KAMPAR: PAS Kawasan dan Umno Bahagian bagi Parlimen Kampar telah bersatu menganjurkan Sambutan Hari Malaysia yang telah dilangsungkan di Kampung Air Itam Labu, di sini kelmarin.

Ianya merupakan program julung kali kedua pihak selepas termeterainya Piagam Muafakat Nasional sebagai kesyukuran atas hubungan Penyatuan Ummah yang telah terjalin dan dibina.

Program bermula meriah dengan konvoi oleh anak muda Alternative Riding Club (ARC) yang mengiringi perasmi iaitu Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit ke tapak program tersebut.

Beliau turut bersama masyarakat pada Majlis Hi-Tea Hari Malaysia anjuran bersama PAS dan Umno Cawangan Taman Sejahtera, Bukit Pekan dan Air Itam Labu di Dewan Orang Ramai.

Turut hadir adalah wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS, Ganeson Munusamy bersama rakan-rakan masyarakat India dari sekitar Parlimen ini.

Ustaz Sabri dalam ucapannya menyeru agar masyarakat bersama dengan agenda Penyatuan Ummah dan menyedari kebobrokan pemerintahan PH yang didominasi DAP.

Beliau kemudian bersama Timbalan Yang DiPertua PAS Kampar, Ustaz Anuar Morat dan Ketua Umno Kampar, Dato' Abd Rahman Mat Som menyampaikan sumbangan barangan harian kepada asnaf setempat.

Menariknya, acara sempena sambutan ini juga diadakan perlawanan bola sepak antara pasukan Penyatuan Ummah Kampar United menentang Air Itam Labu FC. - HARAKAHDAILY 18/9/2019 

IMG 20190918 WA0070

IMG 20190918 WA0071 

IMG 20190918 WA0072

IMG 20190918 WA0073

KUALA LUMPUR: Saranan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang terhadap rakyat Sarawak agar menghalang usaha DAP untuk menguasai Bumi Kenyalang itu bukanlah sesuatu yang bersifat rasis atau perkauman.

Malah, menurut Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Muein Abadi, ia adalah saranan supaya jurang ekonomi Bumiputera Sarawak terselamat dari tangan-tangan DAP yang terus menindas golongan miskin luar bandar.

Terang beliau, saranan tersebut relevan memandangkan jurang pendapatan antara penduduk bandar dan luar bandar yang dilaporkan Utusan Borneo di negeri itu berbeza hampir sekali ganda iaitu RM6,548 di bandar dan RM3,695 di luar bandar.

"Maka apabila Tuan Guru Presiden PAS menyebut mengenai ancaman DAP ke atas jurang ekonomi Bumiputera Sarawak, mengenai fakta jurang ekonomi bandar dan luar bandar Sarawak; adalah kerana beliau inginkan keadilan, sayangkan golongan miskin luar bandar dan bukan kerana beliau bersikap perkauman.

"Inilah sebabnya PAS menyokong GPS (Gabungan Parti Sarawak) di bawah Abang Jo (Dato' Patinggi Abang Johari Tun Openg) yang memperuntukkan 70 peratus agihan ke kawasan luar bandar, inilah sebabnya PAS menentang DAP menguasai Sarawak," ujarnya membidas kembali tohmahan-tohmahan yang dilemparkan kepada Presiden PAS melalui hantaran status Facebook beliau hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu sebelum ini memberi saranan kepada rakyat Sarawak agar tidak berpeluk tubuh atau menyokong mana-mana parti yang bersekongkol dengan DAP di mana berniat untuk menguasai Sarawak.

Saranan tersebut disuarakan ketika beliau ketika menyampaikan syarahan bersempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangaan PAS yang diadakan di Bintulu, kelmarin.

Mengulas lebih lanjut, Abdul Muein berpendapat kebimbangan Presiden PAS dengan dasar 'Malaysian Malaysia' yang dibawa DAP ini berasas, kerana setakat ini tujuh daripada sepuluh daerah termiskin di Malaysia adalah dari Sarawak iaitu Pakan, Lubok Antu, Song, Kanowit, Selangau, Simunjan dan Daro.

Katanya, antara menjadi saranan tersebut relevan adalah garis kemiskinan rasmi yang dilaporkan negeri itu jauh berbeza di luar bandar dan di bandar, selain akses kepada bekalan air bersih terputus di kawasan luar bandar berpanjangan.

