HARI ini kita menyambut ulang tahun pembentukan Malaysia dengan penuh rasa syukur atas rahmat kurniaan Allah S.W.T kepada kita rakyat Malaysia dari Tanah Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Peristiwa bersejarah 16 September ini adalah tarikh penting untuk dihayati bagi mengukuhkan perpaduan Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum, budaya dan agama.

Untuk mewujudkan suasana kehidupan yang menenangkan, semua kaum perlu tanamkan rasa cinta akan negara dengan sedia bekerjasama memajukan antara kaum agar wujud suasana saling mempercayai dan saling memahami antara kepelbagaian budaya dan agama.

Pihak kerajaan pula perlu prihatin dengan keperluan rakyat Malaysia terutamanya di kawasan pedalaman juga di Sabah dan Sarawak dari sudut pembangunan dan kemakmuran supaya tidak terus ketinggalan dengan kawasan bandar.

Di samping itu, pihak kerajaan perlu mengambil berat kebajikan dan keperluan semua kaum secara seimbang selaras dengan prinsip kebajikan Islam membela nasib rakyat tanpa mengira warna kulit.

Sementara itu, sebarang bibit perkauman yang boleh mengeruhkan usaha menyatupadukan masyarakat majmuk hendaklah dijauhi dan diambil tindakan dengan tegas dan berani kerana perpaduan adalah aspek penting yang perlu dipertahan dalam sesebuah negara.

Pembentukan negara Islam Madinah di bawah kepimpinan baginda Rasulullah S.A.W hendaklah dijadikan model pembangunan masyarakat majmuk yang bersatu padu membangunkan negara dalam keadaan harmoni lagi saling menghormati.

Justeru itu, Lajnah 'Alimat Dan Pembangunan Keluarga (LAPK) DUPP mengambil kesempatan untuk menyeru rakyat Malaysia kembali bersatu dengan meyakini keadilan Islam untuk semua serta sanggup mempertahan negara dari anasir yang menggugat keselamatan.

"Selamat Hari Malaysia."

Ikhlas daripada,

USTAZAH ANA MASTURA ISMAIL
Pengerusi Lajnah 'Alimat Dan Pembangunan Keluarga (LAPK),
Dewan Ulamak PAS Pusat
16/9/2019 - HARAKAHDAILY 16/9/2019

IPOH: Penyertaan program Fun Run Meru Raya 2019 di sekitar Bandar Meru Raya hari ini bertemakan baju berwarna hijau melebihi sasaran awal pihak penganjur.

Program anjuran bersama PAS Cawangan Meru Raya dan Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS) ini adalah bersempena Hari Kemerdekaan Ke-62 dan Hari Malaysia.

Pengarah DACS Malaysia, Ustaz Hafez Sabri merasmikan program dan bersama-sama berlari dengan para peserta yang turut disertai anak termuda berusia enam bulan.

Program ini mengukuhkan perpaduan masyarakat setempat, beriadah bersama ahli keluarga sambil menjalankan aktiviti 'plogging', mengutip sampah sekitarnya bersama-sama.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Kawasan Tambun dalam ucapan perasmiannya berkongsi hadis Nabi yang diriwayatkan dari Abu Hurairah R.A mengenai izzah Rasulullah S.A.W ketika berjalan kaki.

Ketua Penerangan PAS Tambun, Ustaz Rosli Azizan menyampaikan tazkirah ringkas berkaitan wira-wira negara berjuang memerdekakan Malaysia 62 tahun yang lalun yang diseru supaya diambil semangat dan dijejaki jasa mereka kepada negara.

Turut hadir menjayakan program, Ketua PAS Zon Meru, Ustaz Zabidi Zainal Abidin dan Ketua PAS Meru Raya, Mohd Aquil Mohd Yusof serta Pengarah DACS Tambun, Muhammad Safwan Jaafar. - HARAKAHDAILY 16/9/2019  

 

IMG 20190916 WA0034 

IMG 20190916 WA0035

IMG 20190916 WA0036

KUALA KRAU: PAS Kawasan Kuala Krau telah menganjurkan majlis Walimah Perdana 4.0 yang dilangsungkan di Dataran Jam Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, di sini semalam.

Sebanyak 10 pasangan pengantin baru diraikan dalam suasana gilang-gemilang di mana mereka selaku peserta majlis ini merupakan pengundi dalam Parlimen Kuala Krau.

Kemeriahan majlis juga diserikan dengan kehadiran sekitar 5,000 tetamu dalan kelancaran majlis yang berjalan teratur serta cuaca baik sepanjang berlangsung.

Antara pimpinan PAS Negeri Pahang yang hadir adalah Timbalan Pesuruhjaya, Ustaz Yuhanis Ahmad dan Ketua Pemuda, Ustaz Ahmad Zakhwan Badarddin, selain Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Krau, Mohammad Azli.

Juga hadir meraikan adalah Kadi Daerah Jengka, Ustaz Zaharudin Alias dan wakil Exco Agama Kerajaan Negeri Pahang, Yusuf Husin yang disambut Yang DiPertua PAS Kuala Krau, Ustaz Shahril Azman Abd Halim al-Hafiz.

