23
Wed, Aug

INFLASI meningkat lagi pada bulan Mac. Kini, ia berada di tahap 5.1%, meningkat 0.6% berbanding Februari 2017.

Tiga faktor utama yang telah menyumbang kepada kenaikan inflasi: harga minyak yang tinggi, kelemahan nilai ringgit dan kerajaan yang lambat bertindak.

Apakah kerajaan sedang mengharapkan bahawa kadar inflasi ini akan menurun dengan sendirinya tanpa perlu melakukan apa-apa?

Kerajaan dinasihatkan jangan meletakkan harapan bahawa harga minyak sedunia boleh menjadi stabil untuk dua suku terakhir 2017. Ini kerana ketegangan di peringkat dunia akan menjadi semakin tidak menentu dengan tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang bukan sahaja melulu, bahkan beremosi dan sukar dijangka.

Jika kerajaan meletakkan harapan bahawa inflasi akan pulih dengan pemulihan nilai Ringgit, PAS ingin mengingatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa ketika beliau memberikan keyakinan pada rakyat Malaysia bahawa nilai Ringgit akan pulih pada tanggal 9 December 2016 yang lalu, nilai Ringgit berada pada tahap RM4.40 ke USD1.

Dan setelah 4 bulan dan 10 hari berlalu, nilai Ringgit masih berada pada tahap RM4.40 ke USD1! Jelas keyakinan yang diberikan itu sekadar penyedap hati.

Setakat ini, sebenarnya tiada apa-apa jaminan yang boleh memastikan nilai Ringgit akan pulih mahupun harga minyak sedunia akan kembali stabil pada 2017. Bahkan, kerajaan sendiri pun tidak pasti.

Memandangkan SPRM kini semakin hebat membantu kerajaan membasmi rasuah, sepatutnya perbelanjaan kerajaan dah berkurangan ekoran kurangnya kebocoran dan ketirisan.

Penjimatan itu kini boleh disalurkan kembali sebagai subsidi kepada rakyat untuk menampung kenaikan kos sara hidup ini.

Subsidi rakyat tidak wajar ditarik balik kerana kegagalan kerajaan menangani isu kebocoran dan ketirisan.

Selain itu, sistem GST yang amat menganiaya rakyat golongan berpendapatan sederhana dan rendah (golongan B40) perlu dimansuhkan. Hasil pendapatan negara melalui GST boleh ditampung dengan cukai atas simpanan syarikat dan korporat, dan cukai atas keuntungan perdagangan saham bagi menampung ekonomi negara.

Langkah ini dipercayai akan dapat meningkatkan kemampuan perbelanjaan dan kekuatan modal golongan B40 berbanding GST tatkala berdepan dengan kenaikan inflasi yang dirasai hari ini.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
19 April 2017 - HARAKAHDAILY 19/4/2017

1. ALHAMDULILLAH, PAS semakin bertenaga dan padu ketumbukannya untuk terus mara ke medan juang mendepani cabaran semasa dalam menjulang panji perjuangan Islam.

2. Safnya terbina dari kepimpinan yang mantap dan anggota yang patuh. Mengakari prinsip dan polisi perjuangan yang utuh dan roadmap parti yang jelas  serta menuju matlamat yang satu iaitu Mardhatillah.

3. Justeru itu, saya sedar dan insaf bahawa pencalonan saya ke posisi Naib Presiden PAS adalah berasaskan semangat berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan (Fastabiqul Khairat). Terima kasih atas kepercayaan yang diberi sementara saya percaya, bahawa saya bukanlah orang yang terbaik.

4. Tanpa menghilangkan rasa hormat dan jauh sekali melunturkan rasa kasih saya kepada semua rakan-rakan kepimpinan PAS yang lain serta meraikan pencalonan dari para perwakilan: "saya dengan segala rendah diri menerima pencalonan Naib Presiden PAS bagi sesi 2017/2019 itu adalah atas sifat dan semangat yang serupa iaitu Fastabiqul Khairat."

5. Semoga Allah swt melimpahkan Rahmat dan BerkatNya ke atas perjuangan Islam yang didukung oleh PAS ini dengan terus menyatukan hati, menyuburkan ukhuwwah dan memugar semangat para pejuangnya untuk memimpin gerakan perubahan serta kebangkitan rakyat.

Nasrudin Hassan
18 April 2017 / 21 Rejab 1438 - HARAKAHDAILY 18/4/2017

1. PENETAPAN harga runcit petrol dan diesel secara mingguan bermula 29 Mac lalu sudah mula memberi kesan terhadap pertambahan kos yang perlu ditanggung oleh pengguna.

2. Walaupun pengguna menikmati penjimatan sebanyak 17 sen (bagi RON95) pada minggu pertama, namun harga runcit bahan api itu telah meningkat sebanyak 11 sen hanya dalam tempoh 3 minggu sahaja; lebih cepat berbanding penetapan secara bulanan.

3. Mungkin kesan psikologi penetapan harga runcit bahan api secara mingguan ini boleh membantu mengurangkan rasa terbeban dalam kalangan pengguna, pun begitu jumlah kos sebenar bagi bahan api yang perlu ditanggung oleh pengguna tetap meningkat justeru mengurangkan jumlah pendapatan boleh guna seseorang pada setiap bulan.

4. Pada masa harga minyak mentah dunia sedang meningkat naik disebabkan pelbagai faktor dan nilai Ringgit pula masih berada pada paras yang rendah, harga runcit bahan api di negara ini memang dijangka akan berterusan meningkat.

5. Sekiranya tiada mekanisme kawalan dilaksanakan, beban kos sara hidup rakyat di negara ini akan semakin bertambah dengan lebih cepat lagi.

6. Oleh itu, saya menggesa Kerajaan supaya menetapkan suatu harga siling kekal (contohnya, kekal selama tempoh 6 hingga 12 bulan) yang berpatutan bagi harga runcit bahan api di negara ini dan memberikan subsidi kepada pengguna sekiranya ia diniagakan melepasi paras harga siling ini.

7. Bagi memastikan subsidi ini tetap dapat diberikan secara bersasar, pelbagai mekanisme tambahan seperti pengenalan kad khas boleh dilaksanakan.

“Inilah Penyelesaian Kita”

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
17 April 2017 | 20 Rejab 1438 - HARAKAHDAILY 17/4/2017

SAYA ingin menarik perhatian seluruh rakyat Terengganu berkaitan dengan satu laporan yang disiarkan semalam berhubung dengan janji Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman  kepada rakyat yang bakal dipilih bagi menduduki Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Bukit Nanas dan yang sudah menduduki di Padang Hiliran iaitu dengan menjanjikan kaedah sewa beli kepada penyewa jika sekiranya BN menang di Parlimen Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Sejumlah 1,700 buah PPR kesemuanya iaitu 500 buah yang baharu diadakan upacara pecah tanah di Bukit Nanas semalam, dan baki 1,200 lagi, telah didiami di Padang Hiliran dengan peruntukan sebanyak RM217 juta oleh kerajaan pusat itu. Dilaporkan juga, pelbagai lagi janji kemajuan yang akan dibawa oleh kerajaan pusat ke negeri Terengganu jika sekiranya BN memenangi kedua-dua kerusi itu serta Dun Tepoh milik PAS di Parlimen Kuala Nerus.

