HULU LANGAT: Muslimat PAS Cawangan Bandar Bukit Mahkota telah mengadakan program Rehlah Rabithah Cinta yang dilangsungkan di Aulad Kidz Planet Ventures, Bandar Puteri, di sini kelmarin.

Program berbentuk pembangunan diri dan motivasi ini bertujuan membina semangat kerjasama berkumpulan dan kepimpinan Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Bandar Bukit Mahkota.

Ketua Penerangan Muslimat PAS Kawasan Hulu Langat, Siti Safura Mohd Isa mahu program sedemikian dilaksanakan secara berkala ke arah menyediakan kesiapsiagaan 'bertempur' pada PRU15 nanti.

Manakala Pengerusi Lajnah Dakwah Muslimat PAS Hulu Langat, Ustazah Norul Huda Bakar pula menyeru agar thabat dan berdiri laksana batu bata yang disusun mengukuhkan binaan jamaah.

“Jadilah kita pipit-pipit kecil yang membawa sedikit air di dalam paruh untuk memadamkan nyala marak yang membakar Nabi Ibrahim. Usaha kita mungkin nampak sedikit dan tidak signifikan tetapi secara kolektif insya-Allah usaha sedikit yang istiqamah amat besar impak dan nilainya di sisi Allah,” ujar beliau.

Ketua Muslimat PAS Bukit Mahkota, Nor Faridah Mat Nong turut menyeru mempersiapkan segala upaya dan kekuatan melawan musuh yang begitu berazam memecah belahkan masyarakat dan membenamkan identiti dan jati diri umat Islam.

“Allah menuntut kita mengerahkan kekuatan baik rohani, fizikal, kemahiran, harta, apa jua kelebihan dan aset milik kita untuk agama Allah. Tidak memadai melakukannya sambil-sambil atau suka-suka kerana kerja dakwah dan siyasah itu menuntut usaha tersusun dan serius.

"Hari ini kita recharge minda dan ukhuwwah sebagai rejuvinasi untuk kita bertenaga menghadap tugasan seterusnya,” tegasnya menghurai ayat 60 surah al-Anfal.

Program ini mendapat partisipasi penuh para peserta dalam beberapa modul team-building dan peserta turut diraikan dengan cenderamata cabutan bertuah sebagai penghargaan komitmen dan diakhiri dengan doa wehdah. - HARAKAHDAILY 18/9/2019

photo6055227954453129618

Mohd Ariff Abdullah mengacau bubur asyura.

KOTA BHARU: Kekecewaan anak muda setelah memberi seribu harapan kepada PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 akhirnya terubat selepas muncul penyatuan ummah.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Ariff Abdullah berkata, hari ini anak-anak muda memberi harapan kepada penyatuan ummah bagi membela nasib mereka.

Katanya, anak muda mampu berbangga kerana dapat merasai penyatuan ummah membabitkan parti Melayu terbesar di negara ini.

“Pada kempen PRU lepas mereka begitu teruja dengan manifesto yang ditawarkan termasuk menghapus hutang PTPTN dan pelbagai lagi.

“Jadi hari ini anak-anak muda meletak pula pengharapan kepada penyatuan ummah untuk mencapai hasrat murni demi kepentingan rakyat di negara ini.

“Kita berbangga kerana menjadi generasi yang dapat merasai nikmat penyatuan yang dipimpin PAS dan Umno serta didukung Gagasan Sejahtera dan Barisan Nasional,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2019

SAYA tak ingat ianya pada masa tingkatan berapa, tetapi ayat 103 ali-'Imran yang diulang-ulang baca semasa Himpunan Penyatuan Ummah 14 September 2019 yang lalu oleh Qari jemputan, Ustaz Tarmizi Ali memang dalam sukatan pelajaran Pengajian Agama Islam.

Surat ali-‘Imran ayat 103:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk."

Dalam kelas kami diberitahu kisah Kaum Aus dan Khazraj sebelum Islam menyatukan mereka. Bukan setahun dua mereka saling berperang, berbunuh bunuhan, zalim kepada antara satu sama lain. Ramai yang jadi mangsa. Anak kehilangan ayah, isteri kehilangan suami, kematian akibat saling berperang, bermusuh, bunuh-membunuh.

Akhirnya atas dasar Islam, kedua-duanya kaum ini dipersaudarakan. Melupakan segala dendam. Berazam membina persaudaraan dan kasih sayang.

Peristiwa saling membunuh, berperang, permusuhan diketepikan dan dilupakan kerana Islam dan penyatuan ummah itu lebih besar dari itu.

Sentiasa ada yang cuba menyucuk jarum agar perpaduan dileraikan. Seperti dikisahkan sebab-sebab turunnya ayat 103 ali-'Imran ini seperti berikut.

Asbabun Nuzul :

Diriwayatkan oleh Al-Faryabi dan Ibnu Abi Hatim, yang bersumber dari Ibnu ‘Abbas bahwa ketikau kaum Aus dan Khazraj duduk-duduk, berceritalah mereka tentang permusuhannya di jaman jahiliyah, sehingga bangkitlah amarah kedua kaum tersebut. Masing-masing bangkit memegang senjatanya, saling berhadapan. Maka turunlah ayat tersebut (Ali ‘Imran: 101-103) yang melerai mereka.

