KUALA LUMPUR: Kerajaan PH yang ditunggangi DAP jelas bukan sahaja gagal melaksanakan dasar afirmatif terhadap Islam Melayu Bumiputera, bahkan cuba merungkai satu persatu paksi negara di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, dengan jati diri bangsa cuba dihilangkan di bawah pemerintahan dipengaruhi DAP, maka PAS dan Umno melihat pentingnya umat ini kembali kepada paksi negara.

"Kita perlukan satu dasar yang cukup kuat untuk membantu membangunkan kumpulan kumpulan majoriti yang telah disisihkan sekian lama.

"Hingga kedudukan orang Melayu Bumiputera jauh lebih teruk berbanding orang Cina dan India," ujarnya menegaskan pentingnya semua itu diterjemahkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara tersebut diulas beliau dalam Wacana Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) di konti media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini kelmarin.

Beliau juga menyatakan bahawa urus tadbir negara berada dalam keadaan sangat bermasalah di mana selain isu-isu perundangan, penguatkuasaan, begitu juga dengan soal keselamatan dan kedaulatan.

Kamaruzaman memberi contoh kejadian di pintu masuk negara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang begitu 'havoc'; membuka ruang pencerobohan asing ke dalam negara.

"Menggambarkan kerajaan bukan sekadar tidak ambil berat, bahkan mengabaikan prinsip urus tadbir yang baik. Menteri buat pengumuman lain, Timbalan Menteri buat pengumuman lain, Ketua Pengarah buat pengumuman lain.

"Seolah-olah tiada urus tadbir dalam mentadbir negara kita hari ini. Berkecamuk, caca-merba, seolah kerajaan hari ini kerajaan badut yang tak tahu memerintah.

"Dengan kebadutan yang ada dalam kerajaan hari ini, ia menunjukkan Kerajaan PH tidak layak memerintah. Kalau dibiarkan mereka terus memerintah penggal akan datang, negara akan hancur sehancurnya,"

Oleh itu beliau yakin, gabungan PAS-Umno yang telah menandatangani Piagam Muafakat Nasional sempena HPU914 akan membawa negara ke arah lebih baik dan menangani kerosakan telah dibencanakan DAP. - HARAKAHDAILY 16/9/2019

MUKADDIMAH

Tidak mudah untuk membawa PAS dan Umno duduk semeja.

Terutamanya apabila agenda yang dibincangkan ialah masa depan dan hala tuju politik negara. Kedua-dua parti secara tradisionalnya adalah pesaing tegar terhadap parti yang satu lagi. Setiap parti mempunyai versi tersendiri dalam usaha dan cara membangunkan agama, bangsa dan negara. PAS dengan dasar Islamnya, dan Umno dengan dasar nasionalisnya.

Persaingan antara Umno dan PAS adalah sangat ketat. Walaupun kedua-dua parti sering dilihat sebagai mewakili kelompok demografi yang sama daripada segi komposisi kaum yang membentuk negara Malaysia, iaitu kelompok kaum Melayu dan Bumiputera beragama Islam. Kelompok ini adalah kelompok majoriti, iaitu dengan jumlah populasi melebih 60 peratus daripada keseluruhan penduduk.

Apabila PAS dan Umno bersetuju untuk menandatangani piagam Kesatuan Ummah pada 14 September 2019, ia adalah peristiwa penting dalam politik di negara kita. Ia dijangka mampu membentuk gelombang pembangkang yang lebih padu dalam berdepan dengan PH yang semakin didominasi secara ‘menjolok mata’ oleh DAP, hari demi hari.


Pasang surut hubungan PAS-Umno

Hubungan PAS dengan Umno sebelum ini mempunyai sejarah yang panjang. Mereka bersaing rapat dalam arena politik negara. Sekalipun natijah pilihan raya seringkali menyebelahi Umno di kebanyakan negeri dan di peringkat Persekutuan. Tetapi PAS seringkali menjadi halangan utama kepada kemenangan selesa Umno dan BN.

Umno sebagai kerajaan dan juga pihak yang lebih berkuasa seringkali menggunakan keistimewaan itu untuk melemahkan PAS. Pelbagai teknik, taktik dan tindakan dikenakan ke atas PAS. Sama ada sebagai sebuah parti politik atau sebagai kerajaan-kerajaan negeri. Pelbagai label dan kecaman buruk terhadap PAS sentiasa dicipta dan diperbaharukan. PAS sering dibobrokkan dalam media perdana yang dikuasai kerajaan.

PAS pula terpaksa menghadapi semua itu dengan sabar, geram dan terus mendesak layanan yang lebih adil mengikut semangat ‘federalisme’. Tindakan yang dikenakan kepada mereka turut ditangani dengan cermat melalui rundingan antara kerajaan. Dalam masa yang sama dasar dan penyelewengan kuasa Umno dan BN diselar di Parlimen, Dewan Undangan Negeri dan ceramah-ceramah anjurannya. Semuanya atas prinsip ‘amar makruf dan nahi munkar’. Juga di atas dasar ‘check and balance’ mengikut neraca sistem demokrasi.