"Sebanyak 98.4 peratus isi rumah di kawasan bandar Sarawak mempunyai akses kepada air paip di rumah yang setanding dengan Semenanjung Malaysia, namun hanya 61.6 peratus isi rumah di pedalaman Sarawak mempunyai akses air paip di rumah," jelasnya.

Satu lagi indikator dijadikan contoh Abdul Muein ialah kadar pemilikan kereta rakyat Sarawak yang turut mencatatkan perbezaan ketara iaitu 84.9 peratus di bandar dan 47.4 peratus di luar bandar di mana lebih rendah berbanding kawasan luar bandar Kelantan dan Sabah.

Ujarnya lagi, saranan Presiden PAS itu juga boleh ditafsirkan sebagai amaran awal kepada rakyat Sarawak dengan mengambil contoh kepada sikap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang bertindak menekan kerajaan negeri.

Hal itu jelasnya, apabila Kerajaan Negeri diminta membayar hutang kepada Kerajaan Pusat terlebih dahulu apabila Sarawak memohon bantuan untuk membaik pulih sekolah-sekolah daif di Sarawak sebanyak RM1 billion.

Bagaimanapun, April lalu Guan Eng telah menolak tawaran pinjaman tersebut walaupun mantan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak telah meluluskan peruntukan tersebut dalam Bajet 2018 yang bertujuan untuk membaiki sekolah daif di Sarawak.

"Faktanya, hal ehwal sekolah berada di bawah kuasa Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri Sarawak tiada kuasa untuk masuk ke sekolah dan membaiki sekolah-sekolah daif sendiri.

"Meski pun Kerajaan Sarawak telah merayu kerana keperluan membaiki sekolah-sekolah ini sangat mendesak, Menteri Kewangan dari DAP tetap tidak benarkan dengan mensyaratkan Sarawak supaya membayar dahulu hutang RM1 bilion kepada Kerajaan Pusat yang belum sampai tempohnya.

"Malah selepas Sarawak mula membuat pembayaran, Pakatan masih tidak memulakan peruntukan membaiki sekolah-sekolah daif di Sarawak dan Ketua Menteri Sarawak sendiri menggelar DAP sebagai 'pembulak' (penipu)," tulisnya.

Beliau juga berpendapat, polisi 'Malaysian Malaysia' dibawa DAP sememangnya akan memburukkan lagi jurang ekonomi antara Bumiputera dan bukan Bumiputera rakyat Sarawak dan haruslah parti yang berkuasa di Sarawak mendengar saranan Presiden PAS supaya agihan ekonomi dapat dilakukan dengan adil.

"Maka, tepatlah strategi PAS untuk bekerjasama membangunkan keadilan ekonomi Bumiputera dan luar bandar Sarawak bersama GPS dengan tidak membiarkannya jatuh ke tangan DAP kerana berdasarkan rekod, di bawah Ketua Menteri sekarang, peratusan peruntukan untuk pembangunan luar bandar telah dilonjakkan sekitar 70 peratus," jelasnya. - HARAKAHDAILY 18/9/2019

Nasrudin Mahmud Muhaidin menyampaikan taklimat persidangan Dun Belia.

KOTA BHARU: Sebanyak lima usul bakal dibentang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Belia yang akan diadakan selama dua hari bermula 22 September ini.

Pengarah Urusetia Belia dan Sukan (U-Bes) Ustaz Nasruddin Mahmud Muhaidin berkata, bagi penggal pertama sesi kedua tahun ini menjadikan Dun di Kompleks Kota Darulnaim sebagai lokasi persidangannya.

Seramai 45 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Belia akan menghadiri persidangan itu yang lebih berkonsep kongres kerana tiada pihak kerajaan atau pembangkang.

"Usul-usul diundi secara atas talian. Usul terbabit dikemukakan lima jawatankuasa yang masing-masing dianggotai seramai sembilan ahli.

"Mereka mengemukakan 10 usul untuk diundi dan dipilih hanya lima usul. Setiap jawatankuasa menghantar usul untuk diundi Adun belia secara atas talian dan akan dibentang, dibahas serta digulung ketika persidangan," katanya di sini.

Menurutnya juga sesi ucapan pengulungan akan dilakukan pegawai-pegawai khas Exco yang berkaitan portfolio usul dikemukakan.

Speaker Dun Belia Kelantan akan dipengerusikan Adun Chetok, Zuraidin Abdullah yang juga Timbalan Exco Belia, Sukan dan NGO.

