Taqlid (imitation) yang menyesatkan bangsa terdahulu

Fikrah
Typography

IMITATION atau taqlid yang dimaksudkan di sini ialah hanya mengikut jejak langkah orang lain tanpa mengetahui dalil sandarannya. Perlu lahirkan kebimbangan apabila 'style' ini berterusan, akan melahirkan generasi yang sesat.

Antara penyakit yang sealiran dengannya ialah 'pembodohan'. Taqlidbiasanya muncul setelah melalui proses pembodohan ini. Lihat bagaimana Firaun memperbodohkan kaumnya, lantas kaumnya terikut sesat Firaun sepertimana dinyatakan di dalam Surah Zukhruf ayat 51 hingga 54:

فَٱسۡتَخَفَّ قَوۡمَهُۥ فَأَطَاعُوهُۚ إِنَّهُمۡ كَانُوا۟ قَوۡمࣰا فَـٰسِقِینَ

"(Dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik - derhaka."

(Zukhruf: 54)

Manakala kesesatan bangsa terdahulu yang ingin diketengahkan ialahpolytheisme, yang bermaksud kepercayaan terhadap berbilang tuhan. Kita boleh lihat penyakit ini wujud pada Zaman Nabi Nuh A.S sepertimana yang diceritakan oleh Allah S.W.T:

وَقَالُوا لَا تَذَرُنَّ آلِهَتَكُمْ وَلَا تَذَرُنَّ وَدًّا وَلَا سُوَاعًا وَلَا يَغُوثَ وَيَعُوقَ وَنَسْرًا

"Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: "Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa', dan Yaghuth, dan Ya'uuq, serta Nasr"."

(Nuh: 23)



a)  Imam Ibnu Kathir ketika menafsirkan ayat ini, beliau menukilkan riwayat daripada Imam Ibn Jarir At Tabari:

وقال ابن جرير : حدثنا ابن حميد ، حدثنا مهران ، عن سفيان ، عن موسى عن محمد بن قيس ) [ يغوث ] ويعوق ونسرا ) قال : كانوا قوما صالحين بين آدم ونوح وكان لهم أتباع يقتدون بهم ، فلما ماتوا قال أصحابهم الذين كانوا يقتدون بهم : لو صورناهم كان أشوق لنا إلى العبادة إذا ذكرناهم ، فصوروهم ، فلما ماتوا وجاء آخرون دب إليهم إبليس فقال : إنما كانوا يعبدونهم وبهم يسقون المطر ، فعبدوهم .

Petikan ini menyatakan bahawa Wadd, dan Suwaa', Yaghuth dan Ya'uuq, serta Nasr merupakan orang soleh yang hidup di antara zaman Nabi Adam AS hingga Zaman Nabi Nuh A.S. Setelah mereka mati, para pengikutnya generasi pertama membina patung mereka sebagai tugu peringatan, untuk menambahkan kerinduan ketika beribadah.

Namun apabila generasi pertama ini sudah mati, generasi kedua diperdaya oleh syaitan menyatakan bahawa generasi pertama dulu menyembah patung patung ini, sehinggalah generasi kedua itu pun menyembah patung patung itu kononnya mengikuti cara generasi pertama.

b)  Secara umumnya, penyakit ini bertitik tolak daripada konsep Taqlid (Imitation) yang dipromosikan oleh para pimpinan mereka yang sesat itu. Ia berdasarkan perkataan لا تذرن yang merupakan arahan, dantaukid (pengukuhan) terhadap arahan tersebut.

Mana-mana orang yang memimpin ke arah jalan yang sesat tidak wajar diikuti kerana Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda:

لا طاعة لمخلوق في معصية الخالق

"Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam melakukan maksiat kepada Allah."

Bahkan, konsep taqlid ini juga menjadi senjata syaitan untuk merosakkan golongan terdahulu sepertimana firman Allah S.W.T:

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّبِعُوا مَا أَنزَلَ اللَّهُ قَالُوا بَلْ نَتَّبِعُ مَا وَجَدْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا ۚ أَوَلَوْ كَانَ الشَّيْطَانُ يَدْعُوهُمْ إِلَىٰ عَذَابِ السَّعِيرِ

"Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang ingkar): "Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah" mereka menjawab: "(Tidak), bahkan Kami hanya menurut apa yang Kami dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah mereka (menurut datuk neneknya) sekalipun Syaitan mengajak mereka itu (melakukan perbuatan yang menjerumuskan mereka) ke dalam azab api neraka yang marak menjulang?"

(Luqman: 21)

 

MUHAMMAD MUJAHID IR HAJI MOHAMMAD FADZIL - HARAKAHDAILY 10/8/2019

IMG 20190810 WA0014