Sidebar

27
Wed, Sep

Kesabaran umat Islam ada sempadannya

Presiden
Typography

APA yang dilakukan terhadap umat Islam Rohingya di luar batas perikemanusiaan. Seluruh dunia sudah mengetahui kekejaman yang mengorbankan manusia di sana sehingga ramai yang sudah terpaksa menjadi pelarian dan mangsa korban di darat dan lautan.

Masyarakat antarabangsa tidak boleh memejamkan mata dari segi kemanusiaan untuk bertindak terhadap rejim yang terkurung dalam negerinya dan melakukan apa sahaja tanpa peduli terhadap kutukan dunia luar terhadapnya.

Masyarakat antarabangsa yang telah mengetahui betapa aspek agama memainkan peranan terhadap kekejaman yang berlaku sehingga melibatkan sokongan para sami yang dikatakan juga menyalahi ajaran agamanya sendiri yang menentang keganasan.

Masyarakat antarabangsa perlu menyedari juga bahawa Islam mengajar erti kemanusiaan dan persaudaraan secara khusus di kalangan umat Islam sesama penganutnya laksana satu jasad. Perlu diketahui bahawa di sekeliling negara zalim dan kejam itu sangat dekat dengan jumlah umat Islam yang besar sehingga mencecah setengah bilion.
 
Tindakan lebih awal hendaklah diambil secara berkesan oleh PBB, bukan sahaja resolusi dan lawatan yang tidak dihormati pun. Mereka hendaklah sedar bahawa kesabaran umat Islam ada batasnya. Walaupun negaranya tidak mampu bertindak, jangan sampai adanya tindakan bersendirian yang tidak boleh dikawal lagi dan jangan Islam pula yang disalahkan.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 17 Zulhijjah 1438 / 8 September 2017 - HARAKAHDAILY 8/9/2017