Diriwayatkan oleh Ibu Ishaq dan Abusy Syaikh, yang bersumber dari Zaid bin Aslam bahwa seorang Yahudi yang bernama Syas bin Qais lewat di hadapan kaum Aus dan Khazraj yang sedang bercakap-cakap dengan riang gembira. Ia merasa benci dengan keintiman mereka, padahal asalnya bermusuhan. Ia menyuruh seorang anak muda anak buahnya untuk ikut serta bercakap-cakap dengan mereka.

Mulailah kaum Aus dan Khazraj berselisih dan menyombongkan kegagahan masing-masing, sehingga tampillah Aus bin Qaizhi dari golongan Aus dan Jabbar bin Shakhr dari golongan Khazraj saling mencaci sehingga menimbulkan amarah kedua belah pihak.

Berloncatanlah kedua kelompok itu untuk berperang.

Hal ini sampai kepada Rasulullah S.A.W sehingga beliau segera datang dan memberi nasihat serta mendamaikan mereka. Mereka pun tunduk dan taat.

Saya harap kita faham watak Yahudi yang bernama Syas bin Qais yang bencikan persaudaraan Islam yang terbentuk antara Aus dan Khazraj ini akan sentiasa ada.

Tiada salah sedikitpun jika disebut agenda menyatupadukan ummah, memperkasakan Islam melalui penyatuan ummah adalah lebih besar dari segala permusuhan yang pernah kita lalui sebelum ini.

AHMAD AMZAD HASHIM
18 September 2019 - HARAKAHDAILY 18/9/2019

KOTA BHARU: Kelantan dijangka menjadi tumpuan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, memandangkan program serupa diadakan di Serambi Mekah.

Sekurang-kurangnya 20 peratus daripada 30 juta jumlah pelancong yang disasarkan melawat Malaysia tahun hadapan juga berkunjung ke Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, kerajaan negeri mensasarkan 5.5 juta pelancong mengunjungi Kelantan tahun hadapan.

Katanya, daripada jumlah itu 30 peratus membabitkan pelancong asing terutamanya dari Eropah.

“Kita menawarkan pelancongan berasaskan keluarga, makanan dan festival sebagai tarikan mengunjungi negeri ini tahun hadapan.

“Pelancong datang bersama keluarga boleh menikmati pelbagai aneka makanan yang jarang ditemui di tempat lain.

“Selain itu kita menyusun lebih 40 program menarik termasuk bertaraf antarabangsa sepanjang tahun 2020,” katanya di sini.

Beliau yakin sasaran jumlah pelancong akan menjadi kenyataan memandangkan sekarang terdapat banyak penerbangan domestik ke Kota Bharu daripada beberapa bandar besar termasuk Kuala Lumpur, Subang, Pulau Pinang, Melaka, Kota Kinabalu dan Kuching.

Malah katanya, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra merupakan lapangan terbang domestik paling sibuk di Malaysia dengan pelepasan lebih 50 penerbangan sehari dari Kota Bharu.

Manakala penerbangan antarabangsa pula tiga kali seminggu dari Singapura menggunakan pesawat tambang murah Scoot.

Md Anizam juga berkata, pelancaran Tahun Melawat Kelantan 2020 dijangka diadakan pada 25 Oktober bertempat di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad Ke IV.– HARAKAHDAILY 18/9/2019

ADA sebuah kisah berkenaan dua orang yang bersahabat. Seorang bernama Mat, agak kelihatan bergaya, macam pandai, selalu menunjukkan sikap mahu lebih dari orang lain. Bila bercakap, panjang-panjang teorinya. Bila mengkritik, banyak kesalahan orang yang dia boleh senaraikan. Selalu penampilannya seperti seorang profesional, kelihatan cerdik, yakin dan bergaya bagi mengagumkan khalayak.

Walaupun cakapnya si Mat ini ada banyak juga yang merapu, namun dia tidak pernah hilang keyakinan bagi menguasai keadaan. Bagi yang tidak kenal dia, akan terpegun dengan perwatakan Mat. Sentiasa kemas dan ramah. Itulah Mat, seorang yang 'over confident' dengan menganggap dia seorang sahaja yang tahu banyak hal, tanpa dia menilai kecerdikan orang lain yang kadang-kadang jauh lebih pandai darinya.

Manakala rakannya yang sudah lama dikenali, Man pula, bersikap agak kontra dengan Mat. Mat tidak banyak bercakap, kecuali hal yang perlu. Dan bila dia bersuara, pastinya terus kepada maksud perbincangan. Tidak suka menonjolkan diri, tidak merendahkan orang lain. Berusaha menghapuskan masalah dengan baik tanpa memerlukan jalan yang panjang yang tidak perlu.