Begitulah bentuk hubungan PAS dan Umno secara umumnya. Ia penuh dengan cerita sedih, marah, geram dan hiba. Jika diungkit satu persatu, hampir mustahil untuk kita melihat PAS dan Umno boleh bersatu.

Sehinggalah pada tarikh bersejarah 9 Mei 2018, apabila rakyat menurunkan Umno dan BN daripada tampuk kuasa di peringkat Persekutuan dan di kebanyakan negeri. PAS pula hanya berjaya memenangi dua negeri. Suatu pakatan politik baru yang menggabungkan parti-parti yang tidak terlibat dalam proses rundingan kemerdekaan negara, telah berjaya mengambil tampuk pemerintahan di peringkat Persekutuan. Iaitu PH yang diwakili oleh DAP, PKR, Bersatu dan PAN.

Setelah setahun menyaksikan pemerintahan PH yang cuba meruntuhkan setiap rukun negara dan menghapuskan komponen agama Islam daripada setiap struktur pembinaan negara dengan rakus sekali, PAS dan Umno terpaksa melihat kepada satu kemungkinan penyelesaian yang pahit, tetapi sangat diperlukan dan tidak boleh ditangguh-tangguh lagi.

Pimpinan PAS dan Umno perlu berjiwa besar. Berjiwa sangat besar. Sanggup menelan segala sejarah lampau dan memandang jauh ke depan, demi maslahah negara. Ia adalah satu kematangan yang amat diperlukan dalam menghadapi realiti politik semasa.

Piagam Penyatuan Ummah menyaksikan kedua-dua pihak yang sama-sama pernah terluka, akhirnya sama-sama menitiskan air mata. Masing-masing membalut sendiri luka lama yang dalam dan panjang itu, dan memilih untuk tidak lagi mengungkitkannya. Masing-masing berjanji setia untuk membuka lembaran baru. Demi sebuah perjuangan lebih getir yang sedang menanti.


PAS dan parti-parti lain

Untuk menghadapi Umno dan BN, PAS pernah bekerjasama dengan beberapa parti lain. Ini kerana Umno menjadi kuat dengan sokongan parti-parti komponen dalam BN. Kawasan-kawasan pilihan raya pula banyak melibatkan kerusi-kerusi bercampur. Kelebihan Umno ini mesti disaingi dengan membuat gabungan parti-parti lain yang dilihat mewakili kaum bukan Melayu Islam dan Bumiputera, tetapi bersetuju untuk tidak menghalang PAS melaksanakan agenda-agenda Islamnya jika berjaya membentuk kerajaan.

PAS pernah membentuk barisan pembangkang dengan CCC, Semangat 46 dan Barisan Alternatif. Kejayaan yang paling besar PAS ialah melalui gabungan Pakatan Rakyat, iaitu kesinambungan daripada Barisan Alternatif. Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat menjadi kuat kerana dua faktor utama. Pertama, kezaliman yang melampau terhadap DS Anwar Ibrahim dan kedua, kesatuan semua kaum dalam satu pakatan yang harmoni.

Malangnya apabila Pakatan Rakyat mula berkuasa di beberapa negeri, DAP mula menunjukkan sikapnya yang membenci Islam, dan secara terang-terangan menentang hasrat PAS untuk mengukuhkan perundangan syariah. Walaupun di Negeri Kelantan dan Terengganu. DAP juga cuba campur tangan dalam Muktamar pemilihan pimpinan PAS dengan memberi sokongan terbuka kepada beberapa pimpinan utama PAS untuk bertanding menentang beberapa pimpinan PAS yang lain. DAP sudah melampau dan melupakan batas dan sakat dalam hubungan kerjasama. DAP cuba berlagak sebagai “The Big Boss.”

Pakatan Rakyat cuba dikuburkan oleh DAP. Tetapi hanya DAP yang terkubur, kerana PAS dan PKR masih berterusan mempertahankan Selangor atas nama Pakatan Rakyat. Apabila PRU ke-14 hendak bermula, DAP dan PKR membuat pakatan baru pula. Kali ini tanpa PAS, kerana PAS tidak lagi mahu berpakat dengan DAP yang semakin sombong dan lupa daratan. DAP, PKR dan PAN berjaya menarik Tun Mahathir untuk menyertai PH dan mengukuhkan pakatan tersebut melalui Bersatu.

PAS pula membuat Gagasan Sejahtera dengan dianggotai oleh IKATAN dan BERJASA.

PH dan Warisan berjaya memenangi Kerajaan Persekutuan dan banyak negeri. Pakatan Sejahtera memenangi Negeri Kelantan dan Terengganu. BN tewas di Persekutuan dan banyak negeri.

Akhirnya pada 14 September, PAS membuat kerjasama politik dengan parti yang sering menjadi musuh politiknya, Umno. Hubungan kerjasama ini atas asas ta’awun, iaitu hubungan yang lebih longgar daripada tahaluf. Ini adalah kerana buat kali pertama dalam sejarah negara, parti teras kaum Melayu Islam dan Bumiputera, iaitu Umno dan PAS tidak lagi menjadi sebahagian daripada parti komponen yang menguasai Kerajaan Pusat.

