Pandangan kedua tentang kebimbangan Tun Hanif

SUBKY LATIF | .

TUN Hanif Omar adalah bekas Ketua Polis Negara paling panjang dan paling banyak pengalaman wajar merasa bimbang terhadap isu keselamatan negara kiranya kekecohan kewujudan Islamic State membabitkan Malaysia terutama anak-anak mudanya.
     
Kebimbangan Tun Hanif menyentuh beberapa isu lain dari segi keselamatan seperti IS atau Negara Islam menarik minat anak muda, ulama wajar tampil menjelaskan ancaman IS, dan tiada undang-undang yang menggerunkan.
     
Pertama, kewujudan apa yang dikatakan Islamic State di tengah dunia anti negara Islam dan apa-apa jua yang dikaitkan dengan Islam adalah amat menakjubkan. Jika Syeikh Yusuf Qardawi dikehendaki oleh Interpol konon jenayah dan gejala keganasan, maka berperang menegakkan IS tidak boleh lagi diterima oleh dunia di luar Islam termasuk yang Iran panggil Islam Amerika.
      
Secara zahir dan dizahirkan oleh banyak pihak dalam Islam rata-rata tindakan IS dan anasirnya tidak dapat diterima dan dikecam.
     
Tetapi order Islam sebagai eleman dari negara Islam seperti yang dipelopori Jamaluddin al-Afghani, Mohamad Abduh, Imam Hassan al-Banna adalah islamik walaupun ia tidak diterima oleh Raja-Raja Islam pada zamannya.

Cetusan fikiran merekalah wujud harakah Islamiyah di merata-rata dunia, yang digetik oleh oleh demokrasi barat dan pro demokrasi serata dunia. Gerakan Islam yang hendak mengembalikan order Islam dihalalkan oleh banyak negara Islam walaupun masing-masing justeru fahaman sekularnya tidak tertarik.
     
Sekalipun IS kewujudannya mengelirukan dan mahu dijauhi, tetapi umat Islam mesti beriman dengan Islam yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Dan wajar menegakkan apa yang disaran oleh mujadid seperi Jamaluddin al-Afghani, Mohammad Abduh dan Hassan al-Banna sambil mengelakkan penglibatan dengan IS di Iraq dan Syria itu.
    
Jika apa yang dikatakan IS dan dibimbangi menarik anak-anak muda, kalau Islam yang dagang dibawa Rasulullah SAW itu juga bermula dengan dukungan pemuda belia. Yang dewasa itu menolaknya. Kita boleh kepung, tahan dan tangkap anak-anak muda, tetapi kita tidak mungkin dapat cegah semuanya dalam semua masa. Yang kita hendak kata kepada anak-anak muda yang tertarik kepada order Islam melihat kerajaan Islam di seluruh dunia mengamalkan Islam Amerika?
     
Bagi mengelak anak muda tidak terpihak pada Islamic State maka Sekolah Kebangsaan mesti mengikut kurikulum sekolah agama persendirian yang sudah ramai melahirkan belia celik Islam yang akademiknya setanding lulusan Sekolah Kebangsaan. Lemah lulusan sekolah kebangsaan pengetahuan Islamnya ibarat mata celik sebelah.
     
Apakah semua ulama dapat dikerah bagi menerangkan buruk baik IS kepada semua pihak berkesan? Kesannya di tengah Islam Amerika amat diragukan. Langkah terbaik ialah menjadikan semua murid jadi calon ulama. Apabila bilangan ulama itu ramai tahulah mereka apa yang betul dan tidak betul.
      
Undang-undang sekarang mengikut Tun Hanif tidak menggerunkan. Terutama setelah ditiadakan ISA. Bila undang-undang ciptaan manusia khususnya dari barat itu menggerunkan dibandingkan dengan hudud?
     
Semua tahu undang-undang Allah yang dinama syariah itu ada eleman gerunnya. Gerun itu yang mencegah semua kerosakan di bumi, di udara dan di lautan. Yang menggerunkan semua atas undang-undang itu bukan manusia yang menggubalnya tetapi Allah yang menggerunkan.
     
Hukum sebat undang-undang manusia hampir separuh mati teruknya, tetapi tidak cukup menggerunkan. Hukum sebat hudud jauh lebih ringan tetapi menggerunkan.
      
Tun Hanif tahu undang-undang mesti gerun tetapi tidak sedar kebanyakan yang tidak gerun itu zalim seperti ISA, akta hasutan, mesin cetak dan lain-lain. Jika yang gerun selain dari hudud hendak di adakan, ia menambah kezaliman. Hudud memang menggerunkan tetapi penuh keadilan.  – HARAKAHDAILY 16/2/2015

Share on Myspace