Bila pemain lawan bersungguh nak kejar kita, tackle kita, terjah kita, himpit kita dan jatuhkan kita, maka itu bermakna bola sedang berada di kaki kita.
 
Tak ada pemain lawan yang mabuk nak lakukan itu semua kepada kita kalau kita sedang santai tengah padang, tanpa bola di kaki atau kita pemain reserve di bangku simpanan.
 
Tenang dan kawal bola dengan baik. Kalau tekanan dan terjahan terlalu kuat, pass dulu bola kepada kawan. Kita main sepasukan bukan nak tunjuk skill individu. Dalam pasukan kita dah tak ada pemain yang sumbat gol sendiri dan pemain yang suka pass bola kepada pemain lawan.
 
Jangan gelojoh sangat nak sumbat gol. Pintu gol sedang terbuka luas. Tenang dan sumbatlah dengan bergaya.
 
DR AZMAN IBRAHIM
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat - HARAKAHDAILY 16/1/2018

Kestabilan dalam pembahagian kerja

REALITI yang berlaku pada hari ini, banyak syarikat cenderung untuk mengupah buruh asing berbanding buruh tempatan. Kecenderungan ini adalah disebabkan dengan mengupah buruh asing dapat mengurangkan kos operasi mereka dan secara tidak langsung menambah keuntungan.

nasrudin3Dari satu sudut yang lain, ia sebenarnya menambahkan jumlah pengangguran yang akhirnya membawa impak yang negatif kepada ekonomi negara. Dengan memberi peluang kerja lebih kepada rakyat tempatan, pengaliran duit akan lebih banyak di dalam negara berbanding di luar negara, lantas ia membantu pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Apa yang perlu difikirkan adalah satu permuafakatan di antara majikan dan juga pihak kerajaan perlu dicapai bagi menyelesaikan masalah ini. Ini kerana kondisi ekonomi negara dan rakyat juga bakal memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada para majikan.

Antara cadangan yang boleh diutarakan kepada pihak majikan adalah mengurangkan jumlah buruh asing dan melebihkan rakyat tempatan dalam pemilihan pekerja.

Di samping itu, majikan perlu mengambil kira jumlah gaji yang bersesuaian dengan kos minimum sara hidup rakyat. Ini bagi menjamin produktiviti dan kestabilan pekerja jangka panjang.

Dalam pada itu, kerajaan sebagai penentu dasar, perlu mengambil langkah-langkah yang efektif dan mendasar dalam isu melibatkan pihak majikan.

Beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan yang sebahagiannya telah dilaksanakan di negara lain adalah:

a) Levi pekerja asing boleh ditingkatkan dengan kadar yang tinggi dan menetapkan had ke atas tenaga pekerja asing oleh industri.

b) Penguatkuasaan perlu diperketatkan dengan menjalankan pemantauan berkala terhadap buruh asing dan mengenakan denda yang tinggi kepada syarikat yang melanggar peraturan.

c) Menetapkan kuota minimum pekerja tempatan dalam syarikat asing yang beroperasi di Malaysia.

d) Menggalakkan dan memberikan insentif kepada pemodal/syarikat untuk mengembangkan industri keperluan asas yang tidak popular.

Hayatilah firman Allah SWT:

أَهُمۡ يَقۡسِمُونَ رَحۡمَتَ رَبِّكَۚ نَحۡنُ قَسَمۡنَا بَيۡنَهُم مَّعِيشَتَهُمۡ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۚ وَرَفَعۡنَا بَعۡضَهُمۡ فَوۡقَ بَعۡضٖ دَرَجَٰتٖ لِّيَتَّخِذَ بَعۡضُهُم بَعۡضٗا سُخۡرِيّٗاۗ وَرَحۡمَتُ رَبِّكَ خَيۡرٞ مِّمَّا يَجۡمَعُونَ ٣٢ الزخرف

“(Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan Rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad, seolah-olah Kami hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja? Mereka tidak ingkarkan: Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita) dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian daripada mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya daripada (bantuan) setengahnya yang lain dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan.” (Surah Az-Zukhruf, ayat 32)
(bersambung)

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
27 Rabiul Akhir 1439 | 15 Januari 2018 – HARAKAHDAILY 15/1/2018

PAS melangkah ke gerbang jaya. Ke Arah Membina Negara Sejahtera. Sejahtera bersama Islam. Justeru itu, PAS telah hasilkan tiga Produk utama untuk menjayakan cita-cita Pembinaan Negara Sejahtera Bersama Islam.

2. Semua rakyat dicadang supaya mendapatkan tiga produk PAS ini dengan melayari dan mengkajinya secara saksama untuk memahami :

i - Pendekatan PAS,
ii - Hala Tuju PAS,
iii - Matlamat PAS dan
iv - Tujuan PAS Berjuang.

PRODUK 1 : Budaya Politik Matang dan Sejahtera.
https://www.facebook.com/Budaya-Politik-Matang-Sejahtera-BPMS-1463434187086789/

PRODUK 2 : Dokumen Hijau
https://www.facebook.com/Dokumen-Hijau-DH-128174237854035/

PRODUK 3 : Wawasan Induk Negara Sejahtera.
https://m.facebook.com/wawasaninduk/

Insya-allah, anda boleh selalu mengunjungi pautan tiga produk PAS di atas. Pihak Lajnah Penerangan PAS Pusat akan mengemaskini dari semasa ke semasa serta menjawab persoalan munasabah yang berbangkit. – HARAKAHDAILY 12/1/2018

 
إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ
(Fussilat: 30)
 
Ayat yang saya bacakan tadi ialah satu berita gembira dan suatu penegasan yang diminta oleh Allah S.W.T kepada orang yang beriman kepada Allah, walau hebat macam mana cabaran sekalipun, walau bagaimana bentuk ujian sekalipun, hendaklah mereka meyakini tentang Allah sebagai tuhan dan istiqamah di atas prinsip tersebut.
 
إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ
"Dan mereka yang berkatakan tuhan kami Allah."
 (Fussilat: 30)
 
Allah bukan hanya tuhan dalam sembahyang, dalam puasa, dalam zakat, Allah juga tuhan dalam berekonomi, Allah juga tuhan dalam berpolitik. Kerana tidak ada 'ilah' yang lain melainkan Allah, jangan hanya kiblat sembahyang mengadap Kaabah, kiblat politik mengadap Amerika. 
 
Umat Islam mempunyai satu kiblat dan satu tuhan dalam seluruh hidup, kerana Allah Taala bukan hanya kita minta kepada Dia, dan Allah itulah juga tempat kita menumpukan segala ketaatan kepatuhan. Allah Taala menggunakan tiga istilah dalam surah an-Nas:
 
قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ
مَلِكِ النَّاسِ
إِلَٰهِ النَّاسِ
(an-Nas: 1-3)
 
رَبِّ النَّاسِ 
مَلِكِ النَّاسِ
إِلَٰهِ النَّاسِ
 
 
Yang merangkumi semua aspek. Rabbi atau Rabb, Dia lah yang mengatur, mentadbir, menyusun, menjadikan, menghidup dan mematikan. Malik, Dia-lah yang Raja yang disembah yang diagung-agungkan, dibesarkan. Ilah, Dia-lah Allah tempat kita sembah, mengadu, mengharap. Semua ini menunjukkan kepada kita orang yang mengatakan, "Tuhan kami Allah"
 
 ثُمَّ اسْتَقَامُوا
"Kemudian mereka beristiqamah di atas kalimah tersebut."
 (Fussilat: 30)
 
Kalimah yang sangat agong. Tanyalah siapa sahaja. Sebab ada orang bertanya kenapa PAS membawa Gagasan Islam sedangkan negara Malaysia masyarakat majmuk? Kita jawab, majmuk ini Allah yang buat, bukan kita yang buat. Nabi Muhammad diutuskan untuk masyarakat majmuk, bukan masyarakat Arab. Allah Taala berfirman:
 
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
"Dan tidak Kami utuskan engkau wahai Muhammad S.A.W melainkan membawa rahmat kepada seluruh alam."
 (al-Anbiya': 107)
 
Rahmatan Lil 'Alamin, bukan Rahmatan Lil Muslimin, bukan Rahmatan Lil Arabiyyin. Rahmatan Lil 'Alamin, rahmat seluruh alam.
 