Beliau juga seorang yang bijak dan berkebolehan, tapi tidak suka memperbodohkan orang lain. Suka membantu orang. Penampilannya tidak dibuat secara melampau-lampau bagi menarik perhatian orang. Apa yang ada, itulah dia. Memudahkan orang dengan kepandaiannya juga salah satu sifat Man. Begitulah beza ketara antara kedua mereka dari dalam diri.

Mereka pada suatu hari berjalan, menunggang kuda, pergi ke suatu tempat yang agak jauh. Setelah lama menunggang, mereka sampai ke suatu tempat lapang. Dan kebetulannya waktu sudah hampir senja. Mereka mencari tapak yang sesuai untuk berkhemah. Setelah menurunkan semua barang, mereka pun mula mendirikan khemah.

Selesai semuanya, makan minum, membersihkan diri, mereka berdua pun berbual sekejap sebelum tidur. Mereka tidur dengan agak nyenyak pada malam itu, mungkin kerana keletihan berjalan. Esok pagi pula mereka mesti bangun awal untuk meneruskan perjalanan mereka. Malam itu sangat tenang, tiada tanda-tanda untuk hujan.

Di tengah keenakan tidur itu, tiba-tiba Mat dikejutkan oleh Man. Mat membuka matanya dengan penuh kemalasan. Dia bertanya kepada Man, apa mahunya. Man kemudiannya bertanya kembali kepada Mat, adakah dia nampak jutaan bintang-bintang di atas langit sana tu? Mat menjawab ya, kenapa? Man bertanya lagi, apa maksudnya?

Oleh kerana Mat suka menunjukkan kepandaiannya, maka dia pun bangun dari tidur dan duduk bersila, memulakan berceloteh mengeluarkan ilmu 'bintang'nya. Dia memberitahu berbagai nama bentuk buruj, arah dan kegunaannya sambil jarinya menunjuk-nunjuk ke langit, seperti dia tahu segalanya tentang cakerawala. Disebut satu persatu hal perkara yang entah betul atau tidak, kerana Mat tidak mahu mendapat malu jika mengaku tidak tahu. Yang penting tunjuk pandai.

Setelah agak lama Mat berceloteh, dia memandang Man dengan harapan Man akan kagum dengan kehebatannya itu. Man tanpa ragu mengetuk kepala Mat. Mat yang kehairanan bertanya Man kenapa diketuk kepalanya, bukan hendak berterima kasih atas maklumat yang diberi, malah disakiti pula dia. Man tenang menjawab,

"Maknanya khemah kita kena curilah bodoh"

Pendek, padat dan tepat sekali jawapan yang Man berikan. Kerana terlalu nyenyak tidur, khemah mereka dicuri pun, mereka tak sedar, habis semua barang-barang dan kuda juga dilarikan orang. Maka meloponglah Mat, tidak dia terfikir kerana mahu menunjuk pandai, dia melalut memberilan jawapan yang entah apa-apa.

Sama keadaan sekarang dengan PAN. Hanya PAN sahaja yang berkokok dengan kuat melaungkan kebimbangan mereka dengan penyatuan Ummah atau dikenali dengan Muafakat Nasional. Parti-parti lain pun ada kritikannya, tetapi tidaklah sebimbang PAN yang kelihatan takut sungguh jika DAP kalah. Mereka berhujah tanpa kebenaran. Semua teori yang salah mereka ulangi, bila diketahui salah, dibuka pula teori lain.

Mereka memutar belitkan cerita bagi menunjukkan betapa jahatnya cerita penyatuan ummah ini. Yang paling laku dalam isi teori mereka ialah penyatuan ini bakal membawa kepada isu perkauman dan sentimen keagamaan yang dahsyat. Mereka bercakap dan terus bercakap untuk menunjukkan kepandaian mereka kepada umum.

Sedangkan muafakat ini sangat jelas, iaitu mahu menyatukan ummah dengan Melayu Islam sebagai teras bagi negara, tanpa mengetepikan bangsa dan agama lain. Sudah dibuktikan, di mana-mana tempat, jika Islam memerintah, penganut lain, selamat. Bumiputera mempunyai hak yang utama di tanah bertuah ini, manakala yang hak pihak lain juga akan dipelihara dengan sebaik-baiknya. Begitulah maksud muafakat ini, sangat mudah untuk difahami, tidak berbelit-belit.

Tetapi kerana mereka merasakan mereka pandai dan kononnya profesional, mereka teruskan perkataan batil mereka. Sedangkan jelas, tiada penentangan dari kalangan Melayu Islam sendiri untuk muafakat ini, kecuali dari PH sahaja. Rakyat menyokong kerana sudah jelak dengan permainan politik PH, yang mana lebih teruk. Apabila DAP menuntut hak mereka, tiada isu rasis, PAN diam seperti kura-kura masuk ke dalam cengkerangnya. Apabila Melayu Islam minta, langsung dituduh rasis oleh penyokong PH.

