GAGASAN 'Malaysian Malaysia' boleh mencabar Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. DAP berselindung di sebalik gagasan ini bagi menutup ketidakpuasan hati mereka terhadap perkara ini. DAP kononnya hendak menjadi juara bagi menyelesaikan masalah jurang atau ketegangan yang berlaku antara orang Melayu dan kaum lain dengan memastikan peluang yang sama dapat dinikmati oleh semua kaum tanpa mengira warna kulit.

DAP dengan idealogi perjuangan Sosialis Demokrat mendakwa mereka menggunakan saluran demokrasi bagi membetulkan ketidakadilan sosial dan ekonomi yang mahu menghapuskan ketidaksamaan dalam pembahagian kekayaan negara dan mahu menyusun semula sistem ekonomi Negara yang dilihat menekan setengah pihak.

Pemimpin Melayu terdahulu telah berjaya meletakkan kedudukan istimewa orang Melayu sebagai satu hak yang kekal dan dilindungi melalui peruntukan dalam Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan. Orang Melayu diiktiraf sebagai kaum Bumiputera dan pada masa yang sama bersetuju menerima kaum bukan Melayu sebagai rakyat Tanah Melayu. Dengan ini, kaum bukan Melayu tidak perlu khuatir bahawa hak dan kepentingan ekonomi mereka akan hilang.

Sistem politik Islam yang diperjuangkan oleh PAS tidak pernah menafikan hak mana-mana kaum atau bangsa kerana prinsip Islam adalah prinsip yang berasaskan kepada Pencipta sekalian alam yang bersifat Maha Sempurna.

Firman Allah S.W.T dalam surah al-Syura ayat 15 yang bermaksud:

"Dan Aku diperintahkan supaya berlaku adil antara kamu".

Dalam ayat yang lain, Allah S.W.T mengingatkan:

“Dan apabila kamu mengatakan sesuatu, maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu)."

 (al-An'am ayat 152)

Muslimat PAS membantah dan menggesa agar Gagasan ‘Malaysian Malaysia’ yang tercetus dari mulut pemimpin DAP tidak menjadi kenyataan. Jangan bakar amarah rakyat! Jangan ancam kedaulatan dan keselamatan Negara Malaysia yang tercinta. Kerajaan perlu tolak dan menghapuskan terus impian gagasan ‘Malaysian Malaysia’!

DR NAJIHATUSSALEHAH AHMAD
Ketua Penerangan
Dewan Muslimat PAS Malaysia
17 Muharram 1441
17 September 2019 - HARAKAHDAILY 17/9/2019

INDERA MAHKOTA: Nisa' Indera Mahkota telah menganjurkan program Santai Walk Away yang bertemakan "Sayang! Jom Sihat" yang diadakan di Perumahan Balok Perdana dan Taman Balok Makmur, di sini kelmarin.

Program julung kali ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Nisa' Indera Mahkota, Huda Jameelah Mohamad yang turut memberi suntikan semangat untuk acara kemasyarakatan sedemikian disemarakkan.

Beliau menerangkan peranan NGO Nisa' dalam kesukarelawan dan kebajikan menerusi penglibatan wanita muda dari usia 13 tahun hingga 40 tahun, serta inisiatif-inisiatif terhadap golongan asnaf terutamanya.

Program berjalan kaki 5 kilometer mengelilingi kawasan penempatan yang diikuti 70 peserta dari pelbagai peringkat umur ini telah dipimpin sendiri Ketua Nisa' Balok Perdana dan Balok Makmur, Nurnadiatunnajihah Shamsudin dan Nurul Hafizah Imani Bakri.

Peserta juga mengikuti sesi pengisian rohani pada slot Taujihat Hati yang disampaikan Pengerusi Sahabat Telekung Kuantan, Che Ku Shaherawati Che Ku Jusoh di mana sangat menjentik iltizam untuk menggapai redha Allah. - HARAKAHDAILY 17/9/2019 

IMG 20190917 WA0015

IMG 20190917 WA0016

PAYA BESAR: Jabatan Pilihan Raya Muslimat PAS Negeri Pahang telah mengadakan jelajah ke Parlimen Paya Besar dengan mengadakan program di Balai Islam Darussalam, Permatang Badak, di sini kelmarin.

Program bertujuan memberi pemahaman dan penerangan kepada jentera mengenai gerak kerja pilihan raya yang disampaikan Pengarah Pilihan Raya Muslimat PAS Kawasan Paya Besar, Aminah Othman.

Turut menyampaikan pembentangan kepada 83 peserta mewakili Dun Panching, Dun Lepar dan Dun Sungai Lembing ini adalah Timbalan Pengarah Pilihan Raya Muslimat PAS Pahang, Solehah Shah.

Aminah memahamkan peserta mengenai struktur oganisasi, gerak kerja dan data-data pengundian, manakala Solehah menerangkan perubahan terbaharu organisasi serta pelan strategi dan tatacara kerja.

Peserta turut diberi suntingan semangat dan peringatan untuk memperkasakan amalan AKIFI dan sentiasa memperteguhkan pergantungan kepada Allah S.W.T. - HARAKAHDAILY 17/9/2019

IMG 20190917 WA0014

BACAAN Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi Sarawak di catat pada pagi ini iaitu 359 di bahagian Sri Aman atau Betong. Trend menaik secara mendadak semenjak tengah malam tadi berikutan pembakaran terbuka berdekatan bahagian ini semalam. Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak (DMPNS) menyarankan agar ahli masyarakat sentiasa prihatin dengan tahap kesihatan udara sebelum melakukan aktiviti luar.

Sejarah menunjukkan bahawa jerebu terburuk di Malaysia berlaku pada 19 September 1997 dengan IPU melebihi 650 menyebabkan kerajaan mengisytiharkan darurat di Sarawak. Pergerakan angin yang membawa debu akibat pembakaran terbuka di bahagian negara jiran Sumatera dan Kalimantan, Indonesia menjadi punca ketika itu. Selain itu, cuaca kering panas turut mengakibatkan kebakaran drastik di hutan-hutan di Malaysia khususnya di tanah gambut sekaligus memburukkan lagi keadaan.

