26
Wed, Jul

Sungai di Sungai Petani semakin teruk tercemar

Komuniti
Typography

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menggesa Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran sungai di Sungai Petani yang semakin teruk ketika ini.

Pencemaran yang berlarutan sejak lebih 10 tahun yang lalu itu bukan saja menyebabkan sungai tersebut dipenuhi sampah sarap dan berbagai bahan buangan tetapi juga airnya menjadi hitam pekat serta berbau busuk.

Dalam tinjauan yang dibuat SAM mendapati segala hidupan yang terdapat di dalam sungai berkenaan telah pupus dan pokok-pokok bakau yang terdapat di sepanjang sungai ini juga turut terjejas pertumbuhannya kemungkinan berpunca dari pencemaran tersebut.

SAM kesal walau pun masalah pencemaran sungai di sini sudah lama berlaku tetapi hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil oleh pihak terbabit sehingga keadaan ini semakin serius mencemarkan alam sekitar di kawasan itu.

SAM percaya jika punca berlakunya pencemaran ini tidak ditangani segera dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan masalah tersebut gagal dilaksanakan dengan berkesan ia akan merebak secara meluas dan boleh menjejaskan kesihatan orang ramai pada masa akan datang.

Perkara penting yang perlu diberi perhatian utama oleh pihak berkuasa yang terlibat ialah sistem pembuangan sampah, air kumbahan dan sisa minyak dari kawasan perumahan, premis perniagaan serta bengkel membaiki kenderaan supaya lebih terkawal dan sempurna.

Pihak berkenaan juga perlu melakukan pemantauan secara menyeluruh dan mengenal pasti jika terdapat kilang industri di kawasan ini yang melepaskan sisa buangan ke dalam parit dan sungai di sini sehingga keadaan pencemaran bertambah meruncing.

SAM bimbang jika pencemaran sungai di Sungai Petani di sini jika tidak dikawal dan diambil tindakan dengan berkesan ia akan turut mencemarkan Sungai Merbok dan mengancam hutan paya bakau yang terdapat di sepanjang sungai itu.

Justeru SAM berharap kerajaan Kedah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan jabatan serta agensi bertanggungjawab memberi perhatian sewajarnya terhadap masalah ini dan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya. - HARAKAHDAILY 18/4/2017

Penulis ialah Presiden SAM.