Presiden PAS ke Sarawak bagi menerangkan hal keadaan penyatuan ini. DAP adalah duri dalam daging kepada perpaduan antara kaum di Malaysia. Jelas Presiden PAS meminta supaya DAP ditolak. PAS tidak mempunyai sebarang kerusi di Sarawak. PAS lemah, DAP kuat di sana. Tetapi tanpa takut, kebenaran, harus dijelaskan kepada rakyat Sarawak dengan mudah dan jelas. Ini adalah perjumpaan kedua PAS dengan kerajaan Sarawak. Sebelum ini dengan almarhum Adenan Satem, dan kunjungan beliau, diterima baik.

Apa lagi rakyat Sarawak mahu setelah kerajaan Negeri membayar sejumlah wang lebih RM1 bilion, seperti yang diminta oleh kerajaan Pusat, kerajaan Pusat masih membiarkan prasarana sekolah-sekolah kelolaan Pusat yang usang dan uzur tidak diperbaiki. Inikah jasa DAP kepada rakyat setelah mereka menang? Berdendam jugakah PH? Mana hak rakyat dalam demokrasi? Begitu hina Sarawak diperlakukan, bagaikan meminta sedekah dengan kerajaan Pusat, tetapi tidak dilayan. Dan parti DAP inilah yang dipertahankan oleh PAN dengan sepenuh hati?

Suka saya memberi ingat, bangsa yang selalu membanggakan keturunan, kepandaian mereka, lantas menolak kebenaran ialah bangsa Yahudi. Mereka tetap berkata bohong dan menyombong diri, menolak Rasulullah hanya kerana Baginda berdarah Arab, demi ego mereka, walaupun mengenali Nabi seperti anak sendiri. Tafsiran sombong ialah menolak kebenaran. Jika sudah jelas kebenaran di hadapan mata, tetapi ditolak, maka berhati-hatilah kerana akibat sombong, tidak mencium bau syurga. Saya tidak mengatakan PAN sebagai Yahudi, jangan salah sangka. Tetapi jika kamu terasa sebegitu, kerana ada persamaan, apa boleh saya buat.

MOHD NASIR ABDULLAH
18 September 2019 - HARAKAHDAILY 18/9/2019

SHAH ALAM: “Di mana sikap keperimanusiaan Kerajaan Negeri Selangor apabila mengambil tindakan meroboh rumah tanpa pemberitahuan terlebih dahulu kepada penduduk?” luah penduduk, Faisel Mohd Shapie.

r3Katanya, tidak dinafikan telah ada notis perpindahan yang diberikan selama 30 hari yang berakhir pada 5 September lalu.

Bagaimanapun ujarnya, kerajaan negeri melalui Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa telah memberi tempoh penangguhan sehingga bulan November selepas penduduk membuat permohonan penangguhan pada 4 September lalu.

“Namun apa yang berlaku, hari ini tiba-tiba rumah penduduk dirobohkan tanpa memberi sebarang pemberitahuan.

“Penduduk tidak membuat apa-apa persediaan kerana ingat tiada sebarang perobohan sehingga November.

“Sekarang ke mana kami nak pergi?” soalnya ketika ditemui di Sungai Kedongdong, Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh hari ini di sini.

Lebih menyedihkan katanya, apabila penduduk tidak mempunyai tempat tinggal apabila rumah mereka dirobohkan.

Faisel berkata, penduduk tidak meminta sebarang pampasan atau sebagainya, hanya memerlukan tempoh sehingga hujung tahun ini sahaja berikutan tanah yang diduduki mereka hak milik kerajaan.

Bagaimanapun, sesetengah penduduk mempertikai apabila mereka mempunyai  geran tanah persendirian, tetapi tetap dirobohkan.

Terlebih dahulu, sebanyak lebih kurang 92 buah rumah akan dirobohkan pada hari ini  bagi perlaksanaan projek perlebaran Sungai Kedongdong. – HARAKAHDAILY 18/9/2019

kd2

 kd1

r4

r5

YOUNG Turks menggulingkan Khalifah

(1)     Kejatuhan Uthmaniyyah pada 1924 sangat segar di dalam minda pengkaji sejarah. Kuasa besar Islam lenyap begitu sahaja akibat unsur-unsur sengal yang menyelinap masuk. Antaranya kemunculan geng Ittihad wat Taraqqi pada 1889 yang jelas melaksanakan agenda Zionis secara dalaman.

Ittihad Wat Taraqqi memainkan peranan penting dalam memburukkan Khalifah Sultan Abdul Hamid II dengan konspirasi jahat, antaranya mencetuskan kebangkitan anak muda Turki (Young Turks) pada 1908 dan pada tahun berikutnya khalifah digulingkan.

(2)     Selepas itu, Sultan Mehmet Reshad naik takhta dan beliau banyak memberikan mandat kepada geng Ittihad wat Taraqqi. Ittihad wat Taraqqi yang dianggotai oleh Pasha-pasha ketika itu diberi tanggungjawab membuat dan melaksanakan undang-undang tentera berpusat di Istanbul.

Uthmaniyyah diheret dengan tawaran dedak

(1)     Umum mengetahui Uthmaniyyah pada asalnya tiada kena mengena dengan Perang Dunia Pertama yang bermula Jun 1914. Asalnya pertembungan antara Kuasa Pusat yang dianggotai oleh Jerman, Hungary dan Itali berhadapan dengan Tentera Bersekutu yang dianggotai oleh British, Perancis dan Rusia.