Pada 25 Oktober 2015 juga fenomena pembakaran hutan di Indonesia dan dua ribut di Selatan Filipina turut mengakibatkan jerebu teruk di Sarawak kerana asap jerebu beralih ke negara kita.

Kini di tahun 2019, masalah jerebu sekali lagi melanda negara sejak 16 Ogos yang lalu akibat tiupan angin monsun Barat Daya yang menolak udara pembakaran terbuka ke Malaysia dan negara sekitar.

Cuaca ini akan merisikokan kesihatan terutamanya kepada kanak-kanak, pesakit asma serta jantung. DMPNS berharap agar semua pihak mengurangkan aktiviti di luar rumah serta perbanyakkan membasuh muka kerana udara yang tercemar boleh memedihkan mata.

Selain itu, penggunaan topeng muka yang betul iaitu topeng Respirator N95 yang mampu menapis habuk sekecil 0.3 mikrometer sangatlah digalakkan bagi memastikan udara yang kita hirup sentiasa bersih.

Jerebu ini merupakan teguran Allah bagi kita manusia kerana alpa dengan kehidupan duniawi. Allah berfirman di dalam surah Fussilat ayat ke 11;

ثُمَّ اسْتَوَىٰ إِلَى السَّمَاءِ وَهِيَ دُخَانٌ فَقَالَ لَهَا وَلِلْأَرْضِ ائْتِيَا طَوْعًا أَوْ كَرْهًا قَالَتَا أَتَيْنَا طَائِعِينَ

"Kemudian Ia menunjukkan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Ia berfirman kepadanya dan kepada bumi: "Turutlah kamu berdua akan perintahKu, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!" Keduanya menjawab: "Kami berdua sedia menurut - patuh dengan sukarela""

(Fussilat 41:11)

DMPNS menyeru agar semua rakyat Malaysia khususnya Sarawak mengadakan solat hajat memohon keampunan dari Allah dan berdoa agar hujan turun seperti saranan diberikan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

HAMIDAH MOKHTAR 
Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak - HARAKAHDAILY 17/9/2019

KEADAAN negara pada hari ini lebih bahaya berbanding keadaan ketika Tanah Melayu mula-mula dijajah oleh British yang berhasrat menakluk negeri-negeri di Tanah Melayu untuk mengaut hasil bumi di negara ini.

Ketika itu, orang Melayu yang berkumpul dan berhimpun merancang strategi untuk menentang British tidak pula dituduh oleh British bahawa orang Melayu bangsa rasis.

Kerana British mengakui bahawa itu adalah hak orang Melayu untuk mempertahankan tanah air ini dari imperialis seperti mereka.

Demi mencapai kemerdekaan, hak itu telah dijamin oleh British dalam Perlembagaan Persekutuan yang sekarang ini sedang cuba "dikuis-kuis" oleh pemimpin kaum minoriti dari PH dengan bantuan pemimpin-pemimpin Melayu PH.

Ia juga menjadi cukup berbeza, selepas orang Melayu sanggup berkongsi hak milik tanah mereka dengan sejuta kerakyatan kepada kaum lain pada satu masa dulu yang kini tidak langsung dihargai.

Hari ini, orang Melayu dan agama Islam diherdik, dihina dan dicemuh sebagai rasis apabila berkumpul beramai-ramai seperti yang berlaku baru-baru ini dalam Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) pada Sabtu lalu.

Bertubi-tubi serangan dan persepi jahat cuba ditanam oleh pemimpin DAP kepada rakyat supaya membenci penyatuan perpaduan orang Melayu dan Islam yang melibatkan dua parti terbesar PAS dan Umno.

Dianggar puluhan ribu memenuhi ruang segenap Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) melestarikan sokongan orang Melayu terhadap himpunan anjuran PAS dan Umno.

Mereka yang berseteru selama lebih 60 tahun akhirnya bersama sepentas dan menjadi saudara dengan memecahkan keegoan tanpa menggadai prinsip Islam yang diperjuangkan selama ini demi menyelamatkan hak orang Islam khususnya Melayu.

Mengapa terbitnya sokongan sebegini ramai?

Penyertaan puluhan ribu orang Melayu dan orang Islam pada HPU914 menunjukkan orang Melayu berada dalam keadaan resah dan cemas.

Tekanan demi tekanan terhadap bangsa Melayu dan agama Islam terpaksa dihadapi apabila pemimpin bangsa minoriti khususnya DAP mula menunjukkan taring sebenar mereka.

Orang Melayu seolah hilang hak untuk bercakap tentang keresahan mereka, kerana seolah "terlucut" hak bersuara selepas nenek moyang mereka sudi berkongsi hak tanah ini dengan kaum lain.

Kaum majoriti negara ini, hilang kebergantungan kepercayaan kepada pemimpin-pemimpin Melayu dalam kerajaan hari ini yang boleh menyuarakan keselamatan dan mempertahankan hak mereka dan kedudukan agama Islam di negara ini.

Ancaman demi ancaman terhadap hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan agama Islam dan Raja-raja Melayu meletakkan orang Melayu sebenarnya berada dalam keadaan kebimbangan.

Jika orang Melayu dan mereka yang beragama Islam berhimpun, lalu tidak dibenar bercakap mengenai keresahan yang sedang membelenggu mereka yang melibatkan masa depan generasi mereka maka eloklah mereka dilucutkan sahaja hak kerakyatan.

Asal berhimpun sahaja dianggap rasis, asal bercakap tentang hak dianggap rasis. Inilah tuduhan yang berlegar-legar di ruangan media sosial yang juga dianggap PH mengganggu kestabilan negara jika penyatuan ini berkesan.

Usaha PAS dan Umno menjernihkan hubungan sesama orang Melayu dan orang Islam menjadi kerisauan utama pemimpin-pemimpin kaum minoriti di negara ini.

Suasana cemas yang ditanggung oleh majoriti orang Melayu dan penganut agama Islam sejak setahun lalu mula berpatah balik kepada PH.

