EKORAN siri-siri provokasi yang mencabar sensitiviti umat Islam kebelakangan ini, seharusnya kita meneliti perkara sedang diagendakan oleh Amerika ke atas negara-negara sasaran mereka.
 
Globalisasi
 
Kita sedang melalui peperangan era baharu yang memungkinkan kuasa asing masuk secara terbuka ke dalam sesebuah negara. Amerika memainkan peranan itu demi melebarkan pengaruh ideologi dan budaya yang melibatkan kepentingannya. Antara ciri negara yang menjadi sasaran mereka adalah:
 
• Negara umat Islam
• Mempunyai sumber kekayaan yang banyak
• Kedudukan yang strategik
 
Color Revolution
 
Ia merupakan pendekatan yang dianggap paling murah dan kurang berisiko ke atas negara pemain (baca Amerika). Pada masa yang sama mudah memanipulasi massa dengan kempen yang ‘trendy’. Anasir-anasir Amerika bebas masuk ke negara sasaran mereka atas nama demokrasi.
 
Sementara itu, keseragaman warna dijadikan sebagai simbol kempen mereka. Seterusnya menampakkan ramainya pengikut mereka apabila yang berhimpun semuanya seragam mengenakan pakaian berwarna sama.
 
Lantas lahirlah komuniti masyarakat yang berkiblatkan Amerika. Jika berbicara soal hak, kebebasan, gaya hidup maju, politik dan ekonomi, maka Amerikalah yang menjadi qudwah mereka.
 
Mereka hilang akal dengan melupakan bahawa Amerikalah yang bertanggungjawab menceroboh negara umat Islam dan membunuh umat Islam atas pertuduhan yang direka-reka.
 
Dana dan Latihan
 
Dalang projek Revolusi Warna tidak perlu turun ke lapangan rakyat. Sebaliknya mereka hanya perlu menyuntik dana serta latihan kepada entiti-entiti masyarakat yang dilihat berpotensi dan berpengaruh.
 
Prospek utama projek ini adalah anak muda, memandangkan anak muda adalah golongan yang bersemangat, vokal, jarang berfikir panjang dan mudah diperalatkan. Seterusnya NGO-NGO dan parti-parti politik.
 
Di sinilah kita akan bertemu dengan badan-badan yang berperanan memasarkan dasar Amerika. Seperti NED (National Endowment Of Democracy) yang terang-terangan menyatakan di laman webnya tentang aktiviti pembiayaan ke atas beberapa NGO di serata dunia termasuklah Malaysia.
 
Selain dari itu, badan seperti International Republican Institute (IRI), International Democratic Institute (IDI) dan International Centre Of Non Violent Conflict (ICNC) turut memainkan peranan.
 
Hangat juga diperbahaskan dalam wacana-wacana Barat, bahawa Revolusi Warna didalangi oleh George Soros yang menyediakan dana yang banyak kepada proksi-proksi Amerika.
 
Pendekatan
 
Tipikal gaya mereka beroperasi adalah dengan memanipulasi slogan rakyat. Seolah-olah agenda mereka disokong oleh keseluruhan rakyat. Seterusnya diangkat slogan-slogan yang simplistik, agar mudah meraih sokongan orang ramai yang malas berfikir. Mereka mencipta arus.
 
Walaupun tidak menggunakan kekerasan fizikal, tetapi gemar mengaplikasikan kaedah provokasi atas alasan ia adalah ekspresi kekecewaan terhadap diskriminasi yang sedang berlaku. Lantas mewujudkan kekacauan dalam pelbagai bentuk.
 
Ini semua dibuat demi mewujudkan senario yang serba tidak stabil dalam negara. Terhasillah sikap totalitarian versi ‘golongan tertindas’. Sesiapa yang tidak bersetuju dengan mereka akan dinaratifkan sebagai tidak demokratik lagi membelakangkan kemahuan ‘rakyat’.
 
Ditambah lagi dengan propaganda media baharu yang turut menerima dana dari luar, mengolah sokongan kelihatan amat organik. Sedangkan ia hanyalah propaganda yang boleh direka.
 
Warna Yang Sinonim
 
Mereka menggunakan warna sebagai syiar identiti kempen yang dibawa. Kebanyakkan warna yang dipilih amat mudah dikaitkan dengan unsur-unsur baik, yang agak sukar dinegatifkan.
 
Sebagai contoh warna ungu yang sinonim dengan gerakan Feminisme. Perjuangan yang kononnya membebaskan wanita dari menjadi mangsa diskriminasi masyarakat tradisi. Tidak seperti merah jambu, warna ungu turut ‘ngam’ dipakai oleh lelaki.
 
Warna jingga pula sinonim dengan perjuangan Liberalisme yang cuba dijelmakan dengan nafas baharu. Seperti yang dipersembahkan oleh buku The Orange Book, Reclaiming Liberalism terbitan Liberal Democrats pada 2004.
 
Begitu juga bendera pelangi, merupakan lambang rasmi bagi gerakan LGBT seluruh dunia. Kita dapati kebelakangan ini, syarikat-syarikat gergasi mengambil langkah berani mempromosikan LGBT. Terdahulu syarikat kereta Honda, yang terkini pula syarikat minyak Shell. Mereka cuba memecah tembok agama dan tradisi ketimuran yang subur di Malaysia.
 
Normalisasi Gaya Hidup Haiwan
 
Siri-siri provokasi seperti yang kita saksikan pada hari ini adalah bertujuan untuk membiasakan masyarakat agar menerima budaya Barat yang serba songsang. Mereka tahu, pada peringkat awal pasti mendapat tentangan keras.
 
Proses ini akan diulang-ulang sehinggalah masyarakat kita lali. Maka ketika itulah, mereka bakal meraih kejayaan merosakkan generasi baharu yang sejak awal kelahiran telah melihat kempen songsang tajaan Amerika.
 
