Apa reaksi NGO Islam atas kes Anwar?

SUBKY LATIF | .

MAHKAMAH semasa Malaysia telah membuat keputusan atas kes Anwar Ibrahim. Dia direhatkan sekali lagi di penjara Sungai Buloh.
    
Penerimaan masyarakat atas keputusan mahkamah berbelah bagi. Sekalipun Dr. Mahathir menyeru supaya semua menerima keputusan mahkamah, belum dipastikan reaksinya jika hakim memihak kepada pembela.
     
Dia pun bukan sentiasa seronok dan percaya dengan mahkamah. Ketika hakim mengatur untuk mendengar rayuan keputusan mengharamkan Umno tahun 80-an dulu, ditribunalnya Ketua Hakim Negara dan beberapa hakim lagi. Maka rayuannya atas kes Anwar seperti resmi ketam dan anak-anaknya.
    
Anwar didapati salah dan terpaksa menerima hukum mahkamah semasa di bawah undang-undang yang dinaungi oleh perlembagaan. Tetapi umat Islam ada undang-undang yang British cabut apabila ia menjajah Malaysia.
     
Undang-undang Islam itu adalah undang-undang Allah dan Rasul-Nya. Ia tidak dikembali pakai apabila merdeka sekalipun perlembagaan merakamkan Islam agama negara.
    
Jika undang-undang Islam menghakimi kes Anwar dipercayai Anwar bukan saja bebas bahkan dia tidak didakwa. Yang sepatutnya didakwa ialah yanag mendakwa dia diliwat, bukan orang didakwanya meliwat.
     
Ahli-ahli perundangan Islam adalah sepakat tentang prosedur penghakiman itu.
     
Setakat ini semua badan Islam meragukan dakwaan ke atas Anwar dan mereka rata-rata menyedari Anwar diberi pengadilan di bawah undng-undang agamanya. Tetapi NGO Islam tidak pernah memberi pembelaan berkesan di bawah amalan demokrasi yang dijamin oleh perlembagaan.
     
Tidak pernah NGO itu berpakat untuk membelanya dengan membincang dan menseminarkan kes yang dihadapinya.
     
NGO Islam banyak termasuk ABIM, PUM, dulu ada JIM dan lain-lain. Mengapa tidak mereka sepakat menganjur seminar dalam negeri dan antarabangsa membincangkan isu Anwar itu? Mereka boleh undang ulama dan pakar undang-undang Islam yang terkemuka di dunia seperti Dr. Yusuf Qardhawi,  Syaikh/Mufti Al-Azhar dan lain-lain membentang kertas.
     
Panggil ulama-ulama tersohor dari semua mazhab ahli sunnah waljamaah, malah tidak salah mendengar apa pakar undang-undang Syiah kata atas isu ini. Jika seminar dan bengkel membincangkan isu ini, tidak mustahil pakar undang-undang dari universiti seperti Oxford, Cambridge, Harvard dan lain-lain tertarik untuk mengikuti dan memberi pandangan.
     
Apakah seminar dan bengkel seperti ini dapat membela Anwar dan dia boleh dilepaskan? Tidak kisah apa Jabatan Peguam Negara akan kata tentang resolusi-resolusi seminar itu, dan mungkin kerajaan anti Anwar menghalang JAKIM dan Yadim untuk menyertainya. Tetapi yanag penting seminar-seminar itu dapat  mendidik dan memberi pencerahan betapa tidak sepakat semua undang-undang untuk menyalahkan Anwar.
      
Jika Yadim ada autonomi untuk menganjurkan seminar domestik dan antarabangsa atas isu perundangan Islam, maka ia satu kaedah dakwah yang berkesan dan berpengaruh. Apa cara Yadim, IKIM dan lain-lain untuk menyampai mesej dakwah yang paling berkesan selain daripada membincangkan isu Anwar daripada perspektif Islam.
     
Anwar adalah orang yang dikenali oleh semua dan ramai di luar Islam merasakan dia telah diperangkap. Mereka tidak senang Anwar diasingkan daripada masyarakat. Maka mereka hendak tahu adakah lain keadilan yang boleh menyelamatkan Anwar.
    
Sekalipun ramai sekutu Anwar menolak hudud dan syariah, tetapi kalau hudud dan syariah dapat menyelamatkan Anwar, apakah mereka tidak tertarik?
     
Jika NGO Islam dapat membela Anwar secara demikian, saya percaya Majlis Peguam tertarik untuk menyertainya. – HARAKAHDAILY 18/2/2015

Share on Myspace