Sesungguhnya manusia sentiasa dalam kerugian

SUBKY LATIF | .

PERTENGAHAN Mac ini, 17 daripada jawatankuasa PAS Kawasan Batu diketuai oleh Yang Dipertuanya, Cikgu Ishak Surin mufarakah kepada kelemahan tertentu pimpinan parti dengan meletak jawatan.
     
Tindakan dan perkembangan itu tentulah tidak terlepas daripada kerugian seperti maksud surah al-Asr, sesungguhnya manusia itu sentiasa dalam kerugian, kecuali mereka yang berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan kepada kesabaran.
     
Mafhum awal ayat ini ialah rugi dulu dan banyaklah ruginya daripada tidak rugi. Tindakan 17 orang itu jika pun ada tidak ruginya, tetapi ia rugi dulu. Ada pun untungnya jikapun ada tetapi tidaklah menentu. Kecuali saja baru ada untung jika masing-masing tepat dengan maksud berwasiat kepada kebenaran dan berwasiat kepada kesabaran. Jika wasiat itu tidak tepat ia rugi juga.
     
Menyertai PAS bukanlah suka-suka seperti menubuhkan NGO. Parti itu wadah ibadat, dan menyertainya mesti dengan nawaitu ibadat. Jika tiada niat dan tiada betul niatnya, batallah ibadatnya. Almarhum TG Nik Aziz acap berpesan, menyertai PAS itu berpahala. Sepanjang tidak batal ibadatnya.
     
Tindakan orang Batu itu dibuat atas maksud mufarakah, satu istilah ibadat. Tentulah fekah mufarakah itu ada kaedahnya. Kerana ia tindakan ibadat, ia mesti dengan kehendak fekah. Dalam Islam ini tindakan tepat mengikut syaraknya tidak boleh direka-reka tetapi hendaklah dilakukan dengan pendapat dan nasihat ahli fekah yang semestinya ulama.
     
Siapa ulama rujukan jawatankuasa yang meletak jawatan itu? Ketua Dewan Ulama kawasannya Ustaz Azhar Yahya tidak termasuk dalam 17 orang itu. Dan parti setiap aras penuh dengan ulama. Pandangan ahli-ahli fekah politik itu perlulah didapatkan dulu bagi memastikan mufarakah itu sah ibadatnya.
     
Sekalipun menyertai PAS kerana ibadat, tetapi ia adalah wadah politik yang tidak terlepas daripada persepsi. Sebelum tindakan meletak jawatan itu diketahui untungnya, tetapi ia bermula dengan kerugian politik orang mufarakah. Mereka hilang peluang untuk terus mentadbir kawasan hingga mesyuarat agung April ini.
    
Mentadbir itu sebahagian isi ibadat itu, maka pahala ibadat itu terhenti ketika mereka meletak jawatan. Payah hendak diduga mereka akan bertanding semula dalam pemilihan bulan April ini. Tiada logiknya mereka bertanding semula setelah meletak jawatan. Apa yang mereka katakan lemah yang menyebabkan mereka mufarakah dan meletak jawatan diduga tidak berubah pada masa mesyuarat pemilihan jawatankuasa baru kawasan Batu itu.
     
Adalah rugi jika tidak jadi perwakilan Batu dalam Muktamar Mei/Jun ini. Jika mereka kecenderungan untuk mengubah pimpinan PAS Pusat, apabila tidak lagi jadi perwakilan, maka undi perubahan itu kurang.
    
PAS seluruhnya pun rugi dengan perkembangan di Batu itu. Apabila ada ahli mufarakah, sekalipun berbelas orang saja, maka ia menyebabkan PAS luak tenaga kerja jika mereka memilih tidak aktif terus.
    
Orang-orang di Batu hingga beberapa bulan ini merasa rugi kerana PAS Batu tidak mengadakan kegiatan. Mereka hilang peluang mendengar pandangan kedua politik kerana ia tidak mengadakan ceramah. Sejak beberapa tahun lalu PAS Batu boleh dikatakan dua kali seminggu berceramah.
    
Setiap kali ceramah penjaja gerai dapat berniaga. Akhir-akhir ini mereka terasa rugi tidak dapat berniaga.
     
Orang Umno yang berjumpa saya juga mengadu merasa rugi kerana PAS Batu tidak aktif. Mereka hendak mendengar juga cerita politik yang mereka tidak dapat dengar daripada Umno. Dengan ceramah PAS ada juga untung mereka – dapat maklumat lain. Sekarang mereka juga rasa rugi. Pimpinan baru kawasan Batu nanti belum tentu dapat buat macam yang Cikgu Ishak Surin dan Tarmizi dapat buat.
     
Sebelum ada untung semuanya merasa rugi dulu. Jangan jadi politik buluh kasap, hujung hilang, pangkal lesap. – HARAKAHDAILY 24/3/2015

Share on Myspace