Kepekaan
 
Inilah antara sudut yang amat perlu diperhalusi oleh pemain-pemain politik agar tidak terjerat. Jika tidak berwaspada, permainan ‘Soft Power’ bawaan Amerika menyebabkan kita turut didorong untuk bersama menjayakan agenda asing mereka.
 
Topik ini bukan teori konspirasi, tetapi isu penting yang hangat dibincangkan dalam wacana politik dunia. Walaupun cukup terlambat, namun menyedarinya hari ini jauh lebih baik daripada terus merasa selesa seolah-olah musuh tidak berbuat apa-apa.
 
Padanlah Allah berpesan agar jangan mudah terpengaruh dengan slogan yang kelihatan baik, hakikatnya serba merosakkan:
 
“Apabila diseru kepada mereka, janganlah kamu melakukan kerosakan di atas muka bumi. Mereka menjawab “Sesungguhnya kamilah golongan reformis”. Ketahuilah sesungguhnya mereka golongan perosak, sedangkan mereka tidak sedar.” (al-Baqarah 11-12)
 
USTAZ ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
 

 

PAS menggerak misi kemanusiaan ke Kem Pelarian Balokhali, Cox’s Bazaar, Bangladesh bagi menghulur bantuan kepada pelarian Rohingya.

Delegasi itu diketuai Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Turut serta Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Salleh dan Pengarah PASRelief, Muhammad Sanusi Md Nor.

Misi kemanusiaan terbabit akan berada Bangladesh bermula hari ini sehingga Jumaat depan.

Misi kemanusiaan itu turut disertai Kumpulan Aktivis Media Independent (KAMI) Terengganu yang akan membuat liputan bersama delegasi PASRelief dan Harakah.

Timbalan Pengerusi KAMI, Sazali Mohd Noor berkata KAMI Terengganu terpanggil untuk sama-sama mengambil tanggungjawab terhadap nasib menimpa umat Islam Rohingya.

Katanya, penindasan, penderitaan dan pembunuhan terancang oleh junta tentera Myanmar terhadap kaum Rohingya sejak beberapa dekad lalu sekarang semakin serius.

“Badan-badan dunia seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) harus bangkit bagi menangani nasib umat Islam Rohingya itu.

“Malangnya dunia seperti tertutup, pekak dan membisu kerana mungkin sumber maklumat berita yang terhad serta kurang dipeduli mereka,” katanya. - HARAKAHDAILY 9/10/2017

KAMI berpendapat bahawa pendekatan PM Malaysia DS Najib terhadap mengukuhkan agenda ekonomi Amerika Syarikat (AS) adalah salah dan perlu diperbetulkan.

Mengetahui agenda dan sikap Donald Trump yang penuh kontroversi di AS itu sendiri, menawarkan pelaburan besar Malaysia di AS untuk mengukuhkan ekonomi negara itu tidak sepatutnya dilakukan.

AS kini mempunyai imej yang tidak baik di mata dunia. Trump berdepan kritikan yang masih kuat dari rakyat AS sendiri terhadap pelbagai dasar dan pengumuman yang beliau bangkitkan.

Ketidaktentuan polisi adalah antara ciri yang ditunjuk oleh Trump dan ini dizahirkan ramai penganalisis di AS sendiri. Pengerusi Rizab Persekutuan, Alan Greenspan sendiri mulai menyatakan kerisauan terhadap cara kepimpinan Trump yang akan memberi risiko kepada ekonomi AS.

Prinsip "rule of law" dalam ekonomi pasaran nampaknya goyah di bawah Trump.
Ucapan dan komen spontan President Donald Trump menimbulkan persoalan mengenai apakah beliau menghormati prinsip ini.

Setelah menyerang kehakiman mengenai larangan beliau keluar negara awal tahun ini, memecat pengarah FBI yang menyiasat kempen Trump dalam pilihan raya Presiden AS dan membuang Peguam Negara, penganalisis di AS mulai khuatir bahawa AS bakal menerima implikasi buruk dengan gaya kepimpinan Trump.

Dengan menunjukkan hubungan tegang dengan sistem keadilan di AS serta meningkatkan komitmennya di luar AS, beliau mendedahkan AS kepada sekurang-kurangnya dua risiko.
Pertama ialah keyakinan pelabur kepada AS. Kedudukan politik beliau yang maseh sarat dikelilingi krisis kepercayaan termasuk campur tangan anaknya dalam hubungan dengan Russia ketika piliharan raya Presiden AS.

Jelas, urusan ekonomi dan perkembangan politik di AS sukar diasingkan. Kejutan besar boleh sahaja berlaku kepada ekonomi AS akibat siasatan yang maseh berterusan melibatkan Russia dan kemenangan Trump dalam pilihan raya Presiden AS yang lalu.

Kedua, ialah status AS sebagai pemimpin ekonomi dunia mulai tergugat. Trump berdepan dengan kesangsian pemimpin-pemimpin ekonomi negara maju yang lain akibat beliau tidak menunjukkan komitmen yang jelas dalam pelbagai perjanjian antarabangsa yang dimenterai sebelum beliau menjadi Presiden.

Trump akan berhadapan dengan Kongres yang didominasi oleh Republikan sama ada tindakannya menutup siasatan terhadap Russia berkemungkinan dibantah oleh ahli partinya sendiri.

Ketidakstabilan politik dan dasar yang tidak konsisten akan menjejaskan pelaburan global. Robert Zoellick, bekas Presiden Bank Dunia dan ramai pengamat antarabangsa sangat khuatir dengan sikap dan arah berfikir Trump mengenai polisi ekonomi AS.