Kerana itu Islam tidak memaksa orang bukan Islam untuk masuk Islam, kerana tak ada makna paksaan dalam akidah, pemaksaan akan hanya menjadi munafik, berpura-pura. Luar dalam, luar lain, dalam lain, jadi harum manis. 
 
Islam tak mahu dua wajah, Islam hanya ada satu wajah sahaja, satu sifat sahaja. Kalau mereka beriman, mereka kena pegang apa yang diperintah oleh Allah. Kalau mereka tak nak beriman, mereka tidak dipaksa untuk ikut apa yang diperintah oleh Allah. 
 
لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ 
"Tidak ada paksaan dalam agama."
 (al-Baqarah: 256)
 
Kenapa tidak ada paksaan? Allah jawab:
 
 قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ
"Kerana telah jelas nyata di antara benar dan salah."
 (al-Baqarah: 256)
 
Sebab itu PAS, Gagasan yang kita bawa ialah membawa suatu negara, masa depan negara yang adil, yang harmoni, melahirkan pemimpin bertanggungjawab bukan hanya kepada rakyat dan negara, bertanggungjawab dengan Allah. 
 
Kalau sekadar bertanggungjawab dengan negara, belum tentu pemimpin itu jadi baik. Pemimpin akan ditanya oleh Allah sampai ke akhirat. Jangan dia ingat bahawa jawatan hanyalah untuk seronok-seronok nak bangga dengan manusia. 
 
Sebab itu PAS, kita tidak pernah berebut soal jawatan. Dalam isu berlaku di Selangor, PAS 15 kerusi kita bagi kepada PKR, kita tidak ambil. Berlaku krisis, kita serah lagi calon nama PKR.
 
Mat Said di Terengganu serang kerajaan negeri, isytihar tidak menyokong kerajaan. Ramai orang tanya, kenapa PAS tak ambil kesempatan waktu itu? Di Terengganu, PAS hanya perlu dua kerusi lagi boleh memerintah. Mat Said kata dia ada lima yang mengikut dia di belakang.
 
Tapi kita tak tahu lah boleh percaya, kita tengok, ya ke lima? Kita nampak kadang-kadang bergedik seorang, kadang-kadang nampak dua, kadang-kadang nampak tiga, tapi dia kata ada lima orang. 
 
Kita tak ambil kesempatan. Ada orang kata, PAS tak cerdik, ambillah kesempatan, ambil alih kerajaan, kita boleh memerintah, hadapi pilihan raya dalam keadaan kuasa di tangan kita. 
 
Kita kata tidak, Presiden buat keputusan, kami ikut. Jawatankuasa Pusat setuju, kita tidak ambil kesempatan, kenapa? 
 
Waktu Perak calon-calon DAP keluar lompat parti, kita serang DAP. Waktu PKR keluar daripada parti di Perak hingga tumbang kerajaan, PAS kita menentang budaya rebut tengah jalan, mengambil kesempatan dalam kemelut yang ada. 
 
Kita tak setuju, sebab dia melahirkan wakil rakyat yang sedia menjual kerusi pada bila-bila masa. Wakil rakyat yang khianat macam ini tak layak jadi pemimpin. Bayangkan tiba-tiba kita pula ambil kesempatan yang sama. 
 
PAS kita tak ambil kesempatan, kita mengambil kira beberapa perkara, yang pertama apa jaminan Mat Said tak lompat? Sidang Dewan Negeri terbaru, hangit sokong kerajaan yang ada hari ini.
 
Tak boleh. Sebab itu kita pegang prinsip sebab PAS pernah hilang kerajaan di Kelantan, hampir hilang kerajaan di Terengganu. PAS kemukakan cadangan supaya wakil rakyat tak dibenarkan lompat parti, Kerajaan Barisan Nasional menolak cadangan sebab dia kata bercanggah dengan hak dalam perlembagaan, kebebasan individu dalam Perlembagaan Negara. 
 
Tuan-tuan sekalian, PAS kita tahu bahawa negara kita mesti diolah dengan cara yang betul. Malaysia masyarakat majmuk. Di Semenanjung kita ada kaum-kaum utama, Melayunya, Cinanya, Indianya, Orang Asalnya. Di Sabah Sarawak ada berbagai kaum. Malaysia bukan hanya satu agama, Malaysia bukan hanya satu bangsa, semuanya rakyat kita, semua rakyat Malaysia yang ada hak ke atas negara ini, mereka bayar cukai, mereka menjaga keamanan negara, mereka terlibat dalam mengatur urus tadbir negara. 
 
Sebab itu PAS, kita mengambil pendekatan supaya kita memahami budaya satu sama lain, memahami hak beragama satu sama lain. Kita tidak boleh menyekat orang Kristian nak mengamal agama dia. Kita tak boleh sekat orang Cina nak mengamalkan budaya hidup dia. Demikian juga mereka tidak boleh menyekat orang Islam untuk mengamalkan perintah agama dia. 
 
Inilah keharmonian yang kita jaga. Sebab itu kita menjelaskan apa yang dibawa dalam perlembagaan dalam Dewan, dalam Parlimen, walaupun PAS 27 memerintah Kelantan, kita tahu orang bukan Islam khususnya orang masyarakat Cina takut dengan hukum Hudud, mereka dibayangkan Hudud ini kerat tangan, dibayangkan hukuman yang rejam, hukuman yang menakutkan, mereka tak tengok seluruh struktur.
 
Undang-undang jangan tengok hukuman, kena tengok syarat hakim, syarat saksi, syarat pendakwaan, syarat pembuktian. Bagaimana seluruh itu sebagai satu sistem yang lengkap? Jangan tengok hukum. Kalau tengok hukum, di Negeri China, kesalahan rasuah hukum tembak. Tembak pula berdepan-depan yang mangsa yang akan ditembak lain. Kalau tengok hukuman, kita akan rasa zalim, kejam, tetapi tengok seluruh sistem. 
 
Sebagaimana orang Islam tidak boleh menyekat hak orang bukan Islam mengamalkan agama, budaya dia, demikianlah juga kami orang Islam ada tanggungjawab kami pada agama kami. Ada tanggungjawab dalam ekonomi, tidak boleh terlibat dengan perkara yang diharamkan oleh Allah yang cipta kita. 
 
PAS bukan hanya menentang rasuah, PAS juga menentang amalan riba. Quran meng....kan orang yang mengamalkan riba, kekal neraka selama-lamanya. PAS menentang rasuah, dia menghancurkan negara. PAS tidak akan berkompromi dengan orang yang melakukan rasuah. Kita menentang rasuah bukan baru, sejak mula ditubuhkan PAS mula menentang penyelewengan, salah guna kuasa. PAS tak akan kompromi dengan kezaliman. 
 
Kita kena faham di sana dalam perkara yang disebut oleh Dr Zuhdi (Marzuki) tadi, dihuraikan oleh beberapa orang sahabat-sahabat, bagaimana konsep Gagasan yang Allah Taala garis, bukan kita yang buat. Ada perkara yang kita boleh berta’awun, bekerjasama. Bukan bermakna bila kita bekerjasama, kita menerima seluruh sistem yang tak betul. Allah Taala buat sempadan:
 
 وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
(al-Maidah: 2)
 
Hebat ayat ini. Bila Allah Taala sebut, "Dan berbantu-bantulah kamu, (At-Ta’awun), kerjasama dalam perkara kebaikan dan takwa." Dalam perkara dalam suruhan berbantu (At-Ta’awun), Allah dulukan prinsip umum daripada khusus. 
 
Allah Taala sebut tolong bantu dalam perkara kebaikan, kebaikan prinsip umum. Orang Islam, orang bukan Islam, Kristian, Buddha apa semua, dia ada prinsip kebaikan. Adapun takwa, dia prinsip khusus yang ada dalam Islam, tak ada dalam agama lain. 
 
Tetapi Allah Taala ya akhi, bila mana Allah Taala melarang kita jangan tolong bantu, Allah dulukan prinsip khusus berbanding prinsip umum.
 
 وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ
"Jangan kamu tolong bantu dalam perkara dosa"
(al-Maidah: 2)
 
Perkara dosa perkara khusus orang Islam. Orang bukan Islam tak ada dosa pahala. Dalam Islam ada dosa pahala. Allah Taala dulukan, kamu jangan tolong dalam perkara yang menyebabkan berdosa. PAS tegaskan, kita tidak akan kompromi dalam rasuah, penyelewengan, kezaliman, penindasan, penganiayaan. Nabi beri amaran:
 
سيكون بعدي أمراء
يكذبون ويظلمون
 من صدقهم بكذبهم
 وأعانهم على ظلمهم
 فليس مني ولست منه
 ولم يرد علي الحوض
Rawahu Tirmizi, Wal Hakim, Wan Nasaie, Hadis Shahih
 
Sabda Nabi S.A.W, "Akan datang kepada kamu satu masa, selepas kewafatanku, akan muncul di kalangan kamu dua golongan," akan muncul di kalangan pemimpin-pemimpin yang ada dua sifat, yang pertama:
 
يكذبون
"Dia berbohong dengan rakyat."
 
Yang kedua:
 
ويظلمون
"Dia berbuat aniaya, zalim kepada rakyat."
 
Zalim ini bukan hanya pukul. Pengalaman PAS ini tuan-tuan sekalian, 63 tahun. PAS-lah yang paling teruk menderita dalam politik Malaysia berbanding parti-parti lain. Orang PAS-lah paling dianiaya sekali dalam zaman era mana sekalipun. Di zaman Tun Razak, berlaku kematian Abdul Samad Gol, dipukul dengan kapak, terbelah dua kepala balik daripada ceramah.
 
Hatta berlaku kemudian-kemudiannya sebahagian tadi disebut oleh Dr Zuhdi, ahli PAS paling teruk ditukar jadi macam bola, pembangunan kawasan PAS tak diberi, penganiyaan teruk, bantuan apa pun orang PAS tak beri, bantuan baja Umno cap dacing, baja cap dacing, mampus pokok. Macam-macam penganiayaan, rakyat tak berubah. 
 
Setiap kali pilihan raya, rakyat tidak berubah. Kita muhasabah, kita mencari bagaimana untuk mengambil pendekatan. Nak kata tak ada kerjasama politik, PAS-lah parti yang paling banyak melakukan kerjasama politik.
 
Tapi kita belajar daripada sejarah. Kita kerjasama tak boleh merugikan Islam, kerjasama tidak boleh merugikan Islam, tidak boleh menghadkan tanggungjawab kita dengan Allah Taala, itu orang tak panggil kerjasama. Sebab itu setiap kali kita mengadakan tahaluf, kita letak syarat. Sebab Nabi peringatkan kita,
 
المسلمون على شروطهم
"Orang Islam kena ada syarat" 
 
Kita ambil wudhu’ ada syarat, kita sembahyang ada syarat sah syarat batal, hubungan suami isteri ada syarat sah ada syarat batal, tak kan berpolitik tak ada syarat? Bila mana syarat dilanggar, PAS tarik diri keluar. PAS tidak akan langgar syarat. Dalam mana-mana muafakat politik, biasanya orang lain yang langgar syarat PAS, yang langgar syarat.
 
Kita memerintah negara dalam Barisan Nasional, jadi Menteri, Dato’ Asri Menteri Tanah. Dato’ Mustafa Ali Timbalan Menteri. Berbagai-bagai jawatan dipegang, ramai. Seronoklah, pegang jawatan, ada elaun, ada gaji, ada driver, ada kereta. Tapi bila langgar syarat, PAS tarik sokongan. Tinggalkan semua kerana bila syarat dilanggar, kita tak boleh pertahan. Ini prinsip kita. 
 
Dan setiap kali kita ada kerjasama politik, PAS terpaksa korban, korban tenaga, jentera, duit, kerusi, korban semua. Dengan Semangat 46, kita bagi kerusi, PAS bagi jentera. Dengan Parti Negara bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu. Jentera PAS turun buat kerja, tak apa. 
 
Dengan PKR, kita turun bantu, hatta dengan DAP pun. DAP tak ada pekerja di kawasan pengundi Melayu. UPU Melayu dia tak ada petugas, yang buat kerja orang PAS, tak apa sebab kita ada persefahaman.
 
Tapi setiap kali kita ada kerjasama, PAS kena korbankan kerusi, satu demi satu lama-lama bila jumlah kita sikit, orang perli kita, jawab, dengar nak bawa Islam, bertanding 60 kerusi, 30 kerusi macam mana? Ada satu kawan kita parti itu, dengar cerita nak bawa Islam Rahmatan Lil 'Alamin, 27 je? Tak boleh. 
 
Kita muafakat tak boleh kita pukul kawan, muafakat tak boleh merugikan kawan. Di Selangor sebagai contoh, ramai duduk tanya hantar mesej ke saya, dia kata tak boleh ke bincang satu lawan satu? Saya kata ucapan ini, kenyataan ini jangan lontar kepada PAS, kerana yang melanggar yang merosakkan muafakat ini bukan PAS. Mereka pergi serang Kelantan, kalau nak tumbang Umno, Umno dah tumbang (di) Kelantan, tak ada keperluan mereka serang Kelantan. 
 
Tuan-tuan tengok pembahagian kerusi baru ini, kawasan yang kuat PAS diberi kepada PAN, untuk apa? Nak tumbang Umno ke, ke nak bagi tongkat kepada Umno? Sebab itu tuan-tuan sekalian, kita macam disebut oleh Dr Zuhdi tadi, kita bentuk muafakat, muafakat politik ini dia bukan hanya sifat sementara, kadang-kadang kita kena tengok dua tiga lapis akan datang.
 
PAS bila letak sasaran 40 kerusi Parlimen, insyaAllah untuk kita capai kemenangan, termasuk mengekalkan kemenangan PAS di Shah Alam ini insyaAllah. Bila kita hantar isyarat PAS letak sasaran kemenangan 40, ada orang tanya, kalau dah letak capai 40,  kenapa bertanding sampai 130? Kita kata kita turun bertanding dengan kekuatan yang kita ada. Dia kata PAS tak boleh menang. Kita kata, PAS ini ahli kita, cawangan 7000 lebih, semua kita ada cawangan ahli kita. Yang tak ada Cawangan itu agak-agak boleh menang ke? 
 
Kalau mereka tuduh PAS tak boleh menang, kita harus lihat bahawa kekuatan politik ini bukan hanya di atas awang-awangan. Tak apalah, itu satu bahagian. Tapi nak sebutnya, isyarat yang PAS hantar apa dia? Bermakna kalau PAS menang 40 kerusi, insyaAllah dan mudah-mudahan bertambah, bermakna negara ini pada masa depan ialah sebuah negara yang bentuknya akan wujud suatu persefahaman atau gabungan, tak boleh elak. 
 
Kalau PAS 40 kerusi, tak boleh memerintah, mungkin BN sahaja tak boleh memerintah, PH sahaja tak boleh perintah. Jadi siapa nak memerintah? Bakal Perdana Menteri ada dah, ada dah, duduk sebut nama. PAS, kita tegaskan bahawa 40 kerusi yang PAS menangi yang disebut oleh Tuan Guru Presiden bahawa PAS, kita ingin meletakkan politik negara ini tak boleh kita hanya rasa kita sahaja, tapi kita mesti bentuk satu muafakat baru.
 
Betul tuan-tuan. Sebab itu Islam datang, dia tidak mengekalkan apa yang ada. Kalau Nabi nak cepat menang, Nabi sokong je Rom, buat MoU dengan Rom, Rom beri amaran siapa-siapa serang Nabi Muhammad dan pengikut dia, Rom akan serang dia, Nabi Muhammad selamat. Ataupun Nabi buat MoU dengan Parsi, lagi baik, tapi Nabi S.A.W tidak, dan Nabi beritahu pertembungan tersebut. 
 