Saban hari saban saat ada sahaja komentar negatif yang terbit dari pemimpin-pemimpin PH mengenai HPU914.

Tidak kurang juga peranan portal pro PH di media-media sosial yang tidak henti-henti cuba melumpuhkan usaha jalinan kerjasama PAS dan Umno yang sedang rancak berjalan.

PH ibarat takut kepada bayang-bayang sendiri, mereka sendiri meramalkan perpaduan antara PAS dan Umno sekadar retorik semata-mata.

Ini mempamerkan PH dilihat seolah tidak yakin dengan perjuangan yang dibawa oleh PH, seolah-olah PH sendiri membenarkan retorik "kerajaan sepenggal" itu hampir menjadi kenyataan.

PH bertambah resah apabila orang Melayu dan orang Islam yang datangnya daripada pelbagai ideologi politik kini dilihat bersatu dalam kempen Buy Muslim First (BMF).

Kempen BMF ini perlahan-lahan sedang menjernihkan hubungan sesama orang Melayu dan orang Islam sekali gus memupuk semula ikatan persaudaraan yang selama ini saling bermusuh kerana perbezaan politik.

Mereka boleh bersatu dan pasti akan bersatu. Inilah yang sedang ditakuti oleh rata-rata pemimpin PH. Perpaduan orang Melayu berkuasa menggulingkan kerajaan PH yang bongkak, berjalan mendabik dada.

Jika PH rasa betul dengan perjuangan yang mereka bawa, tidak wajar kiranya untuk timbul bibit cemas dan resah terhadap kerjasama PAS dan Umno ini.

Terpaterinya Piagam Mufakat Nasional dalam HPU914 pada Sabtu lalu adalah cukup tepat, ia sekurang-kurangnya membenarkan orang Melayu meluah rasa lega kerana dua parti ini berperanan besar menjulang semula apa yang telah dimulakan dan dipertahankan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. - HARAKAHDAILY 17/9/2019

HARI ini semakin semarak kempen BMF Buy Muslim First yang sangat menggalakkan. Saya mengajak kepada semua sahabat-sahabat untuk memahami beberapa konteks agar usaha ini terarah kepada kefahaman dan bukannya sentimen semata-mata.

Memahami erti asobiyyah yang terlarang

Perkara pertama yang perlu difahami ialah maksud sebenar asobiyyah yang dilarang di dalam Islam sepertimana Hadis Nabi S.A.W;

أن تعين قومك على الظلم

"Asobiyyah bermaksud kamu membantu kaum kamu atas dasar kezaliman."

Sekiranya kita membantu perniagaan muslim, ia bukanlah asobiyyah atau perkauman, kerana ia bukanlah bentuk kezaliman, bahkan ia digalakkan di dalam Islam. 

Akan tetapi kezaliman yang sebenar ialah dasar kapitalis dan konsep monopoli yang menjerut leher peniaga-peniaga kecil, apatah lagi penindasan terhadap perniagaan orang Islam.

Membantu memperkasakan geng kapitalis dan monopoli dalam keadaan bukan dharurat (ada pilihan) adalah sesuatu yang haram kerana ada hadis Nabi S.A.W yang mengharamkannya.

Justeru, istilah asobiyyah ini tidak wajar dilabelkan kepada mereka yang berprinsip atas jamaah kesatuan Islam, dan tidak wajar juga dilabelkan kepada mereka yang memperjuangkan Islam untuk membangunkan anak bangsanya.

Memahami konsep mengutamakan orang beriman

Perkara kedua yang perlu difahami ialah aspek keutamaan (الأولاويات) dalam bermuamalat. Mengutamakan orang Islam berbanding orang kafir telah digazetkan oleh Allah S.W.T secara umum di dalam al-Quran.

Antaranya kisah asbabun nuzul Surah Abasa, yang meletakkan keutamaan layanan kepada orang Islam berbanding pembesar Quraisy Makkah. Antara yang lain dalam bab kepimpinan dan juga dalam bab penjagaan rahsia yang lebih kuat penegasannya.

Allah S.W.T berfirman:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

(at-Taubah 71)

Ibnu Kathir menafsirkan ayat "kerjasama sesama orang beriman" di dalam ayat ini dengan mengaitkan hadis Nabi S.A.W:

المؤمن للمؤمن كالبنيان يشد بعضه بعضا وشبك بين أصابعه

"Hubungan sesama orang beriman itu umpama binaan, saling menguatkan antara satu sama lain. Sabda Baginda S.A.W sambil merapikan jari-jemarinya."

Memahami keutamaan bersatu berbanding berselisih

Perkara ketiga yang perlu difahami ialah keperluan dan kewajipan ummat Islam bersatu. Bukan bersatu atas dasar nasionalism yang dipesongkan oleh Barat, bukan juga bersatu atas dasar sekularism yang dihidangkan oleh musuh.

Akan tetapi kesatuan yang dimaksudkan ialah kesatuan di atas dasar Aqidah dan Islam serta keutamaannya. Kesampingkan perkara-perkara cabang yang sentiasa membawa kepada perselisihan.

Perkara ini diingatkan oleh Dr Yusof al Qaradhawi dalam kitab Fiqh Aulawiyyat (keutamaan) bahawa lebih utama kesatuan الاءتلاف berbanding perselisihan الاختلاف. Apatah lagi zaman hari ini sangat memerlukan kesatuan Islam.

Bahkan di dalam perasmian Muktamar Antarabangsa Ke 10, Nadwah Antarabangsa Pemuda Islam di Kaherah pada 10 November 2006, antara yang disebutkan:

علينا أن نخرج الشباب من الحيرة إلى حيِّز النور، ولا ينبغي أن نشغلهم بالمسائل الجزئية والأحكام التفصيلية

"Kita sepatutnya mengeluarkan para Pemuda daripada kehairanan kepada ruang cahaya. Tidak sepatutnya kita menyibukkan mereka dengan permasalahan cabang dan hukum hakam yang terlalu rumit".

