Kenapa anti demokrasi ancam bunuh KPN

SUBKY LATIF | .

BANYAK perkara yang perlu dilihat di sebalik adanya ancaman bunuh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar oleh kumpulan yang memanggil dirinya Anak Malaysia Anti Demokrasi.
    
Apa jua bentuk yang dikira ancaman bunuh seseorang apa lagi KPN sudah boleh dikira jenayah, sekalipun bunuh belum dilakukan tetapi kenyataan untuk membunuh baik bergurau, bersungguh atau amaran atau apa saja, sudah boleh dikira jenayah.
     
Maka kenyataan yang ditujukan kepada KPN oleh entah berapa orang itu sudah tentu dipandang berat dan tidak akan dibiarkan begitu saja oleh polis. Jika suatu yang dikira ancaman yang lain dari bunuh pun jadi perkara yang diperhatikan polis, maka lagilah ancaman bunuh dan buat KPN pula.
     
Hal ini dijangka jadi perhatian utama polis. Yang lain-lain jadi perkara kedua. Apa sebab dia dijadikan sasaran akan dianalisis dan diketahui. Apabila orang sepenting KPN yang dipertanggungjawab menjaga keamanan dijadikan sasaran, ia satu gambaran beratnya kedudukan jenayah negara.
     
Hari-hari kita dengar orang dibunuh dan mayat dijumpai di sana sini. Dan sekarang KPN pula diugut. Adakah negra kita sudah termasuk wilayah yang ada mafia seperti Itali, setengah negara Latin Amerika dan lain-lain?  Jika negara sudah sampai begitu, tidak pelik pada pandangan Islam kerana ia adalah natijah masyarakat anti hudud.
    
Bagi masyarakat anti Islam, anti hudud dan syariah, jenayah tidak lagi dikira mengikut bulan dan minggu tetapi mengikut jam – berpuluh jenayah sejam. Malaysia sudah menuju lembah itu kerana masyarakat lebih mencurigai hudud daripada takutkan jenayah/mafia.
    
Kedua, yang mengancam KPN itu menamakan kegiatannya Anak Malaysia Anti Demokrasi. Demokrasi tidak mesti baik dan tidak mesti tidak baik. Tetapi buat dunia ia dikira yang terbaik. Jika kita kata kita tidak setuju demokrasi, maka dunia terus kira ia diktator, kejam, maharajalela, fasis, keganasan dan lain-lain.
    
Pada saya demokrasi bukan yang terbaik tetapi terbaik selepas Islam. Kerana kita tidak terdaya mendaulatkan Islam dan kerana kita diberi kebebasan untuk memilih Islam oleh dunia yang ada, maka semua pejuang Islam menerima pakai demokrasi.
     
Apakah Anak Malaysia Anti Demokrasi memang dilahirkan anti demokrasi? Dari kenyataan yang tersirat dalam siarannya, tidaklah mereka dilahirkan anti demokrasi tetapi mereka kecewa dengan amalan demokrasi yang tidak mengamalkan demokrasi.
     
Demokrasi itu telah dingajikan di semua bilik kuliah dan semua tahu kulit dan isi. Ibarat Yahudi dan Nasrani telah kenal Nabi Akhir Zaman daripada Taurat dan Injil lebih daripada anak dan cucu sendiri. Tetapi apabila Nabi itu datang mereka tahu dia, tetapi mereka tolak.
     
Pengamal demokrasi tahu semua isi demokrasi tetapi masing-masing persendakan amalannya hingga demokrasi itu tidak demokrasi lagi. Pengamal demokrasi seperti itu adalah seperti orang Islam yan mengaku Islam tetapi tidak solat dan tidak menghayati Islam.
    
Sebelum anti demokrasi membunuh demokrasi, pengamal demokrasi palsu itulah yang membunuh demokrasi. Pengamal demokrasi itu antara anti demokrasi awal sebelum timbul orang yang mendewa diri anti demokrasi yang mengugut KPN itu.
     
Banyak filem barat dan Hindi mengambar golongan mafia yang ada dalam sistem kehakiman, pengamal undang-undang, penguasa masyarakat melakukan kezaliman dan penindasan atas nama undang-undang. Akhirnya orang yang tidak diberi keadilan dari undang-undang menjalankan gerakan tidak ikut undang-undang membunuh semua pengamal undang-undang palsu itu.
    
Itulah gara-gara rakyat awam yang kecewa dengan demokrasi tidak yakin kepada demokrasi. Sebelum demokrasi dibunuh oleh anti demokrasi, demokrasi dibunuh oleh pengamal paslu demokrasi. Inilah masalah kita. – HARAKAHDAILY 5/3/2015

Share on Myspace