Sidebar

Solusi sejahtera atasi pengangguran

e-HARAKAH

(Teks transkrip dan suntingan dari jawapan Presiden PAS di Live Facebook Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang semalam yang disediakan oleh Pelatih Harakah, ZAID MD ADHAR)

SEBAGAIMANA kita ketahui bahawa betapa Islam menggalakkan kerja untuk mendapatkan hasil sehingga Islam menjadikan zakat rukun Islam yang ketiga atau yang keempat.

Zakat ini daripada hasil pertanian, hasil perniagaan ataupun pendapatan melalui khidmat dan sebagainya sekiranya melebihi daripada keperluan hidup seseorang.

Kerja

Sehingga Islam mengaitkan kerja dengan dosa dan pahala. Bagi orang Islam mereka selalu berwirid selepas sembahyang:

لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ

“Baginya apa kerja yang dia buat membawa kebaikan, dia dapat pahala. Dan kerja yang buruk dia dapat dosa.”

(al-Baqarah: 286)

Kerja dengan makna yang umum, bukan sahaja dalam hubungan manusia dengan Allah, termasuk hubungan manusia dengan keperluan diri dengan masyarakat. Ada perhitungan halal dan haram.

Sehingga ulama meletakkan bab yang khusus dalam kitab fekah, bab Muamalat, dan bab Ihya’ul Mawat. Muamalat berkait dengan perniagaan dan perdagangan. Ihya’ul Mawat berkait dengan meneroka tanah.

Menunjukkan betapa Islam memberi perhatian kepada peranan manusia memakmurkan bumi, bukan sahaja untuk diri, bahkan untuk masyarakat.

Terlalu banyak ayat-ayat Quran dan Hadis-hadis Nabi yang menjadi nas betapa Islam meletakkan kerja dan pekerjaan kepada semua pihak, satu amalan yang sangat penting dalam kehidupan manusia:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

“(Dalam Quran.) Allah Taala menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba”

(al-Baqarah: 275)

Dan Hadis pula banyak antaranya:

“Barangsiapa yang menanam suatu tanaman, lalu dimakan oleh manusia dan binatang, diberi pahala oleh Allah Taala.”

Itu menunjukkan galakan Islam supaya kita bekerja dan mendatangkan hasil kepada diri dan kepada masyarakat.

member login