AS dilihat oleh dunia sekarang sebagai tidak konsisten, malah sedang berkrisis dengan sistem mahkamahnya, agensi inteligennya serta Jabatan Keadilan negara sendiri. Rakyat AS tidak tahu bagaimana hendak mengikuti perubahan yang dibawa oleh Trump.
Malah penganalisis ekonomi melihat ini sebagai suatu peluang untuk pesaing AS seperti China mengambil alih tempat AS.

AS yang dilihat selama ini sebagai kuasa terpenting untuk terlibat mengatasi pelbagai masalah global seperti keselamatan, kesihatan awam, perlindungan alam sekitar dan bantuan kemanusiaan kini menjadi tandatanya. Ini akan mengakibatkan kos kepada rakyat AS bila AS memporakperandakan ekonomi global.

Trump sudah sampai ujian tempoh satu tahun sebagai Presiden. Apakah Trump bersedia meningkatkan had hutang negara hujung tahun ini. Jika beliau gagal untuk berbuat demikian maka taraf kebolehpercayaan kredit AS akan terjejas dimata dunia dan golongan korporat di AS.
Kongres Republikan kini sudah memperlihat keberatan untuk mengambil langkah tersebut dan Rumah Putih nampaknya tidak mempunyai strategi yang jelas dalam isu tersebut. Isu tebesar ialah keupayaan AS membayar hutang dalam krisis ekonomi.

AS sekarang dilihat oleh dunia sebagai kuasa yang tidak lagi boleh dipercayai atau boleh disandar. AS kehilangan kepercayaan dari dunia dan dengan itu statusnya sekarang sangat goyah.

Dengan menemui bukti-bukti baru terhadap siasatan mengenai kempen Trump berkait dengan hubungan dengan Russia ketika kempen Presiden AS berlangsung, jelas, Presiden AS ini bakal berdepan dengan krisis kepercayaan yang besar terhadapnya. Dalam hal ini beliau membayangkan cara beliau menyelesaikan isu ini dalam twitternya "complete power to pardon" (kuasa penuh untuk mengampun).

Dalam kondisi semua ini, kami melihat pelaburan besar yang dilulus oleh PM untuk KWSP dan Khazanah menambah pelaburan di AS adalah tidak tepat. Mungkin beliau telah mendapat nasihat dari para pakar pelaburan untuk menawarkan cadangan Malaysia untuk memperkukuhkan ekonomi Amerika, namun dalam keadaan ekonomi negara sendiri tidak kukuh, apakah wajar Malaysia pula yang mahu membantu ekonomi Amerika.

Banyak nasihat pakar kepada PM seperti penubuhan beberapa agensi pelaburan sudahpun berdepan dengan krisis hutang yang besar.

Persoalan yang lebih besar ialah untuk apa wang awam seperti KWSP dan Khazanah dikeluarkan ke negara luar sedangkan negara sendiri sedang berada dalam keadaan defisit bajet yang kritikal.

MOHD AZMI ABDUL HAMID
Pengerusi Kongres Rakyat

 

undipas

TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man mengajak dan menyeru masyarakat untuk mendaftar sebagai pemilih dalam usaha untuk menukar kerajaan yang sedia ada supaya negara akan ditadbir dengan lebih baik dan kebajikan golongan miskin terbela.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Semarak Kasih Ramadhan yang merupakan program tahunan Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat.

Turut hadir Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat, Dr Rosni Adam,  Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Noor Mohamad dan Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Selangor, Dr Rani Osman.

Acara tahunan itu diadakan bertujuan untuk meraikan golongan miskin, gelandangan dan orang ramai di sekitar Lorong Haji Taib berhampiran Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, petang semalam.

Walaupun telah memasuki tahun yang kesembilan diadakan, Semarak Kasih Ramadhan terus mendapat sambutan dan perhatian daripada orang ramai di sekitar Kuala Lumpur khususnya sekitar Jalan Raja Laut.

Sekitar 300 orang pengunjung pelbagai kaum dan agama hadir di majlis itu dan menerima sumbangan daripada Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat.

“Yang kaya terus kaya, manakala yang miskin dipinggirkan sedangkan terlalu ramai golongan yang miskin. Sebaiknya kekayaan itu dikongsi bersama agar semua orang medapat manfaat daripadanya,” ujar Tuan Ibrahim.

Beliau juga mengajak masyarakat yang hadir untuk sama-sama mendoakan PAS agar dapat memerintah Malaysia dengan jaya pada suatu hari nanti. - HARAKAHDAILY 19/6/2017

 

PASCA muktamar PAS kali ke-63 menyaksikan keseronokan dan kerisauan ahli berbicara tentang kepimpinan PAS, pelbagai ulasan telah dibuat dan dibicarakan secara terbuka tentang kepimpinan, termasuk AJK lantikan. Begitu juga dengan kepimpinan di peringkat Perhubungan PAS negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan, semuanya diartikulasi, dibedah serta diberi markah oleh ahli-ahli jamaah mahupun pencandu politik. Di zaman siber dengan maklumat di hujung jari ini seperti menyembunyikan anak gajah dalam tudung saji mengkuang, segalanya terdedah dengan hanya beberapa hitungan detik. Dalam PAS, jauh berbeda budaya memilih pemimpin dengan parti-parti politik konvensional yang lain, ingin menonjolkan diri sebagai pemimpin maka sebelum langkah sembah akan terguling disepak ahli dan perwakilan. Ahli-ahli benci dengan budaya melobi dan berkempen serta dilihat bernafsu untuk memegang kuasa. Menjadi pemimpin jamaah Islam ini bermakna menggalang amanah yang cukup berat. Amanah kepimpinan yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan sang Pencipta, maka pimpinan PAS di semua peringkat wajib bercermin dan menilai diri.

