PASTI Kawasan Puchong melakar sejarah tersendiri dengan kejayaan Majlis Konvokesyen PASTI Puchong 2017 yang berlangsung di Dewan Besar Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pulau Meranti pada 19 November 2017 yang lalu.

Menurut Pengarah Majlis Konvokesyen PASTI cikgu Amilin Soleh, seramai 818 orang pelajar 6 tahun diraikan dengan  kehadiran seramai 2400 memenuhi dewan yang dijalankan secara dua sidang pagi dan petang. Ujar beliau lagi, perjalanan majlis berjalan lancar hasil usaha juga kerjasama pengurus dan guru-guru 19 buah PASTI Cawangan serta turut dibantu oleh Jabatan Amal Puchong.

PastiPu 2Majlis  telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Serdang Noor Hanim binti Ismail manakala di sebelah petangnya disempurnakan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Puchong, Ustaz Soffiean Ismail.

Pengerusi PASTI Puchong, YM Tengku Khairul pula berkata, pada tahun 2017 PASTI Puchong telah telah berjaya mengekalkan kejuaraan Alamria PASTI Selangor dan berjaya membantu PASTI Selangor menjadi juara Alamria Malaysia bahkan pasukan bola jaring naib johan dan bola sepak suku akhir di Temasya Sukan PASTI Selangor.

"Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh ibubapa. PASTI Puchong telah merangka 8 Pelan Strategik PASTI Puchong 2016-2020 bagi menjayakan visi PASTI dalam melahirkan insan pintar soleh yang seimbang dalam kurikulum dan ko kurikulum. Malahan kita mewujudkan 5 Pelan Strategik Majlis Guru PASTI Puchong dalam memastikan kawalan kualiti dan jaminan kualiti dikalangan pendidik," tambah beliau lagi.

PastiPu 5Ketua Dewan Pemuda PAS Puchong, Mohd Ashrul Hisham Abd Jalil dan Ketua Dewan Muslimat PAS Puchong, Norzaihan Ismail turut hadir bagi menyampaikan anugerah pada hari berkenaan. Dalam majlis tersebut, Ku Alya Marissa binti Ku Zamri dipilih sebagai Tokoh Ko Kurikulum manakala Marissa  Syafiah Mohd Mazlan telah dipilih sebagai Tokoh Akademik dan Tokoh Harapan telah dimiliki oleh Nur Amni Fatihah binti Ahmad Fauzee. Masing-masing membawa pulang sijil dan sebuah basikal.PastiPu 6

MKP kali juga ni mendapat kepercayaan dari penaja-penaja produk terkemuka seperti susu kambing Wildan, Int3tree dan banyak lagi. – HARAKAHDAILY 23/11/2017

PastiPu 3

PastiPu 4

 

SELEPAS lebih 50 tahun beroperasi akhirnya Balai Polis Temerloh ditutup secara rasmi apabila semua operasinya dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh yang baharu.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, Balai Polis Temerloh di bandar lama berpindah ke IPD Temerloh susulan lokap IPD haharu diwartakan.

“Balai Temerloh adalah bahagian terakhir yang dipindahkan ke Kompleks IPD Temerloh yang baharu selepas ia siap dibina pada 2013.

“Sebelum ini bahagian narkotik, trafik, pengurusan dan lain-lain sudah berpindah ke bangunan baharu,” katanya di Temerloh.   

Berikutan penutupan operasi IPD lama segala urusan hanya beroperasi di IPD baharu. – HARAKAHDAILY 21/11/2017

KAMPUNG Lajong, Kuala Niah, Sibuti mempunyai penduduk sekitar lebih 300 orang dan kebanyakan mereka bekerja sebagai petani dan juga nelayan. Perjalanan dari bandaraya Miri ke kampung Lajong mengambil masa lebih kurang satu jam.

Masalah utama yang dihadapi oleh penduduk kampung adalah masalah bekalan air bersih serta jalan raya masuk ke kampung masih belum diturap sepenuhnya. Mereka mengadu kepada pihak PAS yang masalah ini sudah lama mereka laporkan kepada pihak berkuasa tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak yang berkenaan.