Pengarah Majlis Walimah Perdana 4.0, Nazri Husien berkata, pihak PAS Kuala Krau komited untuk menjayakan pula siri 5.0 majlis ini tahun hadapan. - HARAKAHDAILY 16/9/2019 

IMG 20190916 WA0026

IMG 20190916 WA0028   

IMG 20190916 WA0029

IMG 20190916 WA0030

IMG 20190916 WA0031

KEMUNCAK perpaduan orang Melayu adalah dalam tahun 1946. Pada masa itu orang Melayu bersatu padu menentang Malayan Union. Selepas itu orang Melayu bersatu menentang ancaman pengganas Komunis; orang Melayu juga bersatu memperjuangkan kemerdekaan dan orang Melayu bersatu semasa menghadapi peristiwa 13 Mei.

Pada masa yang sama, dalam politik kepartian, orang Melayu mula berpecah, berpacah dan berpecah.

Sebaik sahaja perjuangan menentang Malayan Union berjaya dan Umno ditubuh, Umno berpecah apabila Dato’ Onn Jaafar meletak jawatan dan menubuh Independent Malaya Party dan kemudiannya Parti Negara. Nasib baik kedua-dua parti tidak kekal lama.

Dalam tahun 1951, setelah kalah kepada Tunku Abdul Rahman Putra dalam pemilihan Presiden Umno, Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan pula menubuhkan PAS yang memberi kesan perpecahan kapada orang Melayu yang terbesar dalam sejarah, hingga sekarang.

Dalam tahun 1963, Umno berpecah lagi apabila Abdul Aziz Ishak menubuh National Convention Party yang mati tidak berkubur.

Dalam tahun 1988, Umno berpecah lagi apabila Tengku Razaleigh menubuhkan Semangat 46. Walau bagaimanapun, ia dibubarkan lapan tahun kemudian, setelah ia, anihnya, berjaya menyerahkan pemerintahan negeri Kelantan kepada PAS yang kekal hingga sekarang.

Dalam tahun 1999, Umno berpecah lagi apabila Dato Seri Anwar Ibrahim disingkir dan menubuhkan PKR.

Dalam tahun 2016, tiba pula giliran Tun Dr Mahathir untuk menubuhkan parti baru, Bersatu. Bersatu bekerjasama dengan PKR, DAP dan PAN dan berjaya menjatuhkan pemerintahan BN yang diterajui Umno itu.

Mengenai PAS pula, dalam tahun 1977 PAS berpecah dengan penubuhan Berjasa oleh Dato’ Mohd Nasir dan Hamim oleh Dato’ Mohd Asri dalam tahun 1983. Baik bagi PAS, manakala Berjasa bertahan satu penggal, Hamim langsung tidak mendapat sambutan. Anihnya, Dato’ Asri mati sebagai seorang ahli Umno.

Dalam tahun 2015, PAS berpecah lagi apabila kumpulan Mat Sabu menubuh PAN.

Ini belum mengambil kira parti-parti kecil seperti KITA dan Ikatan dan parti baru, PUTRA.

Sementara itu, Umno yang telah reput dari dalam kerana pemimpin-pemimpinnya menghadapi persepsi rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang teruk, masih terlalu angkuh dengan kekuatannya. (Saya menggunakan perkataan “persepsi” sebab mahkamah belum mesabitkan pertuduhan terhadap mereka). PAS juga angkuh dengan kekuatannya. Kedua-duanya terus menentang satu sama lain dalam PRU 14 menyebabkan PH menang dengan bantuan undi bukan Melayu di hampir  30 kawasan Parlimen.

Maka, pada malam 9 Mei, 2018, Umno terduduk dengan kekalahan pertama dalam tempoh enam dekad. Mulanya PAS teruja dengan kejayaannya. Tetapi, tidak lama kemudian ia baru sedar mengenai kerugian sebenar. Maka barulah kedua-duanya mula berfikir untuk mencari jalan menjalinkan kerjasama. Alhamdulillah, selepas tiga Pilihan Raya Kecil, kesan positifnya telah mula dapat dilihat.

Dalam tempoh tidak sampai setahun PH memerintah, kita lihat hak dan kepentingan orang Melayu dihakis; agama Islam dan Rasul Allah S.A.W dihina; angkatan tentera diperlekehkan; tuntutan-tuntutan orang bukan Melayu, semakin melampau; Raja-raja, bendera negara dan lagu kebangsaan dihina; pelaksanaan undang-undang berat sebelah; keadaan ekonomi semakin teruk; ketenteraman negara semakin terancam; hubungan antara kaum semakin tegang; pegawai-pegawai awam dan institusi-institusi Islam dalam kegelisahan; kelakuan dan kata-kata yang biadab bertambah; bantahan demi bantahan dibuat mengenai apa sahaja yang berkaitan atau yang mereka kaitkan dengan orang Melayu dan agama Islam; dan satu demi satu bantuan yang memanfaatkan orang Melayu ditarik balik.

Mempertahankan hak orang Melayu dikatakan rasis sedangkan mereka yang mahukan hak orang Melayu, tidak rasis. Menyebut perkataan “Melayu” dan “Islam” pun dituduh rasis sedangkan mereka yang mengutuk orang Melayu dan menghina agama Islam tidak rasis. Perbandingan agama ditentang atas alasan menggugat ketenteraman negara sedangkan menghina Islam dan Rasul Allah S.A.W adalah kebebasan bersuara. Hal-hal agama Islam yang terpakai kepada orang Islam sahaja pun mereka masuk campur dan mahu kita mengikut kehendak mereka.