Memahami konsep kapitalism dan kronism

Asas sistem kapitalism ialah mengkayakan orang kaya, manakala orang miskin akan terus miskin. Mereka yang kaya mampu mengeluarkan modal untuk yang besar untuk mengaut keuntungan yang besar. Manakala orang miskin yang tiada modal, hanya mampu berniaga kecil-kecilan.

Dasar kapitalism ini hakikatnya sudah berakar umbi di Malaysia, sama ada zaman pemerintahan BN terdahulu atau zaman PH hari ini. Termasuk juga konsep monopoli yang sangat sinonim dengan amalan kronism yang sejak dahulu lagi diamalkan.

Kapitalism berkaitan dengan hakikat "membolot". Contoh yang berkaitan ialah kekayaan negara dibolot oleh kroni-kroni tertentu, lesen import eksport diberikan kepada kroni-kroni tertentu dan sebagainya.

Justeru, orang orang yang digelar kroni kepada pembesar negara pastinya dimandikan dengan kekayaan sekelip mata. Lalu mereka berniaga dengan rakyat marhaen yang lain untuk meluaskan lagi empayar kekayaan masing-masing.

Kesimpulan

1)     Jadikan semangat BMF ini sebagai satu kefahaman, bukan hanya semata-mata sentimen. Sentimen itu tak lama, adakala berapi-api, adakalanya sejuk membeku. Andai ia satu kefahaman, ia pasti maintain berterusan.

2)     Jangan hanya mengejar perpaduan untuk merebut label kroni atau kepentingan poket sendiri apabila sudah menang nanti. Akan tetapi luruskanlah perpaduan itu atas dasar Islam yang menentang kapitalism.

- MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL  - HARAKAHDAILY 17/9/2019

PASCA Himpunan Penyatuan Ummah (HPU 914), terdapat beberapa pihak termasuk ahli-ahli akademik yang menyuarakan bahawa hala tuju Muafakat Nasional tidak jelas meskipun piagam yang berkaitan dengannya telah dimeterai. Saya meyakini tanggapan mereka seperti itu adalah disebabkan mereka mahu satu paparan yang jelas tentang peta jajaran (roadmap) Muafakat Nasional menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15).

Mereka mungkin mahu mengetahui tentang apakah manifesto bersama, formula pembahagian kerusi, bayangan barisan kabinet dan lain-lain. Sebagaimana yang disebut oleh Presiden PAS sebelum, HPU 914 ini baru permulaan (baru buka dengan bacaan al-Fatihah), manakala PRU 15 masih jauh ke hadapan. Malah sekiranya perkara-perkara berkaitan PRU 15 telah wujud pun ia bukan untuk dikongsi umum atau belum tiba masanya untuk didedahkan.

Sebenarnya seusai sahaja HPU 914, agenda pertama Muafakat Nasional bukan PRU 15 tetapi satu kempen atau usaha besar-besaran untuk menyelamatkan negara Malaysia dan rakyatnya. Keempat-empat pimpinan PAS dan Umno yang berucap semasa HPU 914, Presiden PAS, Presiden Umno, Setiausaha Agung PAS dan Setiausaha Agung Umno, membangkitkan keperluan menggembeling usaha untuk segera menyelamatkan negara.

Tempoh menunggu PRU 15 hampir empat tahun lagi memungkinkan PH melumpuhkan negara Malaysia menjadi sebuah negara gagal (fail state) sebagaimana yang diutarakan oleh Presiden Umno. Presiden PAS pula menyebut keharmonian rakyat telah dirosakkan oleh hantu-hantu penjajah dan kestabilan negara diganggu oleh makhluk-makhluk perosak. Jelas sekali, kedua-dua pimpinan utama ini telah meniupkan semboyan untuk segera menyelamatkan negara.

Selepas Pakatan Harapan (PH) memperolehi kuasa pada 9 Mei 2018, satu persatu kerosakan negara telah berlaku dan ia semakin menjadi-jadi selepas ulang tahun pertama mereka berkuasa pada 9 Mei 2019 baru-baru ini. Kerosakan negara yang semakin ketara berlaku sekarang boleh dilihat kepada empat situasi berikut:

1.     Malaysia Baharu telah meruntuhkan tonggak-tonggak kontrak sosial yang menjadi asas pembentukan negara sehingga sudah mula bibit-bibit ketidakstabilan politik dan ketidakharmonian kaum.

2.     Kerajaan PH telah menjadi sebuah kerajaan yang lebih teruk terpalit dengan korupsi, kronisme dan nepotisme sehingga bukan sahaja merosakkan malah mengancam kedaulatan negara dengan kewarganegaraan palsu, penjualan aset negara kepada pihak asing dan seumpamanya.

3.     Malaysia Baharu telah terjerumus ke kancah kegawatan ekonomi yang serius dengan peningkatan hutang negara yang mendadak, penurunan nilai ringgit, penurunan harga barangan komoditi, kehilangan modal asing yang besar, kenaikan kos hidup dan lain-lain.

4.     Kerajaan PH telah terbukti sebagai sebuah kerajaan kakistokrasi (kerajaan lemah) dengan barisan Menteri-menteri yang tidak berdaya maju sehingga gagal untuk menunaikan janji-janji pilihan raya mereka sendiri serta tiada formula baru untuk memajukan negara.

Melihat kepada situasi-situasi yang semakin parah ini, agenda pertama Muafakat Nasional tidak boleh tidak harus segera menggembelingkan seluruh rakyat berbilang kaum untuk menyelamatkan negara Malaysia. Ketika para pemerhati politik menunggu-nunggu pelan menghadapi PRU 15, mereka mungkin terlupa ada agenda segera yang perlu dilakukan. - HARAKAHDAILY 16/9/2019

 

ADALAH sesuatu yang lumrah bagi pemimpin DAP untuk mengkritik PAS kerana dikatakan berpolitik menggunakan agama, khususnya kerana mahu mendirikan negara Islam, dan kerana dikatakan menyalahgunakan tempat ibadat seperti masjid dan surau untuk berpolitik.

