Siapa ganti Umno dalam PRK Chempaka?

SUBKY LATIF | .

SEMUA menunggu hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil Chempaka yang dikosongkan oleh Almarhum Tok Guru Nik Aziz?
     
Umno pimpinan Najib sah tidak bertanding, suatu yang tidak berlaku dalam pimpinan Umno/BN pada masa-masa lalu. Ia yang kedua BN tidak meletak calon dalam PRK juga di bawah pimpinan Najib iaitu di Gelugor, kerusi yang dikosongkan oleh Karpal Singh.
     
Gelugor dulu untuk Gerakan. Justeru Gerakan sudah seperti mati di Pulau Pinang, ia tidak sedia menyertai PRK dan Umno sebagai pimpinan BN tidak dapat buat apa.
     
Kini Umno pula meneruskan politik tidak menyertai PRK yang semua rasa ia tidak akan menang.
     
Semua puji langkah Umno tidak meletak calon khas di Chempaka kali ini dan tidak buat begitu di tempat-tempat lain sekalipun di Kelantan. Umno rasa ia akan penat saja kiranya menyertai PRK itu.
     
Maka alasan besar Umno menarik diri ialah untuk menumpukan kerja baik pulih Kelantan yang musnah gara-gara serangan banjir besar, dan yang tidak dinyatakan ialah tidak dilihat bijak mengambil tempat yag ditinggalkan TG Nik Aziz yang semua orang dalam keadaan berkabung.
      
Banyak susahnya Umno untuk berlawan pada ketika semuanya merasakan Tok Guru seperti wali.
     
Tetapi belum tentu PAS menang tanpa bertanding. Tidak ditolak ada calon bebas. Tetapi siapakah yang akan menggantikan Umno itu? Sama ada calon bebas itu dari ahli Umno atau bukan Umno, maka PAS mesti bersedia seperti berlawan dengan Umno juga. Cuma dari segi politiknya, PAS tidak menghadapi cabaran seperti menghadapi Umno.
    
Kelantan ada negeri dikira pengkalan Perkasa. Pemimpin dan pengasasnya, Ibrahim Ali menolak jadi calon bebas kerana dia hanya berminat di Pasir Mas saja. Tetapi tidak mustahil bebas itu dari Perkasa.
      
Perkasa belum boleh menggantikan Umno di mana-mana tempat yang Umno tidak berminat termasuk Chempaka yang terletak dalam Parlimen Pengkalan Chepa. Dalam suasana PAS payah menang di mana-mana dari tahun 1978 hingga menjelang tahun 1990, PAS boleh menang dalam kawasan Pengkalan Chepa.
     
Kelantan adalah kubu PAS, tetapi Pengkalan Chepa adalah tempat pejal berbanding dengan semua tempat di Kelantan. Umno/Berjasa menang semua kecuali dua kerusi dalam Pilihan Raya Umum Negeri tahun 1978. Satu daripada dua kerusi yang PAS menang ialah Dun di kawasan Pengkalan Chepa dengan calonnya Nik Abdullah Arshad.
     
Dalam PRU 1986 PAS kalah semua kerusi Parlimen di Malaysia kecuali Haji Nik Abdullah Arshad di Pengkalan Chepa.
    
Ketika PAS berkuasa di Kelantan pra 1978, Adun PAS dari kawasan itu Nik Abdullah Arshad juga dikenakan tahanan ISA. Dalam PRU semasa dia ditahan, dia dicalonkan. Kempen membawa songkok Nik Abdullah di setiap lokaliti. Ia jadi ganti calon kerana calon dalam tahanan. Dia menang juga sekali pun dia ditahan ISA, tidak dapat keluar kempen.
    
Sejak Tok Guru Nik Aziz menyertai politik, Pengkalan Chepa itulah pengkalannya. Dalam sejarahnya sejak dari tahun 1959 dalam setiap pilihan raya tidak pernah tidak diwakili PAS, jika ia tidak dapat pertahankan Parlimen, ia tetap pertahankan Dun.
     
Jika Umno yang lengkap organisasi dan tidak sayang besar belanja tidak mudah menguasai kawasan sekitar Pengkalan Chepa, maka payah hendak difikirkan bukan Umno boleh menguasai Dun Chempaka.
     
Apapun PAS mesti bersyukur kerana ia menguasai kawasan itu sejak merdeka dan syukur juga Umno tidak bertanding. Tetap wajar berwaspada dengan politik mengalah Umno di bawah Najib itu. Umno dengan ini dapat menyelamatkan banyak wang tetapi yang ruginya pengundi kerana tidak dapat membuat duit. – HARAKAHDAILY 6/3/2015

Share on Myspace