Zahid mungkin betul, tapi orang tak setuju

SUBKY LATIF | .

DATUK Zahid Hamidi yang bertanggungjawab atas keselamatan negara mungkin telah membuat tindakan yang betul menulis surat kepada FBI – Biro Siasatan Amerika – tentang Raja Judi, Paul Phua Wen Seng sepanjang kedudukannya di Malaysia.
      
Tetapi rata-rata orang tidak mengira menteri keselamatan dalam negeri bijaksana membuat tindakan itu atas namanya sendiri atas kedudukanya sebagai menteri kanan dan dari segi Umnonya dia adalah yang ketiga kanan.
      
Antara yang mengira Datuk Zahid sewajarnya terlibat demikian ialah mantan Ketua Polis Negara yang dilucutkan jawatannya kerana kesalahan jenayah memukul DS Anwar Ibrahim hingga pengsan. Apakah bekas pegawai itu TS A. Rahim Nor layak jadi seorang saksi atas kelakuannya dulu tidak dipastikan, tetapi dia yang arif dalam ilmu jenayah merasakan apa yang Zahid buat itu biar dibuat oleh orang lain.
      
Kedudukan Zahid dalam kerajaan tidak jadi apa-apa kerana Malaysia bukan sebuah negara yang peka dengan integriti dan politik bermaruah. Ramai lagi menteri dan yang lebih kanan daripadanya dulu dan sekarang tidak jadi apa-apa melakukan hak-hak yang dikira tidak bermaruah. Cuma dia tidak dikira bijak dengan apa yang terjadi itu.
     
Yang Zahid buat itu adalah memberi senjata berharga dan percuma kepada pembangkang bagi mendedahkan kelemahannya dan kelemahan kerajaan pada masa Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menekankan perlunya kita ada kerajaan, pemimpin, pegawai dan rakyat yang berintegriti dan bermaruah.
      
Betul, pembangkang dianggap nampak baik berbanding apa-apa saja yang kerajaan Umno/BN buat, tetapi jangan modal memburukkan menteri dan kerajaan disediakan oleh menteri dan kerajaan sendiri.
      
Zahid mungkin rasa terselamat kerana keterlanjurannya itu diterima oleh kabinet. Ertinya tanggungjawab hal itu sudah diambil sama orang kabinet. Apa lagi yang kabinet buat apabila hal itu dibentang kepada kabinet selain dari mengiakan saja?
      
Zahid adalah menteri kanan. Perdana Menteri pun bukanlah bersih sangat. Dia memerlukan sokongan anggota kabinetnya, tentulah tidak sedia bermasalah dengan orang bawahnya. Kabinet mudah setuju atau tidak setuju atas perkara yang belum diputuskan. Atas perkara yang sudah terjadi dan disanggah umum, maka tidaklah bijak bagi kabinet membuat pandangan menyalahkan keterlanjuran anggotanya di khalayak umum.
      
Yang menunggu keterlanjuran menteri bukan pembangkang saja. Masa ini Dr. Mahathir sedang mengumpulkan segala kepincangan PM Najib dan tindakan kerajaannya. Semua orang sudah tahu apa sikap Mahathir terhadap Najib dan kerajaannya.
     
Orang yang bersetuju dengannya dalam Umno pun ramai. Orang ramai umumnya tahu akan keupayaan PM Najib. Persepsi mereka tidak banyak dimediakan. Tapi pandangan Dr. Mahathir wajib dimediakan. Mereka pun suka lebih banyak kritik Mahathir terhadapnya. Mereka tidak dapat luahkan sungutan mereka tetapi marah Dr. Mahathir akan dilayan media.
     
Menteri-menteri jangan sangka pandangan Dr. Mahathir tidak laku.
     
Tindakan Zahid itu memberi peluang lagi bagi Dr. Mahathir untuk menyalahkan Najib dan kerajaannya. Mahathir bukan saja banyak pengalaman sebagai Perdana Menteri, tetapi dia juga banyak pengalaman sebagai Menteri Dalam Negeri, maka dia tahu masalah keselamatan dan apa yang menteri dalam negeri patut buat dan apa yang dia tidak patut buat. Lainlah kalau sebagai menteri dalam negeri ada tindakannya yang lebih tidak cerdik dari tindakanZahid itu.
     
Apa pun kaki judi adalah satu dari pemaksiat besar. Raja Judi mugkin tidak berjudi dan curang di Malaysia. Tetapi akaun judinya masuk dalam satu buku Mungkar dan Nakir iaitu judi dan kecurangan itu dilaku. Jangan sesiapa dikira menumpang maksiatnya! – HARAKAHDAILY 22/1/2015

Share on Myspace