Kalau PAS ada 40 kerusi, kita boleh pilih siapa yang kita nak sokong. Waktu itu tuan-tuan, 40 ini mahal, sangat mahal, sebab itu saya minta tuan-tuan nak masuk PAS, masuk sekarang, tengah murah ini, dah mahal payah sikit. 
 
Kalau PAS ada 40 kerusi, 40 jadi kuasa penentu. Siapa yang sokong, dia akan memerintah. PAS nak sokong siapa dia? Kita akan sokong siapa yang terima dasar yang PAS perjuang, dan PAS berjanji PAS tidak akan menganiaya orang bukan Islam, PAS tidak akan menganiaya orang susah, kita akan kembalikan negara ini kepada sistem yang paling adil. 
 
Ini jaminan kita. Mana model dia? Tuan-tuan boleh tengok Kelantan. Tanyalah orang bukan Islam di Kelantan, apa yang mereka tak puas hati dengan Kerajaan Kelantan? 
 
Bulan lepas Kerajaan Kelantan mendapat anugerah lima bintang. Pejabat Menteri Besar dapat markah 99 peratus pengurusan pentadbiran yang terbaik. Perbendaharaan kerajaan Negeri Kelantan dapat 98 peratus. Jabatan Hutan Kelantan dapat anugerah khas, pengurusan hutan yang paling baik di Malaysia. Tapi orang tak berapa semangat sebab bintang, kalau nampak bulan itu ok sikit. 
 
Kita tanya orang bukan Islam, dan ini yang kita nak bawa. Sebab itu bagi kita, pengalaman lampau ini mengajar kita, kita perlu bina negara kita. Sebab itu disebut oleh Dr Zuhdi tadi, siapa yang sama kita? Tak akan orang politik sahaja. 
 
Tuan-tuan, negara kita nak tentu masa depan negara, tak akan bagi orang politik sahaja? Tuan-tuan ingat orang politik sahaja ada hak bagi menentu masa depan negara? Tak. NGO ada hak, individu ada hak, tokoh-tokoh ada hak, pakar-pakar, semua orang ada hak atas negara ini. Gabungan kita memasukkan semua elemen itu. Mari kita duduk bersama, mari kita bincang masa depan negara kita. Tuan-tuan nak negara macam mana? Tuan-tuan nak pemuda macam mana?
 
PAS belum memerintah, tapi tuan-tuan boleh banding, tengok Pemuda PAS. Hadir dalam program, berlaku musibah bencana apa pun, Unit Amal PAS-lah sampai dulu, tak pernah minta upah, tak pernah minta elaun, tak pernah minta gaji. 
 
Dan hari ini kita ada lebih kurang 100 ribu lebih pelajar PASTI kita. Yang dah keluar hampir 80 ribu. Kita ada anak-anak muda bersama PAS, ARC-nya, Unit Amalnya. Kita bina sama ada kita menang atau tak menang, negara kita mestilah mempunyai generasi yang baik akhlak dia, generasi yang tahu masa depan negara. 
 
Nabi S.A.W sebut dalam Hadis, dan ini yang kita bina. Nabi sebut:
 
ان الاسلام بدأ غريبا
وسيعود غريباً كما بدأ
 فطوبى للغرباء
قال يا رسول الله  ومن الغرباء؟
قال الذين يصلحون عند فساد الناس
"Islam bermula dalam keadaan dagang, berakhir dalam keadaan yang juga dagang. Beruntunglah mereka yang dagang itu. Sahabat tanya, siapakah yang dagang yang Nabi maksudkan? Nabi jawab:"
 
الذين يصلحون عند فساد الناس
"Mereka yang baik di tengah-tengah kerosakan ummah."
 
Alhamdulillah anak muda bersama PAS, mereka pergi mana pun, mereka sembahyang tak tinggal, mereka tidak dedah aurat, mereka tidak bergaul bebas, mereka tak terlibat dengan kerosakan akhlak. Ini yang kita bina, sebuah negara yang kita sasarkan:
 
بلدة طيبة ورب غفور
 
Sebab itu bagi saya, rasuah penyelewengan ini sebab hati, sebab akidah, sebab akidah. Tuan-tuan tahu yang rasuah ini bukan yang miskin, yang rasuah ini kaya-kaya, gaji berpuluh-puluh ribu sebulan. Dia bukan rasuah sebab duit tak cukup, dia rasuah kerana tamak haloba dalam hati dia. Apa ubat dia? Ubat dia takut kepada Allah. 
 
Manusia bila tak peduli amaran Allah, dia akan makan semua, dia akan tak peduli semua. Sebab itu Nabi datang, Nabi tak ubah rasuah, penyelewengan, tak. Ubah polisi dulu, perbetulkan dasar. Nak ubah dasar dengan BN? Confirm tak boleh. Dengan PH? Tak boleh juga, serupa je. Cuma bezanya BN timbul ekor, PH timbul kepala. Benda sama. Sekali tengok nampak macam buaya, sekali tengok macam naga. 
 
Mudah-mudahan insyaa Allah. Tapi malam ini saya tak sebut isu sangat lah, banyak tadi sahabat-sahabat kita dah sebut, saya sebut prinsip dan dasar-dasar yang perlu kita kena pegang. 
 
Akhir sekali, akhir sama-sama, yang pertama tiga perkaralah. 
 
أوصيكم وإياي 
Yang pertama jangan tak ada masa dengan Allah, nanti Allah tak ada masa dengan kita. Sibuk macam mana politik jangan sampai tak bertegur siapa. Politik ini bukan nak musuh, politik mencari kebenaran, mencari kebenaran, mesti balik kepada punca ilmu yang benar, ilmu yang benar Al-Quran, Hadis Nabi S.A.W. Jangan sampai tak ada masa dengan Allah S.W.T.
 
Yang kedua, kerja-kerja jamaah jaga, sembahyang jamaah jangan tinggal. Sibuk macam mana kita pun, sembahyang jamaah jangan tinggal. Kerja jamaah ambil bahagian walaupun sekadar susun kerusi lepas program, ambil bahagian. Kata Rasulullah:
 
يد الله مع الجماعة
"Pertolongan Allah itu bersama-sama dengan jamaah."
 
Yang ketiga, marilah sama-sama kita berusaha untuk melipat-gandakan kerja kita. Zaman jadi penyokong dah habis, zaman jadi penyokong dah habis. Sekarang kita zaman jadi pekerja, kena buat kerja untuk menangkan Islam. Jangan habis masa dengan remeh-temeh, duduk layan facebook, orang duduk tuduh macam-macam ini, dia tak habis, tak selesai.
 
Macam ibarat main bola, jangan sibuk cabut kemuncup yang lekat di baju, lekat di stokin lekat di seluar, main bola dulu. Habis main baru cabut kemuncup. Ini tengah main, penjaga gol cabut kemuncup? Jangan habis masa duduk layan benda-benda yang tak bermanfaat dan kalau tuan-tuan ada rakan-rakan facebook yang jenis bahasa kasar, buang jelah. 
 
Kita ini nak baca benda baik. Kalau benda-benda tulisan maki hamun, cerca yang tak berakhlak ini, orang tak akhlak tak usah kita pergi terlibat. Kita jangan terlibat dengan benda yang tak ada akhlak ini. Sebab yang kita tulis, kita kena jawab di akhirat. Yang kita posting, kita kena jawab, biar jadi pahala. Biar posting benda yang baik. 
 
Sebab itu yang boleh baca Quran, jangan tinggal Quran. Yang boleh baca, kena ada surah yang sedang kita hafal setiap waktu. Yang tak boleh baca, minta maaf, ikhtiarlah belajar. Kalau facebook boleh baca, twitter boleh baca, whatsapp boleh baca, tiba-tiba Quran tak boleh baca? Rasa malu kita dengan Allah Taala. Surat khabar baca tiap-tiap hari, handphone baca tengok tiap-tiap hari, tiba-tiba Quran tak buka. 
 
Yang dah boleh baca Quran, tiap-tiap waktu kena ada surah yang tuan-tuan sedang hafal. Ikhtiarlah. Mungkin satu surah hari ini kita azam, baca empat ke lima ayat dulu, sehari dua hari lima hari hafallah. Mudah-mudahan bertambah hafalan kita, bertambah dekat kita dengan Allah S.W.T, dan insyaAllah mudah-mudahan buat kerja sungguh-sungguh. Dan insyaAllah saya datang kali kedua lepas ini insyaAllah datang untuk meraikan kemenangan kita di sini insyaAllah. Wallahua’lam.
 
