani inilah menjadikan asas dan dasar Islam.

Islam bukan teokrasi, sebagaimanaa tanggapan sesetengah pihak. Rabbani dengan erti kata dasar yang telah ditetap oleh Allah dan Rasul tidak boleh dipinda, diubah dan ditokok tambah. Ia melibatkan perkara asas dalam aqidah, ibadah dan syariat.

Struktur asas ini yang membentuk Islam. Mengubah struktur asas akan merosakkan seluruh bangunan Islam itu sendiri.

Dasar aqidah bermaksud seseorang Muslim tidak boleh sesekali syirik kepada Allah, ibadahnya hanya khusus kepada Allah dan juga syariatnya yang tidak melanggari perkara yang tidak diizin oleh Allah.

2. Syumul bermakna sebagai deen yang datang dari Allah, ia mesti sempurna, lengkap dan menyeluruh. Sesuai dengan sifatnya sebagai panduan kehidupan dunia dan akhirat, Islam mesti meliputi segala persoalan hidup samada batin, akal, nafsu, diri, keluarga, masyarakat, negara, negara dan ummah.
 
Ia lengkap kerana semua urusan kehidupan berpaksi kepada hukum lima, samada wajib, sunat , harus, makruh atau haram. Semua perbuatan manusia tidak akan terlepas dari hukum tersebut.

Nilai baik dan buruk, halal dan haram bukan ditentu oleh akal. Ia ketentuan Allah. Dalam perkara baru yang tiada hukum secara jelas dalam Al-Quran, ia akan dijelaskan dalam hadis atau ijtihad hukumnya oleh para ulamak.

Kerana itu, umat Islam akan jadikan panduan hukum dalam melakukan sesuatu perkara. Kalau ia wajib mereka akan usahakan semampu mungkin untuk melaksanakannya. Kerana membiarkan kewajipan tidak dilaksana dalam keadaan seseorang itu boleh dan ada upaya melaksanakannya adalah satu kesalahan dan dosa.

Kewajipan ini bukan hanya sekadar perkara kewajipan individu seperti sembahyang, puasa, zakat atau haji, menyuruh yang makruf atau mencegah yang mungkar sahaja, ia turut meliputi kewajipan kepada jiran tetangga, masyarakat Islam dan bukan Islam, hak ke atas negara, hak pemimpin ke atas rakyat, hak pemimpin melaksanakan perintah Allah dalam bernegara.

Syumul juga bermakna sistem Islam turut membicarakan soal alam sekitar, muka bumi, air dan tanah, pengurusan sisa buangan, pengurusan hutan dan sungai, khazanah di atas bumi dan yang berada dalam bumi.

Ribuan kitab-kitab fekah yang membicarakan semua aspek ini agar manusia tidak mengabaikannya.

Dengan kata lain, apa sahaja aspek kehidupan manusia, jin, haiwan, alam zahir dan ghaib juga terkandung dalam konsep kesyumulan dalam Islam, kerana Allah sebagai pemilik alam ini sudah menjadikannya sebagai satu sistem yang lengkap.

3. Kamil mutakamil.

Suatu ciri utama dalam Islam ialah ia bersikap kamil, yakni lengkap. Ia lengkap pada setiap juzuknya.

Ia boleh tegak berdiri sendiri di atas asasnya.

Seperti persoalan aqidah ia lengkap berbicara asasnya. Seperti beriman kepada Allah, ia lengkap pada tauhidnya, nama dan sifat yang layak baginya. Ia lengkap tidak boleh dipisah-pisahkan sebagaimana sifat makhluk.

Demikian juga persoalan ibadah ia lengkap pada setiap juzuknya. Seperti  sembahyang, ia lengkap dengan syarat dan rukunnya, sah dan batalnya, sunat dan makruhnya berserta perbuatan dan bacaannya.

Begitulah yang lain di dalam syariat mahupun akhlak.

Terdapat keadaan di mana ia sempurna lalu ia menyempurnakan yang lainnya. Ini dikenali sebagai mutakamil.

