Kecoh lukis belakang raja

SUBKY LATIF | .

SAYA tertarik dengan lukisan belakang pasangan diraja dan Perdana Menteri oleh seorang pelukis Cina yang kecoh baru-baru ini.
     
Lukisan itu dipamerkan di Singapura dan dibantah oleh golongan pro-raja yang mengira ia satu penghinaan kepada raja. Di negara kita ada undang-undang melarang apa jua kejadian yang boleh dikatakan menghina raja. Kesalahan itu boleh didakwa.
     
Saya tidak bercadang untuk menyentuh tentang kekecohan yang dibangkitkan oleh pembantah.
     
Yang saya tertarik ialah bakat istimewa pelukis berjaya melukis sebelah belakang kepala orang-orang yang kita kenal. Rata-rata pelukis potret melukis muka seseorang. Bagaimana wajah seseorang begitulah muka yang dilukisnya. Sebagaimana wajah seseorang yang dirakam oleh kamera, maka ramai pelukis membuat apa yang kamera boleh buat.
     
Jika muka yang dilukis wajah orang yang dikenali, maka kita kenal muka orang yang dilukis itu melalui lukisannya. Lukisan seperti itu adalah biasa.
    
Kita jarang jumpa lukisan seseorang yang kita kenali dilukis sebelah belakangnya seperti lukisan yang dipamerkan oleh pelukis Cina tadi.
     
Memang pelukis yang berbakat besar boleh merakamkan sesuatu dengan melakar lukisannya. Apa yang dilihatnya betul-betul serupa dengan apa yang dilukisnya. Jika dia melihat harimau, dia boleh lukis serupa dengan  harimau yang dilihatnya. Demikianlah jika dia melukis batang kayu, sampah dan sebagainya.
      
Melukis muka orang tidaklah semudah melukis objek-objek lain. Jika lukisan objek tadi tidak seratus peratus serupa dengan yang dilukis mungkin payah kita hendak menunjuk di mana yang tidak serupa itu, kerana kita tidak berapa pasti rupa objek yang kita lihat. Tetapi kalau lukisan wajah manusia yang kita kenali tidak sama dengan mukanya, kita mudah tahu.
     
Mana-mana pelukis boleh melukis pandangan dari belakang seseorang. Gambar belakang siapa mungkin kita tidak tahu. Jika lukisannya bernilai ia dipamerkan. Ahli dan peminat lukisan dapat menilai mutu dan seni lukisannya.
     
Tetapi pelukis Cina tadi dapat membantu kita mengenali modelnya melalui lukisan belakangnya.
     
Dia memilih gambar belakang orang-orang yang semua kenal iaiu Yang Dipertuan Agong, Permaisuri Agong dan Perdana Menteri Najib. Apakah dia pro-raja atau sebaliknya kita tidak tahu, tetapi dia memilih lukisan belakang orang-orang semua orang kenal.
    
Dengan bantuan keterangan tentang lukisan itu kita mudah tahu gambar siapa yang dilukisnya. Apabila kita perhatikan lukisan itu, maka tahu bentuk gambar pasangan Seri Paduka yang dilukisnya.
      
Saya tidak dapat mengecam dengan segera lukisan yang satu lagi. tetapi isyarat yang diberinya ia adalah PM Najib, maka saya amati betullah ia rupa belakang Perdana Menteri.
     
Adakah dia silap memilih Seri Paduka dan Perdana Menteri untuk lukisan pamerannya? Tiada sebarang larangan bagi mana-mana pelukis melukis gambar sesiapa. Maka biasalah bagi pelukis melukis gambar raja dan presiden dan lain–lain pembesar.
     
Yang dilarang setakat ini, jangan melukis gambar Nabi sama ada lukisan itu sempurna atau dikartunkan! Walaupun media banyak mengkarikaturkan muka pemimpin, tetapi ulama mengingatkan jangan mengkarikaturkan muka ulama. Bahkan seorang ulama memberitahu saya, Allah jadikan wajah manusia itu indah, mengapa pelukis hodohkan mereka?
      
Saya tidak mahu sentuh tentang ekspresi pelukis Cina itu tentang lukisannya, tetapi yang tertarik dengan nilai lukisannya kerana saya dapat menghayatinya.
      
Dan jika pelukis itu melakar lukisan belakang TG Nik Aziz dan TG Haji Hadi Awang untuk dipamerkan, saya tidak tersinggung. Cuma jangan sertakan kalimah yang menyinggung. – HARAKAHDAILY 10/2/2015

Share on Myspace