 
(Transkrip oleh Pelatih Harakah, ZAID MD ADHAR dan suntingan oleh Penolong Pengarang Harakah, IZWAN ABDUL HALIM dari ucapan Timbalan Presiden PAS pada Ceramah Umum PAS Shah Alam, 11 Januari 2018 di Dataran Gerai MBSA, Jalan Mat Raji, Padang Jawa, Shah Alam) - HARAKAHDAILY 12/1/2018
 
 
 

ADA pemimpin yang tidak membaca ulasan Presiden PAS bertajuk "Mengapa kalau Islam tidak boleh?" dan terus mengulas berdasarkan tajuk sensasi yang dipilih sebilangan portal media untuk memutar belit maksud sebenar Presiden PAS.

Pertama, tiada satu ayat pun di dalam kenyataan Presiden PAS yang mahu kabinet Melayu sahaja atau all-Malay cabinet. Olahan tajuk sensasi ini jauh daripada maksud sebenar ulasan Presiden PAS.

Maksud utama ulasan Presiden PAS ialah bahawa Melayu-Islam perlu memimpin di dalam konteks politik Malaysia dan bukan Islam diterima untuk memerintah bersama di dalam bidang-bidang kepakaran dan pengurusan.

"Islam juga berbeza dengan ideologi atau teori ciptaan manusia yang memisahkannya daripada agama, kerana ajaran Islam itu merangkumi semua aspek kehidupan bermasyarakat termasuk juga urusan politik.

“Islam meletakkan mestilah ketua negara dan anggota kabinetnya yang beraqidah Islam daripada bangsa yang paling berpengaruh. Tetapi pada masa sama, Islam memberi hak yang lebih banyak kepada penganut bukan Islam dalam aspek politik, ekonomi dan lain-lain urusan kehidupan, lebih daripada hak yang diberi oleh pendukung dan pejuang ideologi ciptaan manusia dan agama lain terhadap pihak yang berbeza dengan mereka.

“Islam mengurus secara lebih saksama dengan fitrah manusia, dengan syarat Islam sebenarnya berkuasa memerintah. Namun Islam juga tetap memelihara hak beragama lain tanpa menyentuh perkara yang diizinkan oleh agama masing-masing dengan sempadan memelihara keharmonian masyarakat majmuk dan perikemanusiaannya.

“Islam bukan sahaja memberi hak kerakyatan kepada bukan Islam, bahkan mewajibkan adil terhadap semua dari segi hak rakyat yang dilindungi oleh undang-undang berteraskan aqidah dan juga hak kemanusiaan yang berkait dengan diri, keluarga, cara hidup berpolitik, ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan lain-lain dengan kawalan sempadan (hudud) yang menghormati perbezaan agama dan menjaga keharmonian dan perpaduan kemanusiaan.

“Dalam aspek politik, Islam tegas mewajibkan kepimpinan utama yang menjaga dasar dan konsepnya daripada penganut Islam dan menerima bukan Islam dalam aspek kepakaran dan pengurusan, bukannya perkara dasar dan konsep. Maka Islam menerima kedudukan bukan Islam melalui pilihan raya atau konsep kerajaan teknokrat." - Presiden PAS, 22 Disember 2017.

Ayat-ayat di atas jelas kabinet bayangan Presiden PAS adalah dari pelbagai kaum, cuma yang memimpinnya mestilah penganut Islam. Di mana rasisnya Presiden PAS?

Ini adalah dasar yang diterima oleh PPBM, DAP, PKR, Amanah dan juga BN. Apakah mereka yang menuduh Presiden PAS rasis tidak bersetuju bahawa yang perlu memimpin Malaysia ialah dari kalangan penganut Islam? Jika ya, sila nyatakan pendirian ini secara terbuka.

Jika sedemikian mengapa PPBM tidak membuka keahliannya kepada semua tapi untuk orang Melayu sahaja. Mengapa Pakatan Harapan bermain politik kaum di dalam susunan jawatan mereka untuk dilihat ia dipimpin oleh orang Melayu sedangkan yang mempunyai kerusi parlimen terbesar ialah DAP?

Semua ini hanyalah politik kemurahan mereka yang sengaja menyerang Presiden PAS berdasarkan fitnah kerana mereka bimbang dengan perkembangan dan pertambahan pengaruh PAS dan jumlah ahlinya.

PAS akan terus menerajui dan memimpin budaya politik matang dan sejahtera. PAS sudah serik dengan parti politik yang lain yang hidup atas fitnah dan persepsi semata-mata. Oleh itu, kami memilih untuk berbeza.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
26 Disember 2017 – HARAKAHDAILY 26/12/2017

SABDA Rasulullah SAW:

كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَنْ أَبَى قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ يَأْبَى قَالَ: مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى

Maksudnya: "Semua umatku akan masuk Syurga kecuali mereka yang enggan. Sahabat bertanya; wahai Rasulullah siapakah gerangan yang enggan itu? Jawab Baginda; Sesiapa yang mentaatiku masuk Syurga dan sesiapa yang langgar seruanku, maka dialah yang enggan". [Riwayat Imam al-Bukhari]

Rasulullah SAW merupakan qudwah hasanah kepada seluruh umatnya. Selain baginda seorang ahli ibadat yang tekun, suami yang bertanggungjawab, peniaga yang berjaya, baginda juga adalah seorang pemimpin tertinggi negara.

Rasulullah SAW telah berjaya memimpin sebuah negara Islam pertama dan digeruni serta dihormati pada ketika itu. Kebajikan rakyat dan keamanan negara semakin terjamin dengan gagasan kesejahteraan berlandaskan Syariat yang dibawa oleh baginda.

PAS di Malaysia juga berusaha meneladani kepimpinan baginda SAW dalam semua sektor pentadbiran apabila diberi kejayaan mentadbir Kerajaan Persekutuan suatu hari nanti. Kehidupan harmoni antara masyarakat berbilang kaum juga akan diterapkan sebaik mungkin.

Saya mewakili Dewan Ulamak PAS Pusat mengucapkan selamat menyambut Maulid Al-Rasul 1439H, tegakkan sunnah baginda dalam kehidupan peribadi dan bermasyarakat. Semoga kita semua dikurniakan syafaatnya di akhirat kelak dan ditempatkan bersama para Nabi, Shiddiqin dan Solehin.

“Sejahtera Bersama Islam”

“Membina Negara Sejahtera”

DATUK DR MAHFODZ MOHAMED
Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat

12 Rabiul Awal 1439H / 01 Disember 2017M – HARAKAHDAILY 1/12/2017

UCAPAN Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam satu program semalam di Majlis Anugerah Nadi negara 2017 semalam yag mengaitkan pelajar UiTM sebagai ‘slow learner’ (tempat mereka yang kurang cemerlang dalam pelajaran), sememangnya melucukan. Pastinya kenyatan beliau menjadi bola tanggung buat sesiapa sahaja khususnya bekas pelajar UiTM untuk ‘membelasah’ beliau secukupnya. Biarpun beliau menafikan dengan mendakwa kenyataannya disalahtafsirkan, namun hakikatnya beliau telah menyebut perkataan itu, dan kini perlu bersedia menerima apa juga kritikan mahupun kutukan.

Sememangnya kenyataan bodoh dan kurang matang seperti ini ditunggu buat ahli politik atau seteru politik, lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14. Sikap pandir atau bendol dalam kenyataan memang akan menjadi mangsa belasahan awam, sama ada daripada netizen mahupun para pemimpin sendiri. Jadi usah menyesal jika kenyataan beliau menjadi bahan kempen jenaka dan kritikan pedas daripada mana-mana pihak buat beberapa hari dan minggu ini.

