KUALA LUMPUR: Islam bermula dengan membina integriti individu, keluarga, bangsa dan negara bermasyarakat majmuk.

Acuan ini telah menghidupkan konsep masyarakat madani dengan menegakkan negara berbilang kaum dan agama.

Malah, sejarah merakamkan perpaduan kalangan orang Melayu pernah dipupuk oleh Raja-raja Melayu beragama Islam dengan menyatukan rumpun masyarakat majmuk di rantau ini.

Kesannya, pengaruh itu melekat sehingga ke hari ini kepada lebih 300 juta penduduk di Nusantara merangkumi Indonesia, Malaysia, Brunei, Filipina, Selatan Vietnam, bangsa Champa dan Vietnam yang menerima agama Islam dan rumi jawi menjadi bahasa perantara rasmi di Nusantara.

Justeru itu, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru semua pihak tidak perlu bimbang kepada perpaduan penyatuan kalangan Melayu yang dianjurkan oleh PAS dan Umno.

Berucap di hadapan lebih sepuluh ribu hadirin yang memenuhi Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dalam Himpunan Penyatuan Ummah hari ini, beliau juga menekankan agama Islam perlu dianut oleh kaum yang mendominasi kepimpinan negara.

Ujarnya lagi, ini kerana hanya agama Islam menjadi penyelamat kepada manusia seperti firman Allah dalam surah Muhammad ayat ke-38. - HARAKAHDAILY 14/9/2019

KUALA LUMPUR: Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) telah menempa sejarah baharu sekali gus mengingatkan semula sejarah kejayaan Islam sekitar abad ke-15.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata kedatangan Islam di Asia Barat pada suatu ketika dulu telah menyatukan bangsa Arab yang saling berperang sesama sendiri.

Katanya lagi, agama Islam tanpa paksaan dan membawa konsep persaudaraan sesama manusia berjaya melebarkan pengaruh Islam berkembang ke Timur dan Barat sehingga ke Rantau Alam Melayu.

"Sejarah Islam meninggalkan kesan kepada lahirnya lebih tiga ratus juta rumpun Melayu sehingga kini.

"Namun telah dipecahkan oleh penjajah menjadi beberapa negara, termasuk Malaysia, sehingga berpecah lagi dalam satu negara dan bangsa sendiri.

"Kini kita ingin mencipta sejarah baru untuk generasi yang akan datang, dengan kembali semula kepada penyatuan umat dan bangsa, mengikut acuan petunjuk Allah bagi mencapai kejayaan itu," ucapnya.

Beliau yang berucap dalam HPU914 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mewakili seluruh keluarga besar PAS bersama Gagasan Sejahtera menyampaikan salam persaudaraan kepada keluarga besar Umno, BN dan rakan-rakan NGO. - HARAKAHDAILY 14/9/2019

KUALA LUMPUR: Penyatuan ummah yang mengandingkan PAS dan Umno bersatu bergandingan membentuk sebuah perjanjian dilihat sebagai suatu langkah yang relevan memandangkan kedua-dua parti tersebut mempunyai titik persamaan yang paling banyak selain kedua-duanya merupakan parti terawal yang terlibat dalam perjuangan kemerdekaan dan ketika kemerdekaan dicapai.

Menurut Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapannya bersempena kejayaan penyatuan ummah tersebut, berkata titik persamaan tersebut telah berjaya meletakkan asas yang penting dalam Perlembagaan Malaysia iaitu kedudukan Islam, hak-hak agama lain, hak-hak Bumiputera, Bahasa Kebangsaan, hak bermasyarakat majmuk dan seterusnya.

Katanya, pertembungan yang berlaku sebelum ini hanyalah beberapa salah faham dalam perkara cabang yang bersifat teknikal dan perbezaan pendekatan yang bukanlah tidak normal.

"Pertembungan hanya dalam perbezaan pendekatan dan salah faham dalam perkara cabang yang bersifat teknikal,maka dalam menghadapi cabaran yang lebih besar, kita wajib bersatu dalam perkara dasar dan asas, dan boleh bertolak ansur dalam perbezaan, serta bermaaf-maafan dalam pertembungan," ujarnya ketika menyampaikan ucapan bersempena Himpunan Penyatuan Ummah yang berlansung sejak semalam di Putra World Trade Centre (PWTC) , di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan bahawa Islam mengajarkan konsep persaudaraan dan silaturrahim dalam sesebuah keluarga dan bangsa didahulukan, kemudian ia disusuli dengan menjaga hubungan kemanusiaan yang bermasyarakat madani walaupun bersifat majmuk dari sudut agama dan bangsa, bagaimanapun, Islam juga menuntut kewajipan bermasyarakat dalam memakmurkan bumi megikut ketentuan Allah SWT.

Memberi contoh, beliau memetik sepotong ayat Al-Quran dari Surah An-Nisa' ayat yang pertama yang membawa maksud, “Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya- zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu".

