Mulakan kerajaan campuran di Kedah

SUBKY ABDUL LATIF | .

KITA usah fikirkan sangat tentang kerajaan campuran di Kelantan kerana ia cerita tepuk tangan sebelah atau tangan yang bertepuk.
     
Tidak kisah tentang syurga yang dijanjikan untuk Kelantan oleh wawasan kerajaan campuran itu, atau lebuh raya emas dari Kuala Kerai ke Kota Bharu ganti lebuh raya wakaf yang kerajaan negeri sedang rancang sekarang. Ia tidak difikirkan akan berlaku.
    
Tetapi kiranya wawasan kerajaan campuran itu penting untuk rakyat dan negara serta pemangkin bagi penyatuan orang Melayu seluruhnya, maka janganlah pencetus itu berputus asa.
    
Kiranya apa yang dikatakan orang Melayu/Islam perlu bersatu yang UMNO selalu war-warkan, usahakan jugalah satu kerajaan campuran tetapi bukan di Kelantan.
     
Apa kata jika dialihkan cadangan itu ke Kedah? Biar Kedah menjadi contoh kerajaan campuran PAS-UMNO.
     
Kerana ia dikatakan dikehendaki sangat oleh UMNO, maka UMNO ambil tindakan awal mencadangkannya, mana tahu kalau Pesuruhjaya Mahfuz Omar mungkin boleh memikirkan. Jika kita lihat sikap Mahfuz tentang kerajaaaan campuran di Kelantan, rasanya tidak mungkin dia tertarik. Tetapi mana tahu kalau kena tawarannya, dia mungkin ada pandangan kedua di Kedah.
      
Atau kalau tidak di Kedah, di Terengganu.
     
Tetapi UMNO jangan bersikap seperti pelawa ayam. Buat percubaan bersungguh-sungguh. Adakan hubungan berterusan dengan Mahfuz dan Amirudin Hamzah. Sekali atau dua kali jumpa, mungkin tidak membawa apa-apa hasil. Tetapi kiranya UMNO bersungguh dan bersabar, rundingkan secara baik dan secara senyap, mungkin ia dimakbulkan.
     
Bukan umumkan cadangan itu dari kelambu pemimpin UMNO atau sesiapa seorang diri dan disiarkan di media.
     
Kalau cadangan itu baik dan sungguh hendak diadakan, maka UMNO contohilah apa yang Tun Razak buat dulu semasa pembentukan kerajaan Perikatan-PAS tahun 1973.
     
Tun Razak tidak rancang dari tempat tidurnya. Dia kirim iparnya menteri Hamzah Abu Samah mengambil Dato Asri dengan helikopter di Kota Bharu semasa perintah berkurung 13 Mei, 69.
    
Sesudah lebih dua tahun dia berunding berterusan dengan Dato Asri, sesudah dipastikannya ia satu kemungkinan, barulah mereka timbulkan dalam media dan ia pun dilaksanakan.
    
Setakat ini kita tidak nampak menunjukkan kesungguhnya. Apa yang didengar ialah ia tembak dari jauh, anjurkan PAS tinggalkan Pakatan Rakyat demi bersama UMNO dengan andaian orang Melayu boleh bersatu.
     
PAS terus bersifat sepat, tidak makan pancing emas.
    
Justeru wawasan kerajaan campuran dan penyatuan itu suatu idea bergeliga, maka jika tidak mungkin di Kelantan, cuba pula di Kedah. Bagi ia jadi. Jika jadi di Kedah, nampak tembok memisahkan PAS dan UMNO dapat dirobohkan dan kemudian diikuti oleh kerajaan campuran di Terengganu, mungkin boleh mencairkan orang Kelantan.
     
Untuk sekarang lupakanlah Kelantan, tumpukan semua usaha membentuk kerajaan campuran di Kedah. Biar orang PAS dapat tengok hasilnya. Biar negeri itu ditadbir bersama oleh Mukhriz dan Amiruddin Hamzah. Biar orang lihat Kolej Insaniah kembali di kampus yang dibina oleh Tan Seri Azizan dulu.
     
Kedah jangan tunggu banjir besar di Kedah dan Kuala Kedah hancur macam Kuala Krai baru hendak mengadakan kerajaan campuran. Jika Kedah tidak berminat, ia menolak keinginan yang UMNO bayangkan dan ia hendak Melayu terus brpecah. Baiklah semuanya bertumpu ke Kedah.
     
Tak usah usik Kelantan! - HARAKAHDAILY 14/1/2015

Share on Myspace