Geng Pasha yang sememangnya sejak awal lagi sudah cenderung ke arah Jerman. Namun, setelah Itali menarik diri dari kancah tersebut pada 1 Ogos 1914. Keesokan harinya geng Pasha telah membuat perjanjian "belakang tabir" untuk menyertai Kuasa Pusat berhadapan Tentera Bersekutu.

(2)      Beberapa bulan kemudian, Jerman mula menawarkan dedak kepada Uthmaniah sebagai tanda rasmi penglibatan Uthmaniyyah dalam Kuasa Pusat. Dedak yang ditaburkan oleh Jerman dengan anggaran 2 juta Kurush (mata wang Turki) diterima oleh Kerajaan Uthmaniyyah pada Oktober 1914.

(3)      Selang beberapa hari, tanpa diduga, geng Pasha yang sudah menikmati dedak, mula membelakangi khalifah dengan mengeluarkan arahan "mencari pasal" terhadap Tentera Bersekutu, dengan menyerang Kapal Perang Rusia yang merupakan geng Tentera Bersekutu. Sejurus serangan itu, Rusia isytihar perang kepada Uthmaniyyah.

Perang meletus. Khalifah tiada pilihan, terpaksa menyeru Ummat Islam seluruh dunia bangkit menentang Tentera Bersekutu Kebangkitan demi kebangkitan, akhirnya mengorbankan 250 000 Tentera Uthmaniah. Rekod pemerintahan Khilafah Islamiah tercalar dalam isu ini.

Tawaran jawatan dan janji yang dicapati

(1)     Dalam pada itu, pada 1916 berlakunya kebangkitan Arab hasil rancangan licik intelligent Inggeris (Lawrance Arabia) menghasut Syarif Hussein untuk mencetuskan kebangkitan tersebut dengan bersekongkol dengan Perancis dan Inggeris. Syarif Hussein ditawarkan jawatan memerintah Makkah dan Madinah jika berjaya menjatuhkan khilafah.

(2)     Ketika zaman Sultan Abdul Hamid II sebelum ini, beliau bertegas untuk tidak menyerahkan sekangkang kera pun tanah kepada Yahudi. Namun setelah Beliau digulingkan, ia membuka ruang kepada Inggeris untuk melaksanakan agenda Negara Yahudi.

Justeru pada 1917, diadakan perjanjian Balfour sebagai batu asas kepada penubuhan Negara Yahudi tersebut. Setahun kemudian, berakhirnya Perang Dunia Pertama pada November 1918 yang menjadi laluan kepada runtuhnya Uthmaniyyah.

(3)     Dalam keadaan Uthmaniyyah sendiri berhadapan dengan krisis dalaman, hutang yang bertimbun untuk membina istana di pinggir Selat Balfour, dan juga sentimen Arab-Turki menyumbang kepada runtuhnya sebuah khilafah yang tercatat sejarah agungnya.

(4)     Setelah jatuhnya Khilafah Uthmaniyyah, Syarif Hussein yang sepatutnya dijanjikan jawatan memerintah Makkah dan Madinah, hanyalah janji dicapati. Akhirnya beliau dan kabilah Arabnya "terbuang" ke sebuah tanah tandus, hari ini dinamakan Jordan.

- MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL - HARAKAHDAILY 18/9/2019

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah mendedahkan wujudnya sindiket mendapatkan dokumen perjalanan (pasport) dan dokumen pengenalan diri (MyKad) secara fraud. Dalam operasi yang dijalankan, dikatakan sejumlah 20 individu termasuklah pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang, ejen, orang tengah, penganjur dan pemilik kad pengenalan, sijil lahir serta pasport Malaysia secara fraud telah ditahan. 
 
Saya mendesak agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan dengan segera bagi menyiasat siapakah dalang utama di sebalik sindiket ini. Penubuhan RCI sangat diperlukan pada waktu ini memandangkan sindiket penjualan MyKad adalah suatu tragedi kepada negara serta melibatkan kepentingan awam. Tambahan pula, PDRM dalam kenyataan medianya turut memberikan indikasi bahawa sindiket ini belum ditumpaskan sepenuhnya kerana masih ada ahli-ahli sindiket yang masih bebas.
 
Banyak persoalan yang memerlukan kepada siasatan yang bebas daripada pengaruh politik. Rakyat mahu tahu apa motif utama MyKad ini diberikan secara besar-besaran? Berapakah jumlah sebenar MyKad yang telah dijual dan apa status pemegang MyKad secara pintu belakang ini? Adakah mereka akan didaftarkan sebagai pengundi secara automatik pada pilihanraya akan datang? Adakah ribuan MyKad yang diperoleh secara tidak sah ini hanya dikeluarkan di Pulau Pinang sahaja, bagaimana pula dengan negeri-negeri lain? Adakah lebih ramai pegawai JPN yang terlibat?
 
