Bertemu PAS Sabah selepas 11 tahun

SUBKY LATIF | .

ACAP warga PAS Sabah yang bertemu saya bertanya, bila hendak ke Sabah kerana mereka hendak menyambut penubuhan PAS Sabah 29 tahun ini dan genap 30 tahun tahun depan.
    
Saya terlibat mengasaskan PAS Sabah. Kiraya saya sedia ke Sabah tahun lalu, mereka adakan 28 tahun penubuhannya. Kiranya saya pergi tahun ini mereka rayakan 29 tahun penubuhannya. Jika tahun depan, sambutan tahun yang 30.
     
Saya tidak pernah memberikan persetujuan itu. 23 Januari lalu saya diundang ke seminar Memperingati Tun Datu Mustapha di Yayasan Sabah pada Sabtu 24 Januari. Dalam notis singkat itu saya minta penganjur menempah tiket penerbangan bukan MAS kerana keluarga saya tidak guna MAS yang mengenakan penumpang belanja arak dalam tiket. Kiranya penerbangan yang ada MAS saja maka lupakan kehadiran saya. Kedua, saya minta penganjur menghubungi PAS Sabah, saya hendak bertemu mereka.
      
Penganjur tidak dapat mengatur pertemuan itu kerana Pesuruhjaya PAS dan yang lain-lain sibuk di pedalaman membantu mangsa banjir yang mengikut Pjnya ia adalah sehebat Kelantan juga.
     
Tengah hari seminar itu penganjur memaklumkan kepada warga PAS yang hadir saya ingin bertemu mereka dan saya kosongkan malam itu.
     
Pukul 2 petang baru PAS Sabah memutuskan untuk bertemu saya lepas Isyak malam itu. Mereka menghubungi Pjnya dan yang lain di seluruh Sabah. Yang jauh tidak sempat datang tetapi Pjnya bergegas keluar dari kawasan banjir untuk bersama malam itu. Dalam waktu yang singkat itu mereka sempat mengumpulkan sekitar 40 orang.
     
Wah! Suatu yang  ajaib, kurang dari 10 jam mereka dapat mengumpulkan 40 orang termasuk hampir separuh Muslimat.
     
Mereka kata sudah 11 tahun saya tidak ke Sabah. Yang terakhir ialah saya berkampung di negeri itu kerana Pilihan Raya Negeri. Bukan dalam masa 11 tahun itu Kota Kinabalu saya berubah, PAS pun berubah juga. Ia sudah ada Kawasan mengampiri 20 dari 25 yang diperuntukkan.
      
Dulu ia menumpang di bangunan Pasti yang serba sederhana tetapi sekarang ia sudah membeli satu unit tingkat dua rumah kedai di tengah Kota Kinabalu. Di situlah markaz Perhubungan Negerinya.
    
Mereka hendak mendengar sejarah penubuhan PAS yang saya pacak tiang benderanya 29 tahun lalu. Yang menyuruh saya datang ialah wartawan Hussain Kasau, orang penting yang mengatur penubuhan itu. Saya dapat mesejnya dari isteri saya. Dia bagitahu rumahnya di kawasan Masjid Putatan 4 kilometer dari lapangan terbang.
     
Zaman itu tiada telefon untuk memberitahunya saya datang dan saya tiba sekitar Isyak di Kota Kinabalu. Teksi menghantar saya ke Masjid Putatan yang gelap-gelita. Sebelum mendarat saya memikirkan bagaimana rumah Hussain? Saya pernah ke Sabah sebelumnya mendapati babi berkeliaran macam kambing di bawah rumah.
     
Mencari pintu masjid pun tak nampak. Saya raba-raba dinding masjid mencari pintu, tetapi ia berkunci. Saya nampak cahaya di beberapa rumah beberapai rantai. Saya tuju cahaya yang terdekat meredah semak yang saya tidak nampak dan becak pula. Dari tepi tangga saya beri salam. Ada suara kanak-kanak kata ada orang beri salam. Saya beri salam sekali lagi. Suara dari dalam rumah kata, ‘Macam suara Subky. Subkykah?’ Ya, berada tepi tangga rumah Hussain Kasau.
      
Esoknya Hussain menghubungi Hamzah Abdullah di Sandakan. Lusanya saya bersama Hamzah, Hussain dan beberapa lagi yang saya tidak ingat mengadakan sidang akhbar di sebuah restoran mengumumkan Sabah akan menubuhkan PAS. Isya-Allah Haji Yusuf Rawa dan Ustaz Nakhaie dan rombongan akan datang melancarkan penubuhan. Mereka panitia penajanya. Saya akan cadangkan pada Haji Yusof supaya Hamzah jadi Pesuruhjaya dan Hussain Kasau jadi ketua penaja Dewan Pemudanya.
     
Saya tidak hadir dalam pelancaran oleh Haji Yusof itu di sebuah hotel besar disediakan oleh orang kaya dari Sabah. Saya tidak hadir. Saya datang dulu untuk pacak tiang bendera dulu. – HARAKAHDAILY 31/1/2015

Share on Myspace