Gara-gara kritik Eric Paulsen atas Islam

SUBKY LATIF | .

TANGGAPAN Eric Paulsen, Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty atas siri khutbah Jumaat Wilayah Persekutuan atas dalih mengkritik Islam tetapi dia telah mencerca Islam.
     
LFL yang dikendali Eric adalah demi memestikan demokrasi berkembang subur dan tiada ekstrim dalam Islam. Eric memantau Malaysia atas perkara itu.
      
Jika amalan demokrasi Malaysia sempurna, maka LFL tidak diperlukan. Ia akan sia-sia saja. Jika benar LFL bekerja demi kepentingan demokrasi Amerika, maka wajar amalan demokrasi di Malaysia itu terus dikritik dari semasa ke semasa di samping ia juga mesti mengkritik amalan demokrasi Amerika.
      
Tidak dipastikan LFL telah menjalankan tanggungjawabnya tentang demokrasi tempang klik pemerintah Malaysia sejak dulu. Apabila kita kata demokrasi di Malaysia tempang, demokrasi Amerika juga amat tempang. Ia tidak memakai langsung roh demokrasi atas isu Israel dan Palestin. Demokrasi Amerika adalah buta atas kezaliman Israel terhadap Palestin dan ia pekak atas sebarang teguran terhadap Israel di PBB.
      
Jika LFL dapat memberi pantauan tegas terhadap amalan demokrasi kerajaan Malaysia terhadap rakyatnya, maka LFL dan Eric amat diperlukan. Malaysia sesungguhnya memerlukan badan bebas bagi memastikan kerajaan dan pemimpinnya mematuhi amalan demokrasi.
      
Eric dipercayai tidak tunaikan amanah itu tetapi dia telah tersalah kritik khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jawi. Sebenarnya khutbah yang Jawi sediakan itu amat lembik. Kurang sangat suntik Islam yang disampaikannya. Yang banyak menyuntik bagaimana umat Islam mesti menjadi penyokong kepada kerajaan sekular.
     
Jika khutbah yang kurang zat Islamnya dikira menyuntik ekstrimisma Islam, maka tiada yang tidak ekstrim lagi dalam Islam.
     
Jarang sangat kita mendengar adanya khutbah yang menyuntik tentang jihad sedang jihad itu hampir menjadi rukun Islam keenam. Demikianlah pentingnya jihad dalam ajaran Islam. Kiranya Islam yang kurang manis jihadnya dikira ekstrim juga, maka tiadalah yang tidak ekstrim dalam Islam.
     
Dan dengan cerca Eric terhadap khutbah dan cemburunya tentang apa yang disangka ekstrim Islam, mungkin juga Islam itu bersih dari apa yang dikatakan ekstrim.
     
Islam yang dibawa Rasulullah SAW jauh lebih berisi daripada Islam yan diajar hari ini. Bahkan dunia melihat sesiapa hendak mengembalikan Islam kepada ajaran dan pelaksanaan Islam pada zaman Nabi itu, maka ia dikira ekstrim. Yang mengata ekstrim itu barat dan orang Islam pun terikut sama menggunakan label ekstrim dan keganasan kepada Islam.
     
Jika LFL dan Eric Paulsen telah menggunakan neraca yang silap terhadap khutbah dan Islam lembik juga keganasan, maka ia adalah tanda itu bersih daripada semua cercaan.
     
Reaksi dari semua Islam itu keganasan ialah semua Islam tidak ganas atau tiada ganas dalam Islam. Islam itu adalah manis dan tiada mungkin Islam itu pahit, kelat atau masam. Dan yang mengata anggur yang dipercayai manis ialah sang musang yang tidak dapat makan anggur itu.
     
Amat malang bagi Islam dan khutbahnya yang disediakan oleh pihak berwajib, ia sudah tidak berjaya mendapat kelas yang memuaskan pendengar Islamnya, ia ditempelak pula oleh musuhnya menyebarkan ajaran songsang.
     
Saya teringat tentang satu khutbah menyokong dasar pandang ke timur dulu. Komen seorang makmum, ‘Ia cuma tidak disampai dalam bahasa Jepun saja.’ Demikianlah lunaknya khutbah kerajaan.
     
Apabila orang seperti Eric Paulsen gagal memahami Islam dan demokrasi kita, jangan salah mereka itu jahat dan memusuhi Islam dan memusuhi kita saja. Kita tanya dasar dakwah kita, adakah dakwah kita ada dasar dan adakah ia sudah  berdakwah? – HARAKAHDAILY 19/1/2015

Share on Myspace