Persidangan pertama Dun Belia Kelantan, merupakan julung kali diadakan di Dewan Bunga Raya Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam pada akhir April lepas. – HARAKAHDAILY 18/9/2019

KUALA LUMPUR: PAS meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berhubung agenda Kristianisasi yang dibawa DAP di negara ini.

Menurut Naib Presidennya, Ustaz Idris Ahmad berkata, Steven perlu memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Dalam masa yang sama, beliau meminta semua organ parti itu untuk membuat laporan polis berhubung kenyataan  Steven itu.

Katanya, DAP sering kali mengkritik kerjasama PAS dan Umno seperti kumpulan ekstrem Taliban, membawa huru hara, perkauman dan sebagainya.

“Perlu diingat kerjasama PAS dan Umno menepati perlembagaan negara dan tidak mengenepikan soal kebebasan agama lain serta tidak ganggu agama lain untuk beramal dengan amalan masing-masing.

“Meskipun begitu, Islam tetap agama persekutuan. Persoalannya sekarang, bagaimana Kristian boleh menjadi satu agenda (Kristianisasi) di negara ini dan apakah ia naratif Malaysia baharu?” soalnya.

Jelasnya, Malaysia mempunyai hampir 65 peratus orang Islam yang mana naratifnya menepati kontrak sosial yang telah pun berlalu.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ibrahin Tuan Man turut meminta DAP dan Pakatan Harapan supaya tidak mempamerkan dakyah ‘bogeyman’ dengan melabelkan penyatuan ummah sebagai klepto-teokrasi, talibanisme, rasisme dan ekstremisme.

Hal ini kerana DAP begitu rancak mempromosi ‘The Kingdom of God’ dan ‘The Jesus Manifesto’ seperti yang diungkapkan oleh Steven Sim Chee Keong yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam dalam forum Naratif Malaysia Baharu yang diadakan di Kota Damansara, 14 September lalu. – HARAKAHDAILY 18/9/2019

TITIWANGSA: Lajnah 'Alimat dan Pembangunan Keluarga Dewan Ulamak PAS Pusat telah menjalankan program permukiman (retreat) bagi sesi kepimpinan baharu di Hotel AdamSon, di sini kelmarin dahulu.

Ia telah dihadiri Ahli Jawatankuasa Lajnah serta Ketua 'Alimat Negeri yang menampilkan gandingan muka baru dan sesi lepas yang mencambahkan idea-idea dari pengalaman pelbagai negeri.

Pengerusinya, Ustazah Ana Mastura Ismail berharap semua anggota memastikan kelancaran gerak kerja 'Alimat dengan merancang pelan tindakan seiring pelan strategik Pusat terutama mendepani cabaran PRU15.

Ustazah Mastura turut menelusuri sejarah asal tertubuhnya Unit 'Alimat di bawah Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis yang merupakan cetusan idea dari Almarhum Tuan Guru Harun Taib pada tahun 2005.

Seterusnya atas cadangan beliau, Dewan Ulamak PAS Pusat telah menaik taraf Unit 'Alimat kepada Jabatan 'Alimat dan setelah itu dinaikkan menjadi sebuah lajnah supaya ia dapat berperanan dengan lebih luas.

Program kali ini turut menekankan kepentingan menjana sumber kewangan di bawah Unit Ekonomi, sementara unit-unit lain juga telah menggariskan pelan tindakan praktikal sebagai laluan menempatkan para 'Alimat di persada perjuangan PAS. - HARAKAHDAILY 18/9/2019

DEWAN Muslimat PAS Malaysia berasa bimbang dengan bencana jerebu yang sedang melanda Malaysia. Jerebu ini juga boleh membawa mudarat kepada kesihatan tubuh badan akibat daripada udara yang tidak sihat dihidu sepanjang hari.

Bacaan (IPU) melalui sistem online setakat ini meningkat 367 (taraf bahaya). Dan beberapa daerah di beberapa buah Negeri juga meningkat bacaan (IPU) walaupun bacaan yang berbeza- beza, namun perlu bersedia kerana berbagai-bagai kemungkinan akan terjadi.

Ini juga adalah kategori bala sebenarnya, yang mana Allah telah berfirman di dalam surah Ad Dhukhan ayat 9 - 12.

Surah Ad-Dukhaan Ayat 9:

‎بَلْ هُمْ فِي شَكٍّ يَلْعَبُونَ

"(Mereka tidak meyakini kebenaran yang dijelaskan kepada mereka), bahkan mereka masih tenggelam dalam keraguan sambil bermain-main dengan perkara ugama."

