Minta bantuan jin cari MH370

SUBKY LATIF | .

SETELAH genap setahun penerbangan MH370 hilang yang dijangka tenggelam di Lautan Hindi tidak juga tidak ditemui.
     
Australia adalah yang terkedepan daripada banyak negara di dunia membantu Malaysia mengesan pesawat yang tidak diketahui di mana hilang atau terjatuhnya. China juga jadi pihak yang terpenting di samping Australia memberi banyak tenaga mengesannya.
     
Sesudah jenuh mencari tidak juga jumpa, maka berapa lama dan sampai bila kerja yang dijangka payah berhasil itu hendak diteruskan? Semua tabik kepada Australia atas peranan besarnya yang kepentingannya dalam tragedi penerbangan itu tidak sebesar Malaysia dan China.
     
Jika China ke depan dalam pencarian itu adalah disebabkan oleh ramai rakyatnya penumpang pesawat itu dan pesawat itu adalah hendak ke Beijing. Tanggungjawab China dalam hal ini dapat difahami.
     
Australia telah membuat sikap yang betul untuk mengehadkan peranannya sekalipun ia masih meneruskan apa yang patut dibuat.
    
Malaysia sendiri sebagai tuan punya penerbangan sampai bila hendak meneruskan kerja yang peluang berhasilnya tidak diketahui. Belum tentu dapat ditemui setahun lagi, bahkan sepuluh atau 20 tahun lagi belum tentu jumpa. Kita juga tidak terdaya mencari hal yang susah dijumpa.
     
Harapan jumpa adalah lebih payah. Kemungkinan tidak dijumpai lagi adalah lebih besar. Jika kerja mencari diteruskan, bukan kerana ia akan ditemui tetapi hendak menunjukkan kepada keluarga dan kaum kerabat mangsa bahawa kita ada tanggungjawab atas kejadian. Ia tidak dibiar dan dilepaskan daripada bertanggungjawab.
     
Jika ia jatuh di darat, ia lebih senang dijumpai. Tetapi laut itu luas bahkan lebih luas daripada daratan. Jika jatuh di daratan, daratan dihuni manusia, maka peluang ditemui manusia lebih cerah dan senang. Penghuni laut ialah ikan, sotong dan lain-lain. Jika makhluk itu menemuinya, tidak ada cara ia dapat dimaklumkan kepada umum.
     
Tidaklah kita berputus asa, tetapi kita perlu realistik, mencarinya bukan seperti mencari telaga minyak dan lain-lain hasil bumi yang ada isyarat. Tetapi kapal terbang tidak timbul apabila jatuh ke laut. Ia tenggelam ke dasar laut dan mustahil timbul.
     
Jika ia dijumpai, bukan kerana senang dicari atau boleh dijumpai, tetapi kerana terjumpa. Teknologi angkasa lepas hanya boleh merakam apa yang ada di daratan dan di permukaan air/laut, tetapi benda yang tenggelam dalam lautan belum ada teropongnya. Benda di permukaan bulan dan lain-lain cakerawala sudah dapat diteropong.
     
Adakah kapal selam dapat meneropong apa yang ada dalam laut? Jika ia ada keupayaan itu, maka tentu ia sudah digunakan untuk mencarinya. Kita belum dengar China, Amerika dan Australia yang banyak kapal selam menggunakan kapal selam untuk mencarinya.
     
Apabila kapal selam tidak digunakan, ini bererti ia belum ada teknologi canggih untuk merakam objek yang tenggelam dalam air dalam. Mungkin kita terpaksa menunggu penemuan teknologi canggih air dalam bagi menemuinya.
     
Allah hanya beri kelebihan pada Nabi Sulaiman a.s. untuk memerintah jin untuk mengesan apa yang makluk lain tidak boleh kesan. Kita tidak dapat bantuan jin kerana tidak mendengar perintah orang lain selain daripada Nabi Sulaiman.
    
Jika kita tidak ada teknologi tadi dan tidak dapat mengerah jin, maka payah meneruskan pencarian, sebab laut itu luas dan kapal terbang terlalu kecil baginya. Maka kita juga terpaksa memikirkan sampai bila hendak mencari barang yang kemungkinan payah jumpa? – HARAKAHDAILY 12/3/2015

Share on Myspace