Aktivis ulama yang boleh dicontohi

SUBKY LATIF | .

SEBELUM tengah malam Ahad 21 Februari anak saya memaklumkan, Ustaz Mohamad Nor Zain, seorang aktivis Dewan Ulamak Wilayah Persekutuan meninggal dunia dalam usia awal 70-an.
     
Awal subuh Ahad itu, sebaik selesai solat saya ke rumahnya menziarahi jenazahnya. Gelap lagi, lampu jalan belum dipadamkan. Belum ramai yang ziarah. Yang ada keluarga terdekat.
    
Anak-anak dan menantu laki-lakinya sedang mengangkat jenazahnya untuk dimandikan. Anak-anak dan menantunya yang memandikannya. Satu dua orang lain saja yang membantu anak-anaknya.
     
Saya beredar. Saya tahu anak-anak dan menantunya yang mengafankannya dan urusan jenazah yang lain.
     
Sebagai aktivis PAS dalam Dewan Ulama, kegiatan Almarhum tidaklah menonjol sangat bahkan sederhana seperti lain-lain aktivis. Sejak saya mengenalinya, dia istiqamah dengan perjuangan. Dia minat dalam pendidikan agama kanak-kanak. Ada usahanya untuk mengadakan sekolah tahfiz. Tapi belum berjaya. Ada juga dia berdakwah di surau-surau.
     
Dia giat dalam urusan hartanah, boleh dikira itulah bidang pencariannya.
     
Dari awal dia menghantar anaknya ke sekolah tahfiz, ketika belum ramai ibu bapa menghantar anak kejurusan itu. Setahu saya ada anaknya jadi imam di Selangor, Imam Fadzil Mohamad Nor.
     
Yang menarik perhatian saya tentang Almarhum ialah pada hari matinya itu.
     
Kebanyakan orang Islam mati, orang lainlah yang menguruskan jenazahnya, memandi, mengafan, mengimamkan solat jenazahnya. Waris masing-masing mencari tok guru dan imam untuk mengimamkan solat jenazah ibu dan bapa.
     
Pada hal yang terbaiknya imam itu ialah anak sendiri. Boleh kita katakan ramai orang-orang Islam yang anak-anaknya berjaya dalam bidang pelajaran. Anak-anak jadi pembesar, pegawai tinggi, saudagar dan usahawan yang berjaya.
    
Apabila ibu bapa mati masing-masing mencari orang lain untuk jadi imam sedangkan yang jadi imam itu tiada pertalian dengan si mati.
    
Bahagialah ibu bapa yang mati jenazahnya diimamkan oleh anak sendiri.
     
Saya kira Almarhum Ustaz Mohamad Nor dapat rahmat itu. Bukan saja jenazahnya disolatkan oleh anaknya sendiri, tetapi anak-anaknya yang memandi, mengafan dan lain-lain.
    
Saya tidak tahu berapa orang anaknya yang berjaya dalam pendidikan tetapi pada hari matinya dia disempurnakan oleh anak-anak dan menantunya saja.
    
Imam Fadzil yang mengepalai urusan mandi dan mengafan itu juga memandu van jenazah dari masjid yang dia menjadi imam. Van jenazah dibawa dari rumah ke masjid untuk solat dan dari situ ke kubur oleh anaknya sendiri.
    
Anaknya jadi imam dan saya tidak ke kubur. Saya agak anaknya juga yang mentalkinkannya.
   
Bukan tidak ada orang lain yang jenazahnya diimamkan oleh anak sendiri, tetapi tidak banyak urusan jenazah dan pengebumian bergantung pada anak sendiri.
     
Jenazah Ustaz Mohamad Zain dapat apa yang terbaik daripada anak-anaknya sendiri dan kejadian boleh ini menjadi contoh dan jadi harapan kepada orang lain, jika boleh jenazah masing-masing diurus oleh anak sendiri.
    
Moga-moga Almarhum mendapat rahmat yang besar dan tidak terhingga. Amin. – HARAKAHDAILY 3/3/2015

Share on Myspace