Surah Ad-Dukhaan Ayat 10:

‎فَارْتَقِبْ يَوْمَ تَأْتِي السَّمَاءُ بِدُخَانٍ مُّبِينٍ

"Oleh itu, tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat)."

Surah Ad-Dukhaan Ayat 11:

‎يَغْشَى النَّاسَ ۖ هَٰذَا عَذَابٌ أَلِيمٌ

"Yang akan menimpa seluruh keadaan manusia (yang kafir itu, sehingga mereka akan berkata: “Ini adalah azab yang sungguh menyakitkan”."

Maka amalkan doa ini, moga-moga Allah angkat segala bala ini.

Surah Ad-Dukhaan Ayat 12:

‎رَّبَّنَا اكْشِفْ عَنَّا الْعَذَابَ إِنَّا مُؤْمِنُونَ

"(Pada saat itu mereka akan merayu dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Hapuskanlah azab ini dari kami, sesungguhnya kami akan beriman!”."

Maka marilah kita umat Islam seluruhnya tadabur, fahami dan berdoa ayat - ayat di atas, memohon agar Allah bantu kita seluruhnya.

LATAS (Lajnah Asas Tani dan Alam sekitar) dengan ini mengajakkan seluruh Dewan Muslimat PAS Kawasan - kawasan untuk mengadakan solat hajat serentak pada malam Jumaat 20/9/19 ini.

Tindakan menutup sementara waktu sekolah-sekolah di beberapa buah daerah di seluruh negara adalah tindakan yang wajar. Berikut antara langkah yang disarankan semasa musim jerebu.

Tindakan penjagaan kesihatan semasa jerebu dengan segera.

1)    Kurangkan aktiviti di luar bangunan
Pakai penutup mulut dan hidung apabila berada di luar bangunan
2)    Banyak minum air kosong
3)    Basuh tangan dan muka setelah melakukan aktiviti luar bangunan
4)     Apabila memandu gunakan penghawa dingin dengan mod kitaran dalaman
5)     Pastikan udara dalam bangunan sentiasa bersih

Marilah sama-sama kita mengutamakan kesihatan diri, keluarga dan persekitaran dan banyakkan berdoa, zikir dan solat hajat. Semoga Allah memberikan menurunkan hujan dan melindungi kita daripada segala musibah.

SALMAH ABDUL LATIF
Pengerusi
Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar
(LATAS)
18 Muharram 1441
18 September 2019 - HARAKAHDAILY 18/9/2019

 

BAGAN: Sektor Pelapis Jabatan Amal Pulau Pinang telah mengadakan Perkhemahan Tahunan Kadet Banat di Pusat Bina Diri, Pantai Robina, Butterworth, di sini 13 hingga 15 September lalu.

Perkhemahan ini mengumpulkan 64 peserta perempuan daripada Sekolah Menengah Islam Tahfiz Sains Dan Teknologi (SMITSAT) dan Maahad Tahfiz Akademi Al Quran As-Syamil (AQSA).

Antara objektif perkhemahan ini bagi mencungkil bakat kepimpinan dan menerap kemahiran asas seperti berkawad, memasak, ikatan dan simpulan serta Modul Ikhtiar hidup.

Majlis penutup dirasmikan oleh Pegawai Jabatan Pendidikan Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Mohammad Shafirol Rozali.

Beliau berkata, perkhemahan ini mengajar perkara yang tidak diajar melalui pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah dan ia bermanfaat untuk diamalkan.

Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Jabatan Amal Malaysia, Mohd Bakeri Abdullah dan Pengarah Jabatan Amal Pulau Pinang, Baharin Ahmad serta Yang DiPertua PAS Kawasan Tasek Gelugor, Muhd Sobri Salleh, selain Ketua Muslimat PAS Tasek Gelugor, Tuan Bedah Syed Mohammad. - HARAKAHDAILY 18/9/2019 

IMG 20190918 WA0060

IMG 20190918 WA0062

IMG 20190918 WA0063

SEMALAM terciptanya sejarah permuafakatan Umno dan PAS yang diadakan PWTC setelah puluhan tahun melibatkan diri dalam pilihan raya. Beberapa perkara perlu difahami dengan cermat oleh setiap orang.

Allah yang menyatukan hati

Ta'liful Qulub (kesatuan hati) banyak disebutkan oleh Allah S.W.T di dalam al Quran, antaranya;

وَٱعۡتَصِمُوا۟ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِیعࣰا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ۚ وَٱذۡكُرُوا۟ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَیۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَاۤءࣰ فَأَلَّفَ بَیۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦۤ إِخۡوَ ٰ⁠نࣰا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةࣲ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَ ٰ⁠لِكَ یُبَیِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَایَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya."

