Telah diingatkan, jangan harapkan minyak!

SUBKY LATIF | .

JANGAN yakin sangat dengan jaminan Perdana Menteri Najib betapa negara tidak gawat sangat berikutan kejatuhan harga minyak dunia.
     
Dalam keadaan harga minyak tinggi dan hasilnya yang melimpah pun negara berdepan dengan hutang yang melambung pada zaman Najib, harga barang keperluan berlipat ganda, jika subsidi diteruskan, negara akan muflis menjelang tahun 2020, apa lagilah dengan minyak dunia yang jatuh dengan tiba-tiba.
      
Justeru harga minyak begitu dan kesan puaka banjir yang menggila telah memaksa menteri kewangan menyemak Bajet 2015. PM enggan mengisytiharkan darurat atas serangan banjir tetapi terpaksa menyemak bajet kerana kejatuhan minyak.
     
Telah lama kerajaan diingatkan supaya jangan bergantung sepenuhnya kepada minyak. Kita mesti hidup dan negara mesti ditadbir seperti sebelum minyak ditemui.
     
Malaysia lahir sebelum minyak ditemui atau minyak tidak menjadi sumber ekonomi yang terpenting.  Sejak merdeka Malaya tidak hidup atas minyak. Ekonomi negara sebelum pembentukan Malaysia ada dikira sebuah negara makmur. Kekuatan ekonomi dan kestabilan politiknyalah yang menyebabkan wilayah Sabah dan Sarawak sedia menyertai Malaysia dan atas keyakinan itu juga British sedia melepaskan jajahan takluknya Borneo ditadbir oleh Kuala Lumpur.
     
Kita bersyukur, negara kita bertuah kerana dilimpahi minyak. Jika tanpa minyak negara kita tetap makmur, maka dengan penemuan minyak di Laut China Selatan tentulah akan tambah menstabilkan politik dan ekonomi negara. Sejak itu kerajaan diingatkan jangan lupa daratan dengan penemuan minyak.
      
Minyak adalah bahan yang boleh habis. Malaysia mesti menerima minyak itu sebagai bonus dan bukan sebagai sumber pergantungan ekonomi kita. Negara mesti terus menggembeling ekonomi dengan sumber dan hasil yang sedia ada dengan memanfaatkan apa yang sewajarnya saja dari minyak.
     
Tidak dinafikan minyak dan gas itu satu pemangkin ekonomi dan kewangan yang penting, tetapi minyak bukanlah segala-galanya bagi kekuatan negara.
     
Ingatan yang diberi ialah minyak dan gas itu akhirnya akan habis. Jika kita bergantung pada minyak, abaikan yang lain, maka negara akan lebih parah daripada gawat.
     
Kini minyak masih banyak, tetapi harga jatuh teruk. Ia belum habis tetapi harganya rendah. Sudah cukup untuk menyusahkan negara. Minyak masih boleh dijual tetapi harganya jatuh hingga lebih separuh.
      
Harga yang baru itu dikira lebih baik daripada harga semasa kita mula berminyak. Dunia seluruh terasa aman dan makmur ketika minyak kurang dari USD30 setong. Kita tidak dapat mimpi keadaan lama akan berulang. Harga serendah demikian dululah yang telah membantu kehidupan tenang dan murah di seluruh dunia.
    
Kaum kapitalis baratlah yang menjadikan dunia kita begitu mahal sekarang. Penduduk dunia telah dipaksa hidup dengan haga minyak yang dinaikkan begitu deras. Kita tidak terfikir minyak itu boleh dimurahkan kembali seperti dulu.
    
Masa itu kenaikan menggila minyak dikira menindas dunia. Dan apabila harga minyak jatuh sepatutnya rakyat dapat pembelaan dan keadilan semua. Tetapi apabila harga minyak sekarang turun sepatutnya semua seronok, sebaliknya bagi negara seperti Malaysia melihatnya sebagai satu musibah.
     
Sepatutnya kejadian itu membantu kita menjana semula dunia yang murah dan berduit banyak, tetapi bagi masyarakat yang dibelenggu sistem kapitalisma yang menindas, menerima keadaan sebagai musibah, semata-mata kerana masing-masing menjadikan minyak itu segala-galanya. – HARAKAHDAILY 27/1/2015
       

Share on Myspace