Perkara 152 menjamin “tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain.”

Kerajaan BN bukan hanya sekadar tidak melarang dan menghalang. Malah, kerajaan membina sekolah-sekolah Cina dan Tamil. Itu pun mereka tidak puas hati lagi. Orang Cina mahu mewujudkan sistem pelajaran yang berasingan daripada sistem pendidikan kebangsaan.

Tunjukkan kepada saya sebuah negara di dunia ini yang membenarkan rakyatnya berbuat demikian, apatah lagi membina sekolah-sekolah vernacular. Di Singapura pun tidak ada sekolah Cina pada hal Singapura diperintah oleh orang Cina.

Kerajaan PH nampak seolah-olah tidak indah, malah mengalah dan mengalah. Perdana Menteri nampak seolah-olah sudah tidak dapat mengawal Menteri-menterinya sendiri. DAP telah berjaya meletakkan orang-orangnya di tempat-tempat yang strategic dalam Kerajaan Persekutuan dan bertindak seolah-olah di luar kawalan Perdana Menteri.

DAP juga telah berjaya menguasai atau mempengaruhi kerajaan-kerajaan negeri, kerajaan-kerjaan tempatan, badan-badan berkanun dan syarikat-syarikat milik kerajaan dengan menempatkan orang-orangnya.

Menteri-menteri Melayu nampak seperti boneka DAP, tidak cerdik, tiada berpendirian dan senantiasa bersedia mempertahankan apa sahaja yang dikatakan dan dilakukan oleh rakan-rakan bukan Islam mereka, termasuk dalam hal-hal agama Islam.

Maka, demi kepentingan Melayu, Islam dan negara, kerajaan PH perlu ditumbangkan. Menjatuhkan DS Najib adalah satu perkara. Menyerahkan kuasa politik orang Melayu kepada orang bukan Melayu adalah harga yang terlalu mahal untuk dibayar untuk menjatuhkan DS Najib. Lagi pula, DS Najib telah jatuh, mengapa kita harus terus membayar harganya? Yang untung ialah orang bukan Melayu.

Pada masa yang sama, saya tidak nampak bahawa parti-parti Melayu dalam PH akan meninggalkan PH atau berpisah dengan DAP. Maka orang Melayu tidak ada pilihan lain melainkan menjatuhkan PH dalam PRU 15. Untuk itu, pertama sekali orang Melayu perlu bersatu. Umno dan PAS adalah dua buah parti Melayu yang terbesar. Kedua-duanya perlu bekerjama dalam pilihan raya yang akan datang. Paling kurang, kedua-duanya hendaklah mengelak daripada pertandingan tiga penjuru dengan PH khususnya di Pantai Barat Semenanjung.

Apabila saya mula bercakap mengenai kerjasama Umno dan PAS dalam tahun 2014, seorang bekas Menteri BN berkata ia terlalu idealistic. Selepas BN kalah dalam PRU 14, beliau melompat masuk Bersatu. Hari ini, sesuatu yang terlalu idealistic itu telah menjadi kenyataan.

Siapa pernah terbayang bahawa Umno dan PAS boleh bekerjasama seperti yang telah berlaku dalam tiga Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau? Siapa pernah terbayang bahawa Umno dan PAS boleh bersetuju menandatangani satu piagam kerjasama antara keduanya? Ia telah berlaku pada 14 September 2019. Kehendak Allah siapa tahu?

Yang menariknya, ada orang kampung yang berkata mereka tidak pernah merasa kehidupan mereka lebih bahagia daripada sekarang. Sekarang mereka sepakat, tidak berpuak-puak lagi. Kenduri dan kematian dihadiri bersama oleh orang Umno dan PAS. Tidak seperti dahulu.

Memanglah setelah terhantuk baru mengadah. Tetapi, tidak ada gunanya menangisi apa yang sudah berlalu. Syukurlah, orang Melayu telah sedar semula dan sanggup mengenepikan perbezaan yang diada-adakan, mencari titik persamaan dan membina kerjasama untuk mendapat balik pemerintahan kerajaan Pusat daripada PH.

Saya menghadiri HPU 914 di PWTC pada 14 September 2019. Saya nampak kedua-dua pihak, Umno dan PAS, memang bersunggu-sungguh dan ikhlas untuk melupakan permusuhan di masa dahulu dan bekerjasama demi agama, bangsa dan negara. Itu satu perubahan yang sangat ketara dan baik bagi bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia.

Sekarang, mari kita lihat isi kandungan piagam ini.

“Maka dengan ini UMNO dan PAS menginsafi kewajipan-kewajipan untuk:

MENJUNJUNG DAN MEMPERTAHANKAN keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputra serta kepentingan sah kaum-kaum lain, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta Menjamin Kepentingan Masyarakat Majmuk Terpelihara;

MEMPERKUKUHKAN Muafakat Nasional melalui amalan musyawarah yang melibatkan pelbagai latar agama kaum dan budaya demi kepentingan negara;

MEMPERKASAKAN agenda Islam, Melayu dan Bumiputra serta tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan watan yang sejahtera.

MEMBENTUK KERJASAMA dengan mengembangkan naratif (Islam dan bangsa Melayu) tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kesestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara;

MENGIKHTIARKAN secara kolektif satu citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan .”