(ali-'Imran: 103)

Syeikh Yusof al-Qaradawi menghuraikan asas kepada Ta'liful Qulub ialah kefahaman bahawa ia adalah kuasa Allah SWT. [1]

Begitu juga disebutkan oleh al-Mawardi di dalam Adabud Dunya wad Din,

وسميت القلب لتقلبه

Dinamakan hati itu sebagai القلب kerana ia berbolak balik.

Kita perlu memahami bahawa Allah S.W.T yang mengawal hati manusia, sama ada istiqamah atau sebaliknya. Sebab itulah kita perlu sentiasa memohon kepada Allah S.W.T agar ditetapkan hati di atas landasan keimanan.

Berusaha menyatukan hati

Syeikh Yusof al-Qaradawi menceritakan bahawa sekalipun "Ta'liful Qulub" itu adalah daripada Allah S.W.T, kita sebagai hamba perlu berusaha ke arah itu, dengan menggunakan istilah الاصلاح (pemulihan).

Islah ini merupakan usaha hamba ke arah menyatukan hati seiringan dengan firman Allah S.W.T;

فَاتَّقُوا اللهَ وَأَصْلِحُوا ذَاتَ بَيْنِكُمْ وَأَطِيعُوا اللهَ وَرَسُولَهُ إِنْ كُنْتُم مُّؤْمِنِينَ

"Iaitu tidak tertegaknya iman dengan pertelagahan, pertembungan dan perpecahan."

Di dalam ayat yang lain, Islah dikaitkan dengan keimanan [2], ketaqwaan [3], taubat (penyesalan) [4] dan sebagainya. Secara ringkasnya, kesatuan hati itu asasnya bermula daripada kuasa Allah, diusahakan oleh hamba dengan amalan amalan yang menghampirkan diri kepada Allah S.W.T secara berterusan.

Kesabaran PAS memilih jalan demokrasi

Sejak sekian lama, PAS berhadapan dengan Umno walaupun sama bangsa, tetapi mempunyai wadah dan aliran pemikiran yang berbeza dalam ruang lingkup politik kepartian, iaitu secara demokrasi. Bukan keganasan atau melampaui batas.

Bersabar dalam dunia demokrasi selama puluhan tahun ini, akhirnya Allah S.W.T mengurniakan nikmat kesatuan hati (ta'liful qulub) di samping kepelbagaian seni dalam dakwah, seperti konsep BPMS yang diperkenalkan oleh PAS.

Jangan lupa, permuafakatan ini bermula dengan kekalahan BN dalam PRU14 lalu. Namun kita perlu melihat dari sudut hikmah ketentuan Allah S.W.T. Sebab itulah pendekatan مواجهة سلمية pendekatan sejahtera ini diserap dalam dunia demokrasi, khususnya di Malaysia.

Kepancitan ahli bukan bahan ejekan

Apabila kita memahami bahawa Allah S.W.T berkuasa membolak balikkan hati, maka kita akan mengambil jalan yang cermat apabila mendapati kepancitan sahabat seperjuangan yang dikenali dengan penyakit futur.

Sayyid Nuh menyatakan di dalam kitabnya آفات على الطريق bahawa penyakit futur (pancit) itu ada dua jenis, sama ada berhenti daripada gerak kerja Islam, atau berpaling tadah lompat ke arah musuh dan menentang jemaah.

Dalam situasi ini, kita tidak sepatutnya menjadikan sejarah kepancitan mereka itu sebagai bahan jenaka atau ejekan. Sebaliknya kita jadikan kepancitan mereka sebagai satu pengajaran dan muhasabah buat diri kita

Selain itu, perkara yang perlu dimuhasabahkan ialah "kenapa berlakunya keguguran dalam kalangan sahabat seperjuangan kita?" Perkara ini dinyatakan oleh Syeikh Yusof al Qaradawi di dalam kitabnya أين الخلل (di mana silapnya).

Ini kerana mungkin keguguran itu berpunca daripada individu yang gugur tersebut, atau boleh jadi berpunca daripada jemaah itu sendiri. Antaranya ialah salah memposisikan ahli. Ini kerana setiap ahli ada tahap kemampuannya.

