Jenaka dalam dakwah

SUBKY LATIF | .

PENDAKWAH, baik ketika memberi kuliah di masjid/surau atau menyampai ceramah agama dalam apa jua majlis, yang terbaik elakkanlah berjenaka kerana lawak jenaka itu lebih dekat kepada wayang.
     
Teguran oleh mufti dan tok-tok guru kepada penceramah yang banyak berjenaka, bukan saja boleh menjadikan majlis ilmu sebagai gelanggang hiburan, bah menyebabkan orang mendengar datang untuk menimba ilmu atau untuk berseronok dengan lawak jenaka.
      
Jika seorang tok guru itu kadang-kadang sekali sekala dan ada ketikanya pendengar geli hati dan tertawa dengan kata-kata dan hujahnya, maka tidaklah ia mencacatkan kuliahnya yang dikira majlis ilmu.
     
Majlis ilmu adalah ibadat. Mengaji dan menyampaikan ilmu adalah wajib. Maka ibadat ada syarat sah dan batalnya. Melawak yang sama banyak dengan menyampaikan ilmu boleh membatalkan tujuan ibadatnya.
      
Maka pendakwah eloklah elakkan jangan sampai dikatakan tukang lawak kerana ia bukanlah sifat daie yang terbaik.
     
Jika melawak itu bertujuan bagi mengelakkan orang bosan dan mengantuk, maka belum cukup hujah bagi mengisinya dengan senda gurau. Khutbah adalah tempat penting menyampai ajaran kepada jemaah, tetapi masa khutbahlah ramai orang mengantuk. Mungkin makmum tidak mengantuk jika diselitkan jenaka dalam khutbah.
     
Tetapi khatib tidak sekali-kali melawak semasa berkhutbah tidak kira orang ngantuk atau mendengarnya. Tidak ada cerdik pandai menganjurkan mesti ada lawak jenaka dalam khutbah.
     
Orang ngantuk dan bosan bukan kerana tidak ada gurau senda tetapi mesej khutbah itu berisi dan memberikan pengajaran kepada masyarkat setempat. Jika khutbah itu mengenai pandang ke Jepun dan tidak ada kena mengena dengan kehidupan masyarakat, siapa pun akan ngantuk.
     
TG Nik Aziz dan TG Haji Hadi tidak pernah melawak dalam ceramah dan kuliahnya. Beribu-ribu orang membanjiri ceramahnya di mana saja dulu hingga sekarang. Kadang-kadang TG Nik Aziz bercakap pekat Kelantannya berceramah di Perak atau Melaka, tidak semua yang disampaikannya difahami  mereka, tetapi mereka mendengarnya.
    
Mungkin orang menjadikan Almarhum Ustaz Fadzil Noor yang melawak juga dalam ceramahnya, sebagai contoh untuk bersenda gurau dalam ceramah, tetapi biasanya dalam kuliah dan majlis pengajian, tiada beliau melawak. Dalam ceramah politik ada lawak tetapi ia adalah mantik politik.

Macam Almarhum Prof. Zulkifli Mohamad, Almarhum Ustaz Fadzil banyak kata-kata jenaka dalam ucapannya, tidak ramai yang dapat menyamai kepintaran berhujah dan mengelurkan buah fikiran dibandingkan dengan kedua mereka itu, tidak ada orang berani mengatakan mereka  tukang lawak dan kebanyakannya mengira mereka adalah penceramah pintar yang serius.
         
Guru-guru saya dalam PAS selalu mengingatkan saya, jangan banyak melawak dalam ceramah, kerana rata-rata pemimpin gerakan Islam di dunia termasuk para pimpinan Ikhawanul Muslimin tidak gemar kepada orang banyak melawak.
       
Apabila kita dikenali sebagai orang banyak melawak, orang nanti tidak tahu bila kita tidak melawak dan yang mana mesej yang disampai itu lawak dan bukan lawak.
     
Pendakwah itu didengar, isi dakwahnya, bukan kata-kata lawaknya. Jika hendak melawak sertai pertandingan Maharaja Lawak, bukan petandingan Pencetus Ummah. – HARAKAHDAILY 21/3/2015

Share on Myspace