Himpunan Penyatuan Ummah hari ini menyaksikan dua parti politik terbesar di Malaysia bersatu untuk menetapkan hala tuju negara yang lebih baik setelah 50 tahun kedua-dua parti itu membawa haluan masing-masing yang mana kedua-duanya pernah berada di dalam satu bahtera suatu ketika dahulu. – HARAKAHDAILY 14/9/2019

KUALA LUMPUR*: Roh jiwa umat Islam telah menyebabkan PAS dan Umno duduk bersama setelah adanya ancaman terhadap Melayu-Islam walaupun selama ini keduanya membawa haluan politik berbeza.

Timbalan Presiden PAS, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, kerjasama ini bukan hanya untuk PRU15, tetapi PAS dan Umno tekad jayakan penyatuan ummah ini hingga ke akhir zaman.

Perkara itu dinyatakan beliau ketika berceramah sempena Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) yang dilangsungkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam tadi.

Bentangnya, PAS telah membuktikan roh kesatuan itu, walaupun menjadi lawan terkuat kepada Umno hingga jatuh hilang pemerintahan, tetapi sebaliknya PAS telah menyambut Umno sebagai kawan.

Jelas beliau, PAS dan Umno tidak semudah-mudahnya untuk berpecah lagi atau bersaing termasuk dalam pembahagian kerusi pilihan raya, sebaliknya muafakat itu akan diurus secara kebersamaan.

Terang Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, muafakat PAS dan Umno akan menerajui politik negara dengan jaminan kestabilan dan tidak akan sekali-kali mengenepikan atau menjadi ancaman kepada hak bukan Islam.

"Kita menerima hakikat Malaysia sebuah masyarakat majmuk, kita menerima hak-hak mereka. Tetapi kita tak boleh terima kaedah DAP yang menjadi ancaman kepada orang Melayu dan Islam dalam negara kita.

"Kami ada pengalaman, bangsa DAP bila menghadapi sesuatu keadaan kritikal, dia sanggup tinggal kawan yang bersama-sama dia. Waktu dalam BA menghadapi PRN Sarawak, DAP isytihar keluar BA untuk hadapi PRN Sarawak.

"Lepas pilihan raya dia masuk balik. Waktu bersama dalam PR sekali lagi PRN Sarawak, DAP sanggup tinggal kawan demi jaga kepentingan parti dia. Ini parti yang tidak boleh dijadikan kawan dalam politik, apatah lagi nak angkat mereka sebagai pemimpin.

"Kita tidak memusuhi bangsa Cina, kita tidak musuhi bangsa India, tidak kita musuhi orang Iban, Kadazan. Bangsa bukan pilihan kita, bangsa bukan ketentuan kita, ia ketetapan Allah," ujarnya.

Katanya, tiada manusia minta dia dilahirkan mengikut bangsa tertentu, namun telah terbukti rumpun Melayu boleh hidup aman damai dengan menjamin hak orang bukan Islam dan kebebasan mereka.

Malah Tuan Ibrahim turut menyatakan iltizam penyatuan itu tidak berakhir antara kedua parti, tetapi juga rakyat negara ini agar iktibar perpecahan sebagaimana berlaku di beberapa negara dunia tidak terjadi di sini.

Beliau turut menyampaikan nasihat dari ibrah Perang Hunain dan peringatan kalam Allah mengenainya iaitulah tidak merasa sombong dengan jumlah yang ramai atau bergerak untuk mendapat kuasa kemegahan dunia.

Terdahulu dalam ucapannya itu beliau turut menggambarkan ketakutan Kerajaan PH terhadap penyatuan itu hingga menggambarkan PAS dan Umno akan mewujudkan negara ala Taliban dan masalah polarisasi kaum.

"Umno memerintah 60 tahun negara aman. PAS memerintah Kelantan lebih 30 tahun aman. Bayangkan dua-dua parti memerintah tidak pernah berlaku tragedi besar kecuali sedikit detik 13 Mei 1969.

"Tak mungkin dua parti yang besar ini, bila berlaku muafakat, tiba-tiba jadi Taliban, jadi masalah perkauman. Tidak mungkin. Sebenarnya mereka sangat bimbang sampai minta check jantina.

"Masalah jantina ini bukan masalah PAS dengan Umno tau, masalah mereka (PH). Mereka yang perlu semak jantina. Saya tak suka sangat sebut bab ini, tapi dia sebut itu, kita terima kasihlah," bidasnya. -HARAKAHDAILY 14/9/2019

ALHAMDULILLAH di atas segala-segalanya. Bicara Dam’ah wa Ibtisamah(Setitis Air Mata dan Seulas Senyuman) ini ditulis khas untuk menyatakan rasa syukur dan menyatakan harapan. Tulisan ini tentang “Aku, PAS dan Umno”. Luahan nurani dari rasa hati ini dinukil khas melalui tinta perjuangan demi menajam fikiran dan menaikkan semangat Islami agar rasa-rasa itu terus menjulang tinggi. Semoga semangat ini kekal membara dari kini sampai akhir nanti. Semoga tulisan ini ada kebaikan dan manfaatnya buat sahabat-sahabat seperjuangan sekalian. Saya doakan kemuliaan dan kebahagiaan buat kalian dalam perjalanan dan kembara istiqamah menuju kecemerlangan dunia dan Akhirat. Mudah-mudahan kesampaian. Allahumma Aamiin!