Begitu memualkan, menjijikkan dan sangat terkeji perbuatan merasuah rakyat oleh Perdana Menteri dan Menteri Besar ini. Apatah lagi rasuah itu dengan menggunakan duit rakyat pula. Sedang mereka menjawat jawatan ketua kepada seluruh rakyat Malaysia dan Terengganu.

Dengan janji rasuah itu jelas bahawa, PPR yang ada sekarang di Padang Hiliran yang sentiasa rosak lifnya dan PPR Bukit Nanas yang bakal didiami nanti, hanyalah bagi orang Umno-BN sahaja.

Sedangkan demokrasi menjanjikan hak untuk memilih dan juga hak bagi mendapat kemudahan secara sama rata oleh semua rakyat, tanpa mengira ideologi. Lebih hina perbuatan ini adalah kerana sangat jauh melencong daripada petunjuk al-Quran dan Sunnah dengan mengenepikan keadilan sosial yang dijamin. Sememangnya Umno-BN sinonim dengan kezaliman.

Sebelum tampuk pemerintahan Terengganu yang diterajui PAS, dirampas dengan cara jahat oleh Umno-BN pada tahun 2004, rakyat Terengganu juga dihidangkan dengan janji pelbagai menu kemajuan dan kekayaan. Tetapi malang bagi rakyat Terengganu, Umno-BN kemudiannya menjadikan rakyat Terengganu seperti Pak Kaduk, menang sorak kampung tergadai.

Berapa jumlah wang yang dileburkan oleh Umno-BN setelah memerintah kembali Terengganu? Ya, jumlahnya ialah ribu juta ringgit. Lebih RM1 billion dibenamkan ke dasar Sungai Terengganu bagi persiapan dan acara Monsoon Cup. Mana Monsoon Cup sekarang? Apa yang rakyat Terengganu dapat? Kemiskinan rakyat ketika itu tetap tinggi.

Hampir RM2 billion pula diberikan kepada kerajaan pusat bagi membina Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang pada mulanya kerajaan bersetuju tidak dikenakan tol, tetapi akhirnya rakyat Terengganu terpaksa membayar tol.

Bajet LPT2 meningkat hampir sekali ganda daripada bajet asal kerana kontraktor yang dipilih oleh kerajaan Terengganu dibawah Umno-BN gagal menyiapkan pakej-pakej yang diberikan. Dan paling menggembirakan kontraktor-kontraktor kroni-kroni Umno-BN ini ialah, mereka tidak dikenakan hukuman, malah diberi semula tender. Kontraktor makan sedap, rakyat dapat tol. Dan semua ini adalah menggunakan wang anda wahai rakyat Terengganu!

Ini belum lagi dibincangkan tentang Projek Bebas Cukai Tasik Kenyir yang sehingga kini masih gagal disiapkan, tetapi sudah ratusan juta wang rakyat Terengganu telah dimamah oleh orang-orang tertentu. Sekarang kerana sudah kehabisan wang, pembesar-pembesar Umno-BN melakonkan watak sopan, suci dan murni dengan mengumumkan kepada rakyat, mereka mula memotong gaji mereka bagi mengisi Tabung Darul Iman dan mengajak rakyat sama-sama turut menyertai mereka.

Ketika membaham wang rakyat, rakyat tidak diajak sama, ketika mahu mengisi kembali kantung, tiba-tiba rakyat dipelawa. Kemana perginya wang royalti yang dirompak mereka dahulu? Mana isi Tabung Amanah Warisan Terengganu? Inikah cara pembangunan yang dibangga-banggakan yang mahu ditawarkan kepada rakyat Terengganu? Saya yakin rakyat Terengganu tidak sebodoh itu.

Kini mereka datang lagi dengan menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat Terengganu. Apakah mereka tidak memberikan kemajuan kepada rakyat setelah puluhan tahun mereka menang dahulu?

Kemajuan dan pembangunan yang mereka maksudkan ialah mereka hanya mahukan kuasa bagi mengisi perut mereka dan kroni-kroni sahaja dan bukan untuk rakyat.

Diberikan hampas kepada rakyat, dibodohkan dan dimiskinkan rakyat bagi memudahkan rakyat merasa terhina, merempat di negeri sendiri dan akhirnya melutut menyembah mereka bagi mendapatkan apa yang dikatakan sebagai kemajuan. Inilah politik Umno-BN. Sanggup mengugut, memeras, membohongi dan menghina rakyat mereka sendiri demi kepentingan mereka.

Jangan Umno-BN sangka dengan situasi ‘tidak belaga angin’ antara PAS dan PKR ketika ini, ia akan menjejaskan perhatian PAS kepada rakyat. Rakyat adalah keutamaan kami. Mata kami sentiasa tajam memerhati bagi menyelamatkan rakyat dari penindasan Umno-BN yang tidak pernah berhenti. Kerana PAS menyedari bahawa tiada parti lain lagi yang boleh menolong rakyat menentang Umno-BN. Oleh itu saya menyeru kepada seluruh rakyat Terengganu agar bangkit melawan pembodohan oleh Umno-BN ini. Insya Allah PAS akan menghapuskan segala kezaliman ini dengan bantuan rakyat dan memberikan pemerintahan yang adil mengikut al-Quran dan Sunnah. Wallahua’lam.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
19 Rejab 1438/ 16 April 2017

APABILA PAS berjaya membentangkan Usul Persendirian di Parlimen Malaysia bagi meminda Akta 355 melalui YB Datuk Seri Tuan Guru Presiden baru-baru ini, maka ia berjaya membuka helaian baru politik Islam di negara kita yang lebih putih dan bersinar.

Walaupun belum pasti nantinya menang atau kalahnya Usul Persendirian tersebut yang bertujuan memperkasakan Mahkamah Syariah dan kedudukan perundangan Islam di Malaysia secara umumnya, tetapi kita tidak perlu menunggu keputusan itu untuk terus meraikan kemenangan yang sudah di genggaman hari ini. Ia bukan kemenangan PAS. Ia kemenangan umat Islam seluruhnya yang diraikan secara besar besaran oleh PAS.

Siapa pun tidak boleh menafikan PAS sejak dulu memperjuangkan Islam dan syariahnya yang sempurna sebagai sumber utama perundangan dan nilai-nilai hidup bernegara. Kelantangan PAS dikukuhkan dengan konsistensinya berjuang untuk agama pada saat senang dan susahnya, kalah dan menangnya. Sedikit demi sedikit sokongan kepada usaha PAS semakin membesar dan mendapat perkenan rakyat terutama umat Islam sendiri.

Usul Persendirian tuan Presiden PAS berjaya dibentangkan di Parlimen ketika umat Islam seluruhnya bersatu padu menyatakan sokongan penuh untuknya dibentangkan. Justeru pembentangan RUU 355 pada hari bersejarah tersebut adalah begitu ditunggu-tunggu oleh semua.