Lim Kit Siang, bapa kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang juga merupakan Supremo DAP, dengan angkuhnya memberi amaran kepada kaum Melayu Islam dan Bumiputera di dalam PH, termasuk kepada Tun Mahathir, DS Anwar Ibrahim dan Mohd Sabu, “PH jangan menjadi lebih Melayu daripada Umno, dan jangan menjadi lebih Islam daripada PAS”.


Piagam Penyatuan Ummah

Hubungan PAS dan Umno pada kali ini diikat satu piagam. Inilah kandungan piagam bersejarah pada 14 September 2019.

“DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG

DENGAN IZIN ALLAH SWT, sesungguhnya UMNO DAN PAS dengan setulus hati mengisytiharkan pembentukan suatu Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.
Maka dengan ini, UMNO dan PAS, menginsafi kewajipan-kewajipan untuk:

MENJUNJUNG DAN MEMPERTAHANKAN keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta Menjamin Kepentingan Masyarakat Majmuk Terpelihara;

MEMPERKUKUHKAN Muafakat Nasional melalui amalan musyawarah yang melibatkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara.

MEMPERKASAKAN agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan watan yang sejahtera.

MEMBENTUK KERJASAMA dengan mengembangkan naratif (Islam dan bangsa Melayu) tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.

MENGIKHTIARKAN secara kolektif satu citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan.

Justeru, marilah kita semua rakyat berganding bahu mendukung Muafakat Nasional Demi Malaysia yang Sejahtera.”

Ia ditandatangani oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dan Dato’ Seri Dr. Zahid Hamidi, Presiden Umno.


Terus meragui Umno atau mengambil peluang daripada sikap ingin berubah mereka

Walaupun ada beberapa pihak yang meragui kesetiaan Umno kepada Piagam ini. Namun PAS sanggup mengambil risiko itu, kerana Umno adalah seperti adik-beradiknya yang kini telah kembali sedar atas kealpaannya sepanjang berada di kemuncak kuasa. Umno telah mengakui keterlanjurannya dalam beberapa perkara dan menyatakan kesediaan mereka untuk berubah. Risiko itu termasuk dalam kategori risiko yang mampu diuruskan dengan baik.

DS Anwar juga pernah mendapat peluang kedua, kerana dia telah berubah. Beliau bersama Tun Mahathir di dalam BN, kemudian mengetuai pakatan pembangkang berhadapan Tun Mahathir. Bahkan DS Anwar sendiri memberi peluang kedua kepada Tun Mahathir untuk terus menjadi PM buat kali yang kedua. Setelah beliau dapati Tun Mahathir telah berubah.

Namun PAS juga tidak melupakan komponen Gagasan Sejahtera. Umno juga tidak melupakan komponen BN. Namun semua pihak pada kali ini memahami dasar ekstremis DAP akan meranapkan perpaduan negara. Perpaduan negara hanya akan kukuh jika semua pihak menghormati asas-asas kemerdekaan yang diletakkan oleh pengasas-pengasas kemerdekaan negara.


Sebuah penyatuan berasaskan panduan wahyu

Akan ada pihak yang sentiasa akan membangkitkan cerita-cerita lama antara PAS dan Umno. Mereka berharap cerita-cerita lama itu akan mengguris luka lama dan membukanya kembali. Tetapi PAS dan Umno sudah sanggup melupakan kisah silam. Mereka kembali bersaudara dengan persaudaraan Islam. Bukan hanya persaudaraan berasaskan kepentingan duniawi semata-mata.

Asas persaudaraan mereka pada kali ini ialah firman Allah S.W.T dalam Surah al-Fussilat, ayat 34 – 36 yang bermaksud;

“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”

“Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat.”

“Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”


Penutup

Ada yang berkata PAS menjadi ‘tongkat kepada Umno’ untuk terus bernafas dalam politik negara. Walhal kedua-dua pihak ada keperluan untuk bekerjasama dengan pihak yang satu lagi. Dan negara kita sangat memerlukankannya pada era Malaysia baru ini.

Kita jawab kepada golongan yang menimbulkan kekeliruan seperti itu, “Cukup-cukuplah kalian menjadi tongkat kepada DAP”.

Noktah. - HARAKAHDAILY 16/9/2019

SEBELUM ini saya ingat saranan Dr Tajuddin Rasdi pada forum anjuran Dong Zong di Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor pada 5 Ogos 2019 supaya mata pelajaran sejarah distruktur semula dengan memasukkan sejarah Kristian, dari mana mereka datang dan apa sumbangan mereka kepada negara, hanyalah pandangan beliau sendirian sahaja.

Malangnya, terkejut besar saya bila mendengar cadangan sama, yang jauh lebih drastik dan terperinci, turut dibuat oleh sejarawan dari New Era College University bernama Dr Lee Kam Hing dalam forum bertajuk “Naratif Malaysia Baharu” (“New Malaysia Narrative”) di Mega Chinese Methodist Church, Kota Damansara, Selangor, pada 14 September 2019.