Contoh yang paling mudah ialah wuduk. Ia sempurna pada rukun dan syaratnya. Wuduk akan menyempurnakan sembahyang. Kerana tanpa wuduk maka sembahyang tidak sah. Ini bermakna wuduk itu sempurna dan ia menyempurnakan yang lainnya (sembahyang).

Prinsip kamil dan mutakamil ini juga meliputi aspek politik, ekonomi, perundangan dan lainnya. Ia saling kait-mengait antara satu sama lain. Hukuman tidak boleh dilaksana kalau syarat tidak sempurna. Keadilan tidak dapat ditegakkan kalau pemimpin tidak adil, walau mempunyai undang-undang yang adil. Begitu juga pemimpin yang adil tidak akan tertegak kalau undang-undang itu dicipta di atas ketidakadilan.

Contohnya akta OSA. Undang-undang yang bertujuan menjaga kerahsian kerajaan dan strategi akhirnya digunakan bagi menutup penyelewengan dan salah guna kuasa.

Begitu juga SOSMA dan ISA dan pelbagai akta-akta lain ciptaan manusia yang tertegak di atas prinsip ketidakadilan dan menindas.
 
Jangan salahkan para hakim bila mereka tidak boleh menjatuhkan hukuman yang dikehendaki oleh Allah. Jangan salahkan para peguam yang membela tertuduh dan jangan salahkan para pendakwa yang mendakwa pesalah. Kerana mereka semua berjalan di atas sistem yang tidak menepati kehendak Allah.

Mereka ibarat keretapi yang terjalan di atas jalan raya, dan seperti kapal yang terlayar di atas daratan.

4. Waqi'yyah, bermaksud realisme. Islam menepati realiti atau kehendak situasi dan kondisi. Ia bukan ajaran ideal yang tidak mampu untuk dilaksanakan. Ia sesuai dengan tempat di mana ia berada.

Hukumnya terus berkembang dengan berkembangnya permasalahan manusia. Ia boleh diamalkan dalam apa jua situasi dan keadaan . Ia mempunyai jalan keluar kepada permasalahan berlaku. Bukan bebanan yang menyusahkan atau memaksa penganut dalam keadaan mereka tidak mampu.

Di dalam Islam, terdapat prinsip azimah (tetap dan tidak berganjak) dan (rukhsah), keringanan syarak yang bersifat anjal.

Contohnya, seseorang boleh berbuka puasa apabila sakit atau bermusafir. Seseorang boleh bertayammum bila tiada air untuk berwuduk. Seseorang itu boleh memakan makanan haram apabila nyawa terancam, tapi semuanya terikat dengan syarat dan rukun agar tidak bermudah-mudah dalam tindakan dan tidak terlalu rigid sehingga menyusahkan.

Inilah waqi'yyah yang menjadi sebahagian ciri kesempurnaan Islam.

Selain aspek-aspek di atas, terdapat beberapa ciri lain yang juga penting untuk difahami seperti tawazun iaitu seimbang antara keperluan masyarakat dan lainnya. Hal ini boleh dirujuk kepada pelbagai kitab yang muktabar.

Penyelesaian Politik Menurut Islam

Politik adalah belahan syariat. Bermakna sebahagian syariat tidak dapat dilaksana tanpa kuasa politik.

Politik Islam dibina di atas asas amanah. Bukan ghanimah yang perlu direbut apa lagi untuk dibangga. Ia mesti diisi oleh mereka yang bertaqwa.

Peringatan Rasulullah kepada Abu Dzar al-Ghifari:

“Wahai Abu Dzar, engkau seorang yang lemah sementara kepemimpinan itu adalah amanat. Dan nanti pada hari kiamat, ia akan menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali orang yang mengambil dengan haknya dan menunaikan apa yang seharusnya ia tunaikan dalam kepemimpinan tersebut.” (Sahih, HR. Muslim no. 1825)

Jawatan bagi memimpin ummah mesti diisi. Membiarnya kosong adalah kelemahan, walaupun jawatan bukanlah bahan rebutan. Namun, mengisinya dengan orang yang tidak layak adalah satu jenayah.

