Fitnah yang PAS terpaksa pikul

majdan | .

DUA kejadian yang dilihat tidak baik iaitu motokar Dr. Hatta Ramli, ahli Jawatankuasa Harian PAS Pusat dibakar di depan rumahnya dan Dr. Zulkifli Ahmad, ahli Jawatankuasa PAS Pusat dipukul di depan rumahnya sebaik balik daripada solat subuh, adalah perkara yang tidak dapat diterima oleh alam yang berfikiran terbuka.
     
Kedua kejadian itu boleh dikira jenayah yang membabitkan dua pimpinan PAS yang penting yang tidak termasuk dalam kumpulan yes men pada ketua atau orang yang sentiasa ada pandangan kedua atas perkara tentu dalam parti.
     
Kita tidak tahu angkara siapa perbuatan membakar motokar dan memukul orang balik daripada solat subuh? Pada polis ialah jenayah, tak kira didorong oleh karenah politik atau kerana agama atau justeru peribadi.
     
Kerana mereka adalah orang politik tidak disetujui oleh semua, bukan semua tidak setuju, maka anggapan awal kejadian itu adalah kerana politik. Sesudah itu barulah orang memikirkan kemungkinan sebab-sebab lain.
    
Politik itu sifatnya ada musuh. Jika ia tidak dimusuhi oleh orang dalam partinya, parti lawan pula memusuhinya, kadang-kadang kerana politiknya sendiri dan kadang-kadang kerana dia adalah anggota parti lawan. Sebaik-baik orang politik akan tidak senangi juga orang parti lawannya.
     
Seorang imam PAS baik tidak diterima jadi jawatankuasa masjid yang dikuasai oleh kerajaan dan Umno. Seorang lebai yang baik kerana dia Umno, orang awam PAS tidak berapa senang berimamkannya. TG Nik Aziz itu boleh dikira wali oleh semua tapi Pusat Islam tidak pernah terfikir untuk menjadikannya tokoh maal hijrah, sebab Jakim dipengaruhi politik kerajaan/Umno.
    
Kejadian yang dialami Dr. Zaulkifli dan motokar Dr. Hatta dibakar berlaku pada masa pergolakan dalaman PAS begitu hebat. Kedua-duanya pula tidak sealiran dengan golongan pro-ulama dan mereka pula dikritik oleh pro-ulama yang dikira menguasai PAS sekarang.
     
Maka adalah yang mengira ia adalah gara-gara reaksi orang PAS sendiri terhadap kedua mereka. Kita tidak tahu angkara siapa selagi tiada bukti ia gara-gara penyokong kuat pemimpin PAS. Ia boleh dilakukan oleh sesiapa yang hendak memburukkan PAS. Dengan pengkhiantan itu, orang mudah sangka ia kerja PAS kerana kedua-duanya ada masalah dengan PAS.
     
Seperti kata Tuan Ibrahim Tuan Man. Ia bukan kerja orang PAS dan orang PAS tidak sanggup buat kerja begitu sesama PAS. Mugkin Tuan Ibrahim bercakap betul dan semua orang PAS boleh bersetuju dengannya.
      
Hatta dan Dr. Zul pun mungkin setuju dengan Tuan Ibrahim, ia bukan kerja orang PAS. Boleh jadi oleh eleman pro-zionis atau pro Amerika atau gara-gara penyokong Ibrahim Ali dari Perkasa atau oleh MIC atau PPP. Atau oleh fanatik Umno seperti pada zaman Pemuda Umno Tahan Lasak di zaman Sharif Ahmad dulu. Zaman itu bukan sekadar orang PAS dikasari, malah MP PAS Pasir Mas, Samad Gul Mianji dibunuh dengan kapak kecil.
     
Apa pun pada masa ini orang tidak memikirkan ia kemungkinan perbuatan orang lain kerana persepsi semua yang bergolak sekarang PAS. Tak pernah berlaku ada tunjuk perasaan terhadap pemimpin PAS, tetapi ia berlaku sekarang.
     
Penafian Tuan Ibrahim mungkin betul. Ia bukan angkara sesama PAS. Tetapi payah orang hendak terima. Jelas ia satu  fitnah besar yang PAS terpaksa pikul dan PAS kena buat sesuatu bagi membaiki nama baik imejnya, supaya persepsi terhadapnya biar yang elok-elok saja.
     
Amat besar cabarannya sekarang. – HARAKAHDAILY 14/3/2015

Share on Myspace