Mengikut Dr Lee Kam Hing, buku teks sejarah yang diguna pakai di sekolah dan di universiti sekarang perlu diubah kerana:
(1)     Ia mengandungi tema utama perpaduan Melayu, nasionalisme Melayu, Islam dan Malaysia sebagai negara asal orang Melayu.
(2)     Teras utama tema ini adalah dakwaan ketuanan Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu.
(3)     Naratif sekarang berkisar di sebalik peranan Perikatan-BN sebagai pejuang yang memerdekakan negara dan Umno sebagai pelindung orang Melayu.
(4)     Ia terlalu mengutamakan Islam di mana 5 daripada 10 bab dalam buku teks Sejarah Dunia Tingkatan 4 didakwa menyentuh mengenai sejarah Islam dan hanya 3 daripadanya yang menyentuh mengenai sejarah dunia.
(5)     Sebahagian daripada tenaga penting yang mencorakkan sejarah masa lalu dan sejarah sekarang telah ditiadakan, diubahsuai atau ditukar bagi menjadikannya selari dengan sejarah kedominanan Melayu Islam, di mana naratif sekarang memberikan terlalu sedikit perhatian kepada kehadiran dan peranan bukan Melayu.

Mengikut Dr Lee Kam Hing, satu perkara yang sangat perlu dimasukkan dalam buku teks sejarah yang diguna pakai di sekolah dan di universiti sekarang adalah sejarah Kristian kerana:
(1)     Kehadiran Kristian adalah satu bahagian penting daripada sejarah negara, khususnya sejarah Bumiputera Kristian.
(2)     Orang Kristian telah berada di Melaka sejak dari abad ke-15 sebelum kedatangan Portugis lagi.
(3)     Orang Melayu telah lama menerima Kristian di mana Munsyi Abdullah adalah dianggap umum sebagai bapa kepada Melayu Kristian moden.
(4)     Misi Kristian menyumbang kepada pengetahuan dan penyebarannya melalui mesin percetakan di mana:
(a)     Kristian, melalui London Business Society, menerbitkan jurnal Melayu pertama. 
(b)     Kristian, melalui Mission Publishing House, mencetak buku Melayu pertama.
(c)     Kristian, melalui Anglo-Chinese College di Melaka pada tahun 1850, menubuhkan kolej pengajian pertama.
(5) Orang Kristian adalah sarjana peradaban Melayu.

Lebih menarik, pemberi ucapan utama dan pemberi ucapan penutup kepada forum “Naratif Malaysia Baharu” di Mega Chinese Methodist Church, Kota Damansara, Selangor, ini adalah dua pemimpin kerajaan dari DAP, iaitu Steven Sim Chee Keong yang merupakan Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan Michelle Ng Mei Sze yang merupakan ADUN Subang Jaya.

Lebih menarik lagi, dalam forum yang, mengikut Steven Sim, dihadiri oleh 'semua Cina kecuali Dr Tajuddin Rasdi', ini Steven Sim, yang juga merupakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, bercakap panjang lebar mengenai betapa indahnya 'the Kingdom of God' dan mengenai betapa 'the Kingdom of God' adalah satu misi yang tidak dapat dihalang.

Dalam forum ini juga, Steven Sim malah turut melancarkan sebuah buku bertajuk “Bila Kamu Berkuasa Untuk Bertindak” (“When It Is In Your Power To Act”) yang kata pengantarnya ditulis oleh beliau sendiri dan yang kandungannya, mengikut Steven Sim, merekod dan mengumpulkan secara ‘chronicle’ kerja-kerja Kristian Malaysia di negara ini.

Apakah agaknya kesimpulan yang boleh dibuat dari semua fakta yang dinyatakan ini?

DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF - HARAKAHDAILY 16/9/2019

ALHAMDULILLAH. Malam tadi selesai berlangsung dengan jayanya program santai An Evening With YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sempena Sambutan Hari Malaysia 2019 di Pantai Tanjung Batu, Bintulu, Sarawak. Program seterusnya ialah Sambutan Hari Malaysia 2019 peringkat PAS Pusat esok di Rumah Panjang Rh Gima, Kuala Tatau.

Seronok kehadiran malam ini yang menggambarkan wajah Malaysia dengan kehadiran dari pelbagai kaum. Ada Melayu, Dayak, Cina, India, Melanau, Vaie, Bugis, Jawa dan lain-lain hadir malam ini. Ayuh “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih”.

Saya diamanahkan sebagai Pengacara Majlis. Turut hadir YB Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man (Timbalan Presiden), Ustaz Idris Ahmad (Naib Presiden), YB Dato’ Takiyuddin Hassan (Setiausaha Agung), Hj Jofri Jaraie (Pesuruhjaya PAS Sarawak) dan ramai lagi pimpinan PAS dan Dewan Himpunan Pendokong PAS (DHPP).

Syabas warga Bintulu yang sudi hadir ke program ini dan tahniah juga kepada warga maya yang menonton Live Facebook mencecah 5K at peak. Views live yang disiarkan di beberapa channels mencecah 125K views keseluruhan malam ini. Tahniah dan terima kasih Team IT!

Siiru ‘ala barakatillah, teruskan perjuangan!

