Jangan apa-apakan Mat Sabu!

SUBKY LATIF | .

SEKARANG tumpuan politik sesudah kes DS Anwar Ibrahim diketahui adalah tertumpu kepada pergolakan dalam PAS tentang Presidennya, TG Haji Abdul Hadi Awang digantikan atau pun tidak, atau beliau dicabar atau tidak dalam pemilihan pimpinan bulan Jun ini.
     
Saya tidak hendak meramalkan beliau akan ditandingi atau tidak. Saya tidak dapat tahan ahli PAS daripada mencabarnya dan tidak dapat menyuruh supaya mencabarnya. Saya tidak dapat paksa ahli PAS supaya tutup mulut dan tidak dapat paksa supaya patuh kepada pimpinan, kerana kita galakkan keterbukaan dan menyeru supaya sentiasa mengadakan perubahan kepada kebaikan.
     
Yang diharapkan, jika Presiden ditandingi kali ini, jangan sampai ada kempen melobi seperti pemilihan Presiden MCA dan seperti pertandingan dalam Umno antara Dr. Mahatir  dan Ku Li dulu. Bertandinglah seperti pertandingan antara Dr. Burhanuddin al-Helmy dan Prof. Zulkifli Mohamad semasa hendak mengantikan Dr. Abbas Alias tahun 1956 dulu tanpa kempen dan memburukkan calon lain.
    
Jika mahu calon lain biarlah calon itu lebih baik daripada pemimpin sekarang atau sekurang-kurang sama, lebih kurang dengan yang ada itu. Biar dia dirasakan disegani oleh Ustaz Hadi dan Ustaz Hadi malu menandinginya seperti malunya beliau kepada Almarhum Ustaz Fadzil Noor dan TG Nik Aziz.
     
Sekarang ini yang hendak menganjurkan pertandingan itu sedang mencari calon. Kebanyakannya menyebutkan Mohamad Sabu, Timbalan Presiden yang dikatakan ada pandangan berbeza dalam beberapa perkara dua tahun kebelakangan ini.
     
Oleh sebab PAS tidak biasa dengan politik seperti itu keadaan hubungan Mat Sabu dengan PAS tidak seselesa sebelumnya. Dan saya melihat politik itu tidak licin.
     
Saya percaya Mat Sabu adalah seorang aktivis/ pemimpin/panglima PAS yang baik dan penting dan amat diperlukan dalam PAS. Justeru itulah saya tidak teragak-agak untuk menyokongnya menjadi salah seorang Exco Dewan Pemuda PAS yang dilantik oleh ketuanya, Mustafa Ali ketika itu.
     
Saya tidak memikirkannya untuk menjadi khalifah dalam PAS. Bagi saya dia calon yang tepat untuk menjadi pedang PAS seperti Khalid al-Walid jadi Pedang Islam setelah berhijrah dari alam gelap ke alam yang bercahaya. Saidina Umar al-Khatab dan Saidina Ali yang amat pantas di medan perang, amat digeruni oleh pemimpin Quraisy, tidak dinobatkan sebagi Pedang Islam, tetapi Khalid al-Walid lebih tepat jadi Pedang Islam atau Pedang Allah daripada jadi khalifah.
      
Saya tidak fikir Mat Sabu banyak peranan dalam menjadikan keadaan yang menjadikan PAS itu berkhemah-khemah, hingga dia ditonjolkan oleh banyak, dalam pergolakan itu hendak menukar Presiden. Perkembangan dalam PAS meletakkan Mat Sabu seolah-olah di depan mahukan perubahan, sedang yang dikatakan perubahan itu lebih dikehendaki oleh pihak lain. Hingga ini dia lebih ditonjolkan dari lain-lain orang oleh pihak lain.
    
Mat Sabu bermula dengan politik PAS. Muda dan dewasa dalam PAS. PAS itulah politik yang dikenali. Dalam darah dan sarafnya adalah PAS pekat. Kita mahu dia mati dalam. Mungkin kesilapan orang PAS ialah mahu menjadikan dia khalifah. Dia tidak minta semua kedudukan itu, tetapi PAS mesti pastikan dia berperanan terus sebagai pedang PAS, siapa juga juga jadi khalifah, dia tetap pedang PAS. Khalid al-Walid hanya hafal empat Qul, tetapi dalam medan juang dia lebih mahir dari ahli hukum.
    
Maka janganlah Mat Sabu yang semasa mudanya sama-sama mengusulkan konsep kepimpinan ulama di Bukit Mertajam yang mencabar pimpinan ulama. Biarkan orang PAS yang baru datang berbuat begitu. Kita jangan buat sesuatu yang menyebabkan kita tercicir pedang. – HARAKAHDAILY 15/3/2015

Share on Myspace