Qarun antara yang pancit daripada jamaah

Di dalam al Quran menceritakan tentang kisah Qarun, seorang miskin yang istiqamah bersama perjuangan Nabi Musa A.S. Namun setelah dikurniakan kekayaan, Qarun berpaling tadah, melompat ke pihak Firaun bekerja untuknya [5].

۞ إِنَّ قَـٰرُونَ كَانَ مِن قَوۡمِ مُوسَىٰ فَبَغَىٰ عَلَیۡهِمۡۖ وَءَاتَیۡنَـٰهُ مِنَ ٱلۡكُنُوزِ مَاۤ إِنَّ مَفَاتِحَهُۥ لَتَنُوۤأُ بِٱلۡعُصۡبَةِ أُو۟لِی ٱلۡقُوَّةِ إِذۡ قَالَ لَهُۥ قَوۡمُهُۥ لَا تَفۡرَحۡۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا یُحِبُّ ٱلۡفَرِحِینَ

"Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: "Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu)."

(al-Qashas: 76)

Allah S.W.T menceritakan kisah Firaun di dalam al-Quran bukan untuk dijadikan bahan ejekan Ummat hari ini, akan tetapi menjadi ibrah dan pengajaran supaya berusaha istiqamah dia atas jalan Allah S.W.T.

Antara kefahaman atau mood politik

Antara perkara yang perlu diperhatikan tentang "hati yang berbolak balik" ini ialah mengutamakan kefahaman berbanding "mood" atau selera. Sebagai contoh, sebelum ini PAS bertahaluf siyasi dalam Pakatan Rakyat. Para ahli ketika itu seakan akan merasakan seolah olah orang-orang DAP nak masuk Islam.

Apabila orang kafir membacakan ayat al Quran dan berkopiah, terus kita rasakan orang itu sudah mendapat hidayah sekalipun ada dari kalangan mereka sekadar berlakon untuk menarik perhatian.

Dalam hal itu, kita perlu mementingkan kefahaman berbanding mood. Kalau ahli gerakan Islam hanya mengikut mood, tanpa diisi dengan kefahaman, bimbang melangkaui batas-batas syariat dalam ber"mood" tersebut.

Binalah kefahaman, bukan terikut ikut dengan sentimen atau mood. Kajilah sejarah bagaimana musuh Islam mencipta mood kebangkitan Islam yang palsu, dan bagaimana mereka meniupkan sentimen.

- MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL, 15 September 2019

[1]     https://www.al-qaradawi.net/node/3464

[2]     Surah al An'am 48

[3]     Surah al A'raf 35

[4]     Surah an Nisa 146

[5]     Pandangan Ibn Musayyib yang dinukilkan oleh al Qurtubi di dalam tafsirnya. - HARAKAHDAILY 18/9/2019

JEREBU adalah fenomena yang terjadi apabila kepekatan aerosol atau zarah-zarah terampai di atmosfera dalam kepekatan yang tinggi. Zarah-zarah yang terampai ini menyerap dan menyerakkan cahaya matahari sehingga mengurangkan jarak julat penglihatan [1].

Sebenarnya pencemaran udara disebabkan jerebu ini bukan sahaja disebabkan oleh zarah-zarah terampai, tetapi ia juga berlaku disebabkan oleh gas-gas beracun dan berbahaya yang berlebihan di udara [2].

Zarah-zarah terampai ini terdiri daripada 70 peratus zarah karbon, 20 peratus debu tanah dan 10 peratus tidak diketahui puncanya. Manakala gas berbahaya pula terdiri daripada gas karbon monoksida, nitrogen dioksida, ozon dan sulfur dioksida. Zarah terampai yang mempunyai saiz kurang daripada 10 mikron (PM10) dicerap jumlah kuantitinya di udara dengan menggunakan alat khas menguji kualiti udara [2].

Jerebu di Malaysia bukanlah satu fenomena baru kerana ia mula direkodkan pada tahun 1982 apabila jerebu serantau dari pembakaran hutan yang mengganggu kehidupan seharian di Malaysia [3]. Sejak itu, beberapa episod jerebu telah direkodkan. Episod-episod yang teruk ini berlaku pada tahun 1997, 2005 dan 2015 [4]. Kini tahun 2019 episod jerebu kembali teruk.

Jerebu asap yang berlaku di Malaysia dan Asia Tenggara mengandungi kepekatan bahan pencemar udara yang tinggi. Merujuk kepada Hell dan Goldammer [5], kebakaran hutan yang terdiri dari tumbuhan dan pembakaran haiwan menghasilkan sejumlah besar gas berbahaya dan zarah terampai. Di dalam keadaan tertentu situasi ini boleh menyumbang kepada kematian dan penyakit serius [6] kerana partikel halus yang terhasil boleh masuk ke dalam sistem pernafasan.

