Tiada kerajaan campuran sekadar seru

SUBKY ABDUL LATIF | .

SEOLAH-olah ramai sangat orang tidak menyertai politik mahu kerajaan campuran diadakan antara UMNO dan PAS yang logiknya tidak terhad di Kelantan saja.
     
Sekalipun ia dicadangkan bagi memudahkan pembangunan semula Kelantan yang runtuh disimbah banjir, ia juga boleh jadi teori pemulaan penyatuan PAS-UMNO yang dikatakan berada di jurang kebinasaan. Dengan penyatuan dan kerajaan campuran itu terselamat Melayu dari hilang di dunia.
     
Saya tidak mahu menyatakan elok atau tidak eloknya kerajaan campuran dan penyatuan dua parti politik utama orang Melayu itu. Tetapi hendak mengagak kemungkinannya dan sekadar berteori yang tidak berkesudahan.
      
Pertama di mana dalam dunia sebuah kerajaan, baik campuran dan yang tidak bercampur ditegakkan oleh orang tidak berpolitik dan orang tidak suka politik? Orang tak berpolitik ini sebaik mana kerajaan yang dikehendakinya tidak akan dapat melihak kerajaan itu diwujudkan kecuali dia terjun ke dunia poliik itu sendiri bagi membentuk kerajaan yang dikehendakinya.
      
Sekadar menyeru orang lain untuk mewujudkannya hanya jadi harapan tidak mungkin terjadi apa lagi kerajaan itu dipegang oleh pihak yang cukup majoriti untuk meneruskan pemerintahan.
     
Kerajaan campuran hanya akan diusahakan jika tiada parti yang cukup majoriti untuk membentuk kerajaan. Seperti kerajaan Britain sekarang. Dua-dua parti utamanya - Buruh dan Konservertif – tidak cukup majoriti dalam pilihan raya yang terbaru. Maka kedua-duanya berusaha mendapatkan sokongan Parti Liberal bagi menubuhkan kerajaan. David Cameron dan persetujuan Parti Liberal. Jika Cameron ada satu majoriti saja, mampus dia akan buat kerajaan campuran.
      
PAS di Kelantan  dan UMNO di luar Kelantan ada majoriti yang cukup, maka ajaib jika mereka setuju dengan sebarang seruan dan gesaan orang tidak terlibat dengan politik supaya bercantum. Adalah lebih senang mencantumkan mata tunas getah kahwin dari menyatukan manusia di langit dengan manusia di bumi.
     
Cadangan seperti itu elok dibincangkan dalam kuliah sains politik di mana universiti. Membincangkan dalam akhbar bertahun pun tidak akan terkabul. Menghabiskan muka surat khabar saja, dan baiklah ruang itu digunakan untuk lain-lain isu, kecualilah jika hendak melariskan pasarannya saja.
      
Jika orang memikirkan kerajaan campuran dan penyatuan itu perlu dibentuk, maka kerajaan-kerajaan yang ada tiada berkemungkinan menyambutnya.
     
Jika ia hendak diadakan juga, pencetus fikiran ada dua pilihan. Pertama beramai-ramai masuk PAS dan UMNO. Ambil alih pimpinan UMNO dan PAS. Lepas itu bolehlah kedua-duanya membentuk kerajaan campuran bersatu.
     
Kalau ini tidak dapat dilakukan, mereka terpakai membentuk parti ketiga, tarik semua penyokong PAS dan penyokong UMNO menyertainya, bertanding dulu dalam pilihan raya, pastikan UMNO dan PAS dikalahkan. Bila dalam majoriti besar, dua pertiga, tidak perlu lagi susah dengan kerajaan campuran dan tak perlu lagi cakap penyatuan kerana UMNO mungkin akan mati  dan PAS pun mati.
    
Jika ini jadi pilihan, maka mereka sdah campur politik dan sudah jadi orang politik. Tidak lagi tidak berpolitik.
     
Ketika Mujahiddin Afghanistan menentang Soviet Union dulu, ia terbahagi kepada sembilan parti. Satu ideologi, Mujahiddin. Satu tujuan, menentang pencerobohan Soviet. Mereka tak tersatukan. Mereka panggil ulama Rasul Sayaf pulang dari Saudi untuk memimpin gabungan. Akhirnya Rasul Sayaf jadi pemimpin kumpulan yang kesepuluh.  
    
Eloklah ilmu politik dipelajari oleh semua supaya tidak jadi macam sidang tikus untuk memasang loceng di leher kucing. - HARAKAHDAILY 13/1/2015

Share on Myspace