Biar Melayu bangsa terkenal di dunia

SUBKY LATIF | .

BERWAWASAN Laksamana Hang Tuah, tak akan Melayu hilang di dunia. Maka wawasan itu dilanjutkan oleh Perdana Menteri Najib, biar bangsa Melayu terkenal di dunia.
    
Pada Perhimpunan Perpaduan Melayu di Bukit Jalil minggu lalu, dia isi Wawasan 2020 Dr. Mahathir dengan wawasan menjadikan Melayu bangsa terkenal di dunia.
     
Ia ada beberapa cadangan bagi menjadikan bangsa Melayu terkenal di dunia tetapi sebelum ia terkenal di dunia, ia mestilah dikenali dan dihormati dulu di negara sendiri. Jika ia mulai pudar dalam negara sendiri, maka bagaimana ia hendak dikenali dunia?
     
Sebelum merdeka dulu jika pun Malayu itu tidak masyhur sangat di dunia tetapi bangsa yang dijajah itu dikenal juga oleh orang Asia khususnya jirannya di Asia Tenggara. Sebelum pembentukan Malaysia, masih Melayu berbaki kerana negara muda itu mahu tak mahu dimasyhurkan dengan nama dalam bahasa Melayunya Persekutuan Tanah Melayu.
     
Itupun untuk kegunaan orang Melayu ketika bercakap dalam bahasa Melayu. Kalau Perdana Menterinya bercakap dalam bahasa Inggeris terutama menyambut tetamu asing ia disebut Federation of Malaya. Maka orang dari dunia tidak tahu lagi Melayu itu.
     
Bagi mengenalkan Melayu itu kepada dunia ia mesti disebut Melayunya itu. Ke mana jua pergi kena sebut ia orang Melayu dari Tanah Melayu. Tetapi bukan kerja perwakilan Malaysia di mana-mana untuk memberitahu mereka orang Melayu kerana mereka adalah mewakili Malaysia.
     
Sukarno itu Jawa. Dia menjelajah ke seluruh dunia semasa memerintah, tetapi dia tidak sebut sepatahpun dia orang Jawa. Dia Presiden Indonsia dan dia dikenali di dunia sebagai bangsa Indonesia. Bangsa Jawa tidak dikenali lagi, bahkan orang lebih kenal Bali daripada Jawa.
     
Bagaimana dunia hendak mengenali Melayu bagai yang Najib mahu kalau tidak ada kempen khas. Untuk kempen khas di serata dunia kena kedutaan usahakan. Kelau kedutaan kena perkenalkan projek Melayu, maka kedutaan juga kena perkenalkan projek Iban, Dayak, Kadazan dan lain-lain. Bagaimana pula Cina Malaysia dan India Malaysia?
     
Bagaimana hendak menjadikan bangsa Melayu terkenal di dunia sedang kalimah Melayu itu terhakis dalam negara sendiri. Sekolah Melayu jadi Sekolah Kebangsaan, Bahasa Melayu senang dipanggil Bahasa Malaysia. Utusan Melayu sudah lama tidak menerbitkan Utusan Melayu lagi. Ia menerbitkan Utusan Malaysia pula. Yang tinggal hanya Keretapi Tanah Melayu.
      
Tanah rizab Melayu yang mesti diganti jika diambil, semuanya tidak berganti apabila diambil. Yang tidak boleh diusik ialah hak istimewa orang Melayu. Tapi apa isi yang tinggal dalam hak istimewa oang Melayu itu? Adakah itu saja untuk jadi asas bangsa Melayu terkenal di dunia?
      
Sebelum bangsa Melayu dikenal di PBB, Melayu itu dikenalkan dulu dalam negara sendiri. Rata-rata Melayu mula tidak dikenal lagi dalam negeri. Bahasa Melayu dicadangkan untuk didaulatkan sebagai bahasa rasmi, semua mata pelajaran diajar dalam bahasa Melayu. Apa jadi? Ia hanya ada dalan perlembagaan.
    
Bahasa Melayu cuma digunakan dalam perbahasan di Parlimen dan Dun. Urusan pentadbiran dan komunikasi seolah-oleh tidak jadi menggunakan bahasa Melayu. Ia seolah-oleh tidak jadi digunakan sebagai bahasa penghantar tunggal dia semua sekolah. Selepas Dr. Mahathir berkuasa, dasar bahasa Melayu sudah jadi cacamarba.
     
Tahun 1970 Tun Razak melancarkan Dasar Ekonomi Baru bagi memperuntukkan ekuiti Melayu/Bumiputera sekurang-kurangnya 30 peratus dalam semua bidang dalam masa 20 tahun. Tahun 2015 anak Tun Razak, Najib melancarkan semangat biar bangsa Melayu terkenal di dunia.
     
Tiada apa yang dicapai oleh Dasar Ekonomi Baru, yang ada seperti tanah rizab Melayu bertambah susut, maka bagaimana Melayu hendak dikenali di dunia sebelum Najib mati dan selepas mati? Ia bukan sekadar payah dikenali di dunia dan dalam negeri itu kurang  dipedulikan. Jadilah wawasan buluh kasap, hujung hilang pangkal lesap. – HARAKAHDAILY 9/3/2015 

Share on Myspace