MUHTAR SUHAILI AS-SARAWAKI
Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak - HARAKAHDAILY 16/9/2019

IMG 20190916 WA0005 

IMG 20190916 WA0006

IMG 20190916 WA0008

 IMG 20190916 WA0009

BARU-baru ini, kerajaan bersetuju untuk menurunkan had umur mengundi dan had umur calon seawal 18 tahun selaras dengan amalan demokrasi di seluruh dunia

Perdana Menteri juga bersetuju (setelah didesak pembangkang) pengundi muda yang mencapai umur 18 tahun didaftarkan secara automatik. Ini memberi kuasa kepada orang muda untuk menentukan pembentukan kerajaan pada masa akan datang kerana jumlah mereka melebihi 48 peratus daripada jumlah pengundi keseluruhan.

Beliau berkata, peningkatan lebih 50 peratus berbanding 14.9 juta yang direkodkan menerusi daftar pemilih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sekali gus berupaya membuka ruang untuk golongan muda terbabit dalam mencorak kepemimpinan negara.

Pada PRU-14 yang lalu, hampir separuh iaitu 7.09 juta daripada jumlah pengundi berdaftar adalah pengundi muda berusia antara 21 tahun hingga 39 tahun.

Untuk rekod, statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara bagi tahun 2019, jumlah penduduk Malaysia adalah 29.4 juta yang mana majoritinya didiami oleh kaum Bumiputera seramai 20.4 juta (69.3 peratus), diikuti jauh kaum Cina seramai 6.7 juta (22.8 peratus) dan tercorot sekali kaum india hanya 2.03 juta (6.9 peratus) sahaja.

Penulis tertarik memetik sebuah wawancara bersama mantan pengerusi SPR, Tan Sri Abd Rashid Abd Rahman sekitar tahun 2016 yang telah dimuat naik oleh seorang blogger di laman blognya

Menurut Rashid, orang Melayu adalah 70 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia tetapi mereka hanya mewakili 58 peratus jumlah pengundi. Andai semua yang layak untuk mengundi menunaikan hak mereka, jumlah itu akan menjadi 65 peratus. Tetapi hakikat sebenarnya ia tidak menjadi begitu

Di Pulau Pinang sebagai contoh, kaum Cina hanya 45 peratus daripada komposisi penduduk. Secara logiknya mereka tidak boleh memenangi pilihan raya sendiri. Bagaimanapun apa yang berlaku di Pulau Pinang kaum Cina telah berjaya meningkatkan jumlah pengundi berdaftar mereka menjadi 53.38 peratus

Bagaimanakah hal ini boleh berlaku? Menurut beliau, orang Cina di negeri-negeri lain telah turun membantu dan menukarkan alamat mereka supaya dapat mengundi di Pulau Pinang. Matlamat mereka hanya satu, mahu ‘parti mereka’ memerintah negeri itu

Menurut beliau lagi, orang Melayu di Pulau Pinang, telah membentuk lebih 46 peratus daripada jumlah penduduk di Pulau Pinang. Namun orang Melayu yang mendaftarkan diri sebagai pengundi hanyalah 35.7 peratus. Jadi, walaupun kesemua 35.7 peratus pengundi Melayu yang keluar mengundi memilih BN ketika itu, mereka tidak akan menang berdepan dengan DAP kerana orang yang mendaftar mengundi hanyalah 35.7 peratus daripada 46 peratus.

Jika Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 ini diluluskan, kita akan menyaksikan kebimbangan Tan Sri Rashid dan rakyat jelata yang ambil peduli terhadap perkembangan arus politik semasa di Malaysia, bernafas di zon selesa kerana dijangkakan bilangan pengundi akan naik mendadak menjadi 22.7 juta menjelang 2023 nanti.

Adakah ia mampu mengejut tidur panjang generasi milenia yang sebelum ini bersifat 'apatis' apabila berbicara soal politik dan tanggungjawab memilih pemimpin berbanding 'sami'na wa ato'na' mereka berbicara tentang dunia gajet?

Satu kaji selidik telah dibuat oleh sebuah badan bebas iaitu Merdeka Centre terhadap orang muda termasuk pelajar di IPT. Keputusan kaji selidik mendedahkan golongan muda pasif politik, sibuk dengan kerja, muak dengan permainan politik golongan tua dan merasakan mengundi tidak memberi apa-apa faedah kepada mereka

Persepsi 'apatis', tidak ambil endah atau acuh tak acuh terhadap politik ini perlu segera diperbetulkan menjelang PRU-15 yang bakal tiba pada bila-bila masa dari sekarang kerana generasi muda bangsa lain termasuk yang 'diimport' dalam senyap sedang mengatur langkah, berebut-rebut mendaftar diri menjadi pengundi kerana mereka percaya jika sifir di Pulau Pinang telah memenangkan 'parti mereka', bukanlah sesuatu yang mustahil sifir yang sama mereka guna untuk menakluk negara!

"Dan mereka merancang (tipu daya), Allah juga merancang (membalas tipu daya), Dan Allah sebaik-baik Perancang (membalas tipu daya)."

(ali-'Imran: 54)

- HARAKAHDAILY 15/9/2019

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyokong dan mendukung Muafakat Nasional yang menjadi harapan baharu kepada rakyat Malaysia.
 
