Dr Maza elok jadi penasihat agama PM

SUBKY LATIF | .

SAYA tidak tahu apa yang Perdana Menteri Najib buat dan pakai ketika menghadiri perayaan Thaipusam, tetapi saya tertarik dengan komen dan nasihat Dr. Maza tentang apa yang Perdana Menteri dan pegawainya patut buat dan tidak patut buat sebelum dan semasa hadir ke perayaan Hindu itu.

Dari apa yang tersiar, Dr. Maza yang baru sekali lagi jadi Mufti Perlis itu telah memberi pandangan dan nasihat yang tepat amat munasabah buat Perdana Menteri dan orang-orangnya dalam apa jua kegiatan dan tindakan.
     
Kenyataan pertamanya sebagai Mufti kali kedua itu boleh dikira sebagai satu kritik agama yang serius tetapi saya lebih mudah mengiranya ia satu nasihat yang perlu sesuai dengan Islam itu adalah agama nasihat.
     
Dengan tegurannya itu saya kira Dr. Maza lebih tepat jadi Penasihat Agama Perdana Menteri, bukannya sekali lagi jadi Mufti Perlis. Jadi Mufti Perlis amat sesuai dengan pegangan Islamnya daripada jadi mufti lain-lain negeri tetapi lebih elok jika menjadi Penasihat Agama Perdana Menteri, satu jawatan yang diwujudkan oleh Dr. Mahathir dulu.
     
Setakat ini jawatan di JPM itu dirasakan sebagai hendak beri jawatan saja, bukanlah sangat dilihat untuk memberi panduan kepada Perdana Menteri. Penjawatnya setakat ini dilihat lebih banyak menerima nasihat Perdana Menteri daripada memberi nasihat kepada Perdana Menteri.
        
Jika penasihat diwujudkan dengan mengambil contoh Rumah Putih, peranannya ialah mencorakkan apa Presiden Amerika daripada parti yang berkuasa patut buat. Ia diwujud dan digaji bagi membantu Presiden membuat dasar dan tindakan dalam bidang berkenaan.
      
Sebagai penasihat agama Perdana Menteri kedudukannya lebih kanan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jakim dan lain-lain institusi Islam dalam kerajaan. Di samping semua jabatan itu adalah seperti penasihat kepada Perdana Menteri tetapi ia adalah jentera yang melaksanakan apa jua dasar daripada Perdana Menteri. Di Rumah Putih dia kadang-kadang dilihat lebih berpengaruh daripada Presiden.
     
Walaupun penasihat itu bergaji tetapi dia bukan seorang yang makan gaji. Sama ada dia jadi penasihat yang berwibawa atau makan gaji ia kerana orangnya, bukan jawatannya.
     
Dr. Maza dikira seorang yang berwatak tidak makan gaji dan dia rasanya ada wibawa dan keupayaan memberi apa yang sepatutnya diperlukan oleh Perdana Menteri, kerajaan dan Islam.
     
Jika Perdana Menteri mahukan nasihat yang bebas tentang Islam ambillah Dr. Maza kerana ia alim tentang semua mazhab. Mungkin termasuk mazhab Syiah. Cuma yang Perdana Menteri kena cerdik sikit ialah supaya tidak terlucut daripada pegangan mazhab Syafie yang menjadi pegangan umum bagi semua  dan menjadi faktor penyatu bagi umat Islam Malaysia.
     
Jika Perdana Menteri pandai mengimbangi antara ajaran fiqah Syafiah dengan yang lain, maka orang yang terikat kepada gaji seperti Dr. Maza adalah orang yang terbaik bagi memandu Perdana Menteri menyelaraskan dasar Islam kerajaan.
     
Dr. Maza setakat ini tidak terikiat dengan habuan daripada kerajaan dan tidak terikat dengan fikiran kerajaan dan orang memimpin kerajaan baik pusat mahu pun negeri. Tetapi tidak seperti TG Nik Aziz, TG Haji Hadi dan Ustaz Azhar Idrus, Dr. Maza sedia jadi mufti.
     
Sebagai Mufti Perlis jika ilmu dan wibawanya dapat memberi panduan Islam yang terbaik, maka lingkungan pengaruhnya cuma berkisar dalam sempadan Perlis saja. Manfaatnya tidak seperti yang boleh dimainkan oleh seorang penasihat Perdana Menteri yang meliputi atmosfera nasional. Sebagai penasihat PM, Dr. Maza elakkan jadi imam solat Subuh. – HARAKAHDAILY 13/2/2015   

Share on Myspace