Saya berani menyatakan usaha PAS tersebut mendapat sokongan sepenuhnya umat Islam adalah kerana ianya telah disokong dan digerakkan oleh tiga institusi utama yang terbina di dalam masyarakat iaitu orang UMNO, orang PAS dan NGO-NGO muslim. Adapun kewujudan bantahan daripada beberapa kelompok kecil umat Islam yang bersatu bersama kumpulan non muslim yang memusuhi Islam, maka ia adalah tertolak dan tidak dikira mewakili suara besar umat Islam.

Adalah mustahil bagi sebuah perjuangan menegakkan Islam untuk memperolehi sokongan konsensus hatta daripada kalangan umat Islam sendiri. Akan kekal wujud kumpulan yang leka dan dibuai kesombongan merajakan otak dan nafsu di hadapan syariah agama Allah. Ia penyakit umat yang perlu dihadapi seadanya. Kerana itu jugalah PAS, pada saat ia sentiasa menarik sokongan dan minat, ia juga akan sentiasa ditentang dan difitnah dengan bermacam-macam tuduhan bagi menidakkan peranan PAS sebagai pemacu utama membina kesedaran dalam masyarakat untuk kembali kepada agama.

Begitu juga kelompok non muslim. Mereka juga berhadapan kelompok daripada kalangan mereka sendiri yang begitu nyaring menyatakan sokongan terhadap pindaan Akta 355 ini seperti sayap DHPP PAS dan Parti Cinta Malaysia (PCM) yang menyatakan sokongan mereka secara terbuka. Masyarakat non muslim di Kelantan yang dilihat akan menjadi negeri pertama menerima pakai pindaan Akta ini juga tidak pernah menunjukkan kegusaran, bahkan menerima baik kesungguhan rakyat Kelantan untuk menerima pakai penambahbaikan di dalam undang-undang Mahkamah Syariah.

Kejayaan PAS melalui pembentangan RUU 355 tersebut secara langsung menenggelamkan fitnah besar yang cuba dicanang oleh musuh PAS bahawa PAS telah membiarkan dirinya ditipu dan diperdayakan oleh UMNO melalui umpan RUU 355. Bagi mereka, UMNO hanya mahu memecah-belahkan barisan pembangkang. UMNO sesekali tidak akan menyokong pembentangan itu. PAS dianggap terlalu naif dan terhegeh-hegeh menagih kuasa dan kemewahan daripada UMNO dan pemerintah yang zalim.

Ternyata telahan mereka salah dan fitnah mereka terpadam. Terbukti PAS bukan mudah dipermainkan. Dengan kecekalan PAS meneroka pelbagai kaedah dan laluan baru dakwah, walaupun pada awalnya PAS dilihat seperti akan terperangkap oleh pilihannya sendiri, hujung cerita akhirnya telah menjadi milik dan satu jawaban kukuh buat PAS.

Anda menyaksikan di hujung kisah, UMNO-lah yang kesukaran bagi memenuhi janjinya kepada PAS dan umat Islam. UMNO terpaksa berputih mata pada peringkat ini apabila gagal memperolehi sokongan rakan-rakan dalam BN untuk menyokong pindaan Akta ini. Sebagaimana pada awalnya PAS terpaksa membayar harga sebuah perjuangan mendaulatkan Islam dan memperkasakan Mahkamah Syariah dengan perpecahan di dalam Pakatan Rakyat (PR), bahkan pergolakan di dalam parti sendiri, begitulah UMNO juga terpaksa kesakitan ditolak oleh rakan sendiri yang walaupun jauh lebih kecil kekuatan mereka. Demi menyelamatkan dan mengurangkan ketegangan di dalam BN, UMNO terpaksa menyerahkan kembali hak pembentangan RUU 355 kepada PAS. PAS menerimanya kembali dengan penuh izzah dan kekuatan. Tiada calar walau sedikit.

Kini nyata fitnah adalah fitnah. Ia padam apabila tiada angin yang bertiup bagi menyokong dan memanjang temponya. Jika RUU 355 adalah senjata UMNO untuk menipu dan merosakkan PAS, maka tiada perlu lagi UMNO menyokong RUU 355 ini. Pakatan Rakyat sudah pun lama pecah dan berkubur manakala PAS pun sudah bergolak besar sehingga tertubuh parti serpihan baru. Jika begitu, saat hasrat UMNO dah tercapai, soalnya mengapa UMNO masih memberi sokongan pada RUU 355?

Jawaban mudah ialah PAS tak boleh dan takkan mampu ditipu mudah oleh UMNO. Bahkan jawaban lebih tepat ialah PAS bukanlah pak turut kepada kehendak musuh agama Allah yang mahukan PAS mengubah hala tuju politiknya daripada menegakkan agama Allah kepada sekadar menjatuh UMNO dan menggantikannya dengan sesiapun tanpa pertimbangan syarak yang benar. PAS adalah bebas daripada sebarang ikatan selain ikatan agama. PAS sesekali tidak akan menipu rakyat apatah agamanya. PAS juga tidak akan mudah diperdayakan oleh sesiapa termasuk tukang fitnah yang mahukan PAS tunduk terhadap kemahuan mereka.

Pada saat api fitnah itu makin padam dalam bahang kepanasan dan kemarahan yang menggelegak di dada musuh-musuh PAS, mereka kini sedang berusaha menggerakkan fitnah baru bahawa PAS makan dedak UMNO melalui wang 1MDB. Mereka membakar sumbu fitnah baru itu dari kaki bangunan Parlimen Malaysia yang mulia. Alangkah jeleknya. Ia juga berlaku selepas fitnah 90 juta telah habis sumbu dan minyak gasnya.

PAS hakikatnya telah berjaya mengajar UMNO erti sebuah perjuangan. Perjuangan sebenar bukanlah pada mengekalkan kuasa dan pemerintahan. Ia bukanlah sekadar pada kejayaan menimbunkan perbendaharaan negara dengan kekayaan dan kemewahan. Bahkan perjuangan sebenar dan hakiki adalah perjuangan menegakkan agama dan mendaulatkannya di dalam negara sebagaimana berdaulatnya ia di sisi Allah Rabbul Jalil. Hanya dengan nilai-nilai ugama yang suci mampu menghidupkan jiwa umat ini dengan jati diri dan tindakan menuju kecemerlangan dan kejayaan.

Kredit harus diberikan kepada pendekatan terbaru PAS yang diperkasakan hikmat dan kesegaran dakwahnya melalui Budaya Politik Matang Dan Sejahtera (BPMS). BPMS masih dalam peringkat pemantapan kefahaman setelah selesai peringkat pengenalan awal. Tetapi belum pun perlaksanaannya berjalan lancar, buah-buahnya sudah mula keluar dan berputik. Sesungguhnya Allah akan mengurniakan kepada kehalusan dan kelembutan kurniaan dan anugerah yang Dia tidak akan kurniakan kepada kekasaran dan kekerasan. Itu sabda al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam. BPMS adalah bukti kebenaran hikmat sabda nabi tersebut.