Saya lahir di bumi Niah, Miri, Sarawak Darul Hana. Satu-satunya negeri dalam Malaysia yang tiada parti United Malays National Organization (Umno)! Saya dilahirkan dalam keluarga yang menyokong Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) iaitu parti tunjang kepada Kerajaan Sarawak. PBB ialah rakan kongsi BN-Umno sehingga PRU14 sebelum kini menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Menariknya saya hanya diperkenalkan dan bersama dengan jamaah yang saya cintai lagi dokongi kini dan berharap istiqamah dengannya sampai mati iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ketika menuntut di Taman Ilmu & Budi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sebelum dari zaman universiti, saya dimomokkan betapa PAS itu Parti Ajaran Sesat. Bahkan di Sarawak ketika itu adanya PAShofobia iaitu orang fobia dengan PAS serta memandangnya dari sudut negatif dan neraca hitam. Bahkan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz saat itu saya di 'brainwash' bahawa beliaulah pemecah-belah umat Islam di Malaysia. Setelah habis belajar dan kembali ke kampung halaman, antara yang sampai ke telinga saya ialah “rugi-rugi saja belajar tinggi-tinggi tapi masuk pembangkang (PAS)!”. Saya setuju bahkan jika ingin kemenangan politik semata-mata di Sarawak, PAS bukanlah parti yang tepat buat masa ini. Saya pernah ditawarkan menjadi pimpinan PBB, namun saya menolak secara baik. Saya memilih kekal bersama dengan Gerakan Islam PAS ini keranaintima’ (penggabungan diri) saya bersama PAS kerana dasar dan prinsip Islamnya! Bukan kerana pangkat, harta dan kegemerlapan dunia. Hanya kerana ingin melihat Islam menang dan berhajat menang dengan Islam!

Bagaimana pula dengan Umno? Tidak banyak kenangan saya bersama Umno. Apa yang pasti Umno sentiasa menjadi musuh politik PAS (kecuali seketika di tahun 1970-an) kerana perbezaan halatuju dan citra perjuangan. Malah ketika zaman kampus proksi PAS sentiasa tidak sebulu dengan proksi Umno di universiti. Di zaman kampus, saya bertanding atas tiket We Unite For Islam (WUFI) dan kemudiannya menjadi Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIA atas tiket WUFI. Proksi Umno pula yang saban tahun tidak pernah dapat mengalahkan dominasi WUFI pada ketika itu menubuhkan proksi yang diberi nama SAHABAH dengan moto As-Sahabah Fid Dunya Wal Akhirah. Namanya berbaur keAraban untuk hendak menampakkan ciri Islamik bagi menyaingi WUFI, namun tetap juga tewas!

Demikianlah sejarah! In shaa Allah hari ini Sabtu, 14 September 2019 akan terciptalah sejarah baru dan saya hadir di sini untuk menyaksikannya. Saya akan menjadi saksi termeterainya Piagam Muafakat Nasional yang mengikat penyatuan dua parti tersebar umat Islam-Melayu di Malaysia, PAS dan Umno. Parti yang secara tradisinya bermusuh kini menjadi saudara, dulunya lawan kini kawan! Apa yang lebih mendebarkan rasa, saya akan menyaksikannya sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, salah seorang pimpinan jamaah siyasah, dakwah dan tabiyah tercinta ini! Semoga Allah merahmati dan memberkati penyatuan ini Demi Islam ke arah membina Malaysia Sejahtera.

Sepanjang hari semalam sejak pagi hingga ke malam tadi kita menyaksikan lautan manusia dengan tema putih berkumpul di PWTC tempat berlangsungnya HPU914. Mereka hadir ikhlas bersemangat dan terpancar kegirangan di wajah sekalian yang berhimpun. Ribuan datang dari jauh dan dekat dari seluruh negara tidak berkira semata-mata ingin menyaksikan umat yang bertuah ini kembali bersatu hati! Buang yang keruh, ambil yang jernih. Kebanyakan mereka datang hadir ke PWTC ini dengan duit dan perbelanjaan sendiri, tanpa ditaja. Ada yang menaiki pesawat, ada yang menaiki bas, ada yang menaiki keretapi, ada yang berkenderaan 4 roda, ada yang berkenderaan 2 roda dan lain-lain. Meski berbeza jenis kenderaan, apa yang pasti ialah jalan yang ingin dituju adalah jalan yang sama dan cita-cita yang ingin dicapai seiringan.