Dalam forum bertajuk “Naratif Malaysia Baharu” (“New Malaysia Narrative”) di Mega Chinese Methodist Church, Kota Damansara, Selangor, pada 14 September 2019, inilah juga yang dilakukan oleh Steven Sim Chee Keong yang mengkritik Himpunan Penyatuan Ummah Umno-PAS (HPU 914) di PWTC yang berlangsung pada hari yang sama dengan forum ini.

Malangnya, waktu berkata begitu, sangat ironi sekali bila Steven Sim sendiri sebenarnya sedang berpolitik menggunakan agama, khususnya kerana mahu mendirikan Kerajaan Tuhan Kristian (the Kingdom of God), dan kerana menyalahgunakan gereja untuk berpolitik.

Dalam ucapan beliau, Steven Sim bercakap panjang lebar mengenai betapa indahnya Kerajaan Tuhan Kristian (how wonderful the Kingdom of God is), mengenai bentuk Kerajaan Tuhan Kristian (the shape of the Kingdom of God) dan mengenai jenis politik yang dimahukan oleh Tuhan (the kind of politics Jesus was talking about when he talked about politics).

Dinyatakan oleh Steven Sim mengenai “The Jesus Manifesto” yang didakwa terkandung di dalam Bible, lengkap dengan huraian panjang lebar mengenai empat cirinya yang didakwa terkandung di dalam salah satu surah di dalamnya di samping dakwaan bahawa apa yang dilakukan oleh beliau di Kementerian Belia dan Sukan adalah memenuhi empat ciri ini.

Lebih jauh lagi, Steven Sim juga mendakwa bahawa Kerajaan Tuhan Kristian adalah satu misi yang tidak dapat dihalang dengan menyebut dua kali:
(1)     “The Kingdom of God is an unstoppable mission, and the reason is simply this, God Himself will act on it, and that is our unshakeable confidence”.
(2)     “The Kingdom of God is unstoppable, and this is our answer to all the ideologies of capitalism, communism, socialism, liberalism, nationalism, God Himself is committed to act and ensure the success of His own Kingdom”.

Apa implikasi kepada seruan bahawa “The Kingdom of God adalah satu misi yang tidak dapat dihalang”?

Dan mengapa mengkritik Negara Islam PAS bila kamu sendiri bercakap mengenai “The Kingdom of God”?

DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF - HARAKAHDAILY 16/9/2019

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menggambarkan betapa strategi ala-penjajah Barat dahulu kala sebenarnya masih menjadi praktik parti politik tertentu di dalam negara ketika ini.

Menghamparkan sejarah tertubuhnya Malaysia, beliau menyusun semula penerangan tindakan penjajah Barat yang bukan sahaja mengasingkan kaum Melayu, Cina dan India, malah menggali kekayaan hasil bumi Tanah Melayu.

Imbasan penting tersebut dibentangkan beliau dalam ucapannya dalam Sambutan Hari Malaysia anjuran PAS Pusat dan PAS Negeri Sarawak di Rumah Panjang Gima, di Bintulu pagi tadi.

Menurut beliau, kekayaan hasil bumi terutamanya minyak di Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu masih belum dibahagikan secara adil sebagaimana ajaran Islam yang mendahulukan negeri sebelum dikongsi kepada Pusat.

Namun katanya, hanya 5 peratus hasilnya diberikan kepada kerajaan negeri, bahkan ada yang masih tidak menerima bayaran berkenaan, sedangkan rakyat di negeri terbabit pula antara penduduk miskin teramai dalam negara.

Ahli Parlimen Marang itu turut mengemukakan mengenai agihan dan penguasaan ekonomi serta hasil negara secara tidak seimbang yang digambarkan dengan monopoli kekayaan oleh satu kaum, sedangkan lainnya terus miskin.

"Bandar masih dikuasai oleh orang-orang Cina, mereka inilah (yang) merasai kekayaan dan ekonomi perniagaan. Kawasan pendalaman masih tempat tinggal orang Melayu, orang Iban dan lalin-lain dalam kemiskinan. Jumlah mereka paling besar, sepatutnya kekayaan ini dibahagi-bahagikan.

"PAS mahu supaya adil untuk semua, bukan untuk satu kaum sahaja. Contohnya Sabah dan Sarawak ada minyak, Terengganu dan Kelantan juga ada minyak, minyak dan gas di Malaysia. Contohnya negeri saya 60 peratus, 40 peratus lagi Sabah, Sarawak dan Kelantan.

"Tapi Kerajaan Pusat bagi 5 peratus sahaja, Sabah dan Sarawak masih diberi 5 peratus. Terengganu dengan Kelantan oleh kerana PAS yang menang, dia potong tak bagi, dalam hal ini Sabah Sarawak lebih baik, ada 5 peratus," ujar beliau.

Katanya, DAP seolah-olah sedang menekan kerajaan hari ini apabila berhempas pulas untuk mengekalkan susun atur yang meletakkan kaum Cina di bandar dan meneruskan legasi yang menjadikan mereka mengumpul kekayaan serta menguasai ekonomi di Malaysia.

Hal itu menurutnya, akan menyebabkan kaum lain terpinggir dan tertinggal di belakang dalam sektor ekonomi termasuk teknologi dan fasiliti canggih hari ini, sedangkan majoriti penduduk pula sebaliknya iaitu hidup dengan kekurangan kemudahan asas dan lain-lain.

"PRU lalu, BN jatuh. Tapi yang menguasai Malaysia hari ini PH. DAP yang memimpin paling besar, malangnya DAP mahu mengumpul kekayaan untuk orang cina sahaja, bukan untuk semua.

"Orang-orang lain masih dalam ketinggalan, padahal orang (Peribumi) asal lebih ramai daripada orang Cina, baik di Semenanjung begitu juga di Malaya. Mereka (orang Cina) menguasai ekonomi. Orang India, Melayu dipinggirkan," ujarnya lagi.

Menurut beliau, ini satu tindakan oleh pemerintah yang sangat jauh dari landasan sebagai sebuah kerajaan yang perlu mentadbir negara dengan adil, bahkan sepanjang pemerintahan PH harga barangan sangat mahal, selain kehidupan menjadi sangat rumit.