Tanpa bersembunyi, sebahagian ahli PAS sendiri sangsi dengan pendekatan BPMS ini yang dilihat terlalu lembut dan hilang taring. Bagi mereka, kekuatan PAS adalah pada taringnya. Jika taring tidak digunakan, PAS akan 'moyok' dan mencair.

Saya berkata, ya, ada betulnya. Tetapi taring diciptakan untuk daging dan makanan yang keras. Gigi-gigi lain dicipta dan tersusun lebih banyak mestilah juga lebih kerap digunakan. Jika PAS lahir untuk bermusuh dengan semua orang, maka hari-hari adalah taring yang menyeringai. Tetapi jika PAS dilahirkan sebagai kawan dan untuk bertujuan menyatukan, maka kuntuman senyum melirik susunan gigi hadapan adalah sudah mencukupi untuk menambah hati dan mencairkan segala kekerasan. Anda harus tahu BPMS adalah terjemahan kepada Islam yang datang kepada manusia dengan senyuman yang manis.

Taring adalah untuk musuh agama. UMNO dulu memusuhi agama dengan pelbagai tekanan ke atas pejuang dan perlaksanaannya. Hukum-hukum diperlekeh semudahnya. Sekolah-sekolah ugama dihukum sekerasnya. Para pejuangnya dihalau, ditangkap dan dipenjarakan. Siapa boleh menafikannya?

Hari ini siapakah yang terlebih memusuhi agama? Pada saat UMNO mula menyedari kesilapan mereka dan berusaha menyantuni institusi agama dan memberikan sedikit kelegaan bersyarat, lahir pula gerombolan musuh agama yang begitu lantang. Mereka menyeru kepada pemikiran liberal yang bermatlamat melarutkan Islam dan umatnya di dalam kehidupan bebas ala barat dan kekufuran.

Jika UMNO terlalu sempit dan kian terbuka, maka gerombolan ini pula terlalu luas dan ngangaan luasnya itu pasti menelan segala jiwa yang nipis iman dan akidahnya. Umat Islam mestilah diingatkan dengan bahaya yang semakin membesar ini. Ia semakin berani mencabar hak Islam dan umatnya di dalam negara. Umat Islam mestilah digoncang dengan peringatan yang kuat dan menusuk kalbu agar mereka keluar daripada kealpaan.

Nah, di sinilah taring PAS tampak dan berseringai. Anda perhatikan peringatan demi peringatan oleh Presiden PAS tentang bahaya baru muncul ini. DAP yang memusuhi agenda Islam adalah pada garis yang pertama. Anak butir tahi PAP ini harus diperkenalkan sehingga ke akar umbinya. PAS telah diberi pengalaman menarik untuk bersama DAP dalam Pakatan Rakyat. Ternyata dalam usaha baik PAS mengajak DAP untuk lebih sederhana di dalam perjuangan mereka dengan menerima sifat Malaysia sebagai negara umat Islam, DAP berjaya melarutkan sebahagian otak pemimpin PAS untuk mentafsirkan Malaysia secara otak DAP. Akhirnya hubungan PAS dan DAP berakhir dan ranap dengan permusuhan melampau DAP terhadap Islam.

Justeru jika anda merasakan BPMS adalah hanya kelembutan, maka anda harus membaiki kembali kesilapan itu. Di dalam BPMS, ciri yang pertama adalah politik dasar dan berprinsip. Sentuhan buruk pada dasar PAS iaitu Islam akan menyaksikan taring dan geraham PAS meratah lawannya sehinggalah lumat dan lunyai. Selebihnya adalah kelembutan, kemanisan dan ajakan yang berterusan agar umat Islam terus menyokong agenda Islam di bumi Malaysia tercinta.

1. SIDANG media oleh YB Rafizi dalam isu tuduhan kaitan PAS dengan dana 1MDB menunjukkan betapa beliau seorang yang tidak berkredibiliti dan tidak boleh dipercayai. Bagaimana beliau boleh membuat tuduhan berasaskan sangkaan dan sumber yang tidak jelas?

2. Sekiranya bekas pegawai SPRM yang dirujuk oleh beliau sebagai sumber tuduhan beliau adalah orang sama yang saya dan beberapa pimpinan PAS temui sebelum ini untuk mendapatkan penjelasan berkaitan siasatan isu 1MDB, maka sangat jelas bahawa YB Rafizi agak bermasalah dalam menilai maklumat yang disampaikan kepada beliau.

3. Dalam pertemuan kami, bekas pegawai tersebut menyebut bahawa beliau "merasakan" pernah melihat sekeping cek dalam fail seorang peguam "seimbas lalu" sahaja yang "dirasakan" mempunyai nama seseorang yang pernah ada kaitan dengan PAS.

4. Berulang kali saya minta dibuat pengesahan nama. Beliau menyatakan hanya melihat sepintas lalu sahaja. Justeru, kami meminta beliau membuat pengesahan dan mendapatkan kembali fail tersebut. Beliau berjanji untuk mengusahakannya walaupun agak sukar kata beliau kerana fail tersebut bukan lagi berada pada tangan beliau.

5. Beliau juga tidak menyatakan jumlah wang yang terkait dan juga tidak dapat menyatakan tarikh berkaitan. Semuanya hanya bersifat maklumat lisan tanpa sebarang dokumen dan sebarang evidence.

6. Kami menganggap ianya hanya satu bentuk maklumat yang sangat longgar dan tidak sesuai untuk dijadikan isu atau diambil tindakan lanjut secara lebih konkrit.

7. Sehingga kini segala dokumen yang kami perlukan belum dibekalkan oleh pegawai SPRM berkenaan (sekarang beliau adalah pesara).

8. Kenyataan YB Rafizi juga hanya bersumberkan maklumat pegawai SPRM secara lisan dan kenyataan itu juga tidak disertakan dengan sebarang bentuk maklumat terperinci mahupun sebarang dokumen pembuktian.

9. Persoalannya; bolehkah sumber maklumat yang kabur dan tidak jelas sebegini dijadikan asas kepada sesuatu pertuduhan? Seterusnya disebarkan pula ke seantero dunia yang boleh menyebabkan kezaliman terhadap seseorang dengan tuduhan yang tidak selayaknya?

10. Kaedah pengadilan Islam yang diterima oleh dunia pengadilan menyebut:
"Bukti adalah kewajipan ke atas pendakwa"

Adakah sumber maklumat yang tidak jelas sebegitu adalah "bukti"?

11. Kaedah pengadilan juga menyatakan:
"Seseorang itu secara asasnya adalah bebas daripada sebarang tuduhan".

12. Mungkin kegelojohan mencipta isu untuk menarik khalayak bagi kepentingan politik sempit mendorong beliau melakukan sesuatu yang tidak beretika.

13. Kenyataan YB Rafizi yang bersifat tuduhan ini adalah dalam konteks niat jahat memalitkan isu ini kepada PAS dengan bersandarkan "cakap dengar" sahaja tanpa sebarang pembuktian.

