Jangan salah ibu bapa anak dicium k-pop

SUBKY LATIF | .

GARA-gara anak muda bertudung lingkup dipeluk dan dicium si artis k-pop luar lalu semua menuding jari kepada anak-anak muda dan ibu bapa masing-masing.
    
Anak-anak dikatakan tidak diberi asuhan agama dan pelajaran secukupnya, lalu tiba masanya mereka tidak hiraukan adat dan pantang larang, buat apa yang hendak dibuat. Ibu bapa pula utamakan pendidikan yang betul untuk anak-anak, dan tidak kawal anak-anak, maka itulah jadinya, mudah terpengaruh dengan apa jua perkembangan yang tidak bermoral.
     
Memanglah yang mudah bagi dunia meletakkan semua kesalahan kepada orang yang bersalah dan mempertikai ibu bapa dan waris orang yang bersalah. Tetapi dunia tidak mempeduli sangat perkembangan dunia yang menyebabkan orang terdedah kepada semua kepincangan.
      
Jenayah sosial misalnya. Ibu bapa telah memberi pendidikan betul kepada anak-anak dan anak-anak pun telah menerima pendidikan yang secukupnya. Semua pendidikan dan disiplin itu biasanya terjaga dalam kawasan tertentu saja, di rumah semasa bersama dengan ibu bapa, dan di sekolah yang ada kawalan disiplin yang cukup.
     
Tetapi dunia anak-anak tidak di rumah saja dan tidak di sekolah yang ketat disiplinnya saja. Di luar rumah ibu bapa tidak lagi jamin keselamatan anak-anaknya dan di luar sekolah guru-guru tidak lagi dapat kawal murid-muridnya.
     
Mereka terdedah alam yang penuh jenayah dan alam yang penuh dengan pengaruh yang merosak dan mengkhayalkan. Ramai mana anak-anak yang cukup pendidikan terjebak dalam kegiatan tidak bermoral dan ramai anak yang ibu bapa cuba menjaga anak-anak supaya jadi orang baik terperangkap dengan berbagai salah laku.
    
Sebabnya anak-anak terdedah di antara rumah dan sekolah dan semasa anak di luar rumah terpengaruh dengan semua agen dan sumber maksiat yang ada di mana-mana. Kita tidak dapat elakkan anak daripada keluar rumah, kerana apabila tiba masanya mereka  kena juga keluar rumah. Tetapi di luar rumah itu penuh dengan hal-hal yang negatif yang ibu bapa tidak dapat cegah.
     
Keselamatan dan kesejahteraan di luar rumah itu adalah urusan kerajaan dan masyarakat. Masyarakat dan kerajaan tidak berjaya membendung segala gejala buruk itu. Dan apa lagilah kalau kerajaan itu bersikap liberal terhadap hal-hal yang boleh merosakkan akhlak seperti sambutan tahun baru, pesta itu dan pesta ini.
      
Semua itu mengundang penyertaan orang ramai. Mungkin 60 peratus rakyat tak tertarik dengan pesta dan hiburan. 20 peratus atau 30 peratus yang tertarik pun cukup untuk menjadikan ia meriah dan liar.
     
Segala yang mengundang keliaran ini tidak dapat dikawal oleh ajaran yang baik di tengah masyarakat yang terbuka. Manusia tidak kira beragama atau tidak dilengkapkan dengan nafsu yang mudah tergoda dengan apa-apa saja.
     
Adam dan Hawa sudah diberi ajaran secukupnya untuk mengawal diri dan nafsu. Tetapi di syurga tempat mereka transit adalah pohon larangan. Mereka sudah diberitahu jangan dekat pokok itu. Kerana pokok itu ada, sekalipun sudah ada amaran, sebagai manusia yang ada nafsu, kedua manusia yang terdidik sempurna itu tidak dapat mengawal godaan yang ada itu.
      
Jika mereka tidak dapat mengawal diri, maka bagaimana manusia yang serba lemah dapat menjaga diri dalam dunia penuh godaan?
     
Maka demi mengawalnya Allah sediakan agama, yang diredai ialah Islam. Ia tidak sekadar ada agama dan ada peraturan. Ia mesti dikuatkuasakan. Apabila ia tidak dikuatkuasakan, apa cara bagi mengelakkan artis k-pop memeluk dan cium anak kita dan bagaimana nak halang anak kita jangan keluar rumah? Jangan marah sesiapa melainkan tegakkan syariah. – HARAKAHDAILY 20/1/2015

Share on Myspace