Menurut ketuanya, Shahir Adnan, solongan itu merupakan cerminan sokongan rakyat berbilang kaum kerana parti itu mewakili seluruh Bangsa Malaysia yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India, serta kaum pribumi Sabah dan Sarawak.

“Muafakat Nasional adalah terjemahan kepada perpaduan antara kaum yang menjadi teras kepada visi dan misi Ikatan itu sendiri.

“Visi dan misi Ikatan adalah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan yang dilihat kini makin dicabar oleh segelintir rakyat Malaysia yang mahu merobek perpaduan antara kaum,” katanya dalam satu kenyataan media.

Jelanya, isu-isu perkauman seperti pembelajaran Jawi, kesenian khat dan promosi barangan buatan orang Islam dijadikan modal politik untuk memberikan persepsi negatif kepada penyatuan ummah.
 
Lantaran itu, katanya, Himpunan Penyatuan Ummah yang diadakan semalam berjaya menyatupadukan blok pembangkang pada hari ini.

“Siapa sangka persengketaan selama enam dekad antara PAS dan Umno telah ditamatkan pada hari ini dengan termeterainya Piagam Muafakat Nasional,” ujarnya.

Katanya, perpaduan antara blok pembangkang ini sebenarnya merisaukan PH.
 
Shahir turut menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia yang turun ke PWTC untuk menyaksikan peristiwa bersejarah dalam arena politik negara.

Jelas beliau, rakyat kini mempunyai pilihan yang lebih baik, untuk memilih gabungan pembangkang melalui Muafakat Nasional yang menjiwai denyut nadi orang Melayu, Cina, India dan seluruh kaum di Malaysia. – HARAKAHDAILY 15/9/2019

BINTULU: Lajnah Kebudayaan, Kesenian dan Rekreasi Muslimat PAS Negeri Sarawak telah menganjurkan program Ladies Night bertempat di Hotel Kemena, di sini malam tadi.

Bertemakan "Muslimat Anggun Pintar" ia bertujuan menghimpun dan mengeratkan hubungan antara anggota Muslimat dari PAS Kawasan-kawasan seluruh negeri ini terutama mengeratkan kerjasama Muslimat pelbagai peringkat umur.

Malah, program ini juga merupakan satu bentuk hiburan dalam kalangan Muslimat, selain mengimbangi kepelbagaian wadah dakwah Muslimat serta meraikan kepelbagaian minat.

Program ini sekali gus menjadi acara pembukaan sambutan Hari Malaysia yang turut akan diraikan oleh pimpinan PAS Pusat diketuai Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Antara yang hadir ke majlis ini adalah Exco Muslimat PAS Malaysia, Dr Halimah Ali dan Farah Foo Abdullah serta Ketua Muslimat PAS Sarawak, Ustazah Juliani Adin.

Kemeriahan Ladies Night diwarnai dengan sepuluh persembahan oleh Muslimat dari lapan kawasan antaranya nasyid, boria, deklamasi sajak, malah juga seni silat.

Menurut Dr Halimah, program ini bukan sahaja mengeratkan ukhuwah ahli-ahli Muslimat, malah menonjolkan bakat terpendam dalam bentuk program yang patuh syariat dan meraikan kepelbagaian arena dakwah. - HARAKAHDAILY 15/9/2019   

IMG 20190915 WA0016

IMG 20190915 WA0015

PETRA JAYA: PASTI Kawasan Petra Jaya telah mengadakan program tahunan melibatkan sembilan Cawangan PASTI di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Kuching Selatan, di sini semalam.

Hari Sukan PASTI merupakan salah satu program penting yang diadakan bertujuan melahirkan kanak-kanak yang seimbang dari pelbagai sudut termasuk perkembangan rohani dan jasmani.

Ianya juga ke arah memperkembangkan lagi potensi murid PASTI secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Allah.

Antara yang hadir adalah Pengerusi PASTI Petra Jaya, Rasyid Rohim dan Pengarah PASTI Negeri Sarawak, S Muhammad Salim sekali gus merasmikan Hari Sukan PASTI Tahunan ini.

Para peserta telah mengambil bahagian dalam 12 acara yang dipertandingan antaranya lari berganti, isi air dalam botol, lari kepit bola dan tarik bola dalam gelung.

Juga bawa bola pingpong dalam sudu, lari ikat kaki, susun piramid tin dan tarik tali melibatkan pembahagian mengikut kategori iaitu 4, 5 dan 6 Tahun.

Turut dipertandingkan adalah acara perbarisan mewakili warna rumah sukan masing-masing di mana ia berakhir dengan PASTI Darul Furqan menjuarai keseluruhan Hari Sukan dengan jayanya. - HARAKAHDAILY 15/9/2019

  

 IMG 20190915 WA0012

IMG 20190915 WA0011

IMG 20190915 WA0010

IMG 20190915 WA0006

IMG 20190915 WA0007

IMG 20190915 WA0008

SAYA hadir di PWTC semalam. Saya memahami dan menyedari kenapa saya hadir. Saya juga merasakan perkara yang sama juga berada di nurani ribuan mereka yang hadir semalam. Malah jutaan yang tidak dapat hadir juga sebenarnya berkongsi rasa yang sama. Ikhlas, jujur dan putih bersih.