Sebagai pemimpin besar Umno dan berstatus menteri, Datuk Seri Tengku Adnan seharusnya berfikir dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa ucapan atau kenyataan. Jika tidak mahu kenyataannya disalah tafsir, jangan memberi kenyataan yang bersifat kontroversi atau menimbulkan persoalan dan polemik. Beliau perlu menjaga air muka Perdana Menteri yang teruk dihentam ekoran kata-kata kesat ‘Kepala Bapak Kau’ beberapa minggu yang lalu yang mengundang kemarahan rakyat.

Umum melihat kenyataan beliau dan pemimpin Umno langsung tidak mencerminkan sikap profesional, bijak, matang dan cerdik, berjiwa besar dan berstatus negarawan. Malah, rakyat mengaitkan pemimpin-pemimpin tertinggi Umno sekarang sebagai golongan yang begitu emosional dan bercakap tanpa berfikir. Ia menggambarkan betapa buruk dan busuknya hati mereka yang suka bercakap kasar dan kesat di hadapan media.

Meskipun mungkin ucapannya bernada gurau, berjenaka atau sinikal kepada pihak tertentu, atau mungkin tersalah cakap dan disalahtafsir media. Namun rakyat melihat ucapan beliau mengandungi unsur penghinaan.  Bagaimana perasaan ribuan bekas graduan UiTM yang kini berjaya dalam pelbagai lapangan termasuk usahawan, teknokrat, profesional, mahupun pemimpin negara tatkala membaca atau menghayati ucapan beliau. Janganlah kerana beliau dan beberapa kerat pemimpin besar belajar di institusi pendidikan terkenal dalam dan luar negara, graduan UiTM pula diperkecilkan. Sedangkan UiTM begitu banyak jasanya kepada rakyat terutama anak-anak Melayu. Tanpa UiTM, betapa ramai anak Melayu tercicir dalam pelajaran, dan mungkin tidak mendapat kedudukan seperti sekarang.

Bagi pemimpin berjiwa besar, ucapan salah maksud atau tersalah cakap seperti ini tidak harus dijadikan modal politik dalam mengharungi PRU ke 14. Namun pendidikan dan pengajaran perlu disampaikan, agar pemimpin negara berhati-hati dalam menyampaikan ucapan. Jangan kerana ‘nila setitik, habis rosak susu sebelanga’ atau kerana satu dua kerat pemimpin yang tidak menjaga mulut, habis rosak Umno dan pemimpinnya dijatuhkan rakyat.

Sebaiknya, dalam waktu-waktu kritikal ini, pemimpin Umno perlu banyak belajar menghormati dan menghargai rakyat. Sekalipun jika tidak mampu memuji rakyat atas jasa dan pengorbanan mereka, jangan pula mengeji mereka. Jika tidak mampu menyenangkan rakyat, jangan pula menyusahkan rakyat dengan pelbagai bebanan dan tekanan. Jika tidak mampu memberi bahagia, jangan menjadikan rakyat menderita.– HARAKAHDAILY 28/11/2017

CIRI-ciri yang biasa ada kepada seorang pemimpin yang terlibat dalam kegananasan:

1. Amat sukar untuk muncul di khalayak umum. Mereka berada di satu lokasi rahsia dengan kawalan amat ketat.

2. Hanya muncul di hadapan umum dengan kawalan keselamatan tahap tertinggi. Contohnya, sebelum Presiden Amerika melakukan lawatan ke sesuatu tempat, sebulan sebelum acara lawatan tiba, Special Force (Unit Khas) yang mengawal keselamatan Presiden akan pergi terlebih dahulu dengan peralatan keselamatan yang dimuatkan dalam sebuah kapal terbang. Mereka bawa segala-segala keperluan Presiden termasuk The Beast, kereta rasmi Presiden yang mempunyai cermin kalis peluru hampir setebal bata jongkong! Setiap langkah Presiden akan dirancang secara rapi dan sistematik dengan setiap aspek keselamatan diambil kira. Begitulah takutnya mereka dengan kematian.

3. Hosni Mobarak ketika menjadi Presiden Mesir, bila dia nak lalu melalui jalan raya, jalan tersebut akan ditutup selama berjam jam daripada dilalui pengguna. Konvoi Presiden akan menggunakan beberapa buah kereta yang sama jenis sehingga khalayak awam tak tahu Presiden berada dalam kereta yang mana satu.

4. Saddam Hussein amat jarang malah hampir mustahil boleh dilihat di depan umum selepas Perang Teluk. Saya yang duduk di Iraq selama 6 tahun hanya dapat tengok patung dan gambarnya sahaja. Pasukan Khas Pengawal Presiden hanya diambil dari Kabilah at Tikriti iaitu Kabilah Saddam sendiri dengan diketuai oleh anaknya Qusay Saddam Hussein. Keluarga terdekat dikira mempunyai kemungkinan yang amat rendah untuk khianat.

Sekadar cerita tentang beberapa orang pemimpin. Kalau cerita tentang pemimpin pengganas yang bergerak secara subversif bawah tanah, ia lebih rumit dan kompleks lagi.

Kerana itu, siapa yang kenal kehidupan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang hidup di sebuah rumah kayu tepi Masjid Rusila, tanpa pagar tinggi dan tanpa pengawal keselamatan, boleh didekati dengan sangat mudah oleh semua orang, tak pernah pakai jaket kalis peluru, tampil di hadapan khalayak seluruh pelosok negara dan dunia.

Mana mungkin orang boleh percaya bahawa Tok Guru ada kaitan dengan pengganas. Mujahid tak pernah kenal ke Tok Guru Haji Hadi sebelum jadi PAN? Dia tak pernah baca ke biografi kehidupan seorang peminpin pengganas?

Dr Azman Ibrahim
6 Rabiul Awal 1439 / 25 November 2017 – HARAKAHDAILY 25/11/2017

ZAMAN 80-an dulu, sayalah penulis poster ceramah bila ada ceramah di kawasan saya, letih jugalah, nak nak bila yang datang tu penceramah terkenal seperti Allahyarham Ustaz Fadzil Noor, TGHH dan lain-lain, geng-geng otai kerjanya menyuruh je, pernah saya kena tulis pada manila kad sampai 100 keping sebab nak tampal sampai ke Pekan.

Dalam satu usrah di Markas PAS Darussalam, masa itu masih lagi dalam kawasan Pekan, kalau tak silap saya Allahyarham Ustaz Awang Dagang yang jadi naqib masa tu, dia bacakan ayat dari surah yang sangat sinonim dengan perjuangan PAS iaitu surah As-Saff ayat 10 (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?

Beliau merujuk kepada kalimah At Tijaarah (perniagaan). Allah swt umpamakan berjuangan Islam ini seperti perniagaan, bila perniagaan pasti ada untung dan ruginya, untung dan ruginya juga dipengaruhi oleh strategi perniagaan yang dilakukan, antaranya yang paling utama dalam strategi perniagaan ialah iklan.

Perjuangan PAS pun sama. Katanya. bendera PAS adalah syiar bagi menunjukkan bahawa PAS itu wujud di satu-satu tempat, sedikit atau banyak ia akan menggambarkan kekuatan, begitu juga poster ceramah. Kalau sekiranya tiada poster ditampal, tiada siapa yang akan tahu ada program ceramah, tiada orang yang akan hadir jikalau tiada poster.

Memang pada masa itu, poster adalah medium paling penting untuk mobilisasi program PAS. Berbeza sekarang yang jauh lebih mudah, pelbagai aplikasi untuk sebaran ceramah, jauh lebih mudah, cepat dan cantik, dalam masa beberapa saat ribuan manusia telah mendapat info, berbeza dulu, sampai botak tayar basikal, jauhnya berkayuh nak tampal poster ceramah PAS.

Terkadang senyum sorang, teringat zaman tu, kayuh basikal, di pinggang ada beg yang sarat dengan paku, tukul, stepler dan gam, kat pokok guna paku atau stepler, kat batu dan tiang elektrik guna gam, sebab tiang elektrik walaupun kayu tapi “kerah kong”. Istilah bahasa daerah saya ni.

“Dengan sebab posterlah orang tahu ada ceramah dan orang datang dengar serta faham tentang perjuangan Islam dan perjuangan PAS. Inilah antara kerja-kerja yang sangat membantu perjuangan PAS dan pasti ianya akan dibayar oleh Alllah swt dengan pahala dan kebaikan di Akhirat”. Inilah antara usrah yang memberi kesan mendalam di dalam jiwa saya menyebabkan sampai sekarang ketagih menampal poster.