Pemberian MyKad kepada warganegara asing ini umpama bom jangka kepada penduduk tempatan. Sejak sekian lama, media melaporkan warganegara asing ini telah terlibat dengan pelbagai jenayah. Pemerdagangan manusia, sindiket judi atas talian, sindiket jual emas palsu dalam talian, penyeludupan dadah sehinggalah kepada sindiket pelacuran di premis-premis maksiat. Bahkan, pada tahun 2008, terdapat cubaan seorang warganegara asing di Sabah yang telah menggunakan kad pengenalan diri palsu untuk memohon menjadi anggota tentera. Keadaan ini dilihat sangat membimbangkan kerana melibatkan kedaulatan Malaysia dan mengancam keselamatan negara. 
 
Paling mengejutkan adalah apabila Penolong Pengarah JPN, Datuk Lai Chin Wah sendiri telah ditangkap atas dakwaan terlibat dengan sindiket ini. Sekiranya sindiket ini tidak terbongkar, bayangkan apa akan jadi kepada Pulau Pinang apabila individu ini dinaikkan pangkat kelak. Tanpa suruhanjaya siasatan yang bebas, saya khuatir penangkapan pegawai tinggi JPN ini hanyalah untuk menutup siapa pengkhianat sebenar yang menyerahkan negara kepada yang tidak berhak.
 
“Islam Memimpin Perpaduan”
 
YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
18 September 2019/ 18 Muharram 1441H - HARAKAHDAILY 18/9/2019

KOMPOSISI orang Melayu Islam dianggarkan sekitar 69 peratus daripada 33 juta penduduk di Malaysia. Jumlah yang besar ini harus disatukan terlebih dahulu dengan acuan Islam sebelum mengorak langkah membina peradaban baharu di negara ini. Dari segi politik pilihan raya, jumlah pengundi Melayu yang mengundi PAS dan Umno dalam PRU14 yang lalu adalah sekitar 70 peratus. Sekiranya jumlah ini digembleng secara positif, maka satu perubahan yang lebih baik akan dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia. 
 
PAS optimis penyatuan Melayu dengan acuan Islam mampu menstabilkan politik dan melonjakkan negara ke arah mercu yang lebih gemilang. Kekuatan politik Melayu juga akan menjadi benteng yang ampuh untuk mempertahankan tiang seri negara seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan seperti Islam Agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Hak Keistimewaan Orang Melayu dan Bumiputera. 
 
PAS juga ingin menegaskan bahawa penyatuan Melayu dengan acuan Islam tidak sesekali mengabaikan kaum lain untuk menganut agama pilihan mereka, menuturkan bahasa ibunda mereka dan menafikan hak ekonomi mereka. Perkara ini jelas dijamin dalam peruntukan Perlembagaan dan tidak berubah. Penyatuan Melayu sebagai kaum majoriti mesti diposisikan dengan baik. Hal ini bukan hanya untuk kepentingan politik pilihan raya, tetapi untuk kesejahteraan kedaulatan negara. 
 
PAS mahu mengingatkan DAP dan Pakatan Harapan supaya tidak mempamerkan dakyah ‘bogeyman’ dengan melabelkan penyatuan ummah sebagai klepto-teokrasi, talibanisme, rasisme dan ekstremisme. Walhal, pada masa yang sama DAP begitu rancak mempromosi ‘The Kingdom of God’ dan ‘The Jesus Manifesto’ seperti yang diungkapkan oleh YB Steven Sim Chee Keong (Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Ahli Parlimen Bukit Mertajam - DAP) dalam forum Naratif Malaysia Baharu yang diadakan di Kota Damansara, 14 September lalu. 
 
Apa yang diperjuangkan oleh PAS dan Umno adalah penyatuan ummah yang lebih inklusif dengan mengutamakan perpaduan orang Melayu dan Islam tanpa prejudis terhadap kaum lain. Ia selaras dengan tuntutan Islam, Perlembagaan dan konteks sejarah dan kepentingan semasa. Bagaimana pula dengan DAP? Adakah agenda kristianisasi dalam politik Malaysia satu tindakan yang wajar? PAS menggesa pihak polis menyiasat penganjuran dan kandungan forum tersebut bagi mengelakkan kecelaruan dalam kalangan rakyat.
      
Sekian, terima kasih.     
 
TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
Ahli Parlimen Malaysia (Kubang Kerian)
18 Muharram 1441 | 18 September 2019 - HARAKAHDAILY 18/9/2019

BUKIT MERTAJAM: PAS Cawangan Taman Impian telah menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kemalangan, Noorfakrul Ariff Noorfarizal, 18 di kediaman beliau, di sini.

Sumbangan telah disampaikan Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Mertajam, Azmi Jamri yang hadir melawat bersama Ahli Jawatankuasa dan Muslimat PAS Taman Impian, kelmarin dahulu.

Mangsa yang mengalami kecederaan serius di bahagian bawah mata, dahi dan rahang kiri itu masih berehat ketika ditemui bersama ibunya, Norain Basir di kediaman mereka di Taman Impian Indah.

