Bolehkah Shahidan damaikan Mahathir, Najib

SUBKY LATIF | .

ADAKAH Dr. Mahathir dan Perdana Menteri Najib sudah berada di peringkat bergaduh hingga Menteri Shahidan Kassim menawarkan diri untuk jadi orang tengah bagi mendamaikan keduanya?
     
Yang dikatakan bergaduh atau berkelahi jika keduanya berbalas-balas kata atau bertumbuk atau seumpamanya. Keadaan mereka tidak begitu. Yang berlaku Mahathir saja yang mengata Najib begitu dan begini. Najib sendiri tidak menjawab atau membela diri. Hanya orang di sekelilingnya menyoal kebijaksanaan Mahathir berbuat begitu.
     
Ada pun Najib diam saja, tapi tidak mempedulikan apa yang dikata terhadap kerajaannya, kepimpinannya dan tindakannya. Dia terus beri BRIM bahkan ditambah jumlahnya. Jika dulu dua kali setahun. Setelah dikritik jadi tiga kali pula tahun ini. Rundingan TPP yang diketuai Amerika berjalan terus, bahkan tidak memadai Najib bertemu Obama semasa datang ke situ tahun lalu, jumpa pula di padang golf di Hawaii ketika banjir besar mula melanda baru-baru ini.
     
Mahathir suruh hentikan. Tiada tanda-tanda Najib mendengarnya. Banyak lagi yang tidak dipedulikannya. Yang Najib dengar setakat ini hanya tidak jadi memansuhkan akta hasutan yang Najib  sudah berjanji untuk memansuhkan. Ditegur Mahathir dan beberapa orang lagi. Najib dengar.
     
Hubungan keduanya tidak boleh dikira berkelahi tetapi dingin. Mahathir dilihat bertambah geram apabila terus mentakwil Najib.
     
Orang kira Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Badawi PM yang lemah. Tatapi Najib dilihat lebih lemah daripada mereka. Untungnya Najib berbanding dua PM yang lemah tadi ialah dia tiada orang kanan yang menyusahkannya. Najib tiada Mahathir. Hussein Onn ada Mahahir dan Pak Lah ada Najib. Muhyiddin Yassin tidak dilihat jadi ancaman.
     
Justeru tidaklah Mahathir sesenang menghadapi Abdullah dulu. Adakah Shahidan Kassim akan berjaya memulihkan hubungan antara kedua ketuanya itu? Yang Shahidan cuba itu telah dicuba oleh Menteri Penerangan Pak Lah dulu.
     
Bertemu Pak Lah dengan Mahahir bagi menyelesaikan perbezaan mereka. Tapi penat bertemu saja. Tiada hasil.
     
Percubaan Shahidan itu dikira mulia. Kena ada orang seperti Shahidan yang mungkin tidak memihak. Tetapi apakah harapan pertemuan itu tidak mengulangi seperti pertemuan Mahathir-Abdullah dulu?
     
Banyak yang Mahathir tidak setuju dengan Najib. Kita ambil dua-tiga perkara saja dulu. Hentikan pemberian BRIM dan putuskan rundingan TPP. Dua perkara ini Najib boleh buat keputusan tanpa  bertemu dengan Mahathir. Yang lain-lain bolehlah dibincang dalam pertemuan.
      
Jika yang dua perkara ini Najib setuju, redalah sikit marah Dr. Mahathir. Tetapi sanggupkah Najib melakukannya?
     
Bergantung kepada kecekapan Shahidan. Dia kena terangkan kepada Mahathir apa eloknya BRIM dan TPP. Dan kena bagitahu Najib apa tak eloknya BRIM dan TPP diteruskan. Jika Shahidan berjaya beri pandangan buruk baik isu itu dan hujah mana lebih kuat. Diterima oleh keduanya, ada harapan keduanya dapat didekatkan semula.
     
Tetapi tidak nampak setakat ini Mahathir boleh setuju dua perkara itu diteruskan dan tidak nampak juga Najib boleh menghentikan pemberian BRIM dan rundingan TPP.
     
Yang mahukan sangat Najib jadi timbalan kepada Abdullah dulu ia Mahathir. Abdullah dipercayai ada calon lain. Mahathir terpaksa terimalah kesannya. Tetapi terbukti Maahathir tidak pandai memilih. Semua yang dipilihnya – Musa Hitam, Ghabar Baba, Anwar Ibrahim, Abdullah Badawi dan Najib – tidak seperti yang diharapkannya. Najib adalah calonnya yang paling lemah tetapi yang paling payah untuk digantikan dengan yang lain.
    
Sekali lagi Mahathir patut keluar Umno. – HARAKAHDAILY 4/2/2015
     

Share on Myspace