Mahu perubahan atau BN kekal

SUBKY LATIF | .

MOGA-moga perselisihan antara Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang juga bos parti dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapa Ali sebagai penasihat pertama bos partinya sudah selesai atau sekurang-kurangnya telah reda setelah pemimpin utama Pakatan Rakyat tampil bagi meleraikan perbezaan antara keduanya.
     
Sekalipun ia melibatkan dua individu penting PAS dan DAP belum dikira masalah bagi kedua-dua parti, tetapi menyentuh integriti pimpinan parti masng-masing, jika ia lambat dan tersalah urus boleh menjejas jihad menawan Putrajaya.
     
Urusan dan pengendalian integriti pimpinan antara parti amat perlu dijaga oleh mana-mana tahaluf siyasi. Kepentingan dan keutamaan itu tentu diketahui semua pihak.
      
Oleh sebab masing-masing sudah bergaduh, sekecil mana pun, ia perlu ditangani segera dan elakkan daripada berlanjutan.
     
Keutamaan Pakatan Rakyat dan setiap komponennya adalah jihad menawan Putrajaya daripada Barisan Nasional. Jihad bukan suatu yang mudah. Ia penuh ranjau dan enau. Ia ada syaratnya. Semua tentu sudah tahu syarat-syarat itu iaitu menjauhkan banyak perbezaan.
     
Jika masing-masing melayan perbezaan yang ada, maka natijahnya ialah kita membenarkan BN meneruskan penyelewengan - jenayah politik, jenayah ekonomi, sosial dan lain-lain.
     
Setakat ini yang menghantui jihad mengambil Putrajaya itu adalah hudud, suatu perjuangan asal PAS. Ia sudah diketengahkan sebelum kewujudan DAP. Semua tahu PAS memperjuangkannya sebelum ia mengikat tahaluf dengan DAP dan semua tahu DAP tidak pro-hudud sebelum ia menyertai tahaluf.
     
Isu baru yang mengganggu pengambilan Putrajaya ialah pilihan raya pihak berkuasa tempatan yang DUN Pulau Pinang luluskan tanpa rojok awal kepada PAS. PAS belum  bersedia menerima kehendak itu sekalipun tidak mentakwil dasar Malaysian Malaysia DAP.
     
Orang Melayu di luar PAS belum menerima gagasan Malaysian Malaysia DAP itu. Jika PAS menerima pilihan raya PBT dalam suasana orang Melayu belum menerimanya, maka ia menyukarkan PAS unuk meraih sokongan pengundi Melayu dalam PRU menawan Putrajaya nanti. Jika PAS tidak dapat meraih undi majoriti Melayu, maka jihad mengambil Putrajaya tidak berjaya.
    
Pilihan raya PBT setakat ini disasarkan pada kawasan majoriti bukan Melayu. Adakah dengan mengabaikan hasrat Melayu luar bandar ia boleh memenuhi matlamat dan sasaran Malaysian Malaysia. Maka pilihan raya PBT tidak menarik soskongan pengundi Melayu dalam PRU. Maka kita jangan banyakkan lagi isu yang boleh menjauhkan pengundi Melayu daripada Pakatan Rakyat.
      
Adapun hudud bukan sekadar tidak menarik setengah bukan Islam, malah golongan Islam liberal juga menolaknya. Isyarat demokrasi menunjukkan bertambah ramai orang Islam menerimanya. Maka biarkanlah demokrasi menentukannya.
    
Adapun bagi pengundi bukan Melayu selama ini tahu bahawa PAS tidak melupakan hudud, tetapi ia tidak menghalang mereka menyokong PR dalam dua PRU lalu. Janji PR yang menarik bukan Islam tentang keadilan, kerajaan bersih anti rasuah adalah lebih menarik daripada fobia masing-masing terhadap hudud.
     
Mungkin hudud tidak termasuk dalam gagasan Malaysian Malaysia tetapi hudud adalah melangkaui sempadan global. Seperti world yang disebut Mawi dalam Akadamik Fantasia. World Mawi itu bukanlah duniawi tetapi ia adalah global. Hudud bukanlah racun bagi bukan Islam dan madu bagi Islam, tetapi ia adalah madu untuk semua. Ia tidak membatasi kebebasan bersuara dan demokrasi bukan Islam, malah ia rahmat untuk semua.
      
DAP dan bukan Islam boleh berkempen menolak hudud dalam PRU, tetap jangan menghalang sekutunya menggunakan demokrasi berkempen melaksanakan hudud. Cuma dalam kempen DAP jangan sampai Pakatan hilang peluang untuk menawan Putrajaya. DAP akan dapat lebih banyak manfaat daripada keadilan janjian Pakatan sekali pun hudud yang tidak dikehendakinya itu terlaksana.
     
Adakah kerana takutkan hudud, rela BN meneruskan kerosakan di bumi. Keburukan BN adalah nyata sedang ketakutan pada hudud hanya satu sangkaan. Menang nanti kita teliti pilihan raya PBT. – HARAKAHDAILY 9/2/2015

Share on Myspace