Hal tersebut jelas beliau, sekali gus memberi persepsi bahawa pemerintahan PH lebih teruk daripada BN.

"Sebab itu kita harap supaya rakyat selama ini utamakan, biar Bumiputera yang menguasai Sarawak ini, biar Melayu yang menguasai Sarawak ini, kita tidak halau orang Cina, tidak! Tapi jangan (kita biarkan) orang Cina (DAP) menguasai Sarawak ini.

"DAP mahu orang Cina menguasai Sarawak, kita kena halang, sebab itu Melayu Iban, dengan semua penduduk asal ini perlu bersatu, pertahankan kuasa bumiputera di Sarawak ini. Ini (yang) PAS minta. Supaya kita semua bersatu, jangan sokong DAP, jangan sokong parti-parti yang bekerjasama dengan DAP," serunya.

Melihat kepada sambutan dan semangat yang diberikan rakyat Sarawak terhadap PAS, beliau dengan senang hati mengakhiri ucapannya dengan menghadiahkan tiga rangkap pantuan buat orang asal Sarawak di dalam bahasa Iban bersama terjemahan.

Rumah Kima rumah bertuah,
Namanya pasti memahat sejarah,
Salam perpaduan Salam Muhibbah,
Dari jauh kami berziarah.

Rosli Dobi dan juga Rentap,
Pahlawan berani Bumi Kenyalang,
Moga hubungan bertambah mantap,
Negara Malaysia sama dijulang.

Alunan safi indah sekali,
Hari Malaysia ngajat ditari,
Rumah Kima kekal dihati,
Baik budi menggamit kemari. - HARAKAHDAILY 16/9/2019  

IMG 20190916 WA0054

IMG 20190916 WA0057

 

BINTULU: Memilih menyelesaikan masalah perselisihan dengan cara berpisah adalah pendekatan politik yang salah dan tidak bijak, demikian peringatan ditegaskan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau mengemuka contoh realiti berlaku iaitu Sudan Selatan yang berpisah daripada Kerajaan Pusat di mana setelah itu berperang sesama sendiri lantaran tidak dapat mengurus pemerintahan negara dengan baik.

Nasihat tersebut dikemukakan beliau dalam program An Evening With Presiden PAS yang diadakan secara terbuka dengan kehadiran ratusan penduduk di Pantai Tanjung Batu, di sini malam tadi.

"Sepatutnya negara ini makin hari makin besar, bukan makin hari makin kecil. Kalau berpisah negara jadi kecil. (Sedangkan) Dengan kita bersatu, kita kuat. Timor-Timur (Timor-Laste) berpisah dari Indonesia, dari Jakarta, buat kerajaan sendiri. Konon ada hasil minyak.

"Apa yang berlaku ialah orang Barat yang nak menguasai minyak yang ada. Orang Timor-Timur dapat apa? Tidak ada kekuatan, makin kecil. Bangladesh berpisah daripada Pakistan, menjadi negeri paling miskin di dunia. Kita kuat dengan kita bersatu. Cara nak menguat bukan dengan berpisah, tetapi selesaikan masalah itu.

"Selesaikan masalah perselisihan, selesai cara mengurus, bukan berpisah. Negara Eropah, mereka buat Kesatuan Eropah, EU, mereka tak berpisah. EU tiada hasil, tetapi dengan mereka buat Kesatuan Eropah, mereka jadi satu bangsa yang kuat.

"Tiba-tiba kita kesatuan Malaysia, kita minta pecah-pecahkan. Ini satu langkah yang tidak bijak dalam berpolitik," ujarnya menjawab antara soalan pertanyaan hadirin di majlis tersebut.

Ahli Parlimen Marang ini turut menyentuh keadilan Islam dalam menikmati kehidupan dan kemakmuran negara antaranya kekayaan mestilah dibahagi sesama rakyat tanpa mengira bangsa.

Tetapi katanya, perkara yang terjadi di negara ini apabila kekayaan hanya berpusing dalam kalangan orang-orang kaya terutama kaum Cina menyebabkan mereka terus kaya, sedang rakyat miskin bertambah miskin.

"Kita jual barang, dia letak harga. Dia jual barang dekat kita, dia letak harga. Selama-lamanya dia kaya. Tidak boleh begitu. Mestilah orang Iban kena ada (yang) kaya juga. Melayu ada kaya juga. Jangan orang Cina sahaja kaya.

"Kerana 70 peratus (penduduk Malaysia) adalah Bumiputera dan orang Melayu, (sedangkan) orang Cina (cuma) 24 peratus sahaja. Padahal kita sudah merdeka 50 tahun lebih. Mengapa jadi begini? Dengan sebab itu disebut hak istimewa Bumiputera, kena peratus mereka lebih besar.

"Walaupun demikian, kalau ada orang bukan Islam yang miskin, Cina yang miskin, India yang miskin, wajib kita tolong. Oleh kerana majoriti miskin ialah orang (Peribumi) asal, itu disebut hak istimewa," jelas beliau mengenai terma dalam Perlembagaan itu.

Tuan Guru turut menekankan betapa pemerintahan Islam memayungi dan menjamin hak keberadaan serta kebebasan semua warna kulit, keturunan, bangsa dan agama, sebagaimana bukti selama 1,400 tahun.

"Di Mesir, ada gereja yang dibina sejak 2,000 tahun sebelum Islam datang, tak dirobohkan hingga hari ini. Di Iran, masih ada rumah ibadah menyembah api orang Majusi. 300 ke 400 tahun sebelum, 3000 tahun sebelum Islam datang.

"Di Indonesia, Islam memerintah di Jawa. Bobobudur rumah ibadah bukan Islam masih ada hingga hari ini. Menandakan kita (pemerintah Islam) tidak paksa penganut agama lain masuk Islam," terang beliau. - HARAKAHDAILY 16/9/2019

ALHAMDULILLAH. Hari ini adalah hari yang penuh bersejarah dan sangat seronok dengan kejayaan penganjuran program Himpunan Hari Malaysia Ke-56 peringkat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat 2019 yang diadakan di Rh Gima, Kuala Tatau, Bintulu, Sarawak Darul Hana.