14. Orang yang dituduh pula tiada lagi kaitan dengan PAS. Jika ada kaitan sekalipun apa bukti sebarang transaksi kewangan kepada PAS daripada individu yang dituduh itu.  Semuanya hanya bersifat sangkaan untuk mencipta persepsi jahat. Betapa ramai rakyat Malaysia yang jatuh berdosa menyebarkan tuduhan kerana ia dicetuskan oleh seorang bergelar YB.

15. Rakyat telah menilai betapa gelojohnya YB Rafizi membuat tuduhan berasaskan cakap dengar hanya semata-mata kebencian kepada PAS dan juga semata-mata kerana menentang RUU 355 yang diusahakan oleh PAS.

16. Justeru, saya menyeru YB Rafizi untuk segera bertaubat kepada Allah daripada dosa merosakkan nama seseorang dengan tuduhan palsu dan tuduhan yang tidak mempunyai asas yang jelas dan kabur.

Allah berfirman

 وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُّبِينًا

"Dan orang-orang yang menyakitkan orang-orang beriman lelaki dan perempuan dengan sesuatu yang tidak dilakukannya maka mereka telah menanggung kejahatan tuduhan palsu (buhtaan)  dan dosa yang sangat nyata". (Surah al-Ahzab ayat 58)

17. Berkata seorang tokoh ulamak terkenal, Syeikh Muhammad Solih al-Munajjid: "Sesungguhnya sangkaan jahat dan kegopohan menuduh telah menakutkan ramai yang tidak berdosa dan menzalimi ramai manusia.  Menjadi sebab orang yang soleh diketepikan tanpa sebab yang syarie. Membangkitkan permusuhan dan siri-siri kezaliman daripada golongan yang jahil yang menyebarkan berita, sangkaan penuh dosa, umpatan yang jahat dan tuduhan palsu. Sesungguhnya tuduhan kepada orang yang tidak bersalah dengan tuduhan palsu, hanya berupa sangkaan dan telahan dan tuduhan terhadap orang Islam melakukan sesuatu yang tidak dilakukan, kesudahannya sangat buruk di dunia dan di akhirat."

rujuk https://almunajjid.com/8087

18. Suka juga disebut bahawa pegawai SPRM berkenaan menganggap pembangkang sebagai " bodoh" apabila memfokuskan pada 1MDB yang tiada bukti yang kukuh (kerana tiada penyiasatan terperinci) sedangkan bukti yang boleh disiasat menurut penyiasatan mereka adalah melibatkan SRC. Itu pandangan beliau.

19. YB Rafizi juga sangat kuat berbohong apabila menuduh PAS tidak pernah berbicara tentnag 1MDB. Sedang PAS konsistan berbicara tentang isu 1MDB sejak dahulu berasaskan kepada beberapa prinsip antaranya prinsip kerajaan berniaga, perniagaan bermodalkan hutang, hutang dijamin kerajaan melibatkan dana awam dan hutang berasaskan riba. Semua prinsip ini adalah asas kepada penolakan PAS terhadap 1MDB bukan hanya fokus kepada kegagalan bisnes 1MDB.

20. Saya rasa YB Rafizi perlu fokus pada tuduhan oleh Chegu Bard yang telah tersebar bahawa beliau dan PKR menerima wang daripada John Soh yang terlibat dengan pelbagai skandal salah laku kewangan sehingga meringkuk di dalam penjara di Singapura sekarang. - HARAKAHDAILY 14/4/2017

SAYA merujuk kepada tulisan yang sangat jauh dari kebenaran yang ditulis oleh Dato' Raja Bahrin Shah (DRB), Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang menang atas tiket PAS, tetapi kemudiannya memilih menyerang PAS sebagai Pengerusi PAN Terengganu.

Ia berhubung tulisan beliau disiarkan pada 12 April 2017, di dalam Malaysiakini dengan fokus kepada Legasi Almarhum Tok Guru Nik Aziz, tokoh yang dikasihi oleh semua pejuang Islam dalam PAS.

Buku-buku yang menghimpun buah pemikiran Tok Guru banyak ditulis oleh ramai penulis PAS. Catatan DRB hanya sekelumit pengalaman beliau yang sekali sekala ke kuliah Tok Guru berbanding mereka yang berdamping rapat dengan Almarhum yang faham benar pemikiran Almarhum.

Fokus saya cuma berhubung kisah yang dicatatkan beliau tentang beliau dipanggil oleh Yang Di Pertua PAS Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Abdullah di rumah seorang pemimpin PAS di Kampung Durian Burung , Kuala Terengganu.

DRB mendakwa seolah fokus perbincangan adalah mengapa beliau menulis artikel "Mengimbau sumbangan dan jasa Nik Aziz?".

Bohong dan tidak dibangkitkan langsung. Ia seperti mahu membuat orang berprasangka bahawa begitu sekali Ustaz Wan Sukairi tidak menghargai Tok Guru Nik Aziz.

Walhal pada buku-buku catatan, pada kenderaan, pada laptop Ustaz Wan, pelbagai pelekat TGNA bertampal-tampal. Usrah yang dikendalikan Ustaz Wan sentiasa mengkisahkan teladan ulama besar ATGNA.

Saya punya locus standi untuk menegakkan kebenaran ini kerana saya yang mengaturkan pertemuan. Dan rumah itu rumah saya. Dan pertemuan itu adalah antara tiga orang iaitulah YDP PAS Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi, Dato' Raja Bahrin, Ahli Parlimen Kuala Terengganu dan saya sendiri selaku Ketua Penerangan PAS Kuala Terengganu yang juga Ketua Sekretariat Semua NGO Yang Bergabung Dengan PAS.

Arwah isteri saya ada sekejap sekadar menghidang kuih dan nescafe.

Puncanya kerana telah kecoh di peringkat akar umbi yang marahkan DRB yang dilihat 'mengikut' rentak aliran Pasma ketika itu. DRB menulis dan memanjangkan fitnah UG.

Bukan setakat di Terengganu, Blogger dan Facebooker di luar Terengganu pun mula mempertikaikan kesetiaan DRB kepada PAS. Ini memberi tekanan kepada PAS Kawasan Kuala Terengganu yang bermati-matian mempertahankan, menepis cuba memperbaiki kerosakan yang menjejaskan bukan sahaja DRB, tetapi nama baik PAS Kuala Terengganu sendiri.

Saya sendiri selaku Ketua Penerangan perlu jawab semua ini. Yang akan keluarkan kenyataan adalah saya.

Selain dari itu, PAS Kuala Terengganu sendiri mempunyai harapan yang besar kepada DRB, mahu melonjakkan lagi posisinya kerana kami percaya DRB punya potensi ke hadapan lagi oleh kedudukannya dipandang Kerabat Di Raja dan latar belakang profesionalnya.