Allah menghadirkan tautan kasih sayang ini selepas hampir 60 tahun berkelahi. Kecamuk itu terhenti bilamana hak bersama dijarah tanpa segan dan silu.

PAS dituduh sebagai jalang politik kerana sering bertukar regu perjuangan. PAS juga diingatkan bahawa jangan ditipu kedua kali di lubang yang sama.

PAS sebenarnya konsisten. PAS dua kali ditinggalkan DAP bila mereka melangkau batasan yang PAS gariskan. PAS tidak akan sesekali membiarkan garis perjuangannya dicabuli. Namun DAP beruntung kerana mendapat kawannya di kalangan ‘bekasan’ PAS. Bekasan inilah kini yang sentiasa mencari salah PAS.

PAS tega ditipu. Malah PAS berhati besar memaafkan. Ternyata pihak yang menipu tidak juga senang duduk malah mengacau setiap kali hendak tidur. Namun, bila rakyat yang di tipu, PAS tidak akan berdiam diri.

Janji muluk yang diharapkan hanyalah pemanis bicara sedangkan kenyataannya jauh menyimpang. Mereka tidak jujur dalam menjayakan negara ini. Malah mereka sedang berusaha merobek Islam dan Melayu.

Jangan menoleh lagi. Kita akan bersama dalam gagasan ini. Gagasan yang persamaannya lebih mudah untuk kita realisasikan. Agama dan bangsa yang sama. Kita akan membajainya dengan penuh jujur dan ikhlas agar ia membesar dengan jitu.

Ayuh sahabat semua demi Islam dan Malaysia yang tercinta.

ABDUL LATIFF ABDUL RAHMAN
Ahli Parlimen Kuala Krai
15 Muharram 1441
15 September 2019 - HARAKAHDAILY 15/9/2019

HAMPIR 2 tahun pemerintahan kerajaan PH di Negeri Sembilan, pelbagai penyalahgunaan kuasa kita dapat lihat antaranya baru baru ini seorang Ahli Yang Berhormat Kawasan Repah menulis surat sokongan untuk rawatan 3 orang yang tidak jelas kerakyatan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai SOP yang jelas terhadap pesakit yang tidak jelas kerakyatan mereka. Kalau bukan warganegara, pesakit haruslah menunjukkan pasport, jika tiada sekurang-kurangnya mempunyai dokumen pengenalan diri seperti nama dan tarikh lahir untuk direkodkan dan untuk memudahkan proses diagnostik dan rawatan susulan. Mereka yang tidak punyai kad pengenalan malaysia ini hanya dikenakan RM40 di klinik kesihatan. Dan setahu saya, fasiliti kesihatan kerajaan tidak pernah menafikan hak untuk mendapat rawatan kepada semua manusia. Tidak perlu sehingga menulis surat khusus.

Negara sedang gusar dengan masalah pemberian Kad Pengenalan yang tidak sah dan secara haram, PAS sangat khuatir ia juga berlaku di Negeri Sembilan.

Berbalik kepada surat sokongan seorang YB kerajaan negeri sembilan kepada pesakit ini, hanya kerana RM40, YB telah melanggar prosedur dan membuatkan keadaan sedikit keruh di jabatan kerajaan.

Nasihat kami PAS Negeri Sembilan agar Dato’ MB Negeri Sembilan mengadakan kursus yang khusus untuk membantu YB-YB kerajaan negeri tahu apa yang boleh dan apa yang tidak (do and don't) selaku seorang wakil rakyat. RM40 ini, PAS boleh bantu bayar kalau YB ada masalah kewangan dan insya-Allah kami akan melakukan mengikut prosedur sepatutnya.

BADZLI BAKAR
Ketua Penerangan
merangkap
Ketua Lajnah Kesihatan Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan. – HARAKAHDAILY 15/9/2019

MERUJUK tulisan Tuan Guru Haji Hadi Awang, Presiden Parti Islam Semalaysia (PAS) bertajuk 'Kewajipan Mengundi' di laman sesawang Harakahdaily bertarikh 28 Ogos 2017 yang lalu, ramai di kalangan umat Islam tidak mengambil kisah atau menganggap tidak penting dalam aspek ini.

Ada juga yang merasa bosan kerana banyaknya karenah yang tidak menyenangkan dalam aspek politik, lalu mereka menyerah kalah atau mencari pendekatan yang salah apabila lebih mudarat bencananya. Mereka lupa betapa politik banyak mempengaruhi aspek yang lain, khususnya aspek kedaulatan negara dan keselamatan umat, bukan sahaja aspek ekonomi dan lain-lain.

Rasulullah S.A.W menyuruh umatnya bersabar menghadapi penyelewengan politik kerana wajib memelihara urusan politik supaya tidak terjerumus ke dalam bencana yang lebih besar akibatnya.

Banyak ayat-ayat al-Quran dan Hadis-hadis yang menunjukkan betapa Allah dan Rasul-Nya sangat murka terhadap orang yang tidak mengambil perhatian terhadap kepentingan umatnya sehingga menerima bencana yang memusnahkan semuanya.

Maka hendaklah difahami betapa mendaftarkan diri untuk menjadi pengundi di zaman kini adalah satu kewajipan agama yang besar terhadap setiap orang lelaki dan wanita apabila mempunyai kelayakan.

Allah berfirman:

وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم

“Dan jika kamu berpaling (daripada beriman dan menegakkan Islam) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.”

(Muhammad: 38)

Urusan menegakkan Islam dengan menjadi pemerintah berkuasa politik adalah kewajipan besar bagi umat Islam. Adapun yang datang menguar-uarkan supaya umat Islam melupakan politik adalah warisan peninggalan penjajah supaya umat ini lemah dan hilang kuasanya. Akhirnya menjadi hamba kepada sesiapa yang mengambil kuasa.

Menurut Tuan Guru, mengundi bukan sahaja memilih pemimpin bagi pihak rakyat, bahkan tanggungjawab mengundi adalah melantik wakil rakyat untuk melaksanakan Amar Maaruf dan Nahi Mungkar yang menjadi tonggak penting dalam menjaga jati diri umat melalui kekuasaan atau bersuara dan menentukan sikap. Mengundi juga adalah menjadi hakim terhadap kerajaan dengan melakukan hisbah di sepanjang penggal pemerintahannya.

Tepuk amai-amai belalang kupu-kupu,
Tepuk tangan tanya, apa yang boleh saya bantu?

Tolonglah daftar mengundi. Ulang tulis, tolonglah daftar mengundi (ulangan kedua). Usah bertangguh. Bawa kad pengenalan, terus ke pejabat Pos berhampiran atau mana-mana pejabat Pos pun boleh.

Benarkah di mana-mana pejabat Pos boleh?

Ya, boleh. Katakanlah anda duduk di Kuala Lumpur, esok ambil cuti nak balik kampung ada urusan. Ketika di kampung baru teringat belum daftar mengundi lagi ini. Nak buat di KL tiada masa. Usah bertangguh. Terus pergi ke kaunter pejabat Pos berhampiran di kampung anda. Bawa kad pengenalan, sebut saya mahu daftar mengundi. Tiada dikenakan bayaran pun.

Daftar mengundi online tak ada ke?

Ada. Sila rujuk laman web SPR. Tolonglah daftar mengundi (cukuplah rasanya sampai ulangan ketiga).

Tahukah anda?

Satu undi anda boleh menyelamatkan sebuah negara, satu undi anda juga dengan rahmat dan kasih sayang-Nya mampu menyelamatkan anda di dunia sana, tempat anda tinggal buat selama-lamanya. - HARAKAHDAILY 15/9/2019

GERAKAN Pembela UMMAH Pulau Pinang (UMMAH Pulau Pinang) mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow kerana positif untuk berjumpa nelayan atas isu PTMP dan PSR selepas kejayaan Himpunan Ummah Selamatkan Pulau Pinang (Penang Tolak Tambak) Ahad lalu. Namun begitu UMMAH Pulau Pinang merasa agak kecewa kerana keengganan beliau berjumpa NGO-NGO yang telah berhimpun dan berjuang membela nelayan dalam isu ini. Kami adalah rakyat Pulau Pinang yang ada hak bersuara atas prinsip demokrasi negara ini dan turut sama terkesan dengan projek ini.

Saya antara rakyat Pulau Pinang yang sedikit gembira apabila Chow Kon Yow dilantik menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Beliau kelihatan bersih dan jujur berbanding Lim Guan Eng yang agak “kotor” dengan isu bangalow dan terowong yang telah “dibakulsampahkan” selepas berkuasa. Keengganan beliau menyerlahkan sikap sombong dan angkuh serta membunuh dasar “Competency, Accountability, Transparency (CAT) yang diperjuangkan oleh kerajaan negeri. Jika begitu sikap beliau,saya nasihatkan lebih baik beliau berjumpa “ikan dan udang” yang amat terkesan dengan tambakan laut ini. Rasailah denyut nadi hidupan laut “stakeholders” sebenar yang terjejas. Beliau boleh berhubung dengan pakar bahasa ikan dunia Dr Phil Lobel sekiranya perlu untuk membantu.

UMMAH Pulau Pinang akan terus fokus atas isu ini. Kita akan sekali lagi membawa memorandum dan petisyen ke Parlimen. Kita akan terus menyokong usaha NGO yang lebih awal memperjuangkan isu ini seperti Sahabat Alam Malaysia (SAM), Penang Forum, Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan juga Persatuan Nelayan Pulau Pinang sendiri. UMMAH Pulau Pinang akan bersama mereka di Forum Awam 16hb September nanti dan juga pada 4hb November di Padang Kota Lama.

Ketua Menteri Pulau Pinang harus berjiwa besar dan terbuka. Jika tidak prinsip CAT hanya akan menjadi “kucing kurap yang kencing di kaki tuannya sendiri”. Chow Kon Yeow perlu tahu beliau lebih baik dan bersih daripada Lim Guan Eng.

MOHD AKHIR CHE MAT
Pengerusi UMMAH Pulau Pinang - HARAKAHDAILY 15/9/2019