24
Sat, Jun

Semangkuk gulai daging tanda ‘sama merasa’

Komuniti
Typography

Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (Dun) Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu mengagihkan gulai daging di kalangan penduduk sekitar bagi 'sama merasa' dan berkongsi kesusahan di bulan Ramadan.

Ketua Muslimatnya, Wan Fatimah Wan Abdullah berkata, ia adalah hasil sumbangan orang ramai yang prihatin tentang masalah ekonomi yang sedang dihadapi oleh mereka.

“Program agihan ini amat berkesan kerana selaku seorang ibu dan muslimat cukup merasa keadaan kehidupan yang susah sekarang, dengan keperluan seharian yang mahal banyak lauk pauk menjadi sekadar ‘mampu tengok’ tapi tak mampu beli,” ujarnya dipetik Buletin Online.

Oleh itu, kata beliau, Muslimat telah menyediakan juadah berbuka gulai kawah untuk mereka yang miskin dan tidak berkemampuan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui bersama para petugas menyediakan gulai daging untuk 300 orang fakir miskin dalam Dun itu, semalam.

Katanya, sumbangan tersebut diagihkan oleh semua ketua cawangan, seramai 25 dengan setiap kampung, di antara 10 dan 15 menerimanya.

Ketua Cawangan Pulau Musang, Rosdi Ibrahim berkata, jumlah agihan program agihan gulai pada tahun ini lebih banyak dan lebih ramai yang dapat ‘sama merasa’.

“Alhamdulillah, tahun ini rezeki orang menyumbang lebih banyak dan lebih ramai yang dapat merasa ‘gulai daging’ bagi yang miskin bertambah dari tahun lepas, sukanya mereka yang menerima,” kata beliau.

“Setiap tahun bulan puasa saya menunggu-nunggu. Saya dapat merasa gulai daging pemberian PAS, terima kasih kerana nak beli daging pun mahal sangat sekarang," kata seorang penerima dalam kalangan ibu tunggal, Zaharah Mamat, 62.

“Alhamdulillah dapat juga merasa seperti orang lain dengan anak dan cucu-cucu saya,” katanya.