Kesan kesihatan kepada manusia semasa episod jerebu telah direkodkan berdasarkan peningkatan kemasukan pesakit ke hospital, biasanya ia berkaitan dengan masalah pernafasan. Contohnya seperti kes pada tahun 1997, jumlah kunjungan pesakit luar di Hospital Besar Kuala Lumpur meningkat dari 250 hingga 800 orang sehari semasa episod tersebut [7].

Keadaan jerebu yang berpanjangan sudah pasti akan menyebabkan penurunan produktiviti di dalam aktiviti seharian kita. Oleh itu pengawalan dan pencegahan perlu dilaksanakan. Prinsip pengawalan boleh bermula pada sumbernya (at sources), laluan (at path) dan kepada penerima (receiver).

Pengawalan pada sumbernya adalah dengan pengawalan terhadap penebangan dan pembakaran hutan, pembakaran terbuka, pemprosesan industri, pembakaran bahan api serta kenderaan bermotor. Pengawalan kepada penerima pula adalah kepada manusia. Antaranya dengan memakai alat pelindung pernafasan jenis N95. Semua pihak disarankan untuk mengambil peranan dan langkah pengawalan yang berkesan samada diperingkat Kerajaan, Badan Bukan Kerajaan, Komuniti, keluarga dan diri sendiri.

Namun adakah kita yakin bahawa dengan mengenalpasti punca dan pengawalan yang dilaksanakan episod ini tidak akan berulang? Atau sebenarnya episod ini semakin mencabar kelestarian alam kita apabila berhadapan cabaran pembangunan moden? Atau sebenarnya ini adalah peringatan Allah kepada kerakusan manusia!

DR. HAMDAN A
Penulis merupakan ahli Kluster Kejuruteraan,
Jabatan Profesional Muda (JPro), DPPM
Pengerusi
Persatuan Siswazah Serdang Prihatin (PERSIP) 

Rujukan 

1.     Seinfeld, J.H., Pandis, S.N., 2006. Atmospheric Chemistry and Physics: from Air Pollution to Climate Change, second ed. JohnWiley & Sons, New Jersey
2.     Mastura Mahmud, Nuur Huraizah Abu Hanifiah, Pencemaran udara berikutan peristiwa jerebu tahun 2005:Kajian kes di Perai, Pulau Pinang, Malaysia (Air pollution during the haze event of 2005: The case of Perai, Pulau Pinang, Malaysia)
3.     Mohd Shahwahid, H.O., Othman, J., 1999. Malaysia. In: Glover, D., Jessup, T. (Eds.), Indonesia's Fires and Haze: the Cost of Catastrophe. Institute of Southeast Asian Studies, Singapore
4.     Mohd Talib Latib et. al. , Impact of regional haze towards air quality in Malaysia: A review.
5.     Heil, A., Goldammer, J.G., 2001. Smoke-haze pollution: a review of the 1997 episode in Southeast Asia. Reg. Environ. Change 2, 24–37
6.     Kampa, M., Castanas, E., 2008. Human health effects of air pollution. Environ. Pollut. 151, 362–367
7.     Afroz, R., Hassan, M.N., Ibrahim, N.A., 2003. Review of air pollution and health impacts in Malaysia. Environ. Res. 92, 71–77. - HARAKAHDAILY 18/9/2019 

FB IMG 1568796138291

TANJUNG MALIM: Perkhemahan Tahunan Amal (PTA) Wilayah Persekutuan telah diadakan di Kem Ma'ahad Tahfiz Ad-Diniah Nur Ramadhan milik Ustaz Abdul Aziz Arof, di sini 14 September lalu dan berakhir kelmarin.

Program tahunan ini berlangsung seusai semua anggota Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Wilayah Persekutuan menamatkan tugas pada Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) di PWTC.

Ketua Pengarah AMAL Malaysia, Norazman Ishak berkata, PTA adalah medan anggota mengerat ukhuwah dan mahabah, selain belajar mempraktikkan kemahiran serta mengasah kepimpinan.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Muhammad Rashidi Abdul Razak menegaskan kepentingan kualiti yang sebenarnya menjadi elemen penting anggota.

Turut memberi pengisian sepanjang PTA ini adalah Ustaz Abdul Aziz sendiri, selain peserta juga mempelajari modul pengurusan jenazah, kawad kaki, penggunaan kompas, walkie talkie, kejuruteraan dan elektrik.