Minat beliau dengan NGO kami bantu jayakan, arahkan supaya seluruh jentera beri sokongan, kehadiran pemuda dan muslimat. NGO seperti GANTI, MAMPAT, ROYALTI R angkat beliau. Beliau ke hadapan berucap dan sidang media. Urusan persiapan, kerjasama dan liason dengan persatuan persatuan, semua kami yang buat.

Bukan seperti hari ini, beliau berucap seorang diri di belakang Toyota Hilux. Tak dipedulikan sesiapa.

Kerana itu saya yang bincang dengan Ustaz Wan. Selagi boleh dibantu, diselamatkan, kita ikhtiarkan dulu. Biar saya cakap dulu dengan DRB. Kalau setuju kita jumpa di rumah saya. Ustaz Wan terus setuju dan memang diapun berpendirian begitu dari dulu.

Saya sampaikan kepada DRB. Ringkaskan cerita kami bertemu. Hampir dua jam.

Topiknya mulanya kita beritahu senario yang berlaku yang perlu kita baiki dan selamatkan. DRB nampak macam faham.

Fokusnya mula-mula kami minta DRB tak perlu panjangkan lagi soal Pilihan Raya Kecil DUN Cempaka yang menulis secara prasangka kepada PAS ekoran keputusan BN tidak mahu masuk bertanding di situ. Ramai orang PAS yang marah dengan tulisan DRB yang menohmah UG, inginkan jawatan dan lain-lain.

Posisi PAS ketika itu ialah PAS akan pertahankan DUN Cempaka tak kira siapa yang masuk bertanding. Umno tak mahu bertanding, itu hak Umno, PAS tidak bincang apa-apa syarat atau persetujuan sampingan yang lain.

Ia baik untuk PAS yang bergelut mengurus bencana banjir dan sedang mengumpul kekuatan.

PRK Chempaka ekoran kematian Almarhum TGNA. Berlaku pertandingan empat penjuru tidak disertai Umno. PAS menang besar.

Mesejnya Umno tak berani letak calon di DUN Cempaka.

Isu kedua berkait pendirian DRB berhubung isu Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), antara tuntutan DAP sejak sekian lama. DAP secara umumnya menguasai populasi bandar besar dalam negara yang peratus penduduk bukan Melayu lebih besar.

Jika Pilihan Raya PBT berlangsung, kemungkinan pentadbiran bandar utama dalam negara dikuasai bukan Melayu adalah besar.  PBT berkuasa atas segala perlesenan  tapak perniagaan, kedai, premis hiburan, arak, judi dan segala syaratnya.

Ini ditolak oleh PAS. Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah memberi penjelasan tentang dasar ini kepada ahli parti PAS. Pemimpin lebih-lebih lagi dijelaskan.

Masalahnya DRB mengulanginya lagi dan disiar media sehingga persepsinya DRB menyanggah Presiden PAS sendiri. Itu merosakkan imej DRB sendiri dalam PAS dan merugikan rancangan PAS Kuala Terengganu yang amat harapkan kemaraan beliau menjadi pemimpin besar satu hari nanti.

Ironinya baru enam hari yang lalu, Tun Mahathir yang diangkat ikon oleh Pakatan Harapan pun menolak dengan tegas idea Pilihan Raya PBT ini.

Jika PAS Kuala Terengganu mementingkan diri berbanding kepentingan nasional, memanglah lagi untung buat Pilihan Raya PBT untuk Bandaraya Kuala Terengganu kerana seluruh Kuala Terengganu satu Parlimen dan empat DUN, semuanya BN kalah, dimenangi PAS, termasuk bantuan PAS yg memenangkan PKR di DUN Bandar.

Memanglah seronok akan ada jawatan Datuk Bandar, seluruh Ahli Majlis Bandaraya dan pelbagai kemudahan.

Tapi orang PAS bukan jenis gilakan jawatan. Fikir kesan jangka panjang dengan matang.

Itulah topik sebenar yang dibincang dalam dua jam yang berkenaan.

DRB bukan orangnya yang sesuai syarahkan perjuangan Tok Guru Nik Aziz kepada Ustaz Wan yang sejak dari zaman muda pengajian di Mesir, kembali ke tanah air bergiat dalam PAS, mengaturkan perjalanan  pelbagai kunjungan Almarhum TGNA ke Terengganu atas kapasitinya Pengarah Jabatan Penerangan PAS Terengganu dan Urusetia Negeri.

Beliau lebih kenal ATGNA berbanding DRB.

Malah, Zainuddin Abu Bakar, Naib Yang Di Pertua PAS Kawasan Kuala Terengganu ketika itu, adalah berbesan dengan ATGNA. Anaknya Asyraf Zainuddin adalah menantu ATGNA.

Zainuddin yang mengetuai Lujnah Tarbiyyah Kuala Terengganu juga adalah tenaga Tarbiyyah di PAS Pusat.

Beliau yang menjadi Naqib usrah pelbagai peringkat di Kawasan Kuala Terengganu sama ada bulanan atau dwimingguan.

Dan fikrah, tasawwur, teladan dari ATGNA sentiasa diceritakan sesuai hubungan peribadi dan kekeluargaannya dengan ATGNA.

Dengan penjelasan ini saya harap sebagai orang yang masih ada sisa perasaan hormat dan sayang sesama Islam kepada DRB supaya hentikanlah menulis yang bukan-bukan begini.

Saya yang bertanggungjawab dengan Allah atas apa yang saya tulis. DRB suka bicara tentang tasauf kan? Tasauf yang saya belajar tak izinkan saya merekayasakan cerita yang tidak benar.

AHMAD AMZAD HASHIM
Pengarah
Jabatan Penerangan PAS Pusat
14hb April 2017 – HARAKAHDAILY 14/4/2017

1. PAS Pusat ingin menyatakan bahawa bekas Timbalan Presiden PAS Dato' Dr Nasharudin Mat Isa tidak pernah memegang sebarang jawatan dalam PAS sejak beliau tewas dalam pertandingan jawatan tersebut pada tahun 2011 dan setelah ditamatkan sebagai Ahli Majlis Syura Ulamak PAS.

2.  PAS Pusat mengesahkan tidak pernah menerima sebarang sumbangan daripada dan/atau melalui beliau dalam apa bentuk sekalipun daripada tarikh tersebut kecuali sumbangan tetap bulanan sebagai Ahli Parlimen PAS (berakhir Mei 2013 sebagai Ahli Parlimen Bachok).

3. PAS Pusat menyerahkan perkara Akuan Bersumpah YB Saudara Rafizi Ramli dalam hal ini kepada Pihak Berkuasa untuk diambil tindakan yang sewajarnya mengikut undang-undang. Namun PAS berpandangan ianya kekal berstatus 'dengar cakap' (hearsay) selagi individu yang dikatakan memberitahu 'maklumat' ini kepada beliau, mengesahkannya.

4. Dalam masa yang sama PAS menggesa YB Rafizi Ramli agar turut dengan segera membuat Akuan Bersumpah tentang dakwaan 'bersifat rasuah' yang dibuat oleh Raja Petra Kamarudin dan Chegubard baru-baru ini terhadap beliau dan beberapa pemimpin Keadilan yang lain untuk makluman dan pertimbangan rakyat Malaysia.

