Apa Dr. M buat jika jadi PM semula?

SUBKY s= | .

APA logiknya bagi Dr. Mahathir menempelak mereka yang taksub kepada pemimpin yang tidak memimpin mengikut ajaran al-Quran?
      
Makna selapisnya rakyat jangan taksub atau jangan peduli terhadap pemimpin yang tidak memimpin berpandukan al-Quran. Ingatan kepada pemimpin dan sesiapa yang hendak memimpin mestilah memimpin mengikut ajaran al-Quran.
     
Jika apa yang Dr. Mahathir maksudkan dengan pemimpin mengikuit al-Quran itu sepatutnya seperti pimpinan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW memimpin negara Madinah dan wilayah-wilayah yang menerima Islam semasa hayat baginda, dan pimpinan empat khalifah ar-Rasydin serta pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz.
     
Pimpinan mereka ini adalah model pimpinan Islam 100 peratus. Adapun pimpinan khalifah yang lain ada takwilnya atau ada pasang surutnya.
     
Apabila kita menyebut tentang pimpinan mengikut kehendak al-Quran maka model yang jadi ikutan seboleh-bolehnya adalah zaman khalifah 4+1 itu. Apakah boleh jadi seperti mereka adalah satu hal yang lain, tetapi itulah contoh dan model terbaik.
     
Dan apabila kita hendak menjadikan al-Quran sebagai panduan, maka ia adalah satu tanda iman yang murni. Ketika kita menyatakan hasrat itu seperti yang disebutkan oleh Dr. Mahathir, nescaya dia sudah dapat satu pahala. Jika dilaksanakan pula dapat lagi satu pahala. Jika tidak dapat dilaksanakan pahala niat untuk melaksana tadi kekal hinggalah terbukti yang dikatakan niat tadi adalah palsu.
     
Adakah Dr. Mahathir semasa memimpin beberapa kementerian sebelum menjadi Perdana Menteri dan semasa menjadi Perdana Menteri sudah menunjukkan pimpinan seperti yang disarankan oleh al-Quran seperti yang disebutkannya baru-baru ini?
     
Sekalipun Malaysia di bawah pimpinannya didakwa sebagai contoh negara Islam yang terbaik dan ada juga orang luar yang merasakan begitu, tetapi tiadalah yang memikirkan Dr. Mahathir sudah memimpin mengikut al-Quran seperti yang dilaksanakan oleh al-khalifah ar-Rasyidin 4+1 itu.
     
Mungkin dia sudah rasa dia telah pimpin demikian, tetapi siapa yang hendak percaya. Sekaliannya akan kata, dia pun dulu tidak buat apa-apa yang dia kata baru-baru ini. PM Najib tidak bercakap, tapi dia tentu gelak dalam hati mendengar cakap Mahathir itu.
     
Tetapi mungkin itu dulu. Sesudah sekian lama tidak menjadi Perdana Menteri, dia pun merasa silap tidak mengikut cara yang disebutkannya itu. Dan mungkin kalau dia jadi Perdana Menteri semula, ia akan menjadi pemimpin yang mengikut ajaran al-Quran sesuai dengan masa dan peredarannya.
    
Seperti yang ajaran Islam ingatkan, ada orang yang beramal sepanjang hidup mengikut amalan ahli syurga, sejengkal sebelum mati, dia beramal mengikut amalan ahli negara, maka ia masuk neraka. Ada orang yang sepanjang hidup beramal mengikut amalan orang neraka, sejengkal sebelum mati, ia beramal seperti amalan ahli syurga, maka dia masuk syurga.
      
Mungkin dulu Perdana Menteri Mahathir tidak memerintah seperti kehendak al-Quran, tetapi pada hari tuanya, dia berfikir seperti fikiran ahli syurga, maka fikiran sekarang adalah betul dan terpuji.
     
Dan jika sekarang dia kembali menjadi Perdana Menteri, maka dia akan menjadi PM yang berpandukan al-Quran. Dulu adalah dulu, sekarang adalah sekarang.
    
Tetapi jika Dr. Mahathir sekarang adalah orang yang sudah berubah, dia mesti keluarkan kenyataan bahawa dia amat menyesal tidak mengikut panduan al-Quran semasa memimpin dulu. Jika dia menyesali kesilapannya dulu, maka barulah orang simpati dan percaya akan kata-katanya, jika tidak orang akan kata, kata dulang paku serpih, kata orang aku yang lebih. – HARAKAHDAILY 16/1/2015

Share on Myspace