Saya merasa bertuah kerana walaupun dalam keadaaan uzur dan kesakitan, saya dapat juga menghadiri sebahagian besar daripada perhimpunan itu. (Saya terpaksa meninggalkan majlis itu sebelum piagam itu ditandatangani disebabkan kebas di bahagian bawah badan saya yang tidak tertahan kerana duduk di atas kerusi roda lebih daripada tiga jam.)

Biar apa pun, saya dapat melihat bahawa kedua-dua belah pihak memang ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam usaha perpaduan itu. Kita lihat dalam U-tube begaimana hadirin tidak dapat menahan sebak dan air mata. Mereka termasuklah Presiden PAS, DS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa yang tidak dapat memulakan bacaan piagam itu apabila tiba gilirannya untuk berbuat demikian.

Secara peribadi, saya merasakan hari itu adalah suatu hari yang sangat penting dalam hidup saya. Orang yang mendaftarkan saya untuk masuk ke sekolah Inggeris ialah guru darjah saya, yang kebetulan, pada masa itu (1954) adalah Setiausaha Agung PAS yang pertama. Tindakannya itu telah membuka jalan kepada saya untuk belajar undang-undang dan seterusnya menjadi Ketua Hakim Negara.

Semasa dalam Tingkaran 4, bersama-sama abang ipar saya, kami menubuh cawangan PAS yang kedua di Pulau Pinang. Semasa di universiti, saya menulis satu rencana mengenai penyatuan semula Umno dan PAS dan memberitahu guru saya itu. Beliau menyokong usaha saya itu. Malangnya beliau meninggal dunia tidak lama selepas itu, dan rencana itu terbengkalai.

Dalam tahun 1981, semasa saya menjadi Penasihat Undang-undang Negeri Kelantan di bawah Kerajaan BN, saya menyediakan Rang Undang-undang (RUU) Acara Jenayah Syariah dan RUU Acara Mal untuk diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan dan digunakan di Mahkamah Syariah di Kelantan. Oleh sebab ketua pembangkang daripada PAS adalah kenalan saya semasa beliau berkhidmat dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, beliau datang ke pejabat saya dan meminta penjelasan daripada saya mengenainya.

Setelah saya menerangkan kepada beliau, beliau memberi jaminan kepada saya bahawa pembangkang (PAS) akan menyokongnya. Kedua-dua undang-undang itu diluluskan dengan sebulat suara. Memandang kebelakang, saya percaya itu adalah muafakat yang pertama, tanpa diketahui oleh Umno. Ini berlaku 35 tahun sebelum Umno bersetuju menyokong pindaan kepada Akta 355, yang saya juga terlibat.

Setelah saya bersara dan melihat kedudukan orang Melayu-Islam semakin teruk, pada 22 04 2014, saya menulis satu rencana bertajuk “Perpecahan Melayu Punca Tuntutan Melampau Bukan Melayu”. Rencana itu ditulis di Bilik Cempaka, Wad 28, Hospital Kuala Lumpur. Ia disiarkan oleh Utusan Malaysia dan menjadi viral.

Perlu diingati, pada masa itu PAS berada dalam Pakatan Rakyat.

Semenjak itu, banyaklah ucapan dan rencana saya mengenai perlunya Umno dan PAS bekerjasama demi untuk mempertahankan kerajaan Persekutuan daripada jatuh kepada pembangkang yang didominasi oleh DAP. Antaranya adalah ucapan Tokoh Maal Hijrah 2015. Kesemuanya boleh didapati dalam laman-laman web saya dan buku saya “Buat Kerja”.

Akibatnya, saya telah dikecam sebagai rasis, bigot dan macam-macam lagi oleh DAP, MCA, Gerakan, NGO-NGO dan individu-individu bukan Melayu dengan kata-kata yang amat biadab yang disiarkan oleh Malaysiakini dan lain-lain. Semua itu saya rakamkan dalam rencana saya bertajuk “Jawapan Saya Kepada Pengkritik-pengkritik Saya” yang boleh didapati dalam laman-laman web saya itu.

Maka, pada 14 September 2019, paling kurang, saya boleh senyum. Dan terima kasih kepada penganjur yang sudi menjemput saya dan menyewa ambulans untuk membawa saya ke PWTC.

Kembali kepada Piagam Muafakat Nasional. Saya tidak perlu mengulasnya. Apa yang dinyatakan adalah jelas.

Kita mesti ingat bahawa piagam ini adalah garis panduan bagi kerjasama antara Umno dan PAS dan juga parti-parti lain yang sudi menyertainya kelak. Kerjasama itu hendaklah dilaksanakan dalam lingkungan dan untuk tujuan garis panduan itu. Wujudnya piagam itu tidak bererti kerjasama akan berjaya. Yang menentukan kejayaan atau kegagalannya, ialah apa yang dilakukan oleh parti-parti yang menyertainya.

Saya percaya jika kerjasama itu dilaksanakan dengan baik, ia akan memberi tamparan hebat kepada PH, terutama sekali kepada Bersatu, PAN dan PKR. Saya percaya akan berlaku Tsunami patah balik (reverse Tsunami) kepada muafakat perpaduan umah. Saya juga percaya majoriti pengundi-pengundi 18 hingga 21 tahun yang sebilangan besarnya adalah Melayu, tidak akan menyokong PH. Tindakan PH menurunkan umur kelayakan mengundi berdasarkan undian golongan muda dalam PRU 14, mungkin akan memakan diri.