Banyak moment dan detik unik yang kita saksikan. Bendera atau logo PAS berkibar megah di PWTC beriringan dengan bendera Umno. Timbalan Presiden PAS menyampaikan Khutbah Jumaat di Surau di Ibu Pejabat Umno. Takbir bergema di PWTC! Ahli Umno dan PAS juga sekalian pendokong, penyokong dan simpatisan duduk bersama mendengar ucapan-ucapan pimpinan, saling bersalaman dan melempar senyuman (sebelum ini janggal kini kian serasi), ngeteh dan ngopi bersama, reunion kembali tanpa mengira hijau atau merah, seketika mengimbau kenangan lama yang kadangnya mengusik jiwa serta pastinya menganyam mimpi indah dan memintal impian bahagia masa depan untuk agama, bangsa, negara dan ummah! Anggota Jabatan Amal Malaysia dan Skuad Sabil berganding bahu bertugas. Pemuda PAS dan Pemuda Umno sepentas. Muslimat PAS dan Wanita Umno bermunajat bersama. Berbahagialah kita semua dengan penyatuan ummah ini. Abaikan DAP dan sekutunya yang meroyan sehari-dua ini. Teruskan melangkah maju ke hadapan dengan jujur, ikhlas, tawadhuk dan semata-mata demi redha Allah!

Inilah senario semasa dan kisah benar yang berlaku yang meyakinkan saya bahawa PAS dan Umno hakikatnya sudah menang, tidak kira apa jua keputusan pilihanraya mendatang! Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala di dalam Surah Al-Hujurat Ayat 10:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

“Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Oleh itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.”

Buat akhirnya, bersamalah kita menghayati lirik Lagu Tema Rasmi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) - "Berjihadlah"!

Bersatulah wahai kaum Muslimin
Dengan semangat dan roh kebenaran
Berjihadlah wahai kaum Muslimin
Walau susah memempuh cabaran

Bersatulah wahai kaum Muslimin
Dengan obor sinar kebahagiaan
Berjihadlah wahai kaum muslimin
Biar syahid ataupun kemenangan

Berjuanglah wahai Ansorullah
Dengan matlamat Daulah Islamiah
Berkorbanlah wahai yang beriman
Dengan harta dan segenap kepunyaan

Bergeraklah ke gerbang jasa
Kalah menang bukan alasannya
Sucikanlah niat di hati
Hingga nyata benarnya janji Rabbi

Bersatulah wahai kaum Muslimin
Dengan semangat dan roh kebenaran
Berjihadlah wahai kaum Muslimin
Walau susah memempuh cabaran

Bersatulah wahai kaum Muslimin
Dengan obor sinar kebahagiaan
Berjihadlah wahai kaum Muslimin
Biar syahid ataupun kemenangan

Berjuanglah wahai Ansorullah
Dengan matlamat Daulah Islamiah
Berkorbanlah wahai yang beriman
Dengan harta dan segenap kepunyaan

Bergeraklah ke gerbang jasa
Kalah menang bukan alasannya
Sucikanlah niat di hati
Hingga nyata benarnya janji Rabbi

Selamatlah Parti Islam melangkah
Membimbing ummah ke medan siasah
Berpedomankan Al-Quran dan Sunnah
Suburlah hidupnya dan pasti berbuah....
Suburlah hidupnya dan pasti berbuah....
Suburlah hidupnya dan pasti berbuah....

Demikianlah catatan yang saya ingin rekodkan sebagai arkib masa depan. Atas segalanya, siiru ‘ala barakatillah, teruskan perjuangan liridhalLah!

MUHTAR SUHAILI AS-SARAWAKI
Bilik 909, Hotel Seri Pacific, Bersebelahan PWTC.
2.07 pagi, 14 September 2019 | 14 Muharram 1441 - HARAKAHDAILY 14/9/2019

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan Kerajaan PH hari ini ibarat pesakit kanser tahap empat yang dijangka hayatnya tidak akan lama.

Katanya, ia kerana kerajaan yang menang dengan fitnah tidak mungkin bertahan lama dan tidak mampu menghadapi kebangkitan rakyat untuk membetulkan keadaan yang telah berlaku.

“Kebenaran walaupun mengambil masa, tetapi apabila bangkit akan kekal dengan kebenaran. Manakala kebatilan mungkin dapat menarik perhatian, tetapi yakinlah tidak mampu bertahan kerana sifat batil bercanggah dengan fitrah yang ada kepada manusia,” ujarnya.

Beliau berucap dalam ceramah Himpunan Penyatuan Ummah bersama Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Mohamad Hasan dan Naib-Naib Presiden PAS dan Umjo di PWTC, malam tadi.

Menurutnya, walaupun ada yang mengatakan kerjasama PAS dan Umno tidak akan tahan lama, namun saf kepimpinan kedua parti itu bertekad akan saling hormat-menghormati antara satu sama lain sekiranya timbul permasalahan.

Dalam masa yang sama dinyatakannya, kedua parti juga bertekad tidak akan ada usaha untuk memecahkan kerjasama tersebut.

