Ismail Sabri diperangkap DEB yang gagal

SUBKY LATIF | .

PERTIKAIAN tentang kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Ismail Sabri Yaakob berhubung peniaga enggan turun harga barang adalah mendedahkan gara-gara kegagalan Dasar Ekonomi Baru yang dilancarkan Perdana Menteri Tun Razak tahun 1971 dulu.
      
DEB itu bukan saja gagal membasmikan kemiskinan, bahkan ia gagal menyusun semula masyarakat.
      
Betapa kemiskinan tidak dapat dibasmikan dapat dilihat kerajaan menyediakan ratusan juta untuk pemberian BRIM. Jika sebelum era Najib tiada BRIM bahkan ketika DEB dilancarkan bagi memerangi kemiskinan, tiada BRIM. Mengapa? Mungkin yang miskin dulu tidak semiskin sekarang.
     
45 tahun selepas program menghapuskan kemiskinan di bawah skim DEB itu, kerajaan terpaksa memberi pula BRIM, logiknya bukan sekadar DEB itu gagal bahkan rakyat bertambah miskin. Jika miskin sekarang tidak semiskin ketika Tun Razak melancarkan DEB tentulah BRIM tidak diadakan.
     
Kerajaan Najib terpaksa pikul kegagalan semua Perdana Menteri sejak Tun Razak. Dr. Mahathir dikira PM paling pintar dari semua, dia pun jadi lebih baik daripada PM sebelum dan selepasnya.
     
Matlamat DEB itu patutnya tercapai tahun 1990-an, tempoh 20 tahun yang ditetapkan oleh DEB. Patutnya masa PM Dr. Mahathirlah ia berjaya, tetapi di bawah Dr. Mahathirlah ia disahkan gagal.
     
Semua mengira kegagalan itu kerana ia tidak mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti untuk Bumiputera dalam sebanyak bidang.
     
Sekarang menteri Ismail Sabri terperangkap dalam kegagalan DEB yang tidak dapat menyusun semula masyarakat peniaga. Satu daripada serampang dua mata DEB ialah tiada lagi mana-mana bidang dalam masyarakat dikenali dengan kaumnya. Masyarakat peniaga bukan lagi milik Cina dan buruh estet bukan khusus India saja.
     
Pada zaman Ismail Sabri, pedagang dan peniaga masih dikuasai Cina lagi. Bahkan masyarakat peniaga ialah Cina dan Cina ialah masyarakat peniaga. Justeri peniaga itu sinonim dengan Cina, maka tak sebut Cina pun orang tahu perniagaan monopoli Cina.
     
Oleh sebab Ismail sabri itu seperti semua orang Melayu persepsinya Cina ialah peniaga dan peniaga adalah Cina. Justeru kegagalan semua Perdana Menteri menyusun semula masyarakat pedagang, Ismail Sabri masuk sebakul sebut peniaga Cina.
     
Zaman ini perkauman amat kuat, mungkin lebih ketara daripada masa-masa lalu. Dulu para pemimpin saja kata orang itu perkauman dan orang ini perkauman. Sekarang budak baru pandai bercakap pun sudah tahu perkauman sebab mereka dengar tiap-tiap hari dalam TV. Sekarang budak di bawah umur saja tidak membuat laporan polis tentang ungkapan dan tulisan perkauman.
     
Sensitif orang sekarang lebih daripada orang dulu. Dulu polis jarang terima aduan perkauman. Hari ini yang banyak ialah aduan perkauman.
     
Apakah sensitif itu dulu lebihkah atau sekarang lebih atau sama saja dulu dan sekarang? Tetapi dulu orang tidak kisah sangat tentang isu sensitif kerana tiada akta hasutan seperti yang ada sekarang.  Dulu katalah Melayu hantu dan Cina jin, tiada siapa peduli sebab tiada bab yang melarang hal-hal itu.
    
Sekarang ada tempat untuk mengadu. Rugi kalau tiada yang mengadu. Polis boleh buat kerja lain kalau tiada yang mengadu. Kerana semua benda diadukan, polis pun tidak cukap masa hendak bendung macam-macam jenayah seperi kelar gadis, bunuh ibu, tendang anak dan lain-lain.
     
Jika akta hasutan dimansuhkan, tiada lagi orang mengadu. Maka adakah orang bertikam hari-hari di mana-mana?
     
Gara-gara DEB gagal susun semula masyarakat, Ismail Sabri sangka dunia macam dulu lagi. Jika Najib mansuhkan akta itu seperti yang dijanjinya dulu, baik DEB berjaya atau tidak, mungkin orang tidak peduli apa Ismail Sabri kata. – HARAKAHDAILY 12/2/2015

Share on Myspace