Menurut Mustafa Masyhur dalam bukunya ‘Jalan Dakwah Antara Qiyadah dan Jundiyyah’, kepimpinan dalam jama’ah Islam, natijahnya besar dan amanahnya berat oleh kerana beberapa sebab yang akan kita sebut setengahnya darinya. Menjadi kemestian kepada setiap individu dan pemimpin untuk sama-sama merasakan natijah yang besar serta amanahnya yang berat itu untuk menghasilkan kerjasama dalam memikul bebanan tersebut secara bersama.

Natijah yang besar disebabkan luasnya bidang kerja berserta berbagai cabangnya, kerana Islam adalah agama yang menyeluruh serta sempurna. Islam menyusun semua urusan hidup bagi individu, masyarakat dan negara serta dituntut supaya kita melaksanakannya dalam seluruh bidang hidup kita.

Tanggungjawab pemimpin besar dan berat disebabkan beratnya matlamat dan tujuan yang kita berusaha ke arahnya. Allah adalah sebagai matlamat, agama Allah di muka bumi adalah tujuan (dengan mendirikan kerajaan Islam yang sejagat yang diketuai oleh Khalifah). Amanah kepimpinan berat kerana luasnya medan kerja yang terus bertambah sehingga hampir merangkumi seluruh keluasan dunia.    

Tanggungjawab pemimpin besar kerana besarnya jumlah bilangan orang yang termasuk ke dalam tanggungjawabnya. Apatah lagi dengan kemasukan mereka yang terus bertambah dalam berbagai peringkat. Begitu juga dengan mereka yang telah sampai kepadanya dakwah dan berhajat kepada penyediaan, serta merta yang tidak sampai kepadanya dakwah hendaklah dilaksanakan supaya dakwah mesti disampaikan kepada mereka.

Amanah kepimpinan berat kerana tanggungjawab pemimpin mengarahkan setiap anggota jama’ah dan memudahkan punca-punca kerja dan hasilnya dalam bidang dakwah untuk mereka. Pemimpin bertanggungjawab mengenai cara pengambilan faedah yang baik dari semua keupayaan tersebut untuk amal Islami.

Amanah kepimpinan berat kerana besarnya natijah yang akan menyusul hasil pencapaian tujuan yang diusahakan oleh jama’ah. Kebaikan yang akan dicapai oleh kerana penetapan agama Allah tersangatlah besar di mana (dengan izin Allah) jangkauan ufuknya akan merangkumi sejagat dan jangkauan masanya akan meliputi genarasi manusia yang akan datang.

Amanah kepimpinan dalam jama’ah begitu berat dan besar oleh kerana banyaknya permasalahan dunia Islam yang mendesak dan saling berkaitan serta setiap permasalahan memerlukan kepada usaha dan jihad, memerlukan sumbangan dan pengorbanan. Tidak mungkin boleh diabaikan mana-mana masalah. Apa sahaja bantuan yang boleh mestilah diberikan iaitu dalam suasana keupayaan kita yang terbatas – kerana kita masih lagi menyeru ke arah kewujudan sebuah negara Islam – dan dalam keadaan harakah terdedah kepada tekanan, pemulauan serta tipu daya.

Amanah kepimpinan dalam jama’ah kita berat kerana orang Islam di medan sedang memerhatikan jama’ah kita sebagai tempat diletakkan cita-cita yang diharapkan untuk menyelamatkan mereka terhadap apa yang dialami dari suasana yang amat buruk, serta apa yang dialami, seperti pencabulan dan pembunuhan. Menjadi kewajipan ke atas jama’ah Islam dalam menyumbangkan segala daya usaha untuk menjadikannya berada di tahap kepercayaan yang diserahkan kepadanya dan dapat menghasilkan cita-cita yang diharapkan itu.

Amanah kepimpinan berat dan besar kerana panjangnya jalan dakwah di samping banyak halangan, banyak tempat kegelinciran serta liku-liku. Keadaan ini menuntut kebijaksanaan pemimpi untuk mengawal barisan dan menyebarkan semangat kesabaran serta membentuk jiwa yang tahan, pemimpin harus mampu membangkit semangat dan keazaman pengikut untuk melepasi halangan-halangan dan mengawal diri dari bahaya-bahaya yang menghalangi, serta juga perkara yang diperlukan untuk tujuan ini, seperti tarbiyyah, penyedaran yang berterusan, kesejahteraan barisan, dan istiqamah dalam fikiran.

Berdasarkan huraian yang dipetik daripada maestro gerakan Ikhwanul Muslimin ini maka semua peringkat pimpinan wajar untuk membetulkan jurus serta tapak langkah sembah. Ini penting agar gerakan Islam ini terpelihara daripada fitnah, berdaya saing untuk melangkah di medan operasi. PAS dengan nuansa politik dakwah,memerlukan pimpinan yang mendekatkan diri dengan Allah, menyintai masjid, tidak membina jarak dengan pengikut serta mengerah seluruh kudrat untuk perjuangan. Ahli-ahli jamaah diorientasikan oleh kepimpinan, maka kepimpinan yang bertaqwa akan melahirkan denai perjuangan yang menepati manhaj Rabbani. Jom kita bercermin! - HARAKAHDAILY 18/5/2017

Penulis ialah AJK Lujnah Tarbiah dan Perkaderan PAS Pusat.

DALAM kalangan masyarakat hari ini menganggap dakwah sebagai tanggungjawap yang digalas oleh seseorang yang bergelar ustaz. Dakwah dilihat sebagai “lambang Islam” yang hanya layak bagi golongan berjubah dan berkopiah, manakala bagi mereka yang bukan bergelar ustaz dikecualikan daripada kerja-kerja dakwah.
       
Namun begitu, tanggapan itu meleset daripada erti sebenar dakwah. Konsep dakwah boleh ditafsirkan sebagai sebuah program lengkap yang merangkumi semua ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh manusia bagi menjelaskan tujuan dan matlamat hidup supaya mendapat hidayah dan panduan daripada Allah. Seseorang pendakwah perlu memiliki beberapa kriteria dan ciri-ciri yang boleh menarik sasaran pendakwah.
       