PAS boleh dikatakan menandatangani piagam ini dengan kedudukan yang bersih dan kuat. Penyokong PAS akan mengikut arahan ketuanya. Pengundi-pengundi yang bukan ahli atau penyokong PAS tidak mempunyai sebab untuk tidak puas hati dengan adanya pemimpin-pemimpin tertentu sehingga mereka tidak mahu memberi undi mereka kepada muafakat itu.

Tetapi, kita tidak boleh berkata demikian mengenai Umno. Banyak orang yang bersetuju menyokong muafakat itu, tetapi keberatan berbuat demikian kerana adanya pemimpin-pemimpin Umno yang mereka tidak sukai, di dalamnya. Mereka merasakan bahawa dengan adanya pemimpin-pemimpin itu, Umno tidak berubah. Umno masih dikuasai oleh pemimpin-pemimpin lama yang dikaitkan dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan sedang menghadapi berbuluh-puluh pertuduhan. Mereka tidak mahu pemimpin-pemimpin itu berkuasa semula.

Ini pemimpin-pemimpin Umno perlu peka dan berani membuat perubahan.

Hanya dengan menandatangani piagam ini tidak akan menjamin kemenangan dalam PRU 15. Rakyat mahukan pemimpin-pemimpin dan kerajaan yang bersih.

Maka, adalah menjadi tanggungjawab pemimpin-pemimpin dalam muafakat ini untuk membersihkan diri, membersihkan hati dan membersihkan parti, masing-masing. Hanya dengan itu, barulah kepercayaan rakyat akan dapat diperolehi semula. - HARAKAHDAILY 16/9/2019

 

GOPENG: PAS Kawasan Gopeng telah mengadakan program makan malam amal dengan kehadiran utama Ketua Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh di Dewan Bulan Sabit Merah, Ipoh di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut bagi mengumpulkan dana buat keperluan para pelajar SRITI An-Najah turut dihadiri isteri Ustaz Zawawi, Ustazah Ana Mastura Ismail dan Yang DiPertua PAS Gopeng, Ustaz Abu Bakar Hussein.

Selain itu, Pesuruhjaya PAS Negeri Perak merangkap ADUN Semanggol, Razman Zakaria dan Ketua Umno Bahagian Gopeng, Dato' Hang Tuah Din antara yang turut meluangkan masa untuk hadir bersama wakil delegasi Umno Gopeng.

Pada majlis itu, para hadirin turut didendangkan dengan sajak dari pelajar PASTI, Iklil Marwazi Ahmad Muzani yang menjentik emosi hadirin antaranya menerusi tajuk "Pendidik Budiman".

Dalam pada itu, majlis juga turut dihiburkan oleh Kufya Band antara kumpulan nasyid busker kontemporari yang terkenal dengan pembawaan mereka yang tersendiri dalam menarik minat anak muda menyanyi sambil berdakwah.

PAS Gopeng berharap bantuan bagi membina keperluan pendidikan SRITI An-Najah dan sumbangan masih dialu-alukan kepada orang ramai agar kelestarian pembinaan sahsiah para pelajar terbela dengan pendidikan Islam.

Sebarang sumbangan atau pertanyaan lanjut boleh hubungi talian 013-405 0158 (Pengerusi, Ustaz Raja) atau 019-249 5363 (Bendahari, Azmi). - HARAKAHDAILY 16/9/2019  

IMG 20190916 WA0024

IMG 20190916 WA0023

RAKYAT Malaysia harus sedar bahawa realiti sebenar kerosakan yang berlaku dalam negara oleh kerana kerapuhan jati diri mula terhakis dek pengaruh luar tanpa sedar.

Dewan Ulamak PAS Pusat berpandangan perkara ini akan terus disuburkan sekiranya dibiarkan tunasnya berakar dalam minda rakyat. Atas dasar inilah rakyat perlu disedarkan seperti pendirian berikut :

1. Islam mengutamakan kekuatan jati diri Muslim yang tidak dicemari oleh budaya dan amalan songsang dengan berorientasikan perubahan untuk semua.

صِبْغَةَ اللَّهِ ۖ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً ۖ وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ

Maksudnya: "Sibgah Allah. Siapa yang lebih baik sibgah-nya daripada Allah? Dan kepada-Nya kami menyembah." (al-Baqarah: 138)

2. Pengiktirafan Islam sebagai solusi kehidupan seharian manusia telah ditegaskan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran termasuk pengurusan serta pentadbiran negara.

3.
وَاِذَا قِيْلَ لَهُمْ لَا تُفْسِدُوْا فِى الْاَرْضِ ۙ قَالُوْٓا اِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُوْنَ أَلَآ إِنَّهُمْ هُمُ ٱلْمُفْسِدُونَ وَلَٰكِن لَّا يَشْعُرُونَ

Maksudnya: "Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Janganlah berbuat kerosakan di bumi!” Mereka menjawab, “Sesungguhnya kami orang-orang yang melakukan perbaikan.” Ingatlah, sesungguhnya merekalah yang berbuat kerusakan, tetapi mereka tidak menyadari. (al-Baqarah: 11-12)

Perosak yang diangkat menjadi 'wira' negara hanya bertopengkan perpaduan namun hakikat sebenar adalah untuk mencetuskan perpecahan terancang lantas gembira melihat kemusnahan jati diri Islam Melayu ranap. Makhluk perosak agama seperti DAP dan mereka yang hilang jatidiri seperti PAN wajib ditolak.