Kelayakan pada pandangan  Islam bukan hanya dilihat kepada kemampuan menjalankan tugas sahaja, sebaliknya turut dinilai ialah akhlaknya, kehidupan sehariannya, amalan agamanya dan ketaqwaannya.

Walaupun ukuran ketaqwaan adalah relatif, namun asasnya mesti dipelihara.

Pemimpin adalah khadam rakyat. Dia dipikul jawatan sebagai penjaga harta rakyat, memelihara keselamatan negara dan kedaulatannya. Jawatan ini akan dipertanggungjawab nanti di akhirat.

Pemimpin adalah model ikutan rakyat. Baik pemimpin, maka akan baiklah kehidupan rakyat.

Pelbagai kebobrokan yang berlaku kerana jawatan dijadikan sandaran bagi membolot kekayaan, menggunakan pengaruh untuk kepentingan puak dan kroni.

Disebabkan itu, pemimpin gagal menjadi khadam rakyat, sebaliknya menjadi khadam wang dan kuasa. Mereka terlupa tugas mereka sebagai pelindung rakyat.

Sebaliknya mereka menekan kehidupan rakyat, menyusahkan mereka dan memaksa rakyat tunduk kepada peraturan yang bercanggah dengan syariat.

Kata Saidina Umar al-Khattab, Pemerintah itu terbahagi kepada empat golongan:

1. Pemerintah yang kuat, ia dapat mengawal dirinya dan pegawainya. Mereka seperti seorang mujahid yang sedang berjihad di jalan Allah SWT. Sedang pertolongan Allah terbentang luas dengan penuh rahmat kepadanya.

2. Pemimpin yang lemah dan gagal mengawal dirinya, sedangkan pegawainya bermewah-mewahan dan bertindak sewenang-wenangnya disebabkan kelemahannya. Maka ia berada di jurang kebinasaan melainkan Allah SWT merahmatinya.

3. Pemerintah yang dapat menguasai pegawainya, namun dirinya bermewah-mewahan. Itulah al-khutomah.

Sebagaimana Sabda Rasulullah:
 
شر الرعاة الحطمة، فهو الهالك وحده.

Seburuk-buruk Pemimpin ialah al khutomah. Kerana ia membinasakan dirinya sendiri.
(Hadis Riwayat al Baihaqi (7419) dalam Syaabul Iman ) dan Imam Muslim (3411) dengan sedikit perbezaan)

4. Pemerintah dan pegawainya yang bertindak sewenang-wenangnya, maka ia akan binasa.

Petikan dari buku 'Pemimpin yang adil', oleh Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri

Penyelesaian masalah politik negara bukan hanya terhenti kepada seorang pemimpin tetapi ia melibatkan seluruh sistem yang menjadi asas perjalanan negara.

Pimpinan negara hari ini yang diberi amanah oleh rakyat jarang tergolong di kalangan kumpulan pertama. Ramainya tergolong di kumpulan 2, 3 dan 4.

Itu semestinya sudah dapat menjawab mengapa rasuah menjadi berleluasa, salahguna kuasa menjadi kebiasaan, keborosan menjadi budaya dan penipuan menjadi amalan.

Bagi mereka, rakyat dijadikan sumber pendapatan, dan tidak lagi untuk dilindungi. Disebabkan itu mereka baru tergamak memperkenalkan GST yang mengutip cukai daripada sesiapa sahaja tanpa mengira umur dan juga kemampuan rakyat untuk menghadapinya.

Selain itu, penipuan dijadikan jalan keluar apabila ada mana-mana skandal yang terdedah. Apabila penipuan tidak berkesan, kuasa pula disalahgunakan. Contohnya laporan audit 1MDB sehingga hari ini masih di bawah OSA walaupun Perdana Menteri mengumumkan bahawa masalah 1MDB sudah selesai.

Pemimpin hari ini juga berpandangan pendek dan tidak mementingkan negara dan rakyat. Contohnya dalam isu penjualan Proton kepada Geely, tiada menteri yang berbicara kesannya kepada Dasar Automotif Negara.