Pembekalan air bersih diperlukan kerana buaya juga menjadi ancaman kepada keselamatan penduduk di Sungai Lajong, berhampiran Kampung Lajong Kuala Niah mereka juga menghadapi kesulitan dalam musim kemarau di mana air bersih adalah terhad. Mereka hanya bergantung dengan air hujan untuk mendapatkan air bersih. Air sungai dan air telaga tidak begitu bersih untuk diminum.

Di samping itu salah seorang penduduk kampung Lajong mengadu masalah kesukaran untuk mendapatkan Program Perumahan Rakyat (PPR). Encik Johari Junaidi mengadu kepada pihak kami yang dia sudah memohon PPR sejak tahun 2009 lagi tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkenaan untuk memgatasi masalah beliau. Mereka tidak memberi sebarang alasan mengapa pemohonannya tidak diterima. Dia sudah menunggu sekian lama untuk mendapatkan bantuan PPR.

Beliau juga hairan mengapa sesetengah dari penduduk di situ mendapat bantuan PPR sedangkan dia yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap tidak mendapat bantuan tersebut. Menurutnya lagi semacam ada pilih kasih dalam bantuan PPR itu dan masalah ini pernah diadukan kepada wakil rakyat di tempat berkenaan tetapi masih juga tiada sebarang tindakan diambil.

Beliau amat memerlukan bantuan kerana keadaan tempat tinggal dia sekarang amat daif dan tidak begitu selamat untuk diduduki dan lantai dapur di belakang rumahnya sudah roboh. Beliau amat mengharap pihak yang berkenaan dapat membantu menyelesaikan masalahnya yang sudah lama berlarutan tanpa sebarang tindakan.

Kita mengesa pihak yang berwajib dan mereka yang berkenaan dapat mengambil tindakan segera mengatasi masalah yang dihadapi oleh penduduk Kampung Lajong ini memandang mereka sudah terlalu lama menanti kemudahan asas yang sepatutnya ada untuk disalurkan ke kampung mereka.

Mereka juga mempersoalkan kemanakah peruntukan jutaan ringgit yang diwar-warkan oleh pihak pemerintah untuk projek luar bandar. Kalau memang sudah ada peruntukan untuk projek luar bandar, mengapa kampung mereka dipinggirkan dari arus pembangunan?

Kami amat mengharap pihak berwajib dan mereka yang berkenaan dapat segera mengatasi masalah penduduk Kampung Lajong ini. Penduduk kampung sudah bosan dengan janji pihak yang tertentu yang tidak penah ditepati. Kerjasama dengan semua pihak yang berkaitan amat dihargai. – HARAKAHDAILY 20/11/2017

JohariJ 3

JohariJ 2

BUAT pertama kalinya Sekolah Rendah Islam Tahfiz Al-Ilmi, Keningau telah mengadakan program Kayuhan Amal bertujuan untuk mengumpul dana pembinaan bangunan sekolah tersebut.

Program ini telah mendapat sambutan yang luar biasa dengan penyertaan seramai 300 orang peserta daripada pelbagai kelab basikal seluruh Keningau termasuk dari Labuan, Tawau dan Sandakan.

Acara kayuhan basikal sejauh 24 km yang bermula seawal jam 7.30 pagi dan berakhir pada 10.30 pagi telah dilepaskan oleh Ustaz Awang Addi selaku Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Sekolah Rendah Islam Tahfiz Al-Ilmi.

Kesemua peserta yang berjaya menamatkan kayuhan diberikan pingat sebagai tanda penghargaan. Selain itu para peserta juga berpeluang menyertai cabutan tiket bertuah yang disediakan oleh pihak penganjur.

Ustaz Awang dalam ucapan perasmiannya melahirkan rasa kesyukuran di atas kejayaan program ini yang bukan sahaja bermatlamat untuk mengumpul dana tetapi turut dapat beriadah dan mengeratkan silaturahim di antara peserta dengan pihak sekolah.

Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini khususnya para peserta yang telah memberikan kerjasama yang baik sewaktu acara ini berlangsung.

Penyampaian cendarahati kepada para penaja telah disempurnakan oleh Penasihat Ahli Lembaga Pemegang Amanah sekolah. Antara penaja yang terlibat dalam program ini ialahTritonic, Poweroot, Group Amway Keningau, Kedai Basikal Soon-Soon, Mile One Cycle, Bank Rakyat Keningau, Tupperware Keningau, Takaful Ikhlas dan Geng Borneo Wishers Sabah.

Program ini juga mendapat kerjasama daripada pihak PDRM, APMM Keningau, Yayasan Sabah, Kelab Permotoran ARC Keningau, dan Kelab Motorsikal LCKS.

Pengarah Kayuhan Amal, Ustaz Syahrul Harith dalam ucapan penutupnya mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh jentera petugas yang bertungkus lumus bekerja demi kejayaan program ini.

Beliau juga berharap agar kelab-kelab basikal yang terlibat akan terus memberi sokongan dalam penganjuran kayuhan amal pada masa hadapan.

DEMI perlindungan pengguna melalui maklumat, Persatuan Pengguna-Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan (SCA), mewujudkan Safety Insider.

Safety Insider yang mendapat kerjasama daripada Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Consumers International, merupakan sebuah platform maklumat keselamatan pengguna khusus untuk rakyat Malaysia.

Pengurus projeknya, Sharvin A. Subramaniam berkata, Safety Insider diwujudkan untuk memenuhi keperluan dan jurang maklumat bagi pengguna Malaysia terhadap sebuah platform yang komprehensif untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan keselamatan produk dan perkhidmatan.

"Inisiatif ini satu platform sehenti bagi semua maklumat keselamatan yang perlu bagi pengguna, yang membolehkan mereka berbincang, menyatakan persoalan dan sebagainya," katanya kepaaa Harakah, 14 November lalu.

Katanya, Safety Insider yang baru dilancarkan itu menyediakan berita dan koleksi maklumat dari seluruh dunia, termasuk beberapa produk yang ditarik balik yang disahkan di pasaran Malaysia.

Safety Insider katanya, komited untuk menerbitkan laporan berkala yang menyediakan berita dan maklumat yang berkaitan dengan pengguna dan keselamatan.

Katanya, Safety Insider keluaran Oktober 2017 memberi tumpuan kepada tema kenderaan dan keselamatan, yang mengandungi topik seperti memilih kerusi kereta kanak-kanak yang betul dan penarafan bintang Asean NCAP.

Pasukan Safety Insider yakin maklumat-maklumat tersebut dapat membnatu pengguna Malaysia untuk membuat keputusan yang lebih bermaklumat apabila membeli sesuatu produk atau perkhidmatan.

"Platform Safety Insider dapat diakses di www.safetyinsider.info dan dihubungkan ke media sosial seperti, facebook.com/safetyinsider/ dan di Twitter: https://twitter.com/safety_insider," katanya. – HARAKAHDAILY 17/11/2017

PAYA BESAR: Urusan Pengundi Muda Dun Panching sekali lagi menganjurkan pertandingan futsal mengikut sistem 'round robin' melibatkan lima pasukan dari UPU Bukit Rangin yang berlangsung di Lagend Futsal, di sini semalam.
 
Pertandingan yang dianjurkan khas untuk UPU Bukit Rangin itu menyaksikan pasukan Ajak A dari RRM Permatang Badak telah muncul sebagai juara.
 
Yang Dipertua PAS Kawasan Paya Besar, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya semasa merasmikan penutup pertandingan berkata, beliau gembira apabila melihat anak muda bermain dengan semangat kesukanan yang tinggi dan menutup aurat terutamanya.
 
"Saya melihat anak-anak muda mudah menyertai program yang dianjurkan oleh PAS seperti pertandingan futsal. Ini menunjukkan keterbukaan untuk bersama kita.
 