4. Akhlak umat Islam yang bersendikan keharmonian mampu menghormati perbezaan budaya dan agama tetapi masih mempunyai batasan antara satu sama lain.

5. Dengan pegangan Islam segala bentuk kerosakan dalam negara mampu ditolak bahkan kekuatan yang dipasakkan dalam jiwa umat Islam terus mekar berpaksikan janji-janji Allah SWT.

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Pasir Puteh
16 Muharram 1441/16 September 2019 – HARAKAHDAILY 16/9/2019

BINTULU: Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak telah mengadakan program Gelombang AKIFI bertempat bersempena menyambut Sambutan Hari Malaysia di PASTI Al-Mukminin, di sini semalam.

Program ini bermatlamat untuk menzahirkan rasa kesyukuran atas nikmat keamanan dan kedamaian Malaysia bersempena Hari Malaysia disambut pada 16 September.

Antara pimpinan yang hadir dalam majlis ini ialah Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan Ketua Muslimat PAS Sarawak, Ustazah Juliani Adin.

Program bermula dengan solat Maghrib, solat hajat dan bacaan Yaasiin secara berjemaah, dan diteruskan lagi dengan munajat dan taujihat yang disampaikan oleh Ustazah Nuridah sendiri.

Ustazah Nuridah dalam ucapannya berharap para Muslimat agar terus istiqamah dalam mengekalkan suasana tarbiyah Islamiyah di dalam institusi kekeluargaan terutamanya.

Beliau juga menyeru anggota Muslimat agar komited meluaskan dakwah kepada bukan-Muslim agar Islam terus tersebar di segenap kawasan khususnya di Sarawak. - HARAKAHDAILY 16/9/2019 

IMG 20190916 WA0021

BINTULU: Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak telah menganjurkan program Pesta Buah-buahan di kawasan setinggan Sungai Plan, di sini semalam

Pesta ini dirangka sempena sambutan Hari Malaysia Peringkat PAS yang menjadikan Sarawak sebagai tuan rumah di mana ianya bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat dan pimpinan PAS.

Pesta Buah-buahan ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Halimah Ali yang turut diiringi wakil daripada PAS Negeri Sarawak dan PAS Kawasan Bintulu.

Seramai 100 penduduk telah terlibat dalam program ini di mana dijamukan dengan buah-buahan tempatan yang dibekalkan secara percuma seperti durian, cempedak dan buah-buahan tempatan lain.

Penduduk juga mengambil peluang ini untuk bertanya mengenai entiti PAS secara terus kepada pimpinan dalam suasana makan dan bincang secara santai.

Pada masa sama, Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh juga melahirkan rasa simpati dengan kesusahan yang dialami penduduk.

"Walaupun Sarawak negeri yang kaya dengan hasil bumi, namun masih ada rakyatnya yang miskin di tanah sendiri hidup tanpa bekalan elektrik," ujar beliau setelah mendengar keluhan rakyat ketika program.

Dr Halimah menyatakan kegembiraan beliau atas perlaksanaan program ini dan berpendapat program santai ini perlu diteruskan agar hubungan dengan masyarakat dapat dibina dengan lebih dekat. - HARAKAHDAILY 16/9/2019   

IMG 20190916 WA0019

IMG 20190916 WA0018

IMG 20190916 WA0017

16 SEPTEMBER, Hari Malaysia. Bersempena Hari Malaysia pada tahun ini dapat kita saksikan Himpunan Penyatuan Ummah antara dua parti terbesar di Malaysia.

Himpunan ini memberi impak dan makna yang lebih besar kepada Malaysia dan rakyatnya apabila sebuah piagam yang dinamakan Piagam Muafakat Nasional berjaya dimeterai.

Muafakat Nasional yang dibentuk ini adalah diharapkan dapat membawa agenda penyatuan ummah untuk membina Malaysia yang sejahtera sesuai dengan kehendak Islam.

"Kita bersatu untuk Islam dan Malaysia, walaupun berbeza wadah dan pembawakan. Manfaatkan segala persamaan dan usah perbesarkan perbezaan. Kebersamaan perlulah diambil kira dalam setiap tindakan bagi menguntungkan Islam dan Negara ini.

"Islam mengajar kita, ada masa untuk berbalah, bukannya berbalah sepanjang masa dan jangan melampaui batas apabila berbalah. Sekarang perbalahan sudah rapat ke dinding yang disekat oleh sempadan Islam yang menyatukan kita", kata Tuan Guru Haji Hadi, Presiden PAS.

Bersempana Hari Malaysia 2019, bersama kita mendoakan kesejahteraan dan penyatuan dalam menjadikan Malaysia negara yang sejahtera mengikut prinsip Islam.

"Selamat Hari Malaysia, Malaysiaku."

"Islam Memimpin Perpaduan"

"Islam Memimpin, Wanita Sejahtera"

YB SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
16 Muharram 1441
16 September 2019  - HARAKAHDAILY 16/9/2019

DOA almarhum Dato Fadzil Noor supaya Tun panjang umur untuk Tun lihat sendiri kerosakan yang dia buat, alhamdulillah maqbul. Sehingga sekarang Tun masih hidup dan menjadi PM tertua di dunia dan masih gagah berperang dengan timbalannya, sambil melihat hasil kerosakan sistem pemerintahan yang jauh dari Islam yang beliau buat dahulu.

