Yang diperlukan bantuan, bukan kerajaan campuran

SUBKY LATIF | .

YANG diperlukan oleh Kelantan umumnya, mangsa banjir khususnya masa ini ialah bantuan sampai kepada mereka, bukan polemik tentang kerajaan campuran PAS-Umno.
     
Kerajaan campuran tidak dapat ditubuh dalam sekelip mata seperti menggesek Lampu Aladin. Gosok lampu ajaib dengan niat terbentuk kerajaan campuran. Sekelip mata kerajaan campuran terbentuk.
      
Bagi orang politik, jika Lampu Aladin itu ada, daripada minta kerajaan campuran, lebih baik minta jinnya beri makanan, pakaian dan rumah untuk setiap mangsa.
     
Bercakap tentang keindahan kerajaan campuran, adalah bagi mengkhayalkan semua mangsa tentang mereka berada dalam kesusahan, kelaparan, tiada minuman dan tiada semua kemudahan.
      
Masa tidak ada buat Perdana Menteri Najib untuk bertemu TG Haji Hadi untuk bercakap tentang bentuk kerajaan yang hendak ditubuh.
      
Kerajaan campuran yang palsu tahun 1973 dulu bukan wujud seperti Nabi Sulaiman arahkan jin pindahkan istana Puteri Balqis dari Yaman ke pekarangan istana Nabi Sulaiman.
    
Tun Razak usulkan sebaik tercetus peristiwa 13 Mei, 1969 pada Datuk Asri, hanya persetujuan rapuh itu terlaksana pada 1 Januari, 1973. Masa itu ramai mangsa 13 Mei yang sudah mati dan ada orang hilang kuasa dan jawatan, bahkan ada pemimpin Umno yang kena pecat.
      
Jika disetujui anjuran kerajaan campuran, bagi menunggu pelaksanaannya, belum tentu Najib berkuasa lagi atau TS Muhyidin masih TPM.
     
Ia tidak sesenang Najib memutuskan untuk mengeluarkan 500 juta bagi pengendalian urusan banjir.
     
Kerajaan campuran itu adalah urusan politik. Mangsa banjir tidak ada masa untuk mendengar perdebatan politk kerana mereka lapar, dahaga, berada dalam serba kepayahan.
     
Politik adalah memikir bentuk kerajaan, dasar dan tindakan yang terbaik melaksanakan semua yang dirancang.
     
Kerajaan campuran diperlukan kerana kerajaan tidak dapat dibentuk atau kerajaan yang ada tidak dapat bertahan. Sekarang kita sudah ada kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Yang membuat segala kerja kerajaan bagi menangani banjir bukan ditentukan oleh PAS dan Umno. Ia ditentukan oleh kerajaan dan dilaksanakan oleh kakitangan kerajaan.
     
Pandangan Umno dan PAS bukan dasar kerajaan. Dasar kerajaan ditentukan oleh kabinet dan Exco. Menteri dan exco pantau dasar terlaksana atau tidak. Pembangunan berjalan atau tidak.
     
Pegawai tengok dasar apa yang boleh dijalan dan apa yang tidak boleh. Kerajaan yang berjaya di dunia tidak tunggu arahan parti yang memerintah. Tentera dan jentera kerajaan dipertanggungjawabkan menyempurnakan segala urusan kerajaan.
     
Jika anggota Umno dan PAS turun padang untuk membantu rakyat, ia adalah bagi membantu dan mempermudah tanggungjawab kerajaan.
      
Orang politik datang untuk memantau apa-apa kurang dan tidak sampai kepada mangsa. Jika ada yang tidak dapat bantuan, kiranya ia ada benda yang diperlukan, dia boleh beri apa yang ada. Kalau tidak ada, dia boleh sampaikan kepada petugas kerajaan akan kekurangan dan apa yang diperlukan.
      
Masa ini kerajaan yang ada mesti mempercayai keupayaan jentera untuk menyampaikan tanggungjawab. Umno dan PAS mesti mempercayai jentera kerajaan yang sudah ada untuk membuat apa yang terbaik.
     
Mangsa banjir berdepan dengan soal hidup dan mati, ada kediaman atau tidak. Mereka tidak fikirkan patut ada kerajaan campuran atau tidak.
     
Yang penting sekarang bagaimana kerajaan yang ada boleh berperanan. PM Najib sudah sediakan 500 juta. Biarlah kerajaan yang ada menyelaraskannya. Buat apa tunggu kerajaan campuran baru pemulihan dilaksanakan. Yang menunggu kerajaan campuran tidak percaya kepada keupayaan kerajaan yang dipilih rakyat.
     
Jika pemulihan dan pembangunan semula tidak boleh dilaksanakan tanpa kerajaan campuran, ia adalah kelemahan pemimpin kerajaan. Kerajaan dan pemimpin yang cekap mesti ada wibawa untuk memanfatkan kerajaan yang ada. Bercampur atau tidak bercampur, kerajaan mesti berfungsi.
     
Jika tiada kerajaan campuran, Najib tidak boleh bangunkan semua negara, ia tanda dia PM yang tiada wibawa. Menunggu kerajaan campuran adalah seperti menunggu bantuan jin lampu Aladin. – HARAKAHDAILY 7/1/2015

Share on Myspace