Dalam kejadian 21 Ogos lalu, Noorfakrul yang menunggang motosikal telah berlanggar dengan motosikal lain dari bahagian hadapan dan terpaksa menjalani pembedahan selama 7 jam.

Oleh itu, sumbangan pihak PAS itu sebagai meringankan beban keluarga ini yang menanggung kos RM5,000 bagi tujuan tersebut dan masih memerlukan rawatan susulan di Hospital Pulau Pinang. - HARAKAHDAILY 18/9/2019

BATU GAJAH: Lajnah Dakwah PAS Kawasan Batu Gajah telah mengadakan majlis gotong-royong memasak bubur asyura dengan anjuran bersama PAS Cawangan Bemban Raya, di sini.

Majlis yang turut menyediakan masakan bubur lambuk ini telah dilangsungkan dengan jayanya di kediaman Ketua Penerangan PAS Batu Gajah, Muhammad Fadhzil Adnan, kelmarin.

Juga terlibat bersama menggabungkan tenaga pada program digerakkan 44 petugas ini adalah Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Batu Gajah dipimpin Komandan, Wan Hammad Wan Alias.

Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Batu Gajah, Ustaz Mohd Esa Abdul Kadir menyifatkan majlis telah disuntik gelombang Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) yang berakhir sehari sebelumnya.

Malah katanya, majlis yang turut melibatkan jiran tetangga berhampiran itu juga menyemarakkan semangat patriotik kenegaraan apabila diadakan bersempena Hari Malaysia.

Dua jenis bubur dengan masing-masing membawa rasa manis dan masin itu kemudiannya dibungkus dan diedarkan kepada lebih 200 penduduk selepas solat Zohor. - HARAKAHDAILY 18/9/2019 

IMG 20190918 WA0004

MACAM dah tak ada modal, sebelum ini mereka meratib PAS Umno nak bersama dalam kasus UG, khasnya sejak tahun 2015, sebelum pun mereka jadi kerajaan lagi hingga pemilihan PAS pun mereka ganggu.

Nah sekarang PAS telahpun sah bersama dengan Umno malah memeterai Piagam Muafakat Nasional (PMN) untuk semua kaum, bukan untuk hanya Melayu sahaja, kerana prinsip asas penyatuan ini adalah Islam yang adil kepada semua.

Kalau pihak PAN ada Rahmatan Lil Alamin yang sering rahmatnya hanya untuk membela DAP. Berbeza dengan PAS ada Islam Memimpin Perpaduan, tidak mengetepikan langsung kaum lain, malah PAS menjamin kelangsungan kaum lain dengan keadilan Islam. Lihat sahaja contoh di Kelantan, patung Buddha terbesar berada di Tumpat, tiada pun diganggu jauh sama sekali dirosakkan.

Non Muslim di sana hidup dalam keharmonian yang jitu, walau apa sahaja provokasi berlaku di luar Kelantan, namun rakyat di sana sudah biasa dengan keharmonian Serambi Makkah, jauh sama sekali mereka mahu merungut rasa tidak selamat berada di negeri yang ditadbir PAS.

Adapun doktrin jahat DAP yang kerap mengusik Kontrak Sosial dan Perlembagaan Negara memberi gambaran bahawa mereka benar-benar mahu menjayakan Malaysian Malaysia dalam erti kata lain, projek 'men - Singapura' kan Malaysia.

Disebabkan itulah mereka cukup bimbang akan penyatuan Umno-PAS dan Piagam Muafakat Nasional ini.

Lantas mereka melalui orang suruhan menjayakan misi menyerang PAS khasnya bertubi-tubi, malah memfitnah PAS bersama perompak.

Ingatkah kita semua siapa yang menggelar Umno sebagai perompak? Bukankah mereka yang berada dalam PAN, DAP, PKR dan Bersatu yang acap kali sebenarnya sejak dahulu menyerang dan menggelar Umno sebagai perompak.

Malah dalam dakwaan isu RM90 juta, ternyata hari ini dakwaan itu lenyap kerana SPRM telah menyatakan sebaliknya.

Maka hari ini setelah gagal membuktikan dakwaan jahat itu, mereka mengalih pula persepsi rakyat agar melihat PAS-Umno ini rasis.

Kenapa? Mereka kini mula mahu menutup "bangkai gajah" yang mereka simpan sendiri.

Kelemahan ketara sejak mereka menerajui negara adalah gagal mengotakan janji pilihan raya, gagal mengembalikan kestabilan ekonomi dan politik, malah mereka gagal menyakinkan pelabur untuk berurusan di negara ini.

Lebih mengecewakan, mereka berbalah sesama sendiri termasuk tidak malu memaparkan adegan hanyir angkara mahu merebut kuasa.

Perang kem Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir Mohamad tidak berkesudahan, malah kini memuncak, sedangkan rakyat tidak mahu melihat semua ini. Janji "Malaysia Bersih" dalam slogan mereka hanya janji palsu, mereka juga kini dikaitkan dengan projek kronisme, rasuah dan sebagainya. Hanya yang bergembira adalah DAP kerana berjaya melaga-lagakan parti Melayu dalam PH dan menjadikan PAN sebagai "ayam tambatan" bagi menyerang dan menangkis musuh.