"Semua yang main hari ni menutup aurat bererti berseluar panjang itu bukanlah penghalang untuk kita bersukan. Pertandingan seperti ini sebenarnya bertujuan untuk merapatkan ukhuwah kita semua," ujar beliau. - HARAKAHDAILY 16/11/2017

SUBANG: Hasrat penduduk untuk mempunyai masjid tertunai setelah Menteri Besar, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali pada Belanjawan Selangor 2018 mengumumkan peruntukan RM17 juta bagi pembinaan Masjid Subang Bestari, di sini.
 
Akhirnya, selepas 18 tahun iaitu sejak menerima kelulusan Kebenaran Merancang (KM) pada 17 Julai 1999, usaha yang dirintis PAS Cawangan U5 bersama dengan Majlis Perwakilan Penduduk Zon 18 berjaya direalisasikan.
 
Dikategorikan antara projek utama di bawah sektor Pembangunan Institusi Kerohanian, ia menggembirakan Jawatan Kuasa Pembangunan Masjid Subang Bestari diketuai Khairul Shaufuan yang telah dibentuk sejak 14 Oktober 2012 lagi.
 
Dari penyediaan kertas cadangan pembangunan pada 2 Januari 2013 disusuli permohonan sokongan kewangan dari istana pada 19 Januari tahun sama dan kelulusan JAIS pada 20 Ogos, usaha mengumpul dana giat diadakan.
 
Sejak itu, dana terkumpul secara berperingkat bersama PAS Cawangan Subang Suria dan penduduk Pangsapuri Subang Suria telah mencecah RM20,000 di mana masjid dicadang dibina bersebelahan Taman Perumahan Laman Permai.
 
Rentetan lanjut dari itu adalah usaha pihak jawatan kuasa membawa memorandum pembangunan yang diserah kepada Azmin paa 23 April 2016 semasa Majlis Pecah Tanah dan Pelancaran Rumah Selangorku hingga membawa kepada pengumuman tersebut. - HARAKAHDAILY 10/11/2017

ARAU: PAS Dun Sanglang telah mengadakan ziarah asnaf di sekitar Kampung Padang Keria, Sanglang, di sini semalam.
 
Pada ziarah tersebut, rombongan sempat mengunjungi dua penerima sumbangan iaiatu Hasliza Kasim dan Nyan Musa.
 
Hasliza merupakan suri rumah yang sedang menjaga ayahnya terlantar sakit, manakala Nyan Musa adalah warga emas dan tinggal bersama anaknya di mana mengalami sakit tulang belakang.
 
Sumbangan yang diberikan adalah berupa hamper dan beras yang mana mengetuai rombongan itu ialah Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Kawasan Arau, Najwa Othman. - HARAKAHDAILY 10/11/2017

SEMPORNA: Bidang pendidikan telah menjadi pintu masuk terpenting yang menyumbang kepada bersemaraknya kejayaan dakwah Islamiyah di negeri ini.
 
Namun, ianya masih memerlukan sokongan dan dokongan banyak pihak ke arah kelangsungannya antaranya usaha PAS menawarkan PASTI sebagai pendidikan pra-sekolah.
 
Sehubungan itu, PAS Kawasan Semporna memerlukan sumbangan untuk pembinaan baharu dan pengurusan PASTI Kampung Damai, di sini.
 
Menurut Yang DiPertua PAS Semporna, Muhamad Said Abdul Mutalib, sebanyak RM10,000 diperlukan untuk kos pembinaan akhir seperti pendawaian elektrik, tandas dan kos pentadbiran.
 
"Pembinaan bangunan telah 80 peratus siap dan kita telah gunakan RM15,000 untuk bangunan utama.
 
"Pembinaan PASTI di daerah ini amat penting bagi menggalakkan proses pengislahan dan penyebaran dakwah bukan sahaja kepada pelajar PASTI tapi juga penduduk Semporna," ujarnya.
 
Maklumnya, PASTI yang akan memulakan operasi tahun hadapan itu boleh dibantu dengan sumbangan menerusi akaun Bank Islam PAS Kawasan Semporna (100 250 1005 7725).
 