Pertama, menyampaikan dengan hikmah (kebijaksanaan). Firman Allah SWT maksudnya: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.” (surah An-Nahl, 16: 125).

Perkara asas yang perlu dimiliki bagi seorang pendakwah adalah dengan menyiapkan diri dengan ilmu pengetahuan. Apabila kita menyeru manusia, menegur atau menasihati mereka, kita perlu ada persediaan dan persiapan ilmu. Jangan menegur manusia tanpa persiapan dan terus menghukum “Perbuatan kamu ini salah, cara berwuduk kamu salah”. Manusia akan bertanya mengapa salah. Jika kita memberi jawapan ustaz kita mengatakan salah, orang yang ditegur juga mempunyai ustaz, ustaznya mengajar begitu. Sebab itu perlu adanya persediaan ilmu, setidak-tidaknya perlu memiliki beberapa fakta dan dalil yang difahami, dan dapat berhujah menggunakan alasan-alasan tersebut. Janganlah pula berhujah secara semberono.

Kedua, mempunyai kemahiran. Kemahiran ialah kecekapan dan kebijaksanaan dalam melakukan sesuatu. Kemahiran perlu disandarkan dengan ilmu pengetahuan supaya dapat mengawal dan menyusun strategi untuk menyebarkan dakwah. Kadangkala seseorang yang memiliki ilmu yang tinggi tetapi tidak mampu menyampaikan mesej dengan cara yang berkesan, seterusnya akan menyebabkan sasaran dakwah tidak sampai pada target yang sepatutnya. Antara kemahiran yang diperlukan bagi seorang pendakwah adalah kemahiran berhujah, pengucapan awam, menulis, bersosial, psikologi, interaksi dan komunikasi.

Ketiga, menggunakan pemikiran kontemporari. Seorang pendakwah mesti melihat kepada situasi sekeliling dan keadaan semasa. Dia harus mengambil kira kepelbagaian sikap, perangai dan jiwa sasaran dakwah. Maka sudah pasti cara pendekatan yang berbeza mengikut target sasaran. Selain itu, hindari cara berfikir yang mudah menghukum orang lain. Permulaan dakwah seharusnya dengan tindakan yang bijak. Satu persatu masalah perlu dianalisis dan ditafsir dengan pemikiran yang segar. Tidak bersifat menghukum tetapi mencari penyelesaian.

Terakhir, menasihati sebagai seorang kawan rapat. Sisi pandangan sindir atau serong kepada sasaran dakwah adalah satu “langkah sumbang” yang perlu dielakkan bagi setiap pendakwah. Cara melihat sebegini akan mempengaruhi cara pendekatan pendakwah dalam menyampaikan mesej kepada kumpulan sasaran. Akhirnya mereka lari dan menimbulkan ketengangan antara kedua-dua pihak. Oleh itu, seorang pendakwah perlu menggunakan pendekatan yang boleh memberi ruang yang selesa kepada mereka untuk meluahkan tanpa malu dan segan. Kesannya, mereka akan menjadikan pendakwah tersebut sebagai teman rapat yang boleh dipercayai dan senang diajak berbincang.
       
Tuntasnya, tugas pendakwah bukan dilihat dari pemakaiannya sahaja tetapi dilihat melalui kriteria dan personaliti yang disebutkan di atas. Usaha ini bukanlah tertumpu kepada golongan ustaz dan ustazah sahaja, akan tetapi masyarakat sekeliling juga turut mengambil bahagian dalam melaksanakannya. Kemenangan dalam peperangan bergantung kepada strategi yang diatur, begitu juga dengan berdakwah. Sekiranya tindakan lebih pantas daripada berfikir, maka usaha itu bagaikan mencurah air ke daun keladi. – HARAKAHDAILY 6/4/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia

SUNGAI BULOH: PAS Kawasan Sungai Buloh meminta Kerajaan Negeri Selangor bersikap perikemanusiaan dengan tidak sewenangnya meroboh rumah penduduk tanpa menyediakan alternatif yang sebaiknya.

Yang Dipertua PAS Sungai Buloh, Ustaz Zaharudin Muhammad berkata, pihaknya serta penduduk tidak sesekali menyekat pelaksanaan projek pelebaran Sungai Kedondong sebagaimana yang dicadangkan.

“Kami sebagaimana penduduk bukan berhasrat untuk menuntut pemilikan tanah yang akan diambil untuk perluasan sungai demi kepentingan awam.

“Tuntutan penduduk untuk menangguhkan perobohan sehingga anak-anak selesai menghadapi peperiksaan PT3, PSRA, SPM dan lain-lain adalah satu tuntutan kemanusiaan.

“Perobohan yang dilakukan semalam sangat mengganggu masa depan anak-anak yang menghadapi peperiksaan untuk mencorak masa depan mereka,” katanya dalam sidang media di Paya Jaras Hilir, di sini hari ini. Turut hadir sama, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Salleh, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Hanafi Zulkapli dan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Sungai Buloh, Siti Rohaya Ahad.

Jelasnya, perobohan juga dilakukan tanpa ada perancangan susulan seperti penyediaan rumah persinggahan sementara sehingga penduduk terutama kanak-kanak terpaksa merempat dalam khemah terbuka serta terdedah kepada jerebu, hujan dan sebagainya.

Menurutnya, penduduk kini menuntut janji Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Mohd Khairuddin Othman yang berjanji akan mempertahankan penduduk daripada rumah diroboh, sehingga mereka berasa berhak untuk kekal menetap di tanah tersebut.

“Mereka (penduduk) adalah warganegara Malaysia pemegang kad pengenalan biru, bukan pendatang asing yang menceroboh tanah kerajaan sebagaimana dakwaan setengah pihak.