Semua teori dipelajari tersebut kemudiannya dipraktikkan dalam slot Explorace yang mencabar minda dan fizikal serta kesatuan para peserta. - HARAKAHDAILY 18/9/2019

 

IMG 20190918 WA0040

IMG 20190918 WA0041

IMG 20190918 WA0042

IMG 20190918 WA0043

IMG 20190918 WA0045

IMG 20190918 WA0046

IMG 20190918 WA0047

PANDAN: Ameerah Kawasan Pandan telah mengadakan program Ameerah Aware dalam menyedarkan penduduk masyarakat setempat berkaitan masalah jerebu yang sedang melanda negara ketika ini.

Pengarah Ameerah Aware, Aqilah Mukhtar berkata, program ini sebagai tanda keprihatinan Ameerah terhadap warga setempat atas terkesan oleh fenomena jerebu yang berlaku sejak minggu lalu.

Sehubungan itu, Ameerah Pandan telah mengadakan edaran topeng muka dan risalah kesihatan berkenaan tips menghadapi jerebu kepada orang ramai di sekitar Midpoint Pandan Indah, di sini kelmarin.

Aqilah berkata, program dilakukan ini sewajarnya dilihat sebagai satu perkara penting perlu dititikberatkan oleh penduduk di tempat lain agar menjadi rakyat yang peka dengan keadaan semasa negara.

Beliau yang mengetuai program tersebut berhasrat untuk meneruskan lagi aktiviti berbentuk sedemikian dengan lebih meluas lagi bagi meningkatkan kesedaran penduduk di Pandan ini.

Indeks Pencemaran Udara (IPU) kelmarin menunjukkan kawasan di sekitar Lembah Klang termasuk Cheras (156) dan Petaling Jaya (146) berada dalam kategori bacaan tidak sihat.

Ianya yang boleh dilihat sebagai satu perkara yang boleh membahayakan kesihatan penduduk setempat di daerah ini. - HARAKAHDAILY 18/9/2019 

IMG 20190918 WA0037

IMG 20190918 WA0036

HULU LANGAT: Muslimat PAS Cawangan Bandar Bukit Mahkota telah mengadakan program Rehlah Rabithah Cinta yang dilangsungkan di Aulad Kidz Planet Ventures, Bandar Puteri, di sini kelmarin.

Program berbentuk pembangunan diri dan motivasi ini bertujuan membina semangat kerjasama berkumpulan dan kepimpinan Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Bandar Bukit Mahkota.

Ketua Penerangan Muslimat PAS Kawasan Hulu Langat, Siti Safura Mohd Isa mahu program sedemikian dilaksanakan secara berkala ke arah menyediakan kesiapsiagaan 'bertempur' pada PRU15 nanti.

Manakala Pengerusi Lajnah Dakwah Muslimat PAS Hulu Langat, Ustazah Norul Huda Bakar pula menyeru agar thabat dan berdiri laksana batu bata yang disusun mengukuhkan binaan jamaah.

“Jadilah kita pipit-pipit kecil yang membawa sedikit air di dalam paruh untuk memadamkan nyala marak yang membakar Nabi Ibrahim. Usaha kita mungkin nampak sedikit dan tidak signifikan tetapi secara kolektif insya-Allah usaha sedikit yang istiqamah amat besar impak dan nilainya di sisi Allah,” ujar beliau.

Ketua Muslimat PAS Bukit Mahkota, Nor Faridah Mat Nong turut menyeru mempersiapkan segala upaya dan kekuatan melawan musuh yang begitu berazam memecah belahkan masyarakat dan membenamkan identiti dan jati diri umat Islam.

“Allah menuntut kita mengerahkan kekuatan baik rohani, fizikal, kemahiran, harta, apa jua kelebihan dan aset milik kita untuk agama Allah. Tidak memadai melakukannya sambil-sambil atau suka-suka kerana kerja dakwah dan siyasah itu menuntut usaha tersusun dan serius.

"Hari ini kita recharge minda dan ukhuwwah sebagai rejuvinasi untuk kita bertenaga menghadap tugasan seterusnya,” tegasnya menghurai ayat 60 surah al-Anfal.

Program ini mendapat partisipasi penuh para peserta dalam beberapa modul team-building dan peserta turut diraikan dengan cenderamata cabutan bertuah sebagai penghargaan komitmen dan diakhiri dengan doa wehdah. - HARAKAHDAILY 18/9/2019

photo6055227954453129618