YB Ustaz Rosli Abdul Jabar
Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang

TINDAKAN pengurusan hotel yang melarang wanita Islam bertudung daripada bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontdesk) adalah tindakan keterlaluan dan mencabar kedaulatan agama Islam di negara. Alasan yang dibuat oleh Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dengan kenyataan bahawa ia sebahagian daripada polisi antarabangsa dan bukannya diskriminasi adalah suatu alasan tidak munasabah. Secara nyata menjelaskan bahawa ia menjadi bukti bahawa wanita Islam sering menjadi mangsa diskriminasi dengan pengamalan agama.

drriduanDalam hal ini saya bersetuju dengan beberapa pandangan tegas agar isu seperti ini perlu diberi perhatian dan diambil tindakan sewajarnya. Apa yang berlaku adalah ada pihak yang tidak mahu menghormati pegangan amalan agama Islam dan menolak sikap saling memahami budaya, adat resam dan amalan beragama di negara ini. Jika tidak dibendung keadaan mungkin akan lebih parah dengan lebih banyak pihak berani mencabar dan menghina agama Islam secara terang-terangan dan menjadikan umat Islam khususnya wanita bertudung sebagai mangsanya.

Justeru cadangan keras agar lesen perniagaan mana-mana syarikat yang mengamalkan sikap diskriminasi terhadap wanita bertudung ditarik balik dan dikenakan tindakan amat wajar. Malah, senarai syarikat yang melakukan diskriminasi ini juga disiarkan untuk pengetahuan umum, agar masyarakat yang menghakimi mereka. Isu ini bukan untuk menghukum sesiapa, tetapi membela golongan wanita Islam yang bertudung agar tidak diperlekeh dan dihina sesuka hati.

Jika standard operasi (SOP) dan polisi antarabangsa menjadi alasannya, maka kerajaan Malaysia perlu campurtangan dengan bertindak tegas agar standard operasi (SOP) yang diguna pakai disesuaikan mengikut keadaan dan keperluan negara Malaysia. Yang kita ketahui banyak syarikat gergasi bersifat antarabangsa mampu memahami keadaan dan suasana masyarakat setempat. Daripada kefahaman itulah, syarikat-syarikat yang menerima budaya dan pegangan agama umat Islam dilihat terus maju dan cemerlang tanpa ada sebarang masalah.

Sepatutnya mereka yang menentang wanita bertudung bekerja sedar bahawa tidak ada salahnya wanita Islam menutup aurat daripada bekerja di mana-mana seksyen dalam perhotelan termasuk di bahagian kaunter. Tidak ada bukti yang menunjukkan wanita ini melanggar syakhsiyah atau etika pemakaian. Tambahan pula wanita ini dilihat lebih manis, bersopan, beradab dan menjaga tingkah laku. Dengan demikian maruah diri mereka terjaga sehingga mampu menjaga imej dan nama baik syarikat mereka bekerja.

Islam mengangkat darjat dan martabat wanita setingginya agar kedudukan mereka dihormati masyarakat. Wanita Islam telah membuktikan bahawa peranan mereka dengan berimej menutup aurat juga mampu menjulang nama syarikat mereka. Yang perlu menjadi keutamaan adalah pada kualiti kerja, bukan pada penampilan semata-mata.

Apa yang diharapkan isu seperti ini tidak lagi timbul di masa hadapan. Semua pihak perlu menjaga sensitiviti agama dan budaya masing-masing. Isu-isu yang mengundang kemarahan penganut agama atau bangsa lain perlu dielakkan agar masyarakat mampu hidup aman makmur.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

SAYA membaca Dokumen Pembelaan & Dakwaan Balas Clare Rewcastle-Brown (CRB) setebal 55 mukasurat yang tersebar dalam kes Saman Fitnah Isu RM90 juta oleh YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ke atas Editor Sarawak Report (SR) tersebut. Apa yang menarik ialah semakin banyak fitnah yang ditabur oleh CRB SR untuk mempertahankan fitnah terdahulu!

Saya tersenyum membaca perengggan 26.11 apabila Pimpinan-Pimpinan Tertinggi PAS disenaraikan mempunyai aset-aset mewah termasuk rumah, kereta dan motorsikal mewah yang kononnya dibeli hasil sebahagian dedak RM90juta dari Dato' Seri Najib Razak dan Umno yang difitnah telah diberi kepada PAS.

Antara fitnah yang paling lucu ialah tuduhan bahawa Ketua Pemuda PAS Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi memiliki motorsikal mewah BMW! Saya kenali beliau secara rapat, beliau tiada motorsikal berkuasa tinggi tersebut! Sangat keji lagi memalukan bila kenyataan-kenyataan tuduhan tidak berasas cybertroopers berpenyakit hasad, dengki dan pembenci ulama diangkat menjadi bukti pembelaan untuk dibawa ke mahkamah!

Malah jika benar sekalipun mereka yang dinamakan memiliki aset tersebut, sepanjang mengenali mereka, saya boleh katakan bahawa harta-harta tersebut mereka perolehi secara sah dengan sebahagian besarnya melalui kerjaya dan perniagaan yang mereka atau keluarga mereka usahakan.

Pemimpin PAS juga manusia yang berkehendakkan rumah yang selesa dan kenderaan yang baik untuk digunakan bagi melangsungkan perjuangan dan menjalani kehidupan. Pemimpin PAS juga punya keluarga - isteri yang dikasihi dan anak-anak yang disayangi yang ingin hidup bahagia dan mencapai impian seperti insan lain.

Bahkan bagi saya ia bukan satu kesalahan asalkan sahaja sumbernya dari hasil yang halal, di dalam batas kemampuan dan bersederhana. Jangan pandang rendah pada Pimpinan PAS meski diakui ramai yang saya kenali dalam kalangan mereka yang sangat merendah diri, tawadhuk dan tinggi pengorbanannya.

Dalam Saff AJK PAS Pusat dan Dewan-Dewan, kita ada ramai peguam, doktor, jurutera, akauntan, pensyarah, usahawan berjaya, mantan pensyarah, mantan guru, mantan eksekutif, mantan pegawai kerajaan dan bahkan sebahagian pasangan mereka juga mempunyai kerjaya lumayan. Mantan-mantan ini sebahagian besarnya kerana terpaksa meletak jawatan demi keterlibatan langsung dengan jamaah.

Mereka ini berganding bahu dan saling melengkapi bersama murobitun sepenuh masa yang bekerja bersama parti (murobitun inilah insan hebat yang tidak didendang), selain 'ulamak mulia yang siang malam menabur bakti mengajar demi memandaikan masyarakat. Sebahagian 'ulamak ini juga mengusahakan Pondok dan Pusat Tahfiz masing-masing liridhalLah. Semoga Allah merahmati kita semua.

Lebih menghairan dan mencelarukan Dokumen Pembelaan & Dakwaan tersebut yang mengundang senyum saat membacanya ialah pada perenggan 26.7. PAS dituduh menganjurkan program-program besar seperti Muktamar, Himpunan PIHAK, Himpunan FASTAQIM, Himpunan HAMASAH, Himpunan Bantah TPPA, Himpunan RUU355, IJTIMA' Alami dan lain-lain dengan dibiayai menggunakan dana rahsia yang PAS terima dari Umno. Ini memang fitnah sangat jahat bagi yang mengenali secara dekat perjuangan dan gerak kerja PAS. Senyum, tak perlu kata apa-apa!

Sebagai salah seorang yang terlibat sedikit sebanyak dengan program-program mega ini, saya sahkan kenyataan-kenyataan ini adalah rekayasa bohong CRB SR. Sesungguhnya duit infaq ahli dan penyokong serta sumbangan orang ramailah yang membiayai program-program tersebut! Inilah perkara 'ajaib' yang mungkin sukar dimengerti apatah lagi dipercayai oleh Sarawak Report dan sekutunya. Inilah beza Parti Islam yang menyebut redha Allah menjadi matlamat dan syahid cita-cita tertinggi menjadi idaman ahli-ahlinya berbanding para pendokong parti sekular dan konvensional yang hanya mampu berprogram dan bergerak jika ada habuan wang ringgit!

