Mursyidul Am, Majlis Syura mesti berisi

SUBKY LATIF | .

SAYA ucap tahniah pada Majlis Syura Ulamak atas pemilihan Mursyidul Am baru, Datuk Dr. Haron Din bagi menggantikan Mursyidul Am TG Nik Aziz.
     
Saya puas hati atas keterangan Dr. Haron betapa beliau mahu jika boleh dikecualikan daripada menjadi Mursyidul Am yang baru, kerana baginya, beliau tidak sunyi daripada kelemahan dan kekurangan. Tetapi Majlis Syura menetapkannya juga.
     
Dipercayai tawaduknya itu berpandukan contoh tawaduk Saidina Abu Bakar Siddiq dan Saidina Umar al-Khatab yang mengira mereka bukanlah orang terbaik bagi jawatan khalifah selepas kewafatan Rasul SAW.
    
Jika Dr. Haron menyebut tentang kekurangannya, tentunya tidak melibatkan keadilan, ilmu dan kesedaran politiknya, akan tetapi saya boleh terima dari segi kesihatannya yang terpaksa memberi masa antara rumah, kerusi Mursyidul Am dan hospital. Uzur syarienya itu tidak banyak kurangnya berbandingkan tahun-tahun akhir usia TG Nik Aziz.
     
Dengan kesihatan yang demikian tentulah ada gangguan baginya menggerakkan Majlis syura sedinamik yang diperlu dan dikehendaki.
    
PAS hari ini tidak boleh disamakan dengan PAS 60 tahun dulu atau 20 tahun dulu. Kita berada di tahap penting dan pertembungan semua parti politik bagi berada di depan dalam menentukan kekuasaan. Pada ketika BN dan kerajaan berada di tahap yag terlembik, maka semuanya berlumba bagi menjadi yang terbaik sebagai alternatif bagi menggalas pemerintahan.
     
Dalam keadaan demikian PAS tidak boleh ketinggalan, bahkan mesti mendahului yang lain. Atas kepentingan itu Majlis Syura/Mursyidul Am antara organ PAS yang wajar berada semaksima mungkin.
      
PAS sekarang sedang diperhati dan dibaca oleh semua. Majlis Syura yang mulia itu dipandang rendah oleh setengah kalangan PAS sendiri. Kita tidak boleh biarkan saja apa orang kata, maka kita wajar buat sesuatu. Kita boleh beri jawapan atas apa kita disoal. Tetapi jawapan yang terbaik ialah Majlis Syura mesti menunjukkan prestasi yang terbaik.
     
Payah kita hendak jelaskan apabila yang tidak puas hati dengan prestasi Majlis Syura. Ia larang ahli PAS supaya jangan dekati Pasma, tetapi adakah orang dengar?
    
Orang angkat tinggi melangit Mursyidul Am TG Nik Aziz, tetapi mereka rendahkan Majlis Syura. Almarhum pergi ketika ada yang melihat Majlis Syura dengan sebelah mata. Antara yang Majlis itu tidak dapat ditingkatkan ialah faktor kesihatan Mursyidul Am yang tidak dapat memberi tumpuan semaksima yang diperlukan justeru keuzurannya, sedang Mursyidul Am dan Majlis Syura itu perlu memberi tumpuan tinggi.
     
Apabila Mursyidul Am kosong ia terpaksa diisi. Tetapi ia bukan sekadar diisi tetapi ia mesti mengisi semua keperluan yang diperlukan oleh sebuah Majlis Syura yang fungsinya meniupkan semangat kepada seluruh jentera parti.
    
Majlis Syura dan Mursyidul Am bukan sekadar diisi tetapi ia mesti berisi. Tentunya Mursyidul Am yang baru tidak mungkin dapat atasi semua yang disungutkan, tetapi peranan utamanya ialah membuat persiapan bagi menyediakan Majlis Syura yang di belakang nanti adalah terdiri daripada tenaga dinamik menjadikan ia berfungsi mengikut keperluan semasa.
     
Dr. Haron mesti diberi peluang dan sokongan sepenuhnya, melakukan apa saja, bagi memastikan Mursyidul Am dan Majlis Syura sebagai sumber inspirasi untuk semua. – HARAKAHDAILY 18/3/2015

Share on Myspace