Sirul persulit komplot pembunuhan Altantuya

SUBKY LATIF | .

PEMIKIRAN polis dilihat tak sekata tentang perkembangan baru berhubung dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu berikutan Sirul Azhar Umar, seorang daripada dua yang dijatuhi hukum bunuh membunuhnya melepaskan diri ke Australia.
      
Sirul yang lari itu dikatakan mahu memberi cerita tambahan atas kes itu. Dipercayai boleh melengkapkan rahsia pembunuhan. Semua menyangka kisah pembunuhan itu belum terdedah sepenuhnya sekalipun mahkamah lama membicarakan kes itu.
     
Apa cerita yang Sirul simpan menyebabkan kerabat polis tidak sekata. Bekas KPN, Tan Sri Musa Hassan berpendapat, patut dibuka semula kertas penyiasatan. KPN sekarang kata tak perlu, memadai dipantau saja.
      
Gara-gara Sirul terlepas daripada kerajaan dan polis Malaysia, kes pembunuhan Altantuya jadi tidak selesai lagi.
     
Percanggahan pandangan antara pemimpin polis sekalipun Musa bukan polis lagi tetapi dia adalah pemimpin polis dulu. Jika polis berbeza pendapat tentang sesuatu dalam kes bunuh itu, maka apa lagilah orang bukan polis yang memerhatikan perkara itu sejak awal yang mengesyaki banyak perkara yang belum terbongkar.
      
Sirul kini bukan sekadar orang yang sudah dijatuhkan hukuman bunuh, tetapi dia boleh menjadi saksi yang amat penting dalam kejadian itu.
     
Orang bukan tidak percaya Sirul terlibat dalam pembunuhan itu tetapi orang mahu tahu apa yang menyebabkan Sirul boleh terlibat dalam pembunuhan itu sedang dia adalah seorang warga polis yang tugasnya pula spesyel.
      
Apabila Sirul terlepas dan boleh mencetuskan kesaksian baru, dengan sendirinya menandakan komplot pembunuhan itu tidak rapi hingga tidak mustahil banyak lagi perkara terbongkar.
     
Ia tidak seperti pembunuhan Presiden Amerika John Kennedy. Selepas suspek pembunuhnya ditahan, dia ditembak pula oleh orang yang kononnya kecewa atas pembunuhan Presiden yang disayangi itu. Dengan pembunuhan itu tidak semua di sebalik pembunuhan dapat diketahui. Mengapa pembunuh itu membunuh Kennedy tidak diketahu kerana kesaksian terpenting telah hapus.
       
Justeru komplot itu tidak menghapuskan segera saksi-saksi penting itu menyebabkan kes pembunuhan Altantuya belum betul-betul selesai sekali pun mahkamah sudah membuat keputusan.
    
Sirul ternyata jadi masalah besar kepada lembaga di belakang pembunuhan itu. Sepanjang kes itu ditangani, sistem keadilan hanya menumpukan siapa yang membunuh dan meletup mayat mangsa saja. Mengapa dia dibunuh dan apa motif dua orang yang dijatuhkan hukuman bunuh tidak dijelaskan.
     
Dan Sirul pula mengambil kesempatan melaikan diri ke Australia, sebuah negara yang tidak ada hukum bunuh. Bagaimana Sirul pilih lari ke Australia dan mengapa tidak pilih negara lain? Adakah dia sendiri tahu akan undang-undang negara itu atau siapa yang memberitahunya dan membantunya lari ke situ?
     
Mengapa dia tidak pilih Perancis yang pengamal undang-undangnya sangat berminat untuk menyelesaikan peranan Altantuya dalam urusan pembelian kapal selam antara Kuala Lumpur dan Paris?
     
Adakah pihak yang membantunya lari ke Australia itu adalah juga dari kalangan lembaga di belakang pembunuhan dan meletupkan mayat itu?
     
Apa polis Malaysia akan buat pada Sirul tidak diketahui? Adakah kerjanya sudah habis dan berlepas tangan saja? Kisah selanjutnya kini ada dalam tangan Australia. Adakah ia mahu tutup begitu saja atau mahu mengambil keterangan mengapa Sirul campur tangan dalam urusan Altantuya dengan orang-orang yang dikenalinya di Kuala Lumpur.
      
Mongolia tidak dapat buat banyak bagi mendapatkan keadilan Altantuya kerana tiada laluan daripada Malaysia. Apakah ia tidak dapat kemudahan daripada Australia bagi mendapatkan keterangan lanjut tentang pembunuhan itu.
      
Sirul ada semua rahsia itu. Apakah polis Malaysia berminat dengannya tidak penting sangat, tetapi apakah interpol dan Perancis tidak minat dengan jenayah berprofil tinggi ini? Apakah kita sekadar jadi penonton bagi kes ini diselesaikan oleh polis antarabangsa? – HARAKAHDAILY 26/2/2015

Share on Myspace