Ke mana Dasar Automotif Negara hari ini?

Antara objektif Dasar Automatif Negara ialah menggalakkan industri automotif tempatan yang kompetitif dan berdaya tahan terutamanya pengeluar kereta nasional, menggalakkan penyertaan Bumiputera yang kompetitif dan menyeluruh di dalam sektor automotif tempatan serta menjaga kepentingan pengguna dengan menawarkan produk yang selamat dan berkualiti pada harga yang berpatutan.

Apakah Geely akan memajukan Proton dan menyokong objektif Dasar Automotif Negara? Atau ia sekadar berminat untuk menguasai kilang pengeluaran Proton di Tanjung Malim dan Shah Alam untuk menghasilkan kenderaan Volvo? Tiada pimpinan negara yang mengambil berat mengenai persoalan-persoalan ini.

Bagi mereka, mendapatkan pembeli 49.9% Proton sudah dikira sebagai satu kejayaan. Apa yang terjadi selepas itu mereka langsung tidak memikirnya.

Perkara ini sama seperti keputusan memajakkan tanah Felda untuk penyenaraian FGV tanpa mengambil kira bantahan dan pandangan orang lain. Yang dikejar hanyalah duit dan glamor, dan sekarang negara dan rakyat menanggung bebannya.

Pendek kata, Malaysia memerlukan perubahan dan menukar pimpinan yang ada kepada pimpinan yang berjihad untuk Allah dan bekerja untuk rakyat sebelum terlambat.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
2 Jun 2017 - HARAKAHDAILY 2/6/2017

1. POLITIK Demokrasi yang matang memberi pengiktirafan kepada Wakil Rakyat pembangkang untuk bersama dalam pelbagai program rasmi kerajaan yang melibatkan kepentingan rakyat. Di negara barat seperti Australia dan United Kingdom wakil rakyat pembangkang menganggotai pelbagai jawatankuasa pentadbiran di pelbagai peringkat sama ada kerajaan tempatan atau negeri atau federal.

2. Perkara ini ditekankan oleh PAS menerusi pendekatan baru politik yang diberi nama Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS). Wakil rakyat dan pimpinan PAS sebagai pemimpin masyarakat di peringkat pembangkang sewajarnya dilibatkan dalam pelbagai program kerajaan melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

3. Pada 28hb Mei 2017 sempena 1 Ramadhan,  saya dan pimpinan PAS Terengganu dijemput hadir oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk Majlis Berbuka Puasa bersama YAB Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri (KDN). Ia sempena program penerapan nilai murni di bulan Ramadhan di kalangan warga KDN bersama rakyat setempat di Tok Jembal dalam kawasan parlimen saya Kuala Nerus.  Turut hadir YAB Menteri Besar Terengganu. Saya hadir bersama Dato' Husin Awang,  Pesuruhjaya PAS Terengganu dan YB Dr Alias Razak, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu.

4. Pada 29hb Mei 2017 pula saya juga turut hadir Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Jambatan Pulau Sekati oleh YAB Menteri Besar. Pulau Sekati berada dalam kawasan Parlimen Kuala Nerus. Saya turut dijemput bersama menaiki kereta YAB MB untuk meninjau jambatan tersebut diiringi para pegawai kerajaan dan wartawan.

5. Sebelum ini saya juga turut hadir pelbagai majlis rasmi kerajaan seperti Solat Tarawih bersama YAB PM di Masjid Bukit Tok Beng, Parlimen Kuala Nerus pada 6hb Julai 2014, Majlis Penutup Ijtimak Pondok oleh YAB PM di Universiti Malaysia Terengganu, di Parlimen Kuala Nerus pada 23hb Mei 2016, berbuka puasa bersama YAB PM di Gemuruh, Parlimen Kuala Nerus pada 29hb Jun 2016, Majlis Taklimat Banjir kepada YAB PM di Banggol Peradong, Parlimen Kuala Nerus pada 7hb Januari 2017.