“Terdapat penduduk yang mempunyai geran sementara pajakan 99 tahun. Namun apabila ditanya kepada pegawai terlibat mengatakan bahawa rumah mereka di luar daripada geran yang diberikan,” ujarnya.

Berikutan itu, katanya perkara itu juga dipertikaikan oleh pihaknya dengan meminta bukti dan laporan menyatakan rumah penduduk di luar daripada geran.

Bagaimanapun, pihaknya tidak menjadikan perkara itu sebagai keutamaan, sebaliknya tuntutan kemanusiaan sehingga roboh rumah tanpa sebarang alternatif kepada penduduk.

Setakat ini, sebanyak 67 buah rumah telah dirobohkan daripada 92 rumah yang dimaklumkan akan diroboh.

Purata lebih 250 orang penduduk yang terjejas kini ditempatkan di bawah khemah sementara yang dibina atas ehsan warga setempat tanpa kemudahan asas seperti tandas, tempat salin pakaian tertutup dan sebagainya. – HARAKAHDAILY 19/9/2019

SB1

SB2

PAS telah dipaparkan secara tidak betul sebagai sebuah parti yang ekstremis kerana desakan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man supaya forum Naratif Malaysia Baharu disiasat.

Pihak yang mengkritik menyebut kononnya PAS sebuah parti yang teruk kerana mengganggu kebebasan golongan Kristian untuk beragama sedangkan majlis di gereja itu didakwa hanya untuk penganut Kristian.

Herman Shastry dari Majlis Gereja Malaysia (CCM) dan Steven Sim dari DAP pula mendakwa forum itu tidak bertujuan politik tetapi hanya untuk menyemai rasa kasih kepada negara sempena Hari Malaysia.

Ini 5 soalan daripada saya kepada mereka:

1.    Tidak bertujuan politik dan mahu menyemai rasa kasih kepada negarakah bila panelis forum itu mempersoalkan buku teks sejarah yang kononnya mengandungi terlalu banyak elemen Islam?

2.     Tidak bertujuan politik dan mahu menyemai rasa kasih kepada negarakah bila panelis forum itu mempersoalkan buku teks sejarah yang menyebut mengenai Malaysia negara asal orang Melayu dan orang Melayu mempunyai kedudukan istimewa dalam negara ini?

3.     Tidak bertujuan politik dan mahu menyemai rasa kasih kepada negarakah bila panelis forum itu mempersoalkan buku teks sejarah yang menyebut Perikatan adalah pihak yang memerdekakan negara ini?

4.     Tidak bertujuan politik dan mahu menyemai rasa kasih kepada negarakah bila panelis forum itu menganjurkan supaya buku teks sejarah diubah bagi memasukkan elemen Kristian di dalamnya?

5.     Tidak bertujuan politik dan mahu menyemai rasa kasih kepada negarakah bila panelis forum itu mendakwa tanpa memberi sebarang bukti bahawa orang Melayu telah lama menerima Kristian dan Munsyi Abdullah adalah bapa Melayu Kristian moden?

Mohon pihak penganjur dan pihak panelis forum itu menjawab lima persoalan yang saya kemukakan ini.

Bagi saya, forum itu bertujuan politik dan menyemai bukan rasa kasih tetapi rasa benci sesama rakyat.

Oleh itu, sangat wajar sekali jika pihak penganjur dan pihak panelis forum itu disiasat oleh pihak polis.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas - HARAKAHDAILY 19/9/2019

ADA benarnya juga persoalan yang dilontarkan oleh Dr Kamarul Yusuf. Dalam forum bertajuk “Naratif Malaysia Baharu” (New Malaysia Narrative) di Mega Chinese Methodist Church pada 14 September 2019 yang lalu, Dr Lee Kam Hing dari New Era College mempersoal buku teks sejarah yang diguna pakai di sekolah dan di universiti sekarang dan mencadangkan agar diubah kerana:

(a)     Ia terlalu mengutamakan Islam di mana 5 daripada 10 bab dalam buku teks Sejarah Dunia Tingkatan 4 didakwa menyentuh mengenai sejarah Islam dan hanya 3 daripadanya yang menyentuh mengenai sejarah dunia.

(b)     Sebahagian daripada tenaga penting yang mencorakkan sejarah masa lalu dan sejarah sekarang telah ditiadakan, diubahsuai atau ditukar bagi menjadikannya selari dengan sejarah kedominanan Melayu Islam, di mana naratif sekarang memberikan terlalu sedikit perhatian kepada kehadiran dan peranan bukan Melayu.

Mengikut Dr Lee Kam Hing, satu perkara yang sangat perlu dimasukkan dalam buku teks sejarah yang diguna pakai di sekolah dan di universiti sekarang adalah sejarah Kristian kerana:

(a)     Kehadiran Kristian adalah satu bahagian penting daripada sejarah negara, khususnya sejarah Bumiputera Kristian.

(b)     Orang Kristian telah berada di Melaka sejak dari abad ke-15 sebelum kedatangan Portugis lagi.

(c)     Orang Melayu telah lama menerima Kristian di mana Munsyi Abdullah adalah dianggap umum sebagai bapa kepada Melayu Kristian moden.

(b)     Orang Kristian adalah sarjana peradaban Melayu.

Lebih menarik, pemberi ucapan utama dan pemberi ucapan penutup kepada forum “Naratif Malaysia Baharu” di Mega Chinese Methodist Church ini adalah dua pemimpin kerajaan dari DAP, iaitu Steven Sim Chee Keong yang merupakan Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan Michelle Ng Mei Sze yang merupakan ADUN Subang Jaya.

Steven Sim, yang juga merupakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, bercakap panjang lebar mengenai betapa indahnya “the Kingdom of God” dan mengenai betapa “the Kingdom of God” adalah satu misi yang tidak dapat dihalang.