Datuk Takiyuddin Hassan
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 13 April 2017

1. PADA 4 April (Selasa) lalu, saya telah menerima jawapan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri terhadap soalan saya berkenaan janji Kerajaan untuk menurunkan harga kereta sehingga 30% menjelang 2018 dan kesediaan Kerajaan untuk menghapuskan duti eksais. Soalan ini berikutan janji yang telah dikemukakan oleh BN dalam manifesto mereka pada PRU13 lalu.

2.    Jawapan tersebut menjelaskan, bagi tempoh 2013 hingga 2015, harga kereta telah turun sebanyak 14.68% namun meningkat semula sebanyak 2.13% pada 2016 menjadikan penurunan keseluruhan harga kereta sehingga 2016 hanyalah sebanyak 12.55%. Dinyatakan juga bahawa Kerajaan tiada perancangan untuk mengkaji dan mengstruktur semula cukai eksais kenderaan.

3.    Berdasarkan jawapan yang diberikan ini menunjukkan satu lagi janji yang gagal ditunaikan oleh Kerajaan atau lebih tepat sebenarnya Kerajaan sengaja tidak mahu menunaikan janji tersebut; kerana, terdapat cara-cara bagi mengurangkan harga kereta.

4.    Mendukacitakan juga apabila Kementerian menyatakan, “Harga kereta tidak ditetapkan oleh Kerajaan, sebaliknya dintentukan oleh syarikat-syarikat pengeluar dan pemasang kenderaan berdasarkan faktor pasaran (market forces)...”, seolah-olah mahu berlepas tangan dengan janji yang telah pun diumumkan kepada rakyat. Soalnya, jika sungguh alasan ini menjadi penghalang kepada Kerajaan untuk menurunkan harga kereta, kenapa berjanji kepada rakyat?

5.    Sedangkan, keperluan untuk Kerajaan menurunkan harga kereta amat mustahak memandangkan 36% daripada jumlah yang diisytiharkan muflis di negara ini ialah kerana hutang kenderaan.

6.    Namun, realiti harga kenderaan yang mahal di negara ini sudah diketahui dan diakui; sehingga Malaysia pernah disenaraikan di kedudukan 10 tertinggi tempat paling mahal untuk memiliki kereta di dunia oleh sebuah portal antarabangsa. Harga kereta di negara ini juga lebih mahal berbanding negara-negara ASEAN yang lain seperti Thailand.

7.    Harga yang mahal ini disebabkan oleh adanya duti eksais yang dikenakan pada kadar yang sangat tinggi iaitu 65% hingga 125% bagi sesebuah kenderaan. Contohnya, kereta Proton Preve Premium 1.6 yang dijual pada harga melebihi RM72,000 jika tanpa duti eksais harganya hanya sekitar RM45,000 sahaja.

8.    Sekalipun tempoh pinjaman kenderaan di negara ini agak panjang menjadikan seseorang berkemampuan untuk memiliki kenderaan, namun kesannya ia membawa kepada peningkatan hutang isi rumah sehingga boleh menyebabkan seseorang bankrap.

9.    Oleh itu, sebagai penyelesaian terhadap isu ini, saya menggesa Kerajaan agar hasil cukai yang berjumlah RM7 bilion hingga RM10 bilion yang diperolehi daripada duti eksais itu dipulangkan semula kepada rakyat menerusi pemberian rebat untuk pembelian kereta terutamanya kepada pembeli kereta pertama yang dikategorikan sebagai B40.

10.    Selain itu, saya juga mencadangkan agar Kerajaan memperkenalkan pinjaman kenderaan berasaskan al-Qard Hassan menerusi institusi khas yang ditubuhkan (seperti PTPTN untuk pinjaman pendidikan). Ini sangat penting bagi mengurangkan unsur perniagaan dan keuntungan yang keterlaluan dalam perkara yang melibatkn keperluan rakyat marhaen.

11.    Tambah pula, memiliki kenderaan adalah sesuatu yang penting bagi menjamin kebahagiaan seseorang seperti yang disabdakan oleh Nabi s.a.w. (maksudnya): "Antara kebahagian anak Adam 3 perkara dan antara kecelakaan anak Adam juga 3 perkara. Antara kebahagiannya ialah wanita yang solehah, kediaman yang baik dan kenderaan yang selesa. Dan antara kecelakaan anak Adam ialah wanita yang jahat, kediaman yang tidak baik dan kenderaan yang tidak bagus." (Hadis di nilai Sahih oleh Syeikh al-Albaani)

“Inilah Penyelesaian Kita”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
12 April 2017 | 15 Rejab 1438 - HARAKAHDAILY 12/4/2017

SAYA ingin menyentuh dua isu sekali gus dalam tulisan saya kali ini. Oleh kerana peristiwa ini berlaku sama hari, jadi eloklah saya tidak membuang masa saya dengan menyentuh satu persatu. Lagipun kualiti fitnah sampah dari kedua-duanya tiadalah jauh perbezaannya.

Nanyang Sian Pau dengan jelas cuba menggugat keharmonian agama dan kaum di Malaysia dengan cubaan menghina bangsa, perlembagaan dan juga paling dahsyat iaitu menghina agama Islam, agama persekutuan kita. Fitnah terburuk daripada mereka.

Dengan cercaan mereka terhadap Speaker dan Ahli Parlimen Melayu Islam yan dipilih secara sah, dan menggunakan saluran perlembagaan yang benar, jelas menunjukkan mereka sanggup melakukan kejahatan sehingga sanggup memfitnah dan menghina perlembagaan negara sendiri. Makhluk jenis ini mungkin boleh berbuat lebih teruk jika kehendak mereka tidak diperolehi walaupun pihak lawan mereka benar.

Keduanya isu yang sedang dipolemikkan oleh pakar strategi PKR iaitu YB Rafizi Ramli. Kepada beliau, saya rasa tidaklah perlu mengulas panjang. Saya cuba menghilangkan gelak saya sejak semalam selepas beliau memaklumkan secara sipi-sipi individu yang 'rapat' dengan PAS itu.

Rafizi saya ibaratkan sebagai guruh yang bunyi bingitnya berdentam-dentum, dengan langit diselubungi awan yang gelap gelita yang memaksa orang ramai mengangkat pakaian di penyidai, kerana menjangkakan hujan ribut yang lebat, tetapi akhirnya yang turun, hanyalah hujan renyai-renyai untuk beberapa titik dan ketika.

Suka saya ulang pantun moden yang diperbaharui iaitu,

Siakap senohong
Gelama ikan duri
Bercakap bohong
Tak lama nanti jadi menteri

Mungkin beliau sedang mengintai jawatan menteri, oleh itu satu keperluan utama untuk menjadi menteri ialah berbohong tapi sanggupkah rakyat melihat pembohong menjadi menteri serta asyik suka memburukkan imej orang lain tanpa bukti?