Setiap sumbangan harap dimaklumkan kepaa Bendahari Projek PASTI Kampung Damai, Ustaz Mohamad Afiq Johari di talian 019-717 6771. - HARAKAHDAILY 8/11/2017

PAYA BESAR: UPU PAS Taman Tas telah melancarkan bilik operasi yang baharu dengan disempurnakan perasmiannya oleh Pengarah Jabatan Pilihan Raya Dun Panching, Mohd Azhar Mohd Noor di sini, semalam.
 
Menurut beliau, bilik operasi tersebut membuktikan kesungguhan para petugas di situ bekerja untuk memenangkan PAS di Dun Panching.
 
"Bermula malam ini hingga menjelangnya PRU kelak, bilik operasi ini hendaklah sentiasa beroperasi," seru beliau pada majlis yang berlangsung dalam hujan renyai-renyai tetapi menerima kehadiran ramai itu.
 
Ketua Penerangan PAS Kawasan Paya Besar, Amran Sidek yang turut hadir menegaskan, UPU Taman Tas bakal menghadapi cabaran besar untuk membantu pertambahan undi pada PRU14 kelak.
 
Menurutnya, pada PRU yang lepas, UPU itu membantu mengurangkan majoriti kemenangan BN dengan sokongan kaum bukan Melayu.
 
Namun katanya, dengan senario politik semasa di mana kaum bukan Melayu dijangka menyebelahi PH, maka PAS hendaklah bersedia dengan kemungkinan berbeza.
 
Justeru, beliau mengharapkan semua ahli PAS Taman Tas bekerja lebih kuat untuk terus membantu PAS mengekalkan kemenangan yang besar di UPU ini. - HARAKAHDAILY 7/11/2017

ARAU: Majlis Tindakan Dun (MTD) Simpang Empat telah menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah melibatkan 35 peserta muslimin dari kalangan penduduk seempat di Surau Haji Salleh di Sungai Baru, di sini kelmarin.
 
Pengendali Kursus Jenazah, Ustaz Ailyas Abdul Rahman berkata, penduduk kampung mesti didedahkan mengenai ilmu fardhu kifayah khususnya berkaitan pengurusan jenazah yang sepatutnya diketahui oleh semua umat Islam.
 
Kursus ini juga bertujuan untuk memberi pendedeahan kepada peserta mengenai kaedah pengurusan jenazah yang betul dan mengikis unsur bidaah dan khurafat.
 
“Selain itu, peserta juga berpeluang untuk mengajukan soalan berkaitan pengurusan jenazah, kematian dan hal-hal yang berkaitan,” ujar beliau yang juga Timbalan Pengarah MTD Simpang Empat.
 
Timbalan Pesuruhjaya Dua PAS Negeri Perlis, Ruseli Eizan telah hadir untuk merasmikan program tersebut di mana sijil penyertaan dan kertas kerja pengurusan jenazah turut diberikan kepada peserta sebagai cenderahati. - HARAKAHDAILY 6/11/2017

KEMAMAN: Hujan lebat tidak menghalang pengunjung ke program Busking Bersama Buskers Sallimna di Geliga, di sini semalam.
 
Program santai anjuran PAS Dun Chukai itu antara tujuannya adalah untuk kutipan Tabung Kecemasan Kemanusiaan Rohingya.
 
Ahli Perhubungan PAS Terengganu, Ustaz Azman Shapawi Abd Rani berkata, PAS sebuah parti politik yang berjuang merangkumi semua perkara. 
 
Menurutnya, PAS tidak lari dari hiburan, malah dalam PAS ada Lajnah Kesenian yang tidak terdapat dalam parti politik yang lain.
 
ADUN Chukai, Hanafiah Mat yang turut hadir dalam ucapannya menyentuh `Bajet Panadol’ dan isu kenaikan harga minyak saban minggu.
 
“Isu minyak sangat menekan rakyat tidak ada solusi hingga kini. Apakah Kerajaan BN sudah ketandusan idea?
 
"Jika tiada idea, (sila) turun. Gantikan dengan Kerajaan PAS. Kita ada Buku Hijau, kita akan bantu rakyat," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 31/10/2017