Tuan Ibrahim dalam ucapannya turut menyentuh isu pembahagian kerusi bagi menghadapi pilihan raya di mana tidak akan menjadi masalah bagi kedua parti itu dan akan duduk bersama dalam soal berkenaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, kerjasama PAS dan Umno dalam penyatuan ummah itu akan memberi jaminan tidak akan sesekali mengenepikan hak masyarakat bukan Islam.

“Kita menerima hakikat Malaysia negara majmuk yang setiap kaum ada hak mereka. Tetapi kita tidak boleh terima kaedah DAP yang menjadi ancaman.

“Dan kita tidak memusuhi bangsa Cina, India, Iban dan sebagainya kerana bangsa bukan pilihan atau ketentuan kita, ia adalah ketentuan Allah S.W.T,” jelasnya.

Tegasnya, muafakat politik kedua parti tersebut akan ditegakkan dengan memelihara kerukunan dan kedamaian negara.

Malahan akuinya, menerusi muafakat itu berjanji akan menjaga kedaulatan orang Melayu Islam, ekonomi negara, pengurusan, perpaduan kaum dan perundangan akan diletak pada tempat yang betul dan terjamin.

Menurutnya, penyatuan PAS dan Umno ini akan menjadi model kepada umat Islam di dunia ini supaya bersatu, di saat banyak negara Islam lain sedang dipisah oleh musuh-musuh Islam. - HARAKAHDAILY 14/9/2019

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Mohamad Hassan mengemukakan banyak perbandingan perumpamaan berhubung penyatuan ummah antara PAS dan Umno.

Analogi bahawa kedua parti ini bagaikan sirih pulang ke gagangnya dikatakan beliau tepat dalam menggambarkan sifat orang Melayu yang tidak boleh terus bersengketa sesama sendiri.

“Dua parti politik Melayu Islam terbesar di tanah air ini telahpun menyedari bahawa tidak boleh kita terus menerus bersengketa. Yang menjadi mangsa ialah anak bangsa, yang menjadi mangsa adalah agama dan bangsa.

"Maka sebab itulah di atas kesedaran, PAS dan Umno bersetuju untuk kita menjadikan hasil perbincangan kedua jawatankuasa ini untuk ditandatangani Presiden-presiden kita pada esok hari (hari ini),” katanya dalam ceramah sempena HPU914 di PWTC, malam tadi

Sehubungan itu katanya, penyatuan itu merupakan satu sejarah kerana kedua-dua parti dapat bersama berada di atas satu pentas untuk merungkai hasrat yang lama telah diimpikan oleh orang Melayu.

“Orang Melayu rindu pada keadaan sebegini, orang Melayu rindu pada persefahaman sebegini, maka benih yang sedang kita semua lalui ini mari kita sama-sama sirami, mari kita sama-sama bajainya. Biarlah benih ini tumbuh dengan sempurna.

"Akan tumbuh sebagai pohon yang rendang untuk dapat kita berlindung bersama-sama, untuk dapat kita berteduh sama-sama, jika berbuah pula nanti kita makan buahnya sama-sama,” ucapnya.

Beliau turut menegaskan bahawa himpunan bersama itu adalah untuk menyatakan bahawasanya telah sampai waktu orang Melayu Islam di tanah air ini bersatu dan menentang kemungkaran.

Sebelum itu, beliau turut mengingatkan penyatuan pada hari ini adalah supaya ianya dapat menghamparkan negara yang aman dan damai buat tanah air pada masa akan datang. - HARAKAHDAILY 14/9/2019

KUALA LUMPUR: Keputusan PRU14 lalu diluar jangkaan hingga PAS yang menjangka untuk menawan 40 kerusi sebagai 'King Maker' telah 'tertiarap', manakala Umno menjangka boleh menguasai dua pertiga Parlimen telah 'tertungging'.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad menyingkap betapa senario politik yang berlaku itu telah menghikmahkan jalinan penyatuan ummah antara PAS dan Umno hingga tanggal 13 dan 14 September memeterai piagam bersama.

Walaupun dengan nada seloroh mengutarakan keadaan teruk demikian, beliau tetap mengakui bahawa takdir itu menginsafkan dan untuk Allah mengampukan kesilapan dosa hamba-hamba-Nya.

"Kalaulah hari ini Umno masih berkuasa, saya malam ini tak pijak PWTC. Mungkin malam ni ceramah bagi 'Assalamualaikum' (kemudian terus) kata pada Umno.

"Umno pula (mungkin) malam ini ceramah kata pada PAS. Tetapi dengan nikmat disebalik kekalahan ini, ia membolehkan kita duduk sepentas dan duduk sama-sama," ujarnya pada ceramah sempena Himpunan Penyatuan Ummah di PWTC, di sini malam tadi.

Bekas Ahli Parlimen Bukit Gantang itu turut menyebabkan hadirin tidak lekang gusi dengan seloroh bersahaja disebalik isu-isu disentuh beliau mengenai politik semasa negara termasuk berdepan pihak yang memperlekeh PAS-Umno.