Apabila forum ini dikritik oleh pelbagai pihak, Steven Lim DAP berkata bahawa ia adalah forum untuk warga Kristian sahaja. Ingatkah kita bagaimana pemerkasaan RUU355 yang hanya melibatkan orang Islam sahaja mendapat tentangan DAP dan persatuan Gereja?

Mengapa apabila orang Islam memperjuangkan hak beragama mereka yang disokong oleh perlembagaan mendapat penentangan hebat dari DAP? Apakah DAP menyokong misi the Kingdom of God seperti anjuran Kristian tersebut?

Sedarkah DAP bahawa Majlis Agama Islam Selangor pernah mengeluarkan satu risalah khas berhubung agenda Kristianisasi yang giat dijalankan di negara ini? Sila baca laporan MAIS:

http://www.mais.gov.my/info-mais/informasi/penerbitan/muat-turun/34-buku-pendedahan-agenda-kristian-completed/file

Semoga Allah memelihara kita semua.

DR AHMAD SANUSI AZMI - HARAKAHDAILY 19/9/2019

JOHOR BAHRU: Ketua Pemuda PAS Johor Negeri Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Mahfodz semasa sesi pertemuan bersama MIC Negeri Johor menyatakan kesediaan beliau menjadi 'juru cakap' demi mewujudkan Malaysia sejahtera.

"Jika ada ruang untuk beri penerangan kepada kaum India yang belum faham, saya sedia menjadi 'juru cakap', " katanya di Pejabat Perhubungan PAS Johor, di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika membincangkan isu politik di Johor bersama MIC memandangkan kerjasama antara dua parti ini serius untuk turut mendukung agenda Penyatuan Ummah.

Menurut Nawfal, beliau berharap agar para belia di luar sana dapat menyokong penyatuan ini yang jelas menafikan tohmahan 'rasis' PAS terhadap kaum lain.

Sementara itu, MIC Johor juga menyambut baik seruan pimpinan mereka yang mahu memastikan parti ini turut sama menjalankan kerjasama dengan PAS sehingga ke peringkat akar umbi.

Pengerusi MIC Johor, merangkap Adun Kahang, R. Vidyananthan turut mengucapkan tahniah kepada PAS atas kejayaan menandatangani Piagam Muafakat Nasional yang dipujinya sangat relevan dalam mengukuhkan lagi Perlembagaan Malaysia.

Turut menyatakan hasrat yang sama, wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS, Kumutha Raman yang berharap agar rakyat dapat sama-sama mengambil berita baik ini sebagai peluang untuk mengembalikan 'Malaysia yang sebenar'.

Dalam perkembangan lain, Nawfal berkata, pihaknya turut menjalin hubungan baik dengan MCA dan BERJASA.

"Hubungan kami sesama Ketua Pemuda parti bukan kerajaan di Johor sudah terjalin termasuk MCA dan BERJASA, tapi pertemuan secara formal belum lagi. Insya-Allah menyusul selepas peringkat perhubungan dijangka Oktober," ulasnya.

Turut hadir ke perjumpaan tersebut, Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin bersama kepimpinan PAS Johor, wakil Muslimat dan 18 orang wakil MIC. - HARAKAHDAILY 19/9/2019

IMG 20190919 WA0010

IMG 20190919 WA0011

JOHOR BAHRU: PAS Negeri Johor menerusi Jabatan Pilihan Raya PAS Johor telah mengadakan lawatan ke Pejabat Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor, di Wisma Persekutuan, di sini kelmarin.

Lawatan diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin bersama Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Johor, Dr Karim Deraman itu diraikan oleh Pengarah SPR Johor, Shafie Taib bersama beberapa pegawainya.

Perbincangan dua hala antara pihak PAS Johor bersama SPR yang berlangsung selama hampir dua jam telah membincangkan pelbagai isu pilihan raya termasuklah kerjasama antara PAS dan SPR.

Antaranya untuk mendaftarkan pengundi baru di negeri ini sahaja lebih dari 400,000 layak mengundi tetapi belum mendaftar, ditambah lagi lebih 300,000 pengundi muda berumur 18 tahun juga bakal layak mengundi.

Menurut Shafie, beliau bersedia menyediakan para petugas SPR untuk memberi kursus kesedaran pilihan raya ke sekolah-sekolah di seluruh negeri itu, termasuk sekolah swasta.

Berhubung dengan pendaftaran pengundi secara automatik pula, menurut beliau, ia memakan masa lebih setahun untuk dilaksanakan kerana melibatkan urusan Jabatan Pendaftaran Negara.

Pimpinan PAS Johor yang turut hadir dalam perjumpaan itu ialah Timbalan Pesuruhjaya, Roslan Nikmat dan Bendahari, Sallehuddin Md Dahiran, serta Ketua Penerangan Rusman Kemin.

Juga Ketua Dewan Ulamak, Ustaz Azlisham Azahar dan Naib Ketua Dewan Muslimat, Sabariah Mohd Amin serta Ketua Dewan Pemuda, Ustaz Ahmad Nawfal Mahfodz.

Sementara itu, Rusman Kemin menyifatkan pertemuan tersebut sebagai kecaknaan PAS Johor terhadap perubahan dan pelaksanaan polisi baru SPR berkenaan perlaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik.

Menurut Rusman, perbincangan dua hala di Wisma Persekutuan Johor Bahru semalam memberi peluang kepada PAS Johor membina hubungan baik dengan SPR di samping mengetahui pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik tersebut.

Sementara itu, menurut Ustaz Ahmad Nawfal, pihaknya turut memberi galakan agar sistem daftar pemilih secara manual diteruskan semasa sesi perbincangan, kelmarin.

Maklum beliau, sistem pendaftaran automatik ini akan melibatkan seramai 700,000 pendaftar undi di Johor sahaja tidak termasuk negeri-negeri lain.