Doa Almarhum Tuan Guru Nik Aziz yang minta supaya Najib dan Zahid jika ada ruang kebaikan, mereka dijadikan baik oleh Allah, alhamdulillah maqbul. Najib dan Zahid sekarang bersama dengan Umno, bermuafakat dengan PAS demi kepentingan agama dan bangsa. Pastinya muafakat ini untuk kebaikan.

Doa orang Islam yang tidak mahu Lim Guan Eng nak jadi macam Khalifah Umar Bin Abdul Aziz, alhamdulillah maqbul, Sebab orang ramai tahu, dia hanya mahu jadi macam Khalifah Umar, tetapi bukan mahu masuk Islam. Dia nak guna nama Umar sahaja untuk pancing undi. Ramai orang Melayu Islam tak percaya.

Doa Mat Sabu yang dia akan jadi gila jika tinggalkan PAS, alhamdulillah maqbul. Sehingga sekarang, bukan dia seorang sahaja yang gila, malah seluruh pimpinan PAN, turut menjadi gila terutama dengan termeterainya Piagam Muafakat Nasional.

Doa ahli PAS untuk ditunjukkan kebenaran atas fitnah kepada PAS, terutama isu RM90 juta terimaan duit dari Umno, dimaqbulkan. Sehinggakan SPRM sendiri mengesahkan PAS, bersih daripada sebarang salah laku rasuah. Malah, kepada Umno sendiri, PH masih terkial-kial mencari apa yang mereka kata bukti kukuh salah laku itu. Saksi dan bukti pun entah ke mana.

Doa seluruh umat Islam di Malaysia yang mahukan Dr Zakir Naik tidak dihalau keluar, alhamdulillah dimaqbulkan. Sehingga kini, rakan pengganas LTTE, kecewa dengan keputusan Tun untuk tidak melayan permintaan India untuk mengembalikan Dr Zakir Naik kepada mereka.

Doa Sallehuddin Ayub kepada sesiapa cuba menjahanamkan PAS akan gagal kerana PAS ada penjaganya iaitu Allah, alhamdulillah maqbul. Dia sebut itu dalam Muktamar PAS sebagai amaran. Dan dia menjadi salah seorang yang gagal menjahanamkan PAS dari dalam dan sekarang dari luar.

Doa sangat panjang Dr Azhar, perwakilan Wilayah dalam Muktamar PAS tahun 2014 di Batu Pahat supaya Allah keluarkan jebon-jebon yang berada dalam PAS dimaqbulkan Allah. Setahun selepas itu, mereka keluar PAS dan menubuhkan PAN, atas cadangan DAP. Warna oren pun DAP yang pilihkan.

Doa Presiden PAS untuk ditunjukkan PAN sememangnya khadam DAP alhamdulillah dimaqbulkan apabila dengan jelas mereka menuruti semua kehendak DAP. Mereka mengeluarkan segala kenyataan hanya jika menguntungkan DAP. Walaupun doa beliau untuk PAN bertahan hanya beberapa bulan tidak maqbul, tetapi dengan Allah memanjangkan lagi hayat PAN, maka rakyat boleh melihat dengan lebih jelas lagi perangai mereka. Alhamdulillah

Doa Presiden PAS untuk menyatukan umat atas nama Islam, alhamdulillah maqbul pada 14 September 2019. Beliau telah lama menyedarkan masyarakat bahawa PAS akan berkerjasama dengan sesiapa sahaja, jika boleh membawa kebaikan kepada Islam. Itu jelas pada setiap masa dan setiap keadaan.

Doa PAS suruh Umno K O yang dibacakan oleh adik almarhum TGNA, Ustaz Nik Radzi, alhamdulillah maqbul. Bila Umno kalah, jadi mereka sedar bahawa, PAS adalah sebuah jemaah yang tidak suka berkelahi melampau-lampau kerana perbuatan itu ialah ciri-ciri munafik. Umno sedar, PAS juga ada kekuatan untuk menyatukan ummah. Hilang sombong Umno.

Doa Ketua Dewan Ulamak PAS, Dr Nik Zawawi agar PH bercakaran sesama sendiri alhamdulillah maqbul. Kita boleh lihat bagaimana mereka menyerang Tun semata-mata mahu menjadikan Anwar sebagai PM, sehinggakan diberi tekanan dengan menetapkan tarikh peralihan kuasa itu kepada Tun. Sampai sekarang duduk berkelahi lagi.

Doa Anwar, kroni-kroninya dan DAP nak jadikan Anwar PM8, alhamdulillah tak maqbul-maqbul lagi sampai sekarang, kerana terlalu ramai rakyat Malaysia yang mendoakan agar dia tidak akan naik selama-lamanya untuk menjadi PM. Ya Allah jangan dimaqbulkan doa Anwar nak jadi PM.

Dan hari ini, genap 11 tahun, doa dan rancangan Anwar untuk tukar kerajaan pada 16 September 2008 dengan rancangan membeli Menteri-menteri Kabinet BN juga tidak maqbul, malah langsung tidak dilayan. Alhamdulillah kerana waktu itu, PAS juga berada bersama Anwar. Takut jika menang, nama PAS jadi terpalit juga dalam lipatan sejarah sebab terlibat sama dalam membeli kuasa. Ketika itu PAS dihasut untuk gilakan Putrajaya dengan harapan palsu, rampas Putrajaya dulu, baru buat Islam. Sampai sekarang, tak buat-buat.