Apapun, kami AJK PAS Pusat telah dinasihati untuk tidak mengulas lebih lanjut atas nasihat peguam Tuan Guru Presiden di London supaya tidak mengganggu proses mahkamah. Insya-Allah maklumat yang kita ada menunjukkan perkembangan sangat positif memihak kepada Tuan Guru sebagai plaintif dalam kes saman ini. Kita berdiri teguh di belakang Tuan Guru.

Berbalik kepada tajuk posting ini. Selepas membaca Dokumen Pembelaan & Dakwaan Balas tersebut, saya tiba-tiba teringat lagu "Aku Bukan Musuh Harta" yang liriknya ditulis oleh Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan dinyanyikan oleh Kopratasa/ Algebra.

Lagu ini menjadi kontroversi pada tahun 2008. Lagu puisi "Aku Bukan Musuh Harta" ini telah diharamkan penyiarannya oleh RTM kerana liriknya yang dikatakan menyindir para sang penguasa. Berikut lirik lagu tersebut:

Mereka kata:
Mengapa kita tidak kaya raya?
Tengoklah si fulan itu, bermewahan saja..
Aku bertanya: apakah caranya untuk aku kaya?
Tapi secara mulia dan tanpa berdusta.

Bukan kita tidak tahu
Jalan, denai dan liku
Agar harta ditemu dan disapu
Tapi semuanya cara palsu dan tipu..

Bukan kita tidak mahu,
Tapi kita tidak mampu,
Takut dan terkedu,
Mengenangkan Yang Maha Satu,
Yang Tiada BagiNya sekutu..

Ya, telah kaya para pengkhianat,
Dengan harta yang sarat,
Tapi mereka lupa Akhirat,
Balasan yang berat,
Di dunia, jiwa bertukar menjadi keparat.

Ya, telah kaya para pendusta,
Syarat mereka : lupakan Yang Esa,
Harta rakyat semua disebat,
Harta awam semua dibekam,
Hukum syaitan, mereka bertuhan.

Kita pun ingin kaya,
Ada harta, ada kereta yang istimewa,
Ada rumah mewah yang melimpah,
Ada hidangan yang bukan sebarangan,
Ada duit yang bukan sedikit.

Tapi, jalannya hendaklah suci,
Bukan seperti seorang pencuri,
Jika ada jalan yang mulia,
Di hujungnya ada harta,
Tunjukkan kita, di mana saja.

Kita bukan musuh harta,
Kita cuma musuh pengkhianat bangsa dan negara,
Apatah lagi pengkhianat agama..

Suka juga dikongsikan petikan posting sebelum ini seperti berikut:

Ini rumah kami di Pujut, Miri. Rumah ini telah saya beli pada tahun 2010 dan kemudian diubahsuai dan dibesarkan, siap sepenuhnya pada tahun 2012. Rumah ini dikenali oleh sahabat-sahabat sebagai Rumah Hijau kerana warnanya luar dan dalam hijau. Pemiliknya juga berjiwa Hijau.

Niat ubahsuai ialah agar rumah ini mampu menjadi pusat aktiviti jamaah @ markaz. Alhamdulillah, sudah banyak program-program parti sama ada aktiviti siasah, dakwah dan tarbiyah dibuat di rumah ini. Semasa Pilihanraya Negeri Sarawak, rumah ini juga dijadikan salah sebuah Bilik Gerakan PAS.

Mungkin juga saya perlu isytiharkan (agar tidak menjadi bahan fitnah cybertroopers di kemudian hari) bahawa saya mempunyai 3 buah kereta atas nama saya: Toyota Fortuner 4WD, Toyota Hilux 4WD dan Perodua Alza. Saya sebenarnya ada keinginan membeli kereta sedan, namun akhirnya membuat keputusan membeli kereta jenis pacuan 4 roda agar mudah digunakan oleh jamaah termasuk program-program dakwah di pedalaman. Toyota Hilux rasanya sudah pusing seantero Sarawak, manakala Toyota Fortuner tersebut dibawa masuk ke pedalaman melalui jalan balak tanah merah berbukit-bukau dan melalui alur sungai menuju Ulu Pakan hanya seminggu selepas dibeli!

Posting ini bukan posting untuk riak, nauzubillahi min dzalik. Posting ini posting untuk mengajak kita semua untuk menginfakkan diri dan mempergunakan harta kita semaksimanya untuk perjuangan Islam. Bagaimana seluruh apa yang kita ada dilaburkan untuk saham Akhirat kerana Allah.

Firman Allah Ta'ala di dalam Surah At-Taubah, ayat 41:

"Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berjuang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan HARTA benda dan JIWA kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui."HARAKAHDAILY 2/11/2017

SAYA bukanlah anti kepada sebuah pembangunan. Pembangunan amat perlu kerana dengan adanya pembangunan, keselesaan hidup rakyat akan lebih bermakna. Aktiviti ekonomi melalui peluang pekerjaan juga akan dapati dinikmati.
 
Sungguhpun demikian, tidak semua pembangunan akan menatijahkan manfaat kepada generasi mendatang. Bagi masyarakat Melayu yang hidup dalam suasana kemasyarakatan, majoritinya amat sukar menerima pembangunan terutamanya melibatkan pengambilan tanah kediaman. 
 
Di zaman ini, mana ada perkampungan Melayu yang apabila terlibat dengan pembangunan infrastruktur, nilai tradisi kehidupan dan interaksi kemasyarakatnya, malah budayanya terpelihara? Sebaliknya, yang terjadi adalah segalanya ditelan oleh kehendak pembangunan sehingga kita tidak akan nampak Melayu tinggal di rumah yang punyai halaman, Melayu yang dapat mengekalkan adat dan budaya, orang Melayu yang bergotong royong dalam hal ehwal kenduri-kendara dan urusan kematian.
 
HSR (High Speed Rail) yang bakal dibangunkan ini sepanjang 350km dari Jurung di Singapura ke Bandar Malaysia di Kuala Lumpur pastinya melibatkan jajaran laluan sama ada tanah kerajaan ataupun tanah milik syarikat mahupun milik persendirian. Paling menyayatkan, bila pembangunan tersebut bakal 'melanggar' kawasan penempatan Melayu yang dimiliki dan diduduki sejak beberapa generasi.
 
Secara peribadi, saya tidak menolak pembangunan. Tetapi pembangunan yang tidak dirancang terlebih awal itulah yang membuatkan saya dan ramai lagi dalam kalangan rakyat Malaysia terkilan. Mengapa tidak jajaran laluan sama ada HSR, MRT, LRT atau lebuh raya dirancang bersekali dengan pembangunan Putrajaya? Kalau ini dapat dilakukan, kita akan dapat mengelakkan atau meminimumkan pengambilan balik tanah hak milik dan tidak akan menyusahkan rakyat. 
 
Dalam keadaan ekonomi Malaysia yang 'menguncup' dan rakyat terbeban dengan kos sara hidup melambung tinggi, tiba-tiba projek HSR yang menelan belanja lebih dari RM50 billion dilancarkan. Ini menunjukkan seolah-olah kerajaan terdesak untuk memperolehi sumber kewangan melalui pelaburan luar. 
 
Menurut Menteri Kewangan Kedua, Johari Abdul Ghani, projek HSR itu akan menjadi tulang belakang ekonomi beberapa negeri di Malaysia. Selain memendekkan masa perjalanan dari Singapura ke Malaysia, sekaligus menggalakkan kunjungan rakyat kedua-dua negara. Bagi saya pembinaan HSR ini tidak kena pada masa dan jajarannya kerana ianya dilaksanakan di kala nilai ringgit yang semakin mengecil dan jajarannya melalui perkampungan Melayu atau penempatan anak watan.
 
Kita tidak mahu pembangunan yang dilaksanakan, seolah-olah projek pengusiran secara halus penduduk di penempatan Melayu.
 
IR MOHD HASLIN HASSAN
Adun Tanjong Sepat - HARAKAHDAILY 1/11/2017