"Saya kata, Umno ni (sudah jadi) pembangkang. Mana ada negara demokrasi, pembangkang lawan pembangkang. Kalau gitu orang panggil 'masuk air'. Dipertikai PAS lawan PH, saya kata PH tu kerajaan.

"Mana ada negara demokrasi pembangkang sokong kerajaan. Kalau ada itu namanya dia pembangkang 'putus wayar'," ujarnya terus berseloroh menceritakan pula perbezaan Pejabat PAS dan Umno.

Katanya, sejak dilahirkan dalam tong undi PAS, tiba-tiba diusia 56 tahun beliau naik bangunan Umno yang serba canggih hingga lif pun tidak perlu ditekan, tetapi lif Pejabat PAS selalu rosak.

Lebih mencuit hati hadirin, Ustaz Idris turut mengakhiri ceramahnya itu dengan selorohnya membacakan talkin buat kesedaran seluruh rakyat terhadap pelbagai nasib sedang dihadapi dari politik negara ketika ini.

"Wahai rakyat Malaysia, jika datang pimpinan PH, janganlah kami merasa takut dan gentar, kerana mereka adalah manusia biasa seperti kamu. Maka jawablah dengan lidah yang fasih dan lancar.

"Sesungguhnya tol tidak dihapuskan itu benar, sesungguhnya PTPTN tidak dimansuhkan itu benar, sesungguhnya harga minyak tidak diturunkan itu benar, sesungguhnya harga barang makin mahal itu benar.

"Sesungguhnya BR1M anak muda dikurangkan dari RM450 kepada RM100 itu benar. Sesungguhnya harga sawit harga getah semakin jatuh itu adalah benar, sesungguhnya kasut hitam itu benar. Sesungguhnya AES tidak dihapuskan itu benar.

"Dan sesungguhnya SST ganti GST harga barang tidak turun itu benar dan akhir sekali sesungguhnya tanam malin tidak menjadi, ada yang cadang tanam ganja itu juga benar," ujarnya. - HARAKAHDAILY 14/9/2019

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS akan mengembleng rakyat mengadakan demonstrasi di depan Pejabat Agung PAS dan PWTC sekiranya piagam yang dimeterai tidak membawa kebaikan kepada semua rakyat.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, Pemuda PAS sedia menghadapi keadaan itu sebagai satu teguran dan demi membetulkan langkah dibuat kedua parti ini dalam penyatuan yang diadakan.

Kesediaan itu diikrarkan beliau dalam sesi Townhall Anak Muda yang dilangsungkan sempena Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini petang semalam.

"Sekiranya piagam ini tidak memperjuangkan keadilan pada formula Islam, sekiranya perjuangan ataupun muafakat ini tidak memperjuangkan solusi masalah rakyat.

"(Jika sekiranya piagam ini) tidak berlandaskan kepada idealogi politik (untuk semua kaum), sekiranya ia hanya bergantung kepada skop Melayu sahaja, saya cadangkan buat demonstrasi," gesanya.

Sehubungan itu, beliau melontarkan komitmen dan jaminan kepada rakan-rakan bukan Isla, daripada kaum Cina, India dan lain-lainnya supaya tidak bimbang dengan penyatuan tersebut kerana PAS dan Umno bukan seperti DAP.

Ketika sama beliau turut memperingatkan bahawa perjuangan yang dibawa sama sekali tidak akan boleh dimenangi secara membangkitkan sentimen perkauman atau keterlampauan.

"Kalau kawan-kawan daripada MCA nak menang hati orang Cina dengan menggunakan tiket rasis, kamu akan kalah. Kamu tidak dapat menandingi 'kehebatan' rasisnya DAP.

"Kalau kamu nak memperjuangkan kemenangan bangsa Melayu dengan menggunakan pendekatan Liberal, kamu tak akan menang dengan PKR. Kamu tidak akan menang dengan BERSATU.

"Kalau kami nak ambil hati orang Melayu, kamu kena faham bahawasanya resepi kejayaan untuk menarik hati orang Melayu adalah pada nama agamanya Islam," nasihat beliau.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua pihak melakar perubahan dengan mengenepikan segala pertembungan lampau dan masa kini kepada penyatuan yang diyakini dikurniakan Allah Taala ini.

Iaitulah katanya, dengan perjuangan yang tulin dan ikhlas hingga Allah menghadirkan kemenangan atas usaha untuk mendaulatkan agama dan syariah-Nya, serta menyelesaikan masalah negara dengan formula Islam. - HARAKAHDAILY 14/9/2019

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin mengingatkan bahawa perkara asas yang perlu ada dalam penyatuan ummah adalah keikhlasan.

“Jika rakyat menganggap penyatuan ini akan membolehkan kemenangan pada PRU15, barangkali kita telah melangkaui daripada kuasa yang diberikan oleh Allah.