PAS mencipta sejarah tersendiri bila julung-julung kalinya menganjurkan program ini di Rumah Panjang di Bumi Kenyalang! Sambutan-sambutan sebelum ini diadakan sama ada di dewan, hotel atau premis di dalam bandar. Kali ini penganjuran secara unik dilaksanakan di ruai Rh Gima iaitu sebuah rumah panjang masyarakat etnik Iban. Selain himpunan, sebelumnya sejak awal pagi telah diadakan Karnival Rakyat dengan penganjuran pelbagai aktiviti menarik.

Lebih meriah, YB Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sendiri hadir merasmikan program ini. Turut hadir YB Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man (Timbalan Presiden PAS), Ustaz Idris Ahmad (Naib Presiden PAS), YB Dato’ Takiyuddin Hassan (Setiausaha Agung), Hj Jofri Jaraie (Pesuruhjaya PAS Sarawak), Dr Halimah Ali (Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat), Mr Balasubramaniam (Ketua Dewan Himpunan Pendokong PAS (DHPP) Pusat), Encik Achau Mujah (Ketua DHPP Sarawak), AJK PAS Pusat, Pesuruhjaya-pesuruhjaya PAS Negeri-negeri/ Wilayah dan ramai lagi pimpinan PAS dan DHPP.

PAS membuktikan bahawa sebagai parti Islam ia adalah adil dan terbuka untuk semua. Slogan “PAS For All” diterjemahkan melalui program yang dilaksanakan hari ini. PAS bukan sebuah parti ekstrem, tetapi sebuah parti yang kekal dengan jati diri, dasar dan prinsipnya sebagai Gerakan Islam dan mengamalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). PAS berjuang membentuk masyarakat Madani dalam konteks masyarakat majmuk berbilang kaum dan agama di Malaysia.

Tahniah dan jazakumullahu khaira jaza’ kepada Ahli Jawatankuasa Pelaksana yang diterajui oleh Encik Zulkipli Ramzi (Timbalan Pesuruhjaya 3 merangkap Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Sarawak), Encik Zharudin Narudin (YDP PAS Kawasan Bintulu) dan Encik Mohammad Arifiriazul Paijo (Setiausaha PAS Sarawak) serta semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.

Terima kasih juga buat semua penduduk rumah panjang Rh. Gima, Urusetia Program, Jabatan Amal, Briged Muslimat, Penerangan PAS Sarawak, Media PAS Pusat, jentera bantu yang datang dari seluruh Sarawak, seluruh masyarakat tempatan yang terlibat dari awal perancangan, perjalanan dan seterusnya bertungkus-lumus menjayakan program Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini. Taqabbalallahu minna wa minkum.

Demi Islam, Sayangi Malaysia: Malaysia Bersih!

Siiru ‘ala barakatillah, teruskan perjuangan!

MUHTAR SUHAILI AS-SARAWAKI,
AJK PAS Pusat dan
Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak. - HARAKAHDAILY 16/9/2019

 

IMG 20190916 WA0055 

IMG 20190916 WA0074

 

BINTULU: Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkongsi sejarah panjang Hari Malaysia dalam program An Evening With Presiden PAS di Pantai Tanjung Batu, di sini malam tadi.

"Malam ini kita menyambut hari Malaysia atau hari merdeka. Apa makna itu merdeka? Merdeka makna Orang Putih, orang Eropah, orang British yang menjajah kita, memerintah kita, pulang balik ke negeri mereka.

"Mereka tinggal kita di sini. Mereka bukan orang asal di sini, mereka datang ke seluruh dunia untuk menjajah, merompak hasil-hasil negeri kita, memperhambakan kita. Orang Putih daripada England, daripada Belanda, Sepanyol, datang membahagi-bahagikan daerah ini.

"Belanda menjajah Indonesia, British menjajah Malaysia, Sepanyol menjajah Filipina. Negeri mereka tidak ada hasil. Mereka datang untuk merompak hasil negeri kita, dan mereka memperhambakan kita. Oleh kerana kita lemah dengan sebab berpecah, berkelahi sesama sendiri," ujarnya.

Menurutnya, walaupun penduduk rantau ini dari satu rumpun; Indonesia, Filipina dan Malaysia; disebalik bahasa-bahasanya agak sikit berlainan, tetapi oleh sebab tidak bersatu, penjajah datang mengambil negeri dan memperhambakan penduduk.

Kemudian mereka itu katanya, bawa orang-orang Cina yang mereka jajah di Hong Kong, Macau, Taiwan dan lain-lain untuk kerja di sini dengan diletakkan di kawasan perlombongan, manakala orang India di estet getah.

"Orang Cina berniaga, mereka menguasai ekonomi dan kekayaan, menguasai kilang, lombong, bekerja untuk Orang Putih juga, untuk penjajah juga. Barang-barang kita jual kepada tauke-tauke Cina, pada kilang-kilang orang putih, dia yang tentu berapa harga dia beli barang kita.

"Dia proses, dia buat kasut, buat selipar, buat macam-macam, dia jual kepada kita, dia juga yang letak berapa harga. Cerdik ke kita? Kita jual barang, dia tentu harga, dia jual barang, dia tentu harga. Menyebabkan mereka menguasai kekayaan.

"Semua orang (penduduk) asal miskin, Melayu, Iban, Kadazan, Murut, semua miskin, termasuk orang India di estet India. Walaupun banyak barang-barang yang kita keluar, kita dimain-mainkan, kita lemah," terang beliau.

Peribumi bangkit berjuang

Jelasnya, Orang Putih berada di atas menjajah, namun pemimpin kaum peribumi asal Malaya bangkit melawan ramai pemimpin Malaya yang lawan Orang Putih hingga ada dibunuh, ditangkap dan dibuang negeri.

Termasuk di Sarawak katanya, ada orang Iban yang melawan Orang Putih di mana semua mereka bangun berjuang tanpa bersikap menyerah kalah hinggalah Perang Dunia Kedua, Orang Putih terpaksa guna khidmat anak negeri.