Kenapa DAP memperkuda PAN?

Kita susuri sedikit sejarah DAP menentang agenda Melayu.

DAP adalah parti serpihan Parti Tindakan Rakyat Singapura (People’s Action Party - PAP) yang ditubuhkan pada 1954 di mana pelopor awal PAP, Lee Kuan Yew bertindak sebagai Setiausaha agung parti itu. Sejurus Singapura berpisah daripada Persekutuan Malaysia pada 9 Ogos 1965, pendaftaran PAP di negara ini dibatalkan sebulan kemudian.

Diketuai Ahli Parlimennya, Devan Nair - yang ditinggalkan oleh PAP - cuba menghidupkan PAP yang baharu dengan nama Parti Tindakan Rakyat Malaysia, namun pendaftar pertubuhan menolak penubuhan PAP kerana nama sama itu akan mengelirukan orang ramai.

Kemudian Devan Nair menggunakan nama baharu, ‘Parti Tindakan Demokratik’ atau DAP.

Pada 3 Mac 1966, surat dari Pendaftar Pertubuhan menolak penubuhan DAP kerana perlembagaan parti itu tidak selaras dengan peraturan undang-undang Pendaftaran Persatuan.

Pada 19 Mac (1966) pendaftaran DAP diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan. Devan Nair berulang kali menegaskan bahawa DAP tidak akan mengamalkan dasar perkauman dan berusaha mencantumkan kembali Singapura ke dalam Malaysia.

DAP yang baru ditubuhkan itu dipelopori pula oleh setiausaha politik Devan Nair, Lim Kit Siang yang dikatakan mempunyai pertalian keluarga dengan Kuan Yew yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Dalam Pilihan Raya Umum 1969, DAP dan Gerakan (ketika itu masih menjadi pembangkang) menang besar di Selangor. Perikatan dianggotai Umno, MCA dan MIC pula hilang majoriti dua pertiga. DAP dan Gerakan menjadi ‘besar kepala’.

DAP menggunakan kebebasan bersuara tanpa batasan dan kawalan untuk mengutuk dan menghina bangsa Melayu dengan kata-kata kesat dan mengaibkan dalam perarakan besar-besaran di Kuala Lumpur dengan membawa sepanduk dan pembesar suara.

Itu hanya baru 12 tahun selepas kaum Cina diberi taraf kerakyatan penuh melalui dasar ‘jus soli’ sebagai salah satu syarat utama British untuk kemerdekaan.

Menurut laporan rasmi Majlis Gerakan Negara (mageran) yang dipengerusikan oleh Almarhum Tun Abdul Razak Hussein, tindakan DAP mengadakan perarakan jalanan meraikan kemenangan mereka dengan menghambur sentimen perkauman terhadap bangsa Melayu menjadi pencetus kepada rusuhan kaum yang menelan korban lebih 2,000 nyawa.

Pucuk pimpinan DAP sering mencanangkan parti itu sebagai harapan baharu untuk semua kaum dan bangsa.

Namun tindak tanduk parti itu sehingga sekarang tidak menampakkan kemurnian berkenaan.

Lihat sahaja selepas mereka menjadi kerajaan dan "meng-abang long" kan parti mereka sebagai parti pengemudi kerajaan PH.

Mereka tidak takut sudah untuk mengganyang Melayu sama ada isu berkaitan agama mahupun isu hak Melayu, dan tidak kurang menyentuh institusi beraja.

Selepas HPU914, mereka semakin merasai bahawa PH hanya akan jadi kerajaan sepenggal, disebabkan itu penyatuan Umno-PAS mula di "doktrin" kan sebagai ekstremis.

Label ini semata-mata mahu diletakkan kepada PAS-Umno agar non Malay akan terus menjauhi PAS-Umno.

Usaha mereka ini tidak akan berhenti, lihat sahaja bagaimana media mereka memainkan peranan memutarbelitkan ucapan Tuan Guru Abdul Hadi Awang di himpunan sambutan 16 September di Sarawak.

Malaysiakini menggunakan tajuk "Jangan biarkan Cina Kuasai Sarawak" dengan tujuan mahu membangkitkan rasa marah kaum Cina kepada PAS, walhal secara terang Tok Guru menyebut Cina DAP.

Nak dikatakan mereka tak faham, kita semua tahu mereka sebenarnya amat faham, namun strategis mereka mahukan agar tajuk yang dibuat memberi gambaran awal dan membangkit rasa amarah..

Inilah kerja mereka sebenarnya sejak sekian lama, melaga-lagakan agar keharmonian dapat diinjak.

DAP akan terus gunakan isu perkauman dan rasis untuk menyentap sokongan rakyat kepada penyatuan PAS-Umno, tatkala mereka gagal meyakinkan rakyat akan prestasi mereka mentadbir negara.

Mereka habis modal, apa sahaja yang lalu di hadapan mereka putar semahunya agar sokongan rakyat terarah kepada mereka. - HARAKAHDAILY 18/9/2019