Mengapa Najib mahu bertimbalankan Anwar

SUBKY LATIF | .

BUKAN pandir jika Perdana Menteri Najib merisik menjadikan Anwar Ibrahim sebagai timbalannya setelah melihat keputusan PRU13 amat mengecewakannya.
      
Najib mewarisi politik yang mahukan majoriti dua pertiga seperti yang diperoleh semua Perdana Menteri sebelum penggal kedua Tun Abdullah Badawi. Kegagalan Tun Abdullah itu bukan saja mencemaskan Umno/BN, malah telah mengakhiri kerjaya politiknya.
      
Dengan keputsan PRU13 itu boleh menjadikan Najib senasib dengan Abdullah sekiranya orang Umno jadi macam Dr. Mahathir, menarik sokongannya kepada Najib.
   
Untung Najib dibandingkan Abdullah ialah dia tiada Najib yang menggerhana PM sedang Abdullah ada Najib di samping ada Mahathir. Apapun menangnya seperti telur di hujung tanduk. Dengan Mahathir terus-menerus mengganggunya, memang politiknya mencemaskan.
     
Najib dan Umno telah lama mengurat PAS bagi memandulkan Pakatan Rakyat. Tetapi PAS adalah sepat yang makan umpan tapi tidak telan kail. Maka apa ruginya Anwar pula diurat bagi politik menang menang antara keduanya.
     
Ketika Rasulullah mula jadi rasul, baginda diancam oleh dua penentang terbilang, Umar al-Khatab dan Umar bin Hisyam iaitu Abu Jahal. Dakwah baginda jadi mudah apabila Umar al-Khatab beriman. Baginda tinggal satu musuh penting saja. Najib juga diancam oleh dua musuh iaitu Anwar dan Mahathir. Jika Anwar boleh jadi timbalan yang berjurus, Najib tinggal satu musuh, sebaliknya Mahathir pula dapat dua musuh.
     
Jika Najib berdua Anwar, bukan saja PAS dan DAP dapat dikembiri, Mahthir juga mati meragan. Kerajaan Najib boleh jadi sekuat kerajaan ayahnya dulu, menampung kebanyakan parti pembangkang dalam kerajaan Barisan Nasional. Kerajaan Najib bukan lagi bermajoriti nipis, bahkan boleh dapat majoriti dua pertiga kiranya sekalian MP PKR mengikut Anwar.
      
Tidak mustahil semua MP PKR ikut Anwar kerana Anwar menjadi timbalan, sementara kerajaan dan parti yang disertai oleh Anwar adalah dikira kerajaan dan parti Anwar juga atau kerajaan 1N1A, 1Najib dan 1Anwar.
     
Apakah Najib tidak takut ditelan Anwar? Bagi Najib, jadi Perdana Menteri yang berkongsi kuasa dengan Anwar adalah jauh lebih baik daripada jadi pembangkang yang tidak berkuasa. Sebagai pembangkang bukan sekadar tiada kuasa tetapi berdepan dengan banyak risiko tidak kalis SPRM dan Bukit Aman.
     
Kalaupun Selangor tidak serta merta jadi kerajaan BN tetapi ia jadi kerajaan PR yang tidak stabil dan peluang diambil semula BN tidak sukar lagi.
     
Najib tentu membaca sejarah betapa kerajaan BN yang baru diambil oleh Mahahir dari Tun Hussein Onn berdepan dengan ancaman krisis sokongan orang Islam kerana pengaruh Anwar sebagai pemimpin ABIM merebak luas terutama kalangan muda. Jika Anwar dalam PAS, dia nescaya boleh mewujudkan Pakatan Rakyat 30 tahun lebih awal daripada kemunculan Pakatan itu sendiri.
      
Dengan penyertaan Anwar dalam Umno pada PRU 1982, Umno kembali kukuh semula hinggalah Anwar disingkirkan dari kerajaan dan Umno.
    
Umno sekarang berdepan denan ancaman keyakinan orang Melayu/Islam lagi bahkan lebih teruk daripada era Mahatir dulu. Menangnya dalam PRU13 itu adalah nasib baik saja. Risiko nasib baik ialah ancaman tidak lagi bernasib baik. Nasib baik tidak datang selalu.
     
Untungnya amat besar kira Anwar makan pancing emas. Jika Anwar boleh dibawa sekali ke dalam Umno, maka Umno akan kembali stabil sekurang-kurangnya 20 tahun itu. Masa itu mungkin kedua-duanya sudah tidak ada lagi.
      
Tidakkah pengaruh Anwar di antarabangsa termasuk negara Islam masih kuat? Najib mahukan sokongan antarabangsa ini.
    
Bukan mustahil orang politik seperti Najib menguji politik Anwar.
     
Tetapi Anwar juga memilih jadi sepat. Rehat di penjara adalah lebih bermaruah daripada jadi orang politik yang tidak bermoral. – HARAKAHDAILY 25/2/2015

Share on Myspace