Serius dengan cadangan meneruskan daftar pemilih secara manual, beliau berhasrat agar pihak SPR dapat membuat penelitian lanjut berhubung isu ini dan PAS Johor sedia bekerjasama dengan SPR. - HARAKAHDAILY 19/9/2019

KETIKA PAS mula bertahaluf dengan DAP pada tahun 1999, saya adalah Exco Dewan Pemuda PAS Pusat. Dalam pertemuan-pertemuan dengan Pemuda DAP yang diketuai oleh Teng Chang Kim, mereka menyatakan bahawa DAP adalah sebuah parti yang memperjuangkan Social Democracy, justeru mereka tidaklah sebuah parti ekstrem perkauman (Cina) atau Chauvinis. Bagaimanapun selepas DAP ditolak oleh pengundi-pengundi Cina dalam PRU ke-10 tahun 1999, DAP dilihat semakin kuat bermain isu-isu perkauman sehingga menarik diri keluar dari Barisan Alternatif (BA) pada tahun 2001.

Sebelum DAP keluar daripada BA, mereka telah menggariskan lima formula supaya keanggotaan mereka dalam BA terus kekal. Salah satu formula yang digariskan ialah, "sebarang usaha oleh mana-mana parti komponen untuk mengejar pengwujudan sebuah negara Islam, negara Buddhist atau negara Kristian adalah bertentangan dengan Manifesto BA". Formula tersebut telah ditolak dengan tegas oleh PAS yang ketika itu dipimpin oleh Ustaz Fadzil Noor sehingga menyebabkan DAP menarik diri. DAP tidak mahu mengaitkan politik Malaysia dengan mana-mana agama kerana termaktub dalam Perlembagaan DAP memperjuangkan sekularisme.

Selepas parti-parti pembangkang berjaya mencapai kemenangan di beberapa negeri, DAP kembali untuk menyertai gabungan pembangkang yang kemudiannya dinamakan Pakatan Rakyat (PR). Semasa PAS bertahaluf dengan DAP dalam PR, saya terlibat hampir dalam semua jawatankuasa-jawatankuasa bersama untuk menyiapkan dokumen rasmi PR seperti Buku Jingga, Manifesto Pilihan Raya dan lain-lain. Dalam kebanyakan dokumen-dokumen tersebut, DAP secara zahir memperakui mempertahankan keempat-empat tonggak Perlembagaan Persekutuan termasuk memperakui Islam adalah agama negara (the Religion of the Federation).

Bagaimanapun, saya memerhatikan perakuan zahir DAP itu hanyalah untuk mengaburi PAS. Mereka terus menyokong tuntutan-tuntutan pelbagai pihak yang sebenarnya akan menghakis kontrak sosial dan meruntuhkan tonggak-tonggak Perlembagaan Persekutuan. Malah lebih dahsyat daripada itu DAP mula diresapi oleh fahaman Pelampau Kristian yang dikenali sebagai Evangelical Christian atau Dominionism. Ramai pemimpin-pemimpin muda DAP mula menzahirkan fahaman ini. Kemuncaknya pasca PRN Sarawak 2011, didedahkan oleh bekas ahli DAP, Razali Abdul Rahman, fahaman ini mahu merombak Islam sebagai agama negara.

Fahaman Pelampau Kristian ini tidak seiring dengan aliran-aliran Kristian yang sedia ada di negara Malaysia, yang tidak mahu terlibat dengan kancah Politik Malaysia. Penyebaran fahaman Pelampau Kristian ini telah didedahkan antaranya oleh Iain Buchanan dan Haji Abdul Karim Omar. Buku yang diterbitkan oleh Buchanan bertajuk “Sang Nila Utama and the Lion of Judah” pada tahun 2015 mendedahkan tentang kaitan DAP dengan fahaman ini. Lim Kit Siang dalam blognya pada 19 Februari 2016 menuduh buku tulisan Buchanan itu satu penipuan sepertimana berikut:

There are allegations that a meeting was held in Penang to formulate the objective of a Christian Malaysia, there are people who put up a picture of the DAP as an evangelical party, there is a new book entitled “Sang Nila Utama and the Lion of Judah” which is very serious and wicked attack that there is a conspiracy in the country to evangelise Malaysia, and the DAP is somehow part of it.

Tuduhan buku itu diakui sangat serius oleh Lim Kit Siang, tetapi DAP sendiri dilihat tidak berani untuk menjawab tuduhan tersebut. Beberapa hari lepas, seorang pemimpin muda DAP, Steven Sim Chee Kiong, mengaku secara terbuka dalam forum bahawa dia berjuang untuk menegakkan The Kingdom of God dan merealisasikan Jesus Manifesto di negara ini. Di dalam buku “A New Christian Manifesto” tulisan Bob Ekblad serta “Jesus Manifesto” tulisan Leonard Sweet dan Frank Viola, kedua-dua kata kunci tersebut begitu rapat dengan fahaman aliran Kristian yang mahu menguasai dunia seperti yang diperjuangkan oleh Evangelical Christian dan Dominionism.

Sehubungan dengan itu, saya mencabar Lim Kit Siang supaya memecat pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli DAP yang jelas mempromosikan fahaman Kristian seperti ini. Fahaman Kristian seperti ini jelas bercanggah dengan ideologi DAP iaitu Social Democracy, malah Steven Sim sendiri menyebut dalam forum tersebut menentang ideologi Liberalisme, Sosialisme dan seumpamanya. Selain daripada itu, fahaman Kristian ini juga sangat bertentangan dengan ideologi Sekularisme yang dipertahankan oleh DAP, malah DAP seperti pada tahun 2001 tidak akan sesekali memperjuangkan negara Kristian. Lebih baiklah Kit Siang jaga kain sendiri. - HARAKAHDAILY 19/9/2019