"Perang besar Jepun dan Jerman menyerang British, menyerang Eropah, menyerang negeri-negeri Barat. Mereka tak tahan, gunakan anak-anak negeri. Mereka janji, lepas perang, nak beri merdeka, nak beri merdeka, nak beri kemerdekaan.

"Maka Malaya merdeka, 31 Ogos 1957. Mengapa Sarawak kemudian, Sabah kemudian? 16 September tahun 1963, dikemudiankan? Diberi Malaya dulu, Indonesia merdeka daripada Belanda. Kemudian penjajah-penjajah ini dia bahagikan dunia ini.

"Amerika, British, Eropah, ini blok Barat. Soviet dan China itu Komunis. Dunia dibahagi dua, sebahagiannya untuk orang Eropah, iaitulah Amerika, British, Perancis, New Zealand, Australia, dan sebahagiannya dikuasai oleh Soviet Union dan China Komunis.

"Bila nak beri merdeka, British mahu beri merdeka pada Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura dengan membentuk Malaysia. Indonesia mahu Sabah Sarawak masuk dalam Indonesia. Indonesia bersama dengan China dan Soviet," terangnya.

Terbentuknya Malaysia

Menurutnya, terjadi persengketaan Malaysia dengan Indonesia dalam menentukan kedudukan Sabah, Sarawak dan Brunei menyertai pihak, tetapi masa itu PAS mahu supaya tiga negara bergabung dalam MaFilIndo, ataupun Melayu Raya.

Di mana PAS bertegas supaya Malaya tidak menyertai China, Rusia Soviet, mahupun tidak Barat, tetapi Umno dan lain-lain mahu membentuk Malaysia di mana dengan kemenangan pilihan raya, mereka membentuk Malaysia.

"Tetapi oleh kerana berkelahi antara Malaysia dan Indonesia, Bangsa-bangsa Bersatu membuat keputusan supaya diadakan referandum pilihan raya. Bertanyakan rakyat Sabah dan Sarawak, Brunei mahu masuk Malaysia ke Indonesia?

"Maka kemerdekaan 31 Ogos ditangguh pada 16 September. Rakyat Sabah dan Sarawak setuju masuk Malaysia. Brunei berasingan, mahu sendiri. Brunei mencapai kemerdekaan sendiri. Sabah Sarawak masuk Malaysia, bergabung dengan Malaya.

"Bermakna Orang Putih balik, dihalau. Kita sudah merdeka. Tetapi, cara pemerintahan, penyusunan masyarakat masih lagi ikut cara Orang Putih. Cina menguasai bandar, orang (Peribumi) asal duduk di kampung, di ulu, kawasan pedalaman.

"Mereka (orang Cina) menguasai ekonomi, di Semenanjung di Malaya begitu juga. Hari ini jumlah orang Melayu dan orang (Peribumi) asal, 70 peratus. Orang Cina 24 peratus sahaja. India dalam 8 peratus. (Tetapi) Orang Cina menguasai kekayaan 70 peratus," ujarnya menerang asas ketidakseimbangan itu.

Ketidakseimbangan kekayaan

Menurutnya, orang Melayu Bumiputera sedikit sahaja mendapat hasil kekayaan negara ini baik dari segi perniagaan, mahupun dari segi hasil bumi, minyak dan sebagainya, sedangkan Islam mengajar, hasil-hasil negeri adalah kepunyaan sendiri.

"Maka hasil-hasil itu hendaklah dimanfaatkan untuk negeri itu dahulu. Setelah lebih, barulah dikembalikan kepada Kerajaan Pusat. Ataupun pendekatan 20 peratus (negeri), 80 Kerajaan Pusat. Sebaik-baiknya selesai masalah negeri dulu.

"Di Negeri Sarawak, Sabah, Terengganu, Kelantan ada hasil minyak, gas. Minyak gas di Terengganu 60 peratus, paling banyak di Malaysia, negeri yang pernah PAS memerintah. 1959 kita menang, 1961 kita kalah. 1999 kita memerintah balik hingga 2004, kita ada hasil minyak.

"Tapi dia bagi 5 peratus sahaja. Terengganu patut lebih banyak, terima nasib yang sama dengan Sabah dan Sarawak. Hasil negeri paling banyak, tapi rakyat miskin paling banyak. Ini berlaku. Kita mahu betulkan balik," ujarnya tekad.

Jangan biar dikuasai

Pada PRU14 baru-baru ini ujarnya, PH telah berjanji hendak selesaikan masalah, di mana dengan PH dikuasai oleh DAP, telah mewujudkan kebimbangan Sarawak dan Sabah juga akan dikuasai oleh DAP, sekali gus penguasaan orang-orang Cina.

Sedangkan katanya, masyarakat majoriti dari kalangan Bumiputera, Melayu, Iban, Kadazan dan Dusun oleh kerana berpecah, telah menyebabkan DAP boleh menguasai bandar, menguasai negeri selain turut menguasai kekayaan lagi.

"Dia di bandar sahaja. Sedangkan hasil-hasil negeri banyak di kampung-kampung. Dengan sebab itu orang Bumiputera, orang (Peribumi) asal, orang Melayu mesti bersatu. Bukan kita nak halau orang Cina, tidak. Tapi biar dia faham, biar memerintah ini adil, jangan dia sahaja membolot kekayaan, lupakan orang-orang (Peribumi) asal.

"Dalam bab ini, orang (Peribumi) asal mesti faham politik, faham pilihan raya. Pilihan raya ini bukan RM50, RM100, RM1,000. Pilihan raya ini maknanya kita menentukan kerajaan yang memerintah negeri kita ini bagaimana, ini makna pilihan raya untuk 5 tahun. RM50 tak cukup, 50 tahun dia buat macam-macam pada kita.

"Maka saya nak peringatkan kepada penduduk asal Sabah dan Sarawak, supaya pertahankan kedudukan kuasa politik orang Islam, orang asal, terus menguasai Sabah dan Sarawak ini, kerana kita sahaja yang boleh buat adil untuk semua. Orang lain tak boleh buat adil untuk semua," serunya. - HARAKAHDAILY 16/9/2019