Indonesia tolak rayuan hukum mati

SUBKY LATIF | .

INDONESIA bertegas laksanakan hukum mati atas tujuh orang didapati bersalah atas kesalahan dadah termasuk dua warga Australia.
     
Sekalipun Perdana Menteri Australia Tony Abbot membuat rayuan khas kepada Presiden Indonesia, kejaksaan Indonesia bertegas tidak dapat melayan permintaan itu kerana persoalan undang-undang tidak dapat ditolak ansur.
     
Jika Indonesia bertegas, hukuman mati tidak dapat ditukar dengan yang lain tidaklah ia jadi negara terpinggir tidak bertolak ansur terhadap hukuman yang terkena atas sesiapa jua termasuk warga asing.
      
Indonesia sendiri ada pengalaman sebaik konfrontasi ke atas Malaysia tamat sekitar 40 tahun lalu.
      
Dua orang pengintip yang dikirim oleh regim Sukarno semasa konfrontasi dulu telah dijatuhkan hukuman bunuh oleh mahkamah Singapura.
     
Presiden Suharto yang menggulingkan Sukarno merayu kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew moga-moga tidak meneruskan hukuman mati ke atas dua pengintip itu dan minta mereka dipulangkan kepada Indonesia.
     
Pengintip itu tentunya tidak memilih kesalahan yang dilakukan atas kehendak sendiri, tetapi sebagai orang yang dijadikan perisik oleh negara tentulah mereka tidak dapat membantah atas perintah yang diarahkan kepada mereka.
     
Kedua spy itu tidaklah ke Singapura untuk melakukan jenayah, tetapi mereka diperintahkan ke sana  oleh kerajaan kerana mereka adalah petugas perkhidmatan negara.
     
Memanglah perkhidmatan yang demikian terdedahkan kepada riskio dibunuh dan membunuh. Kadang-kadang dalam hubungan antara negara dalam kejadian seperti itu, hukum boleh ditukar, terutama apabila negara-negara yang terlibat sudah menyelesaikan masalah mereka. Sebuah negara boleh mengampunkan pengintip yang dijauhkan hukuman mati demi muslihat negara-negara yang terlibat.
     
Suharto merayu supaya pengintip yang dikirim Sukarno itu dipulangkan kerana Sukarno sudah tidak berkuasa dan konfrontasi sudah berakhir.
    
Lee Kuan Yew sebagai pemimpin yang tegas dan dia pula seorang ahli undang-undang, maka rayuan pemimpin baru Indonesia itu ditolaknya. Hukuman itu dijalankan. Mayat keduanya dipulangkan kepada Indonesia.
     
Singapura tidak boleh kata apa-apa kerana ia menjalankan kehendak undang-undangnya dan Indonesia  tidak boleh halang Singapura melaksanakan tanggungjawabnya.
    
Jika saya tidak silap, Indonesia hanya syaratkan kalau Lee KuanYew hendak mengadakan kunjungan rasmi ke Jakarta, dimasukkan dalam acara rasmi mengadakan penghormatan atas makam dua pengintip itu.
     
Saya tidak ingat apakah Lee Kuan Yew akhirnya menerima syarat itu. Pada peringkat awalnya, dia dikatakan tidak melakukan kunjungan ke Indonesia kerana syarat yang dikenakan itu.
     
Ternyata kemudiannya sebagai Perdana Menteri Singapura, dia pernah membuat lebih dari sekali berkunjung ke Indonesia kerana negara berjiran perlu menjalin hubungan baik. Apakah syarat itu tidak diteruskan oleh Indonesia atau Lee Kuan Yew menerima syarat itu.
    
Yang penting daripada perkembangan ini, apa yang Indonesia cuba bertegas dalam pelaksanaan hukum mati yang dirayu oleh Australia dan lain-lain yang rakyat termasuk dalam tujuh orang dikenakan hukuman itu, adalah menunjukkan ketegasan seperti yang Singapura pernah lakukan terhadap dua pengintipnya.
    
Tindakan Lee Kuan Yew bertegas dalam undang-undang itu tidak mempengaruhi hubungan diplomatik kedua negara berjiran itu. Malaysia pernah melaksanakan hukuman sama kepada pengedar dadah dari Australia ketika undang-undang itu pertama kali diperkenal di dunia puluhan tahun lalu. Rakyat Australia marah pada Malaysia mulanya tetapi ia tidak mempengaruhi hubungan berbaik antara dua negara. – HARAKAHDAILY 28/1/2015

Share on Myspace