6. Pada 31hb Julai 2014 YAB MB Terenggganu turut hadir Majlis Raya Rakyat di kediaman saya di Parlimen Kuala Nerus. Saya juga turut menyampaikan kuliah sempena Korban pada 20hb Ogos 2016 dengan kehadiran YAB MB di surau berhadapan rumah MB sempena Program YB Cakna Rakyat anjuran PAS Kg Baru,  Seberang Takir, di Parlimen Kuala Nerus.

7. Semua bentuk program tersebut adalah dalam kerangka membentuk satu budaya politik yang matang dan berhemah yang menguntungkan rakyat. Budaya lama berpolitik sehingga berpatah arang berkerat rotan sudah berlalu.  Generasi baru Malaysia menuntut satu perubahan dalam gaya berpolitik.

8. Namun, segelintir ahli politik pembangkang yang tidak matang menjadikan gambar-gambar saya bersama dalam majlis-majlis tersebut sebagai isu dan modal politik murahan untuk kepentingan politik sempit mereka bagi mengheret rakyat terus menaja agenda politik kebencian tidak berasas.

9. Politik kebencian tidak berasas mungkin memberi keuntungan jangka masa pendek bagi setengah ahli politik namun ia merosakkan pembinaan tamadun bangsa dan negara untuk jangka masa panjang.

10. Politik kepartian sepatutnya dibina atas asas menghormati perbezaan pandangan politik dalam pelbagai isu mendasar dan isu semasa tanpa merosakkan hubungan peribadi kemasyarakatan. Budaya politik ilmu, politik idea dan politik damai sejahtera perlu diwariskan kepada generasi mendatang.

11. Sebagai pembangkang PAS terus memberikan pelbagai pandangan kepada kerajaan serta mengkritik pelbagai dasar parti politik pemerintah yang tidak memberikan keuntungan kepada negara dan rakyat sebagai satu proses semak dan imbang.

12. PAS terus konsistan mengkritik dasar GST yang tidak patuh Syariah, tegas menentang TPPA, menolak penglibatan kerajaan dalam penubuhan bank riba AIIB, mengkritik dasar penubuhan 1MDB dan GLC seumpamanya, mengkritik dasar bajet defisit, perbelanjaan boros dan longgokan hutang kerajaan persekutuan, menolak derma peribadi kepada Perdana Menteri dan penjawat awam kerana ianya rasuah dalam Islam, menegaskan sistem ekonomi kapitalis yang diimani oleh kerajaan BN adalah punca kejatuhan mata wang dan inflasi, mengkritik Akta SOSMA, POTA dan MKN yang terdedah kepada manipulasi dan pelbagai lagi isu negara.

14. Dan lebih penting PAS menegaskan bahawa hanya Islam penyelesaian bagi pelbagai permasalahan negara bukannya sistem ekonomi kapitalis atau sistem pemerintahan sosialis atau komunis.

15. Namun, segala kritikan dan perbezaan pandangan politik perlu dilaksanakan dalam ruang lingkup budaya matang, sejahtera dan berakhlak berasaskan konsep nasihat dan amar makruf nahi mungkar sebagaimana pedoman al-Quran dan al-Sunnah.

16. PAS menawarkan kepada umat penyelesaian ekonomi negara menerusi Dokumen Hijau yang telah dirasmikan penyebaran sebahagian isi kandungannya dan juga Wawasan Induk Negara yang bakal dilancarkan sebelum PRU ke 14.

17. Kita boleh berbeza pandangan dan berbalas hujah di Parlimen dan DUN tapi tidak untuk menjadi seperti kera dan monyet yang menjerit dan berteriak di dalam hutan. Demokrasi perlu dihormati. Sidang Parlimen dan DUN adalah medan berwacana bukan bertegang leher menunjuk "hero".

18. Ramadhan mendidik umat untuk lebih berakhlak.  Moga Ramadhan menjadi penyubur budaya politik matang sejahtera. Ia tidak mudah namun juga tidak sukar.

"Sejahtera Bersama Islam"

Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Khamis 1hb Jun 2017/ 6 Ramadhan 1438 - HARAKAHDAILY 1/6/2017