Saya tidak fikir umat Islam dan juga rakyat Malaysia yang bencikan politik berbentuk pembohongan, fitnah, kebencian yang menghalalkan dosa bersetuju bagi mencapai maksud untuk berkuasa. Kedua-dua Nanyang dan Rafizi sama dalam hal ini.

Kepada Nanyang, saya tidak melihat permohonan maaf itu patut diterima oleh PAS selagi mereka belum menerima tindakan di atas penghinaan itu.

Manakala kepada Rafizi, seperti mana nasihat Datuk Seri TG Presiden PAS, bertaubatlah sebagai kamu orang Islam. Cukuplah mencemari diri kamu dengan politik memperbodohkan rakyat begini.

Saya tidak percaya sepenuhnya kepada Raja Petra Kamaruddin. Tetapi jika mengambil sifir tuduhan Rafizi, jawapan Rafizi ialah menuduh kembali Raja Petra sebagai ejen Umno dan juga mendakwa beliau telah dikafirkan di laman FB dan Twitternya. Siapakah yang kafirkan dia itu? Bolehkah kalau saya kata dia sengaja mengupah orang untuk tagih simpati dengan cercaan itu? Jawab dan bawalah bukti seperti kamu paksakan ke atas PAS. Atau mungkin Rafizi ini ejen Umno sebenarnya setelah banyak strategi dia memusnahkan lagi hubungan antara satu sama lain.

Wallahua'lam

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
14 Rejab 1438 / 11 April 2017 - HARAKAHDAILY 11/4/2017

ADA seorang wakil rakyat yang membawa lari kerusi PAS kata wakil Rakyat PAS yang khianat bukan dia yang khianat. Sebab wakil Rakyat PAS menang kerana orang bukan Islam undi. Dia pula menang kerana orang bukan Islam undi, bukan kerana orang PAS undi. Dia menang kerana orang undi Pakatan Rakyat bukan kerana undi PAS.

Saya senyum apabila berita ini sampai kepada saya.

Saya jawab,
1. Betullah di sesetengah tempat seperti di Parlimen Bukit Gantang  dengan izin Allah, orang bukan Islam mengundi saya.
2. Saya tanya balik, kalau setakat undi bukan Islam sahaja undi saya dan dia, adakah dia boleh menang.
3. Dakwaan beliau boleh diterima kalau dia bertanding di DUN Aulong Taiping atau Pokok Asam. Ini dia pun bertanding di DUN pengundi Melayu 63 peratus. Mungkin di dalam PRU 14 dengan ehsan DAP beliau bertanding di kerusi tersebut. Itu pun kalau DAP sudi memberi laluan.
4. Adakah lambang parti Pakatan Rakyat ada di dalam kertas undi.
5. Semasa dia lafaz baiah hendak menjadi calon adakah dia Sebut Wallahi Wabillahi Watallahi saya akan patuh kepada arahan pimpinan parti Pakatan Rakyat.
6. Berapa orang tenaga orang bukan Islam yang membantu beliau semasa kempen pilihan raya.
7. Bukankah tenaga PAS yang pergi merayu dari rumah ke rumah. Bukankah Jabatan Amal itu orang PAS. Bukankah pengawal keselamatan calon juga daripada orang PAS. Bukankah yang panjat pokok, gantung bendera orang PAS. Bukankah orang PAS yang menjadi perayu undi di bangsal panas daripada pagi hingga ke petang. Kadang-kadang terpaksa berlawan dengan jentera Umno pada hari mengundi. Bukankah yang penjadi PACA di dalam bilik mengundi juga orang PAS.

Tiba-tiba boleh mendakwa dia menang bukan kerana PAS. Cukuplah kamu meletakkan garam di tempat luka orang PAS dengan melarikan kerusi. Lebih baik diam, makan kenyang-kenyang elaun wakil rakyat, tetapi janganlah menghiris perasaan petugas PAS yang ikhlas.

Petugas PAS tidak meminta upah dan belas kasihan, cuma mereka minta kejujuran, perkhidmatan dan santunan sahaja. Ahli PAS ikhlas, mereka hanya mendengar arahan dan wala' daripada pimpinan. Ingat! doa ahli marhaen PAS yang ikhlas, insy-Allah  mustajab. – HARAKAHDAILY 11/4/2017

SEMALAM PAN mengadakan seminar pemikiran Tok Guru Nik Aziz. Tujuannya ialah untuk menggambarkan parti yang mereka tubuhkan daripada serpihan PAS adalah selaras dengan pemikiran dan direstui Allahyarham Tok Guru.

Ini merupakan satu manipulasi terhadap pemikiran seorang yang telah tiada di dunia ini. Tok Guru tidak ada kena mengena dengan parti tersebut. Malah Tok Guru terus istiqamah bersama PAS sehingga ke akhir hayatnya. Tok Guru tidak pernah menyeru sesiapa untuk keluar daripada PAS.  Itu adalah fakta semasa hayat beliau.

Setiap orang berhak mengkaji pemikiran sesiapa pun termasuk pemikiran seorang tokoh yang telah meninggal dunia. Tetapi kita tiada hak menisbahkan sesuatu kepada seorang yang tidak pernah memperkatakannya.

Kaedah Fiqh menyatakan

لا ينسب قول لساكت

"tidak dinisbahkan satu ungkapan pada seorang yang diam".

Berdasarkan kaedah ini tindakan PAN adalah satu jenayah intelek terhadap nama baik Allahyarham Tok Guru Nik Aziz.

Pelbagai andaian dibuat dan direka lalu dinisbahkan kepada seorang yang telah tiada di dunia ini

Ia adalah satu penipuan, cerita rekaan dan pembohongan yang sangat nyata dan keji.

Cerita rekaan ini disebut dalam istilah hadis Nabi sebagai "buhtan" atau cerita rekaan dan pembohongan yang jelas haram hukumnya.

Antara isi Baiah Aqabah yang pertama antara Nabi SAW dan para Sahabat dari Yathrib 2 tahun sebelum Hijrah ialah

وَلَا تَأْتُوا بِبُهْتَانٍ تَفْتَرُونَهُ بَيْنَ أَيْدِيكُمْ وَأَرْجُلِكُمْ

"Dan kamu berbaiah (beraku janji) untuk tidak mendatangkan satu (buhtan) cerita rekaan yang kamu reka di kalangan kamu." (Hadis Sahih Bukhari)

Kata tokoh Ulama Ali al-Qari (meninggal tahun 1014 H) dalam Mirqah al-Mafatih ketika menghuraikan maksud Baiah di atas: "janganlah kamu menisbahkan cerita rekaan itu kepada seseorang berasaskan sangkaan yang rosak"

Seminar ini telah mencipta pelbagai cerita rekaan dan andaian berasaskan sangkaan yang rosak dan salah lalu dinisbahkan kepada batang tubuh Tok Guru Nik Aziz yang telah pergi ke rahmatullah dan tentu Allahyarham tidak boleh menjawap bagi menafikannya.

DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Isnin 10 hb April 2017 – HARAKAHDAILY 10/4/2017