Mari kita doakan lagi, sempena Hari Malaysia ini, semoga Muafakat Nasional ini berkekalan membawa kebaikan kepada Islam dan negara. Semoga negara kita tidak diperintah oleh golongan yang memusuhi Allah dan rasulnya. Semoga kita diselamatkan Allah dari api neraka yang bahan bakarnya ialah batu dan manusia. Amiin.

Saya definisikan doa dalam tulisan ini selain daripada doa yang biasa, termasuk juga ialah ayat-ayat harapan yang diletakkan dalam ucapan-ucapan.

MOHD NASIR ABDULLAH
16 September 2019 - HARAKAHDAILY 16/9/2019

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat Malaysia.

Hari Malaysia merupakan hari penyatuan kepelbagaian kaum dan negeri. Kepelbagaian merupakan fitrah yang menandakan kuasa Allah S.W.T sebagai pencipta. Islam menyediakan peraturan yang lengkap supaya kepelbagaian ini hidup dalam keadaan harmoni.

Sebagai rakyat Malaysia kita seharusnya merasakan penyatuan ini sebagai satu rahmat yang sangat besar. Rakyat Sabah dan Sarawak selamat dari penjajahan di samping dapat disatukan dengan rakyat Tanah Melayu.

Saya mendoakan agar kehidupan kita terus menjadi lebih baik dan harmoni. Malaysia juga akan terus maju dalam keadaan aman dan damai.

Selamat Hari Malaysia untuk seluruh rakyat Malaysia.

"Islam Memimpin Perpaduan"

MOHD AMINUDDIN ALING
Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah
16 September 2019 - HARAKAHDAILY 16/9/2019

BERMULA tarikh 10 Mei 2018, roh penyatuan ummah telah dibuka episodnya di Terengganu.

Pagi 10 Mei 2018 saya telah isytiharkan kepada masyarakat Jabi, mari kita buka lembaran baru untuk penduduk Jabi. Semua orang Jabi adalah rakyat kita. Pengerusi Masjid, Tok Imam, Tok Bilal dan Tok Siak sila pergi bertugas macam biasa. Tiada siapa yang dipecat.

Kemudahan awam yang ada dalam kampung seperti dewan orang ramai, balai raya, padang bola, gelanggang futsal, sepak takraw dan sebagainya silakan guna bersama-sama.

Tidak ada seorang pun penerima bantuan kebajikan yang ditamatkan pemberian bantuan kerana beza warna politik.

Sakit demam, kelahiran, mati dan bencana semua kita santuni tanpa mengira warna. Berulang kali saya sebut kepada Pengerusi-pengerusi MPKK Jabi, antara tanda kegagalan kita dalam melaksanakan tugas ialah bila kita tanya "demo ngundi gapo baru ni?" bila ada rakyat yang datang untuk berurusan.

Masyarakat sudah boleh pergi mari. Antara faktornya ialah penerimaan orang-orang lama yang berjiwa besar untuk membuka lembaran baru kehidupan bermasyarakat terutamanya orang PAS yang sejak sekian lama menjadi mangsa diskriminasi dan dizalimi. Pahit? Ya! Memang pahit. Tapi sebagaimana air sungai yang mengalir dari hulu ke hilir, kita juga tidak boleh berjalan secara mengundur.

Ayah saya berulang kali menasihatkan supaya berlaku adil dalam membuat keputusan sementara kita diberikan sedikit kuasa. Padahal kedut di wajah ayah menyimpan seribu kenangan pahit silam kalau peristiwa lalu dibuka kembali. Antaranya pernah Penghulu Mukim orang kuat Umno berulang kali datang halau kami sekeluarga dari sebidang tanah kerajaan yang ditumpang untuk dibina sebuah rumah buruk bagi tujuan tempat berteduh. Nak mohon bayar jelas tanah tak diluluskan lantaran keluarga kami hijau sejak dulu lagi.

Tapi ayah tak ajar anaknya menjadi seorang pendendam. Saya pegang kukuh pesanan ini sampai mati. Bantuan lain tak usah ceritalah. Kami 13 beradik tak pernah mimpi. Bukan cerita bantuan uniform sekolah, butang baju sekolah pun kami tak pernah dapat.

Anak-anak muda yang tak pernah melalui zaman perit tersebut, mereka lebih mudah untuk disantuni. Sekadar dengar kisah-kisah lama, tak sepahit mereka yang mengalami sendiri.

Kenapa saya imbas sikit kisah ini? Sebab ada orang tua pesan, jangan ambil mudah dengan apa yang telah lepas walau kita melangkah ke depan.

Kita berazam untuk meletakkan noktah kepada memori silam ini. Ia bukan luka kecil, tetapi dengan jiwa besar, kita mampu menanggung pedih luka besar ini. Memaafkan orang ketika kita lemah itu biasa, tetapi memaafkan orang lain ketika kita berkuasa adalah tanda ketinggian budi. Kita sendiri pun ada banyak kelemahan dan kesalahan. Semoga dengan kita saling memaafkan sesama manusia, Allah akan mengampuni kita.

Selamat Menyambut Hari Malaysia 16 September 2019.

DR AZMAN IBRAHIM
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat - HARAKAHDAILY 16/9/2019