Kempen anti arak termasuk MAS

SUBKY LATIF | .

SATU dua minggu lalu seolah-olah ada kempen anti arak ekoran kerajaan Melaka melarang arak dipasarkan di tempat terbuka terutama yang lebat didatangi orang Islam.
     
Banyak reaksi daripada penganut agama yang melaknat arak mahu tindakan Melaka itu dicontohi oleh lain negeri. Tidak disebut Kelantan kerana ia telah membataskan penjualan minuman syaitan di tempat terpinggir.
      
Sekalipun kempen tidak bersungguh tetapi masyarakat umum telah memberi reaksi supaya sempitkan pengedarannya.
     
Tetapi dalam kempen panas-panas tahi ayam itu mungkin terlepas pandang, tiada yang menyuarakan supaya MAS mengharamkan pengedaran arak dalam penerbangannya. Malah Parlimen yang diberitahu bahawa dalam tiket setiap penumpang telah dimasukkan belanja arak. Tidak kira penumpang menggunanya atau tidak, tidak jadi tempat bising membantah amalan itu.
      
Sepatutnya sudah sebulan MAS ditadbir oleh CEO Eropah, tidak ada riak mahu mengosongkan arak dalam pentadbiran baru. Kita tidak dapat mengharapkan bangsa Eropah yang arak jadi darah dagingnya membuang tong arak itu daripada pesawat. Jika kita harapkan dia, sampai kiamat tiada tindakan.
     
Tuan punya MASlah sepatutnya membuat polisi itu. Siapa tuan punya MAS? Kerajaan dan rakyatnya. Kerajaan telah tuli sejak awal dan ia buat-buat bisu. Rakyat tidak tahu haknya sekalipun telah lama merdeka.
     
Entah justeru apa kerajaan Melaka telah mengambil langkah yang bukan dasar partinya dan kerajaan pusat yang ia anggotanya iaitu menyempit pengedaran dan penjualan arak di wilayahnya.
     
Ia langkah berani dan terpuji. Bertolak dari situ tuan punya MAS iaitu rakyat wajar bertempik secara menyeluruh, serentak dan berterusan supaya kosongkan pesawatnya daripada arak.
     
MAS boleh mengumumkan turun tambang dengan menghentikan belanja arak dalam tiket setiap penumpang. Dan kedua berikutan harga minyak dunia turun mendadak, maka MAS tentulah susut belanja atas minyak.
      
Kita jangan tuding jari pada peniaga kaum tertentu tidak menurunkan harga barang keperluan pengguna gara-gara kejatuhan harga minyak, MAS patut menunjukkan contoh, tambang penerbangan boleh diturunkan dengan perkembangan dunia itu.
      
Kita tahu tentang penumpang dikenakan bayaran arak lebih dulu daripada kejatuhan harga minyak. Orang telah bising sebaik tahu tiket penerbangan termasuk belanja arak. Orang minta ketika itu bayaran itu jangan dikenakan lagi. Lama kemudian baru meletup minyak dunia dimurahkan.
     
Ketika umat sedang bising itu tambang MAS diturunkan. Kita tidak tahu berapa peratus bayaran arak dalam tiket itu? Mungkin RM10 atau RM15 untuk penerbangan domestik yang tidak jauh. Tetapi kalau buat penerbangan jauh ke New York, Los Angeles atau Johannesburg, kos araknya mungkin ratus. Mungkin tidak banyak potongannya, RM10 atau RM20 saja, tetapi penumpang yang beriman puas hati kerana mereka bebas daripada dosa subahat di samping dapat menyelamatkan sedikit duit.
     
Mungkin bayaran itu minimun kerana MAS dapat arak bebas cukai dan mungkin dapat harga khas kerana memperomosikan arak kepada penumpang. Dan mungkin MAS berniaga dengan bekalan bebas cukai mengambil pula untung daripada bayaran tiket.
     
Jika ini berlaku, MAS membuat laknat lagi dengan berniaga arak kepada penumpang.
     
Dalam gema menteri menganjurkan memulau barang justeru tidak turun harga, mungkin pengguna anti arak menyahut seruan menteri, jangan naik MAS sebulan kerana tidak menurunkan tambang termasuk tidak  menghentikan pengedaran arak.
      
Boikot itu boleh diteruskan selagi perut MAS berisi arak.
      
Semua sedih kerana MAS rugi dan berdepan beberapa bencana yang belum selesai tetapi lebih sedih kerana jadi pengedar barang laknat. – HARAKAHDAILY 11/2/2015
     

Share on Myspace