“Kita bukan Tuhan, tetapi oleh kerana kita bersatu dan melihat bahawa perjuangan untuk menegakkan agama Islam merupakan fardu ain dalam keadaan sekarang,” ujarnya.

Beliau mengungkapkan perkara penting itu ketika berucap dalam Townhall Anak Muda sempena Himpunan Penyatuan Ummah di PWTC, petang semalam.

Sebab itu katanya, PAS dan Umno bersatu dan pastinya gagasan tersebut akan diuji oleh Allah dalam setiap detik dan waktu, sekali gus amat menuntut keikhlasan itu.

Mengungkap kegemilangan lampau, sejarah kemukanya, telah membuktikan bahawa ada satu peristiwa besar dunia di mana menunjukkan Islam boleh terus memimpin sehingga 14 abad lamanya.

Bahkan juga menurutnya, Islam memimpin lebih daripada tiga perempat dunia di mana peristiwa itu bermula dengan pemeteraian ‘Piagam Madinah’.

Maka terangnya, hasil daripada penyatuan ummah tersebut, terlahirlah sebuah negara Islam yang pertama dinamakan sebagai Madinah dan diikat dengan ‘Piagam Madinah’.

Oleh itu jelas beliau, PAS dan Umno mengambil semarak yang sama dari pemeteraian bersejarah tersebut di mana penyatuan dibentuk kini adalah kerana Islam.

Tambahnya, jika PAS-Umno ingin bersatu semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan yang zalim, mereka boleh melakukan segala perkara, namun, matlamat tidak menghalalkan cara.

"PAS-Umno boleh menggerakkan seluruh kekuatan Pemuda PAS dan Umno untuk melakukan demonstrasi seperti yang berlaku di Thailand. PAS dan Umno boleh duduk di Putrajaya dan jatuhkan PH.

“Tetapi kita ingin masuk ke Putrajaya dengan cara terhormat, sepertimana mereka masuk pintu Putrajaya dengan cara terhormat,” katanya.

Di mana peringat beliau, jika betul penyatuan PAS dan Umno pada hari ini berteraskan agama, maka pastinya sunnatullah itu juga berteraskan kepada agama.

Iaitulah jelasnya, sunnatullah perjuangan kedua pihak pasti akan mengikuti episod perjuangan Rasulullah S.A.W. dan perjuangan itu pastinya panjang dan sukar. - HARAKAHDAILY 14/9/2019

KUALA LUMPUR: Perpaduan antara Umno dan PAS digambarkan sebagai hubungan kerjasama keseluruhan ummah.

Namun perpaduan yang terbina ini telah digembar-gemburkan dalam nada sinis dan pelbagai persepsi hingga menakut-nakutkan rakyat.

Penganalisis Politik, Prof Dr Azmi Hassan membidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang membangkitkan kebimbangan mengenai Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) di PWTC anjuran PAS dan Umno.

"Ini bukan gabungan perpaduan dua parti politik, ini adalah gabungan untuk keseluruhan ummah. Masalahnya, penceritaan yang cuba digambarkan perhimpunan ini adalah satu hal yang menakutkan.

"Kalau kita baca akhbar hari ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengeluarkan satu kenyataan bahawa beliau bimbang perjumpaan hari ini dan esok dikatakan akan mengganggu-gugat kestabilan negara," katanya.

Prof Dr Azmi melihat perpaduan Umno dan PAS ini adalah baik untuk negara dan dua parti ini bergerak sebagai pemangkin.

"Saya dah kata saya bukan ahli Umno dan saya bukan ahli PAS tapi saya melihat perpaduan ini adalah baik untuk negara saya," ulasnya sebagai panel undangan dalam program Wacana Intelektual, HPU914, hari ini. -HARAKAHDAILY 13/9/2019

SUDAH ada tuduhan-tuduhan dan serangan-serangan di luar sana yang menuduh bahawa Himpunan Penyatuan Ummah ataupun HPU 914 ini akan menjurus kepada proses Talibanism iaitulah ingin menjadikan kuasa politik Melayu Islam menjadi suatu kuasa yang ekstrem dan melampau.

Dan ada juga tuduhan-tuduhan dan juga serangan-serangan yang menyatakan bahawa HPU 914 ini akan membawa negara kita kepada Hegemoni ataupun pemusatan kuasa politik Melayu Islam.

Saya ingin menjawab tuduhan dan serangan tersebut dengan mengemukakan beberapa perkara. Yang pertamanya ialah kita perlu lihat dari segi warisan peradaban masyarakat Melayu yang kemudiannya diperkukuhkan dengan sentimen dan juga pegangan keagamaan mereka.

Peradaban masyarakat Melayu ini sebagaimana yang kita maklum, mereka adalah masyarakat yang lemah lembut, masyarakat yang bertoleransi. Inilah warisan peradaban yang telah diwarisi oleh masyarakat Melayu Islam sejak berkurun-kurun yang lepas.

Oleh sebab itu, bila kita melihat masyarakat Melayu Islam apabila mereka bersatu, ia tidak akan mendatangkan kepada Hegemoni ataupun tidak akan mendatangkan kepada proses Talibanism.

Yang keduanya kita lihat dari segi aspek ataupun susur galur sejarah. Iaitu kewujudan PAS dan Umno. PAS dan Umno ini adalah parti yang sangat relevan daripada dahulu sehingga hari ini. Ia ditubuhkan sejak sebelum merdeka.

Umno ditubuhkan tahun 1946. PAS ditubuhkan tahun 1941. Apabila sahaja berlaku proses persefahaman ataupun proses kerjasama dan penyatuan di antara PAS dan Umno, lazimnya ia akan menjadi suatu dinamo yang menjana kepada perpaduan nasional.

Kita lihat dalam proses menuntut kemerdekaan. Walaupun tidak ada kerjasama rasmi di antara PAS dengan Umno, tetapi kedua-dua parti ini menuntut kemerdekaan, mengemukakan memorandum kepada suruhanjaya Reid bagi menggubal perlembagaan Persekutuan dan akhirnya kita lihat kita merdeka.

Kerjasama PAS dan Umno ini tidak membawa kepada Talibanism, tidak membawa kepada Hegemoni. Bahkan ia menjana kepada sebuah negara Malaysia yang makmur. Sehinggalah berlaku anasir-anasir yang menggugat kemakmuran itu, yang mahu merungkai tonggak-tonggak Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang berlaku pada tahun 1969, apabila tragedi 13 Mei berlaku 1969, sekali lagi PAS dan Umno, mereka duduk bersama dengan parti-parti seperti MCA dan MIC dalam kerajaan Persekutuan.

Kesatuan kerjasama PAS dan Umno dalam kerajaan campuran bersama dengan MCA MIC akhirnya melahirkan suatu Perpaduan Nasional. Wujud rukun negara, wujudnya suatu bentuk coallition yang mana menggabungkan parti-parti politik daripada Perlis sampai ke Sabah dan kita merasai kesatuan itu. Sehinggalah tahun 2018 apabila datang sekali lagi anasir-anasir yang pernah menggugat kestabilan dan keharmonian kaum seperti tahun 1969.

Hari ini, insyaAllah, kita sekali lagi menjana suatu bentuk perpaduan nasional yang diteraskan dengan kesatuan Ummah melalui kerjasama PAS dan Umno yang didukung oleh parti-parti politik yang menjadi komponen kepada BN dan juga komponen kepada Gagasan Sejahtera.

Yang ketiganya, walaupun piagam yang akan dimeterai ini adalah di antara PAS dengan Umno, tetapi ia melibatkan parti-parti komponen PAS bersama Gagasan Sejahtera, yang ada parti-parti seperti IKATAN. Di mana parti Ikatan ini parti yang multi racial, bersama dengan BERJASA.

Malah dalam PAS sendiri, kami ada Dewan Himpunan Penyokong PAS yang terdiri daripada pelbagai kaum termasuk kaum Iban, Kadazan Dusun di Sabah. Ini adalah merupakan komponen Gagasan Sejahtera.

Manakala komponen BN, masih ada entiti yang kuat, iaitulah MIC dan MCA. Kerjasama di antara PAS dan juga Umno ini, ianya juga merupakan kerjasama di antara Gagasan Sejahtera dengan BN yang sekali gus akan menjana kepada suatu perpaduan nasional yang lebih mantap sebagaimana kita pernah menghadapi tragedi 13 Mei sebelum ini. Maka kita menerokai semula kepada perpaduan nasional yang lebih mantap.

Dan yang terakhirnya, kita lihat dalam konteks demografi, iaitulah masyarakat Islam di negara ini merangkumi lebih 65 peratus daripada penduduk negara. Dan masyarakat Melayu bersama dengan golongan Peribumi merangkumi hampir 70 peratus komposisi rakyat dalam negara kita.

Apabila kita mahu mencapai perpaduan nasional, maka majoriti kaum yang majoriti iaitulah umat Islam 65 peratus, Bumiputera hampir 70 peratus. Kaum ini perlu disatukan dahulu. Bagaimana mungkin ada perpaduan nasional sekiranya kaum yang majoriti dipecah perintah? Bagaimana mungkin ada perpaduan nasional sekiranya kaum yang majoriti golongan yang menjadi teras yang penting kepada pembentukan keharmonian kaum ini, golongan ini dihalang daripada membuat kerjasama.

Jadi saya nak sebut kepada sahabat-sahabat rakyat Malaysia di luar sana, bahawa HPU914 ini sekali lagi akan menjadi dinamo untuk menjana perpaduan nasional. Ayuh mari kita pergi ke HPU914 bergerak ke sana mulai daripada hari ini, insyaAllah esok kita akan memeterai suatu piagam yang sangat bersejarah yang akan sekali lagi menjana perpaduan nasional selepas daripada ini.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat - HARAKAHDAILY 13/9/2019