Keluar Umno elak Red Indian

SUBKY LATIF | .

KEWUJUDAN dan perbalahan PAS dan Umno mendorongkan Melayu berada di ambang nasib Red Indian. Itulah pengamatan Tun Hamid Mohamad, bekas Ketua Hakim Negara.
     
Saranannya bagi mengelakkan kecelakaan itu maka sayugialah PAS dan Umno meletak senjata, berdamai dan menjalin muafakat.
     
Ia adalah alasan mudah dan paling senang yang boleh diberi oleh semua manusia sama ada yang pandai mahupun yang bodoh.
     
Semua tahu bahawa bersatu itu teguh  dan bercerai itu roboh. Kita tidak cakap pun orang tahu.
     
Untuk tidak memperkecil dan memperleceh saranan rakan saya Tun Hamid itu, maka saya setuju ajak orang Melayu bersatu.
     
Itulah yang Rasulullah SAW anjurkan terhadap perbalahan Aus dan Khazraj. Tetapi tidaklah ia penyatuan kosong. Ada asasnya iaitu justeru Islam, demi Allah dan Rasul-Nya.
    
Bersatu Umno dan PAS atas apa?
    
Tidak bersatu musyrikin Quraisy Mekah dan pengikut Nabi SAW demi kebanggaan adat dan resam tok nenek Quraisy Arab sekali pun ditawarkan baginda menjadi raja, orang terkaya dan ratu tercantik Mekah. Turun ayat al-Kafirun yang maksudnya, aku dengan agamaku, kamu dengan agamamu. Aku tidak sembah agama (tuhan)mu, kamu tidak sembah Tuhanku.
     
Demi mengelak Malayu jadi Red Indian, Tun Hamid tidak memberi banyak pilihan melainkan bersatulah PAS dan Umno!
     
Ia samalah dengan strategi baru Umno pasca kekalahan teruknya di Kelantan tahun 1990 dan pasca PRU 2008. Strategi Umno itu hanya cakap kosong yang tidak pernah diusahakannya. Ia sekadar mahu PAS meninggalkan perjuangannya seperti musyrikin quraisy mahu baginda Rasul meninggalkan agama tauhidnya.
     
Lalu orang terlihat Tun Hamid seolah-olah senjata terbaru Umno yang tinggal nyawa-nyawa ikan itu.
    
Tetapi seruan Tun Hamid akan dilihat releven dan amat bergeliga jika ia memberi pilihan, seluruh pemimpin dan ahli Umno tinggalkan Umno untuk Najib dan Mahathir saja, sekaliannya berbondong-bondong menyertai PAS dan sedia bersatu di bawah PAS seperti berbondong-bondongnya Arab jahiliyah menyertai Islam selepas fathul Mekah.
     
Keutamaan Hamid mungkin bukan untuk menyambung strategi lapuk Umno untuk memerangkap PAS, tetapi mahu Melayu bersatu bagi mengelak jadi Red Indian baru. Penyatuan orang Melayu itu bukan hanya satu hala dan satu cara.
     
Ada banyak pilihan. Tetapi yang paling dekat dengan sasaran ialah orang Melayu menghukum Umno dengan beramai-ramai meninggalkan Umno supaya Umno jadi tin kosong. Maka justeru PAS menyambung risalah yang baginda Rasul bawa, bersatu balakalah orang Melayu bersama PAS.
     
Atas roboh Umno-Barisan, kita bangunkan cita-cita mulia, bagi mengelak nasib Red Indian, bersatulah Melayu seluruh belaka.
     
Sesuai dengan etika hakim dan mahkamah, setiap yang salah dan jenayah mesti dihukum. Hakim mesti adili akan gara-gara apa Melayu diletakkan di pintu nasib Red Indian? Ada pun PAS sejak mula lagi adalah bagi menghalang Umno membawa Melayu ke pintu rumah Red Indian itu. Itulah sebabnya PAS tidak dapat bersama Umno.
     
Adakah elok PAS biarkan saja Umno bawa Melayu terjun gaung. Tidaklah pengamal undang-undang boleh berfikiran bahawa kecelakaan mesti disokong semata-mata mahu bersatu.
     
Musa tidak dapat bersatu dengan Firaun, seperti Adam tidak dapat bersatu dengan makhluk halus yang memusihi manusia. Tun Hamid mesti memulakan mengajak Melayu meninggalkan Umno. Apabila Umno kosong, semuanya tinggal bersama PAS. Apabila Umno mati, tinggallah PAS.
     
Menyuruh PAS berbaik dengan Umno, seperti menyuruh sawa ditelan ular lidi. Sawa tidak mahu telan ular lidi, biarkan ia